Anda di halaman 1dari 6

Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

ASAS-ASAS PENTING PEMBENTUKAN UMMAH


ISLAMIYYAH

Pendahuluan

Setelah kejatuhan Daulah Islamiyyah dan kehilangan Khilafah Islamiyyah, musuh-musuh


Islam menakluki negeri-negeri umat Islam dengan berbagai-bagai cara penaklukan yang
memusnahkan. Penaklukan meliputi aspek kebudayaan, kepercayaan mulhid, ibahi
(permissive) dan ekonomi. Realiti ini telah meletakkan ‘Amal Islami dalam keadaan yang
buruk sekali. Umat Islam dikerumuni  oleh bangsa-bangsa lain seperti semut-semut
mengerumuni hidangan makanan. Keadaan umat Islam telah hampir menyamai keadaan
masyarakat sebelum da’wah pertama dahulu. Islam telah kembali dagang (asing)
sebagaimana ia telah bermula dalam keadaan dagang. Tepatlah sepertimana sabda
Rasulullah SAW:

“Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah
mereka bersama Islam di waktu ia dagang.” - Hadith Riwayat Muslim.

Kewajipan Membentuk Ummah

Beramal untuk Islam dalam rangka menwujudkan individu, keluarga, jama’ah dan ummah
Islamiyyah merupakan suatu kewajipan yang syar’i. Kewajipan ini tidak akan gugur
selagimana tidak tertegak suatu kuasa yang memikul tanggungjawab menjaga semua
urusan umat Islam. Begitu juga, selagimana kekuasaan itu tidak wujud, maka segala
kecuaian samada oleh mereka yang beramal atau oleh mereka yang berdiam diri adalah
merupakan dosa. Dosa ini tidak akan terhapus sehinggalah orang-orang yang cuai itu
mengambil inisiatif secepat mungkin untuk memikul tanggungjawab dan taklif amal-amal
Islami.

Ditinjau dari sudut hukum, bekerja dan beramal untuk Islam adalah wajib. Realiti
pembekuan hukum-hukum Allah di muka bumi dan penguasaan sistem serta undang-
undang jahiliyyah ke atas masyarakat manusia telah mewajibkan umat Islam bekerja dan
beramal untuk menegakkan Ummah Islamiyyah dan mengembalikan kehidupan secara
Islam. Umat Islam juga berkewajipan mengembalikan manusia kepada pengabdian diri
hanya kepada Allah SWT daLam semua hal.

1
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Oleh kerana mewujudkan Ummah Islamiyyah dan berhukum dengan hukum-hukum Allah
SWT itu wajib, segala amal atau kerja yang menjurus kepada perlaksanaan kewajipan-
kewahipan itu juga wajib, berdasarkan qaedah syara’:

“Tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengan jalannya, maka jalan itu juga
menjadi wajib.”

Model Pembentukan Ummah

Orang mukmin mempunyai model yang tidak boleh dipertikaikan lagi dalam kerja-kerja
pembentukan masyarakat dan pembinaan ummah. Model ini telah dizahirkan oleh Allah
SWT pada generasi awal pimpinan Rasulullah SAW atau lebih dikenali sebagai Generasi
al-Quran.

Kita perlu melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW
memulakan dakwah dengan menyemai ‘Aqidah Tauhid dalam jiwa pengikut-pengikutnya.
Rasulullah SAW mendidik mereka di Dar al-Arqam dengan santapan dan hidangan al-
Quran. Dari Madrasah Rasulullah SAW ini, lahirlah Rijal ‘Aqidah yang sanggup berjihad
dan berkorban demi membina Ummah Islamiyyah.

Rasulullah SAW telah membangunkan Ummah Islamiyyah pertama di atas asas-asas


‘Aqidah Solehah, ‘Ibadah Sohehah dan akhlak yang teguh.

‘Aqidah Melahirkan Wehdah Dan Segala Kekuatan Yang Lain

Setelah terbina kekuatan ‘Aqidah Tauhid maka terbentuklah kekuatan Ukhuwwah dan
Wehdah (kesatuan). Rasulullah SAW telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar
dengan ikatan Ukhuwwah Islamiyyah. Setelah itu Rasulullah SAW mencari punca-punca
kekuatan yang lazim dan perlu bagi melancarkan jihad selanjutnya. Dengan itu
terbentuklah asas yang kukuh atau tapak yang kuat untuk berdirinya Daulah Islamiyyah di
Madinah al-Munawwarah.

Inilah model yang sepatutnya menjadi contoh utama orang-orang mukmin dalam usaha
membentuk Ummah Islamiyyah. Firman Allah SWT:

“Adalah bagi diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan
Allah serta Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.” - Surah Al Ahzab: ayat  21

Perlunya Kepada Jalan Yang Sama

2
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Tiada jalan lain lagi melainkan jalan ‘Aqidah atau Iman untuk membina kembali Ummah
Islamiyyah. Jika di permulaan Islam dahulu Iman telah menjadi tenaga pembangunannya,
Iman juga mesti menjadi tenaga pembangun di zaman kebelakangan ini.

Kita kini sedang menghadapi suasana-suasana yang sama seperti yang dihadapi oleh
angkatan pertama umat Islam di permulaan lahirnya Islam. Jika ditinjau suasana alam
ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, didapati masyarakat manusia dalam keadaan
tidak tenteram dan menghadapi krisis nilai ke paras maksimum. Manusia sesat dalam
pemujaan dan pengabdian. Sesat dalam aqidah dan pemikiran. Mereka juga ragu-ragu
terhadap kebenaran dan yakin pula terhadap kebatilan. Nilai mereka sesat. Mereka
senang kepada kejahatan dan kuncu-kuncunya serta benci kepada kebaikan dan
pendokong-pendokongnya. Praktik hidup mereka sesat. Penzalim menjadi pemerintah.
Penjahat hidup senang dan mewah. Orang-orang yang soleh tersisih dari masyarakat.
Perkara yang ma’ruf dipandang munkar dan yang munkar dipandang ma’ruf. Ketagihan
arak telah menjadi kebiasaan. Kejahatan bermaharajalela. Amalan riba telah sampai ke
peringkat merampas harta orang lain. Keinginan kepada harta benda telah sampai ke
peringkat tamak haloba. Kezaliman dan keras hati telah menjangkau kepada perbuatan
menanam anak hidup-hidup.

Asas-asas moral anugerah Allah SWT kepada manusia ketika itu tidak dibimbing dengan
betul. Akibatnya kecelakaan menimpa mereka. Orang berani bertukar menjadi pembinasa
dan pengganas. Orang pemurah bertukar menjadi pemboros dan pengikis harta. Orang
cerdik bertukar menjadi penipu. ‘Aqal fikiran digunakan untuk merancang jenayah dan
program-program untuk memuaskan hawa nafsu. Kekuasaan yang ada pada seseorang
umpama sebilah pedang di tangan pemabuk. Dia akan melukakan diri, anak, isteri dan
saudara-maranya tanpa disedari.

Ciri-ciri seumpama di atas bukan sahaja wujud di zaman jahiliyyah kuno, bahkan wujud
juga di zaman moden ini. Oleh kerana ciri-ciri itu wujud di zaman ini, maka zaman ini juga
disifatkan sebagai jahiliyyah atau Jahiliyyah Moden.

Rasulullah SAW telah merawat segala penyakit kemasyarakatan tadi dengan iman.
Justeru itu ubat atau penawar iman juga perlu digunakan untuk merawat segala penyakit
kemasyarakatan di zaman ini. Sekaligus, iman menjadi titik tolak ke arah pembentukan
Ummah Islamiyyah.

Proses Keimanan

3
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Ummah Islamiyyah tidak akan lahir selagimana satu golongan manusia tidak dibentuk
terlebih dahulu melalui proses keimanan yang mengikrarkan ‘Ubudiyyah hanya kepada
Allah SWT semata-mata. ‘Ubudiyyah yang meliputi I’tiqad dan benar-benar berperanan
dalam susunan dan amalan hidup mereka. Proses keimanan itu akan membersihkan hati
serta jiwa daripada pengabdian kepada selain daripada Allah SWT. Proses itu juga
mengawal setiap amalan  daripada bermatlamatkan sesuatu yang lain daripada Allah
SWT. Melalui proses ini sahajalah Ummah Islamiyyah terbentuk atau dibentuk. Ummah
Islamiyyah dianggotai oleh mereka yang menjalani sistem pembentukan yang bertolak
daripada Kalimah Tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggota, iaitu kalimah Syahadah
hendaklah ditegakkan terlebih dahulu dan menjadi asas bagi sistem hidup Islam yang
lengkap dan praktikal. Kehidupan Islam bagi Ummah Islamiyyah dalam semua bidang
dibina di atasnya dan dikawal olehnya. Kehidupan Islam tidak akan wujud tanpa asas ini,
atau ditegakkan di atas asas yang lain, atau ditegakkan bersama asas lain.

Kumpulan yang sudah bersih hati dan jiwa dalam ‘Ubudiyyah inilah sahaja yang dapat
membentuk dan membangunkan Ummah Islamiyyah yang diredhai oleh Allah SWT.

Begitulah caranya kumpulan Islam pertama dibina dan berjaya membentuk Ummah
Islamiyyah. Mereka adalah Ummah contoh yang dikenali sebagai Generasi Al-Quran Yang
Unik. Begitulah juga caranya proses pembentukan masyarakat atau Ummah Islamiyyah
yang kemudian.

Pentingnya Pengukuhan Asas

Sesungguhnya asas yang kukuh amat perlu untuk melahirkan Ummah dan Daulah
Islamiyyah. Ia laksana asas bagi binaan yang besar. Binaan yang terbesar ialah binaan
Islam.

Memanglah sesuatu asas bagi binaan tidak akan kelihatan dengan jelas dan nyata di atas
tanah yang rata serta-merta,  meskipun telah banyak usaha dan titik peluh dicurahkan
untuk menanam dan membenamkannya. Orang-orang yang tidak arif atau orang-orang
yang mengharapkan natijah segera akan menganggap bahawa segala usaha dan waktu
yang dihabiskan untuk menanam asas adalah sia-sia lantaran mereka tidak nampak
kewujudan binaan yang tersergam di atas tanah yang rata itu. Sesungguhnya, tahap atau
peringkat meletakkan asas adalah paling sukar dan penting dalam proses pembinaan
bangunan.

4
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Setiap waktu dan usaha yang dicurahkan untuk membina asas sesebuah bangunan tidak
boleh dianggap sia-sia.  Proses pembinaannya tidak boleh dihentikan dengan alasan
belum nampak apa-apa hasil di permukaan tanah. Sudah tentulah bangunan Islam yang
besar memerlukan waktu yang banyak dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asasnya.

Tahap-Tahap
 
Pembentukan masyarakat dan Ummah Islamiyyah memerlukan masa yang panjang,
usaha yang berterusan, pencurahan tenaga yang besar dan kesediaan melalui tahap-
tahap tertentu seperti yang diperlihatkan dalam Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat
baginda RA.

Tahap-tahap yang berdasarkan Sirah Rasulullah SAW adalah seperti berikut:

1.  Tahap pembangunan ‘Aqidah yang melahirkan kefahaman yang betul tentang hakikat
alam, manusia dan kehidupan. Inilah tahap asasi, pertama dan utama dalam
pembentukan syaksiyyah Islamiyyah. Ia kaedah asas yang akan memperbetulkan
tindakan-tindakan berikutnya.

2.   Tahap perlaksanaan Iman dalam realiti hidup Muslim sepertimana yang pernah
dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

“Iman bukanlah dengan angan-angan dan hiasan-hiasan, tetapi ia adalah apa yang
bertakhta di dalam hati dan dibukti pula dengan amalan.”

Inilah tahap penghayatan Iman dalam tingkah laku dan aktiviti hidup supaya benar-benar
lahir kehidupan Islam.

3. Mereka yang kukuh ‘aqidah, betul fahaman dan baik amalan menyedari bahawa di
sana terdapat tanggungjawab yang wajib dilaksanakan iaitu ‘Amal Haraki untuk
membentuk, menerus dan mempertahankan Ummah dan Daulah Islamiyyah. Kerja-
kerja besar ini tidak mampu dipikul dengan tenaga seorang, bahkan memerlukan
penglibatan dalam Tanzim Haraki secara bersungguh-sungguh. Setiap mukmin
bangun memperbaiki ahli-ahli, kawan-kawan dan mereka yang dapat dihubunginya.
Kebaikan seseorang tidak akan menggugurkannya daripada tugas mengislahkan
orang lain. Dia wajib bangun memikul tanggungjawab Amar Ma’ruf dan Nahi
Munkar meskipun keseorangan.

5
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

HAK CIPTA TERPELIHARA


TIDAK DIBENARKAN MENERBITKAN SEMULA BAHAN INI DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN,
MELAINKAN SETELAH MENDAPAT KEIZINAN PENERBIT. HARGAILAH PENGORBANAN ORANG
LAIN YANG BERTUNGKUS LUMUS MENYIAPKANNYA. MENCETAK SEMULA DAN
MENERBITKANNYA DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN DIANGGAP SEBAGAI JENAYAH DAN
DIKIRA BERCANGGAH DENGAN SYARIAH ISLAM.

©MANHAL PMRAM 2000

Anda mungkin juga menyukai