Anda di halaman 1dari 24

1 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Mahasiswa Mendepani Perubahan1


Oleh
Zaharuddin Hj Abd Rahman
Bekas Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS)
B.A Usuluddin (UM)

N
ama mahasiswa yang berada di atas bahu para pemuda dan pemudi terpilih di
seluruh tanah air merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang
enteng. Justeru peranannya adalah begitu penting bagi memastikan mereka
mampu menjadi pemimpin generasi akan datang . Di dalam proses penerusan
kepimpinan ini, ia bukanlah berlaku secara tiba-tiba tetapi ia akan menjelang melalui
suatu proses pertukaran kepimpinan negara, organisasi besar dan kecil, seterusnya
menjadi tokoh-tokoh yang akan menentukan halacara negara dan dunia pada masa
akan datang.

Sebagai contohnya, kepimpinan negara di peringkat pertengahan serta tokoh-tokoh


korporat dan ketua bagi jabatan-jabatan kerajaan kini sudah mula diterajui oleh para
pemimpin yang berusia sekitar 45 – 65 tahun. Begitulah siri pertukaran normal yang kian
menjadi gaya negara kita, Malaysia. Cuma ada beberapa kerat individu yang masih lagi
menerajui organisasi besar ataupun sesebuah negara dalam usia melebihi 70 tahun.
Pada pandangan saya, ini adalah suatu perkara yang perlu dielakkan demi
memanfaatkan tenaga muda yang berminda baru bagi meneruskan keutuhan organisasi
dalam jangka waktu yang memungkinkan mereka merealiasikan segala perancangan
dengan berkesan.

Justeru demikian peranan yang bakal dimainkan oleh para generasi muda terpelajar
terutamanya. Maka tidak hairanlah mengapa pada hari ini kita merasakan perlu untuk
menmbincangkan perihal peranan mereka dalam mendepani perubahan menjelang alaf
baru kelak.

FOKUS PERBINCANGAN

1
Kertas ini dibentangkan di Konvensyen Gerakan Agenda 2000 anjuran Persatuan
Ulama’ Malaysia bertempat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada 16
Oktober 1999
2 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

InsyaAllah, kertas ini akan menyentuh secara ringkas mengenai perkara-perkara berikut:

1. Tanggungjawab utama seorang mahasiswa menurut perspektif Islam.


2. Persediaan mahasiswa mendepani perubahan serta peranan.
3. Mengapa perlu perubahan?
4. Gerakan mahasiswa akhir 90 an.
5. Harapan kepada genarasi muda terpilih (mahasiswa).

TANGGUNGJAWAB HAKIKI MAHASISWA

Ramai yang masih terkeliru mengenai tanggungjawab sebenar seorang mahasiswa.


Begitu banyak pandangan, kritikan, nasihat, teguran, tohmahan, kutukan serta
bermacam lagi yang dilontarkan kepada mahasiswa. Namun bagi mahasiswa Islam,
perkara asas terpenting yang perlu dipikulnya adalah amanah terhadap Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT :

Mafhumnya:
“Sesungguhnya kami telah bentangkan amanah ini kepada langit, bumi, bukit bukau,
namun semuanya enggan dan menolak kerana bimbang tidak dapat melaksanakannya,
kemudian ianya diterima oleh manusia sesungguhnya manusia adalah zalim lagi jahil.”

Tiada satu pengeculian kepada mana-mana mahkluk yang bergelar manusia di atas
muka bumi Allah ini dalam hal memikul amanah terhadap pencipta yang mahabesar.
Menurut Al-Qurtubi, Ibn Kathir serta Fakhrul Razi dan al-Mawardi, amanah membawa
maksud menegakkan agama serta mentadbir seluruh dunia dengan berlandaskan
agama iaitu Deen Islam2.

Ilmu Sebenar Mahasiswa Tulen

2
Hj Abd Hadi Awang, Sistem Pemerintahan Negara Islam, Dewan Muslimat Sdn
Bhd, hlm 8
3 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Mahasiswa yang merupakan generasi muda terpilih serta terpelajar, pergantungan


masyarakat kepada mereka sudah tentu lebih tinggi berbanding para pemuda yang lain,
bukan itu sahaja malahan bebanan tanggungjawab terhadap Allah, agama dan
masyarakat juga adalah lebih tinggi. Firman Allah:

Mafhumnya:
“ Tidak boleh semua dari kalangan orang mukmin itu pergi berperang sekaligus tetapi
hendaklah ada di kalangan kamu yang menuntut ilmu agama serta memperdalaminya
maka apabila mereka pulang ke kampung halaman mereka memberi amaran terhadap
kaum mereka semoga kaum mereka mendapat nasihat”

Dalam konteks ayat ini, boleh kita kelaskan mahasiswa dari kumpulan yang menuntut
serta memperdalami ilmu ini. Sudah nyata mereka perlu beperanan terhadap
masyarakat lebih dari yang kurang berilmu.

Adakah boleh kita katakan berdasarkan ayat ini maka tugas mahasiswa adalah
meperdalami ilmu sahaja tanpa terlibat dengan aktiviti luar atau dalam kata lainnya
politik di sekitar mereka?. Saya adalah di antara mereka yang menolak pandangan yang
menyatakan bahawa tugas mahasiswa hanya sekadar belajar dengan kata mereka
‘belajar dahulu kemudian bila keluar barulah berpolitik’ Ini berdasarkan beberapa
sebab:

1. Ayat tersebut di atas menyatakan bahawa ilmu yang harus dan mesti
diperdalami adalah ‘tafaqqahu fi ad-deen’ ini bermaksud dalami ilmu agama.
Suatu ilmu yang diiktiraf sebagai ilmu mestilah mempunyai ciri sebagaimana
firman Allah SWT:

Mafhumnya:
4 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

“Sesungguhnya mereka yang paling takut dari kalangan hamba-hambku adalah


para ulama’”

Bermakna segala ilmu yang diperdalami itu menjuruskan mereka kepada


takutkan Allah atau ilmu yang mengarahkan manusia lain kepada takutkan
Allah SWT serta menonjolkan kehebatan Islam3. Jika demikian, Ilmu dalam
Islam hanyalah diktiraf apabila ia diamalkan. Kerana itulah Allah SWT menyebut

Mafhum:
“Tiada (dikira) bagi insan itu kecuali apa yang diusahakan (diamalkan) dan apa
yang diuasahakan (amal) sahaja yang dikira (di sisi Allah)”

Ini dikuatkan lagi dengan satu hadith baginda SAW :

Mafhumnya:
“Mereka yang bijak adalah mereka yang mendekatkan diri mereka dengan
amalan untuk kehidupan selepas mati, manakala mereka yang bodoh itu adalah
mereka yang bercita-cita terhadap Allah (Syurga dan nikmatnya) dalam keadaan
mereka mengikuti hawa nafsu mereka (yang bertentangan dengan syari‘at)”

Justeru pada hari ini, adalah suatu kemestian bagi seorang mahasiswa itu
melayakkan diri mereka sebagai seorang cerdik pandai di sisi Allah bukan
sekadar manusia sahaja. Secara kesimpulannya, kefahaman terhadap ilmu
sebenar perlu diperjelaskan. Konsep ilmu dalam Islam juga menegaskan
bahawa ilmu mesti diamalkan dan tanpa amal ianya sia-sia.

2. Ilmu yang dipelajari di Universiti dipendamkan sahaja sehinggalah mereka


keluar, suasana ini seolah-olah membiarkan ilmu yang dipelajari beku
walaupun jelas di hadapan mereka ilmu tersebut tidak dipraktikkan dan
dicabuli oleh kepimpinan. Mereka cuba mem’period’kan ilmu padahal ilmu itu
tidak boleh dibatasi dengan sebarang jangka waktu. Oleh yang demikian,
menjadi tanggung jawab mahasiswa untuk menegur kepimpinan, masyarakat
serta mereka yang memegang kuasa dengan secara teratur dan berstrategi.

3
Syeikh Said Hawwa, Jundullah Jihad fi Sabilillah, Dewan Pustaka Fajar, hlm 55
5 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Inilah yang dikatakan Mahasiswa berperanan menentukan hala tuju sesebuah


negara.

Kita harus menyedari bahawa ilmu yang paling berkesan adalah yang paling
relevan dengan suasana semasanya, kerana inilah para ulama’ menetapkan
hukum-hakam syara’ yang tidak ‘thabat’ menurut keadaan. Menurut kaedahnya :

Mafhum :
“Berubahnya suatu hukum adalah dengan berubahnya tempat dan masa”

Mahasiswa yang tidak membiasakan pemikiran mereka untuk mencari


penyelesaian permasalahan luar atau semasa dengan ilmu yang dipelajari di
Universiti akan menatijahkan kesukaran mereka untuk terjun dalam masyarakat
kelak. Mana mungkin, para mahasiswa kita mampu menggarap dan mengejar
suasana yang berlari begitu pantas tanpa mereka mengendahkan suasana
semasa dan langsung tidak cuba berperanan dan menegakkan ilmu mereka.
Tidak kira samada ilmu fardhu ain, ekonomi, pengurusan, seni reka, keluhuran
undang-undang (Rule of Law) serta pelbagai ilmu-ilmu lain. Semuanya
mempunyai peranan masing-masing untuk menentukan pengamalan di
negara ini mengikut teori terbaik yang dipelajari mereka.

Kebekuan mereka akan menjadikan mereka terkapai-kapai mencari kehidupan


selepas tamat belajar dan agak lambat mengejar suasana serta merealisasikan
ilmu mereka secara berkesan. Maka lahirlah begitu ramai mahasiswa yang
bekerja bukan dalam bidang kemahirannya. Adalakannya ilmu-ilmu di
Universiti amat sedikit sekali membantu kerjaya mereka. Mereka juga terpaksa
bermula semula dengan suatu bentuk ilmu baru yang dipelajari secara spontan
dan praktikal.

3. Mahasiswa berilmu dalam erti kata mereka akan menjadi elemen sedar dalam
masyarakat, mampu melihat kebenaran serta kesilapan dasar negara. Mereka
menjadi harapan rakyat yang kurang pengetahuan. Mereka juga menjadi
6 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

‘kumpulan pendesak’ (Pressure Group) yang berkesan’, selain itu juga menjadi
tenaga ‘check and balance’ kepada persekitaran negara dan masyarakat.

Ini tidak bermaksud supaya mahasiswa menghabiskan masanya dalam


arena kemasyarakatan serta negara sehingga meninggalkan kecemerlangan
akademik, apa yang dikehendaki adalah mereka dididik supaya supaya
bertanggungjawab kepada negara sejurus mempunyai ilmu, mereka juga
berupaya mengurus masa dengan kemas sehingga mampu juga mencapai
target akademik yang cemerlang. Inilah ciri mahasiswa yang dinamik, progresif
serta cemerlang.

4. Pengertian ‘politik’ juga perlu diperluaskan kepada pengertian sebenar iaitu ‘Ilmu
pengetahuan berkenaan cara pemerintahan, ilmu kenegaraan dan dasar-
dasar pemerintahan’4. Jika diamati pengertian ini maka kita akan memahami
tanggungjawab mahasiswa dalam politik. Ia tidak bermaksud politik kepartian
PAS, UMNO, BN, KeADILan dll semata-mata tetapi ia menuntut keperihatinan
mahasiswa dalam sebarang urusaan pentadbiran negara dan dasar.

PERSEDIAAN MAHASISWA MENDEPANI PERUBAHAN

Perubahan yang diutarakan di sini boleh membawa pelbagai maksud, mungkin sahaja
bermaksud:
a. Perubahan ke alaf baru.
ii. Perubahan suasana dan budaya negara kepada arus kemodenan.
iii. Perubahan daripada kegawatan pelbagai kepada keharmonian.
iv. Mungkin juga bermaksud perubahan kepimpinan yang gagal.

Begitu pun banyak pentakrifan kepada perubahan, apa yang ingin dibicarakan di sini
adalah perubahan keseluruhan samada politik, ekonomi, sosial serta seluruh
kegagalan kepimpinan untuk mencorakkan negara ke arah tujuan yang baik,
aman, harmoni lagi adil.

4
Sheikh Othman Sheikh Salim, Kamus Dewan, Selangor, Dewan Bahasa Dan
Pustaka, hlm 977
7 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Dalam proses membuat suatu perubahan, begitu banyak persediaan perlu dimantapkan
dalam diri mahasiswa. Mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga lengkap segala
persediaan untuk mengatur tindakan ke arah perubahan tetapi segala persediaan perlu
diperkemas setiap saat manakala dalam pada masa yang sama tindakan mengiringi.

Bentuk persediaannya adalah seperti berikut:

1. Peningkatan Ilmu
Ilmu mestilah menjadi asas kepada semangat juang para mahasiswa,
tanpa ilmu semangat yang berkobar-kobar mungkin sahaja boleh
dipadamkan dengan ugutan, ancaman, tawaran wang dan harta benda
dan sebagainya. Prinsip pegangan mereka juga begitu mudah berubah
mengikut peluang yang lebih menyenangkan. Ilmu bersama kejelasan
matlamat Islam aakn menjadi tunjang terkuat dannsyarat asas kepada
seluruh gerakan Dakwah Islamiyyah5.

Justeru dengan ilmu serta rasa tanggungjawab penuh terhadap agama,


negara dan bangsa. Mahasiswa akan mampu mendepani dan
mengharungi ranjau serta onak tanpa berundur. Jikalau pun berundur
berundur mereka berundur penuh perancangan dan strategi.

Sabda Baginda SAW:

Mafhumnya:
“Sesungguhnya kamu akan terus berada diatas kejelasan (kebenaran)
hinggalah datang kepada kamu 2 kemabukan: Kemabukan Jahil dan
mabuk cintakan dunia”

Rasulullah SAW juga bersabda:

5
Dr. Muhd Said Ramadhan al-Buti, ‘Ala Toriq al-‘audati ila al-Islam, Mua’assah al-
Risalah, hlm 19
8 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Mafhum :
‘Saling bernasihatlah dalam ilmu serta janganlah kamu tutup ilmu itu
anatra satu sama lain, kerana khianat pada ilmu itu lebih besar dosanya
daripada khianat pada harta’ (Riwayat Abu Nai’m)

2. Kematangan Pemikiran dan Pengalaman


Kematangan dalam menentukan tindakan yang paling tepat lagi
berkesan akan dapat menghasilkan keberkesanan gerakan mahasiswa
dalam mempelopori sesuatu perubahan.

Untuk itu, para pimpinan mahasiswa mestilah mempunyai pengetahun


yang baik dalam mengamati dan mengadun pengalaman gerakan
mahasiswa terdahulu. Satu analisis terhadap mana-mana kejayaan
gerakan mahasiswa dahulu dalam membuat atau mendesak perubahan
perlu diteliti dari aspek baik dan buruknya, ini penting supaya pimpinan
baru tidak mengulangi kesilapan atau bermula kembali daripada A.
Permulaan semula daripada titik awal akan menyebabkan berlakunya ‘try
and error’ yang membuang masa. Hasilnya mereka bukan mendepani
tetapi terkebelakang daripada sebarang perubahan yang diperlukan.

Kepentingan pengamatan terhadap pengalaman terdahulu dimuatkan


panduannya dalam Al-Quran sebagimana firman Allah :

Mafhumnya:
“ .. dan pada hari ini, kami kekalkan tubuh badan Fir‘aun sebagai
tauladan kepada mereka yang selepas daripadanya”

Mahasiswa perlu menjadi pemerhati yang celik, pengamat yang teliti,


pembaca yang tertib, perancang yang berstrategi serta pendesak
9 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

yang berkesan. Untuk mencapai tahap tersebut mahasiswa tidak boleh


lari daripada memperbanyakkan dialog dan perbincangan dengan para
ulama’, cendiakawan, para pimpinan negara, pemimpin parti-parti
alternatif, pakar-pakar, ahli profesional dan ahli masyarakat. Saya
yakin dengan melaksanakan perbincangan tersebut pelbagai tahap
pemikiran dapat difahami. Natijahnya dengan kefahaman itu
mahasiswa akan mampu membuat keputusan yang berjejak di atas
alam realiti berdasarkan pemikiran pelbagai lapisan masyarakat

Pemikiran rakyat amat penting untuk dihayati dan difahami kerana


merekalah mad’u, kerana itulah Rasullah SAW mengajar kita untuk
bercakap berdasarkan tahap pemikiran sesuatu masyarakat yang
mendengar ucapan kita.

Selain itu, mahasiswa harus giat mencari dan mengejar ilmu-ilmu


yang diperlukan untuk menghidupkan teori yang dipelajari , usaha
dan kerja keras sangat mustahak dalam proses ini. Inilah yang
dikehendaki oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya :

Mafhum:
“Kebijaksanaan itu adalah barang tercicir daripada orang mukmin, maka
sekiranya kamu menjumpainya kamulah paling layak untuk
mengambilnya”

Ini membawa maksud Rasul mengajar kita mencari kebaikan di


pelusuk alam, apabila diperolehi mesti ke atas kita mengambilnya demi
untuk kebaikan dan kepentingan Islam.

3. Kesatuan Pemikiran dan Tindakan Gerakan


10 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Perpaduan antara beberapa pertubuhan mahasiswa perlu


digemblengkan. Kefahaman yang jelas antara gerakan mahasiswa
terutamanya yang kumpulan mahasiswa Islam sangat penting dan
merupakan antara pra-syarat kepada keberkesanan gerakan dakwah.
Justeru kefahaman akan tuntutan Islam antara sesama sendiri perlulah
diselesaikan terlebih dahulu kerana ia akan mampu menyelasaikan
cabangan-cabangan masalah lain6.

Di Malaysia, pertubuhan Mahasiswa tumbuh bagaikan cendawan.


Antaranya seperti berikut:
i. Gabungan Mahasiswa Islam semenanjung (GAMIS),
ii. Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN),
iii. Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
iv. Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GLMN)
v. Gerakan Demokratik Mahsiswa (DEMA)
vi. Gerakan Pemuda Insaf (GAPI)
vii. Majlis Pelajar Malaysia (MPM)

Daripada kesemua gerakan tersebut PKPIM adalah yang dilihat paling


tua. Manakala GAMIS merupakan suatu wadah yang paling mampu
mewakili suara majoriti mahasiswa Islam. BBMN pula mewakili
kesemua suara pimpinan tertinggi majlis perwakilan Mahasiswa di IPTA
juga beberapa IPTS, bermakna BBMN juga merangkumi mahasiwa yang
non-muslim. Bagaimanapun BBMN adalah dua beradik dengan GAMIS.

Manakala gerakan-gerakan lain juga timbul apabila kegawatan kronik


yang berlaku dalam negara yang melibatkan ekonomi, politik, sosial
serta lain-lain. Begitupun kelihatannya semua gerakan tersebut di atas
boleh berganding bahu dalam menolak kebejatan politik yang melanda
sekarang ini.

6
Dr. Muhd Said Ramadhan al-Buti, ‘Ala Toriq al-‘audati ila al-Islam, Mua’assah al-
Risalah, hlm 24
11 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Di sana juga wujud gerakan pelajar yang dilihat bersekongkol dengan


parti pemerintah secara tetap. Iaitulah:

i. Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS)


ii. Majlis Belia Malaysia (MBM)

Apapun ideologi dan pegangan setiap gabungan pelajar, satu tindakan


dan usaha untuk menggabungkan tenaga antara pertubuhan
mahasiswa perlu dikenalpasti dan dirintis jalannya. Ini akan
mengukuhkan gerakan mahasiswa seterusnya mampu menggoncangkan
setiap kezaliman.

Secara realitinya, usaha penyatuan kefahaman antara pertubuhan pelajar


menjadi agak baik semasa isu kronisme dibangkitkan oleh Dato’ Zahid
Hamidi. Ini adalah kerana PKPIM mula membuka ruang perbincangan
bersama GAMIS setelah GAMIS berkali-kali cuba mendapatkan
kerjasama dari mereka. GAMIS telah begitu banyak berhadapan
dengan isu seperti Murtad, Kronisme, Kristianisasi di kampus,
kemasukan pasukan kriket Israel, Pengkorporatan Universiti, keganasan
polis, kezaliman ISA dan banyak lagi. Semuanya ditangani oleh GAMIS
secara bersendirian bersama pimpinan kampus IPTA, sebelum
penyertaan bersama pertubuhan mahasiswa lain, pertubuhan-pertubuhan
ini bergerak secara bersendirian.

Perbincangan demi perbincangan antara GAMIS dan PKPIM dibuat di


Kuala Lumpur yang juga disertai oleh UKEC (United Kindom Students
Council). Keputusan dicapai dengan disusuli oleh satu sidang akhbar
bersama. Gerakan bersama semakin kuat apabila ditubuhkan Majlis
Mesyuarat Pelajar Malaysia (MMPM) yang seterusnya menganjurkan
satu Konvensyen Mahasiswa kali 1 bertempat di Kolej Islam Darul Islam
(KISDAR) pada tanggal 2 Ogos 1998. Walaupun satu resolusi yang
terperinci dibuat malangnya ia gagal mendapat perhatian pihak berkuasa.
12 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Konvensyen Mahasiwa Negara ke-2 yang ditunjangi oleh GAMIS pula


telah berjaya dibuat mengumpulkan GAMIS, PKPIM, DEMA, Gerakan
Mahasiswa Lantang Negara (GLMN) beserta Majlis Perwakilan
Mahasiswa IPT Tempatan. Kali ini dibuat di IDEAL (Pusat Pengajian
Jarak Jauh UPM) pada tanggal 16 Julai 1999. Setelah begitu kuat
perpaduan antara mahasiswa ditunjukkan, kelihatan pihak berwajib
mula memberikan perhatian terhadap resolusi yang dicernakan oleh
Konvensyen Mahasiswa tersebut.

Begitulah kesatuan yang berjaya diwujudkan terutamanya selepas isu


pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, paling jelas Universiti Malaya
mengukir sejarah apabila parti-parti pelajar dari pelbagai ideologi,
agama serta bangsa bersepakat untuk membuat kerjasama politik
hingga menyebabkan pilihanraya kampus tahun 1998 tidak diadakan
kerana tiada pertembungan. Kerjasama dibuat antara Persatuan
Mahasiwa Islam UM (PMIUM) mewakil parti NADI (beraliran Islam),
PKPIM mewakili Barisan Mahasiwa Bersatu (BMB) dan Kumpulan Cina
serta India mewakili bangsa masing-masing. Inilah bukti mahasiwa
mendepani perubahan. Sejarah ini alhamdullillah kini bakal diukir pula
dalam sejarah politik tanahair apabila PAS, DAP, KeADILan serta PRM
mampu duduk semeja untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

MENGAPA PERLU PERUBAHAN?

Kita ingin membicarakan berkenaan perubahan total sistem negara pada hari ini.
Sesuatu perubahan mula diperlukan apabila gayacara kepimpinan yang sedang
diamalkan oleh sesebuah negara itu mengalami kemerosotan kualiti dan nilai
sebenar serta gagal melahirkan sesuatu yang berkualiti. Umpamanya, seluruh
barangan yang boleh dimakan mempunyai ‘tarikh tamat guna’. Ianya dijadikan panduan
oleh para pengguna untuk membeli dan mengguna. Sekiranya demikian hal
keperihatinan manusia dalam membeli sesuatu barangan yang terbaik untuk mereka,
maka sudah tentu kita juga harus menilai sejauh manakah keberkesanan sistem
yang melingkungi kita hari ini dapat mencorakkan kualiti dan nilai pada hari esok.
13 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Sistem yang menentukan hala tuju anak-anak serta cucu-cicit kita, juga menentukan
hala tuju dunia secara amnya.

Sebagai muslim, saya melihat perubahan secara total terutamanya dalam lingkungan
pemegang kuasa negara amat diperlukan. Pengutusan Nabi SAW di atas muka dunia
adalah untuk mewujudkan kuasa Islam di atas segala kuasa makhluk yang
menjurus kepada pembentukan negara yang damai, baik serta mendapat
pemeliharaan Allah7. Soal moral dan akhlak bukan suatu hal yang kecil malah itulah
yang mampu menentukan sesebuah negara itu membangun dalam ertikata yang
sebenarnya. Justeru kita mesti meninjau perihal komitmen terhadap agama dan
pembanguan kemanusiaan serta moral terutamanya di kalangan para remaja yang
bakal mencorakkan negara. Beberapa analisis berikut mungkin boleh dinilai sebaiknya:

i. Penjagaan aqidah Islam sudah tidak menjadi agenda utama kepimpinan


negara. Padahal penjagaan aqidah merupakan asas terpenting dalam peraturan
kedamaian bagi masyarakat8. Di Malaysia apabila dengan sewenang-wenangnya
berlaku kemurtadan ia mungkin sahaja boleh mencetuskan pergaduhan antara
agama dan kaum. Murtad dilaporkan sebanyak 3,000 di Kuala Lumpur pada
19989, Para pelajar perempuan di Kolej Negeri Seremban, NS sudah mula
berjinak dengan rantai berlambang salib, berpuluh pelajar matrikulasi di
Universiti Malaya menginap di asrama di dalam Gereja Jalan Gasing, PJ, hampir
30 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) disyaki telah murtad apabila dilihat
memasuki gereja di dalam UPM, 519 orang disahkan murtad oleh JAKIM
manakala 689 orang dicatatkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Sila lihat
lampiran.

Apakah tindakan kerajaan?, Perkara ini tidak diperbincangkan di dalam parlimen


malah tidak diberi laluan untuk YB Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang membahaskan Akta
Murtad yang digubal bersama para cendiakawan. Perhimpuan Agung UMNO juga tidak
membincangkan perkara ini. Begitu juga di dalam mesyuarat kabinet.

7
Tuan Guru Hj Abd hadi Awang, Sistem Pemerintahan Negara Islam, Dewan
Muslimat Sdn Bhd, hlm24
8
Dr. Abd Karim Zaidan, Usul al-Dakwah, Mua’assah al-risalah, Amman, 1988, hlm
104
9
Sahibul Samahah Dato’ Hashim Yahya, Mufti Wilayah Persekutuan dalam
Majalah wanita Ogos 1998
14 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

ii. Komitmen kepada Islam sudah pudar di kalangan penganut Islam. Hasil
kajian didapati hanya sekitar 10 – 20 % daripada hampir 13 juta muslim di
Malaysia yang menunaikan solat 5 waktu10. Manakala bilangan mereka yang
tidak membayar zakat bertambah. Bilangan buta huruf al-Quran juga bertambah.
Kajian terhadap lebih 4,800 remaja Malaysia yang berumur di antara 16 – 21
tahun menunjukkan bahawa mereka telah melakukan hubungan seks luar nikah
sebanyak 72 kali setahun secara purata11. Jumlah ini meletakkan Malaysia dalam
senarai ‘top ten’ dunia selepas Britain, USA, Kanada dan beberapa negara Barat
yang lain.

iii. Keruntuhan moral dan kemelesetan nilai hidup para remaja dan dewasa
Malaysia . Antaranya adalah seperti berikut:

i. Pada 25 Jun 1998, Agensi Dadah Kebangsaan menyatakan bahawa


pihak mereka telah dapat mengesan 17,000 penagih dadah baru
tahun itu.

ii. Menurut statistik daripada jumlah keseluruhan penagih dadah di


Malaysia yang hampir mencecah 800,000 orang, daripada Jan 1986 –
November 1997 seramai 23,571 orang penagih dadah dikenalpasti
mengidap HIV dan AIDS12. 77% daripada 30,000 penghidap HIV
sejak 1986 membabitkan penagih dadah13.

iii. Menurut akhbar Berita Harian14, jumlah kes rogol yang dilihat secara
perbandingan antara tahun 1996, 1997 dan 1998 menunjukkan
peningkatan tahun demi tahun.

iv. Mangsa-mangsa rogol di kalangan kanak-kanak semakin bertambah,


paling kecil adalah 2 setengah tahun. Contoh kes adalah kanak-kanak

10
Sahibul Samahah Dato’ Harussani Zakaria, Mufti Perak di dalam satu Forum di UM
1998
11
Utusan Malaysia, 27 September 1999
12
Berita Harian, 6 September 1999
13
Ibid, 6 September 1999
14
Berita Harian, 6 Oktober 1999
15 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

berusia 6 tahun yang putus tali perut akibat dirogol di Ipoh15. Selain itu
kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diliwat oleh bapanya16.

v. Jumlah kes Sumbang Mahram yang dicatatkan dalam masa 2 tahun


setengah ( 1995 – tengah 1997) sebnayak 423 kes17.

vi. Seramai 11,522 orang pelajar Sekolah Rendah dan 15,543 pelajar
menengah terlibat dalam kes Juvana pada tahun 199418.

Keadaan ini mengambarkan bahawa sistem yang dilaksanakan oleh para pimpinan
negara boleh dikatakan meninggalkan aspek pembangunan kerohanian serta
moral. Akhirnya pelbagai gejala seperti yang digambarkan melanda negara dengan
begitu pesatnya selari bersama kepesatan pembangunan material negara. Ini suatu
tanda yang begitu jelas akan kegagalan pemerintah dalam mengikuti garis panduan
Rasullullah SAW dari Tuhan Rabbul Jalil, pengabaian terhadap penjagaan perkara asas
taklifan ke atas manusia dan panduan Rasul akan membawa kegagalan pemerintahan19.

Demikianlah sebahagian daripada faktor yang membuktikan bahawa negara


memerlukan satu perubahan. Faktor-faktor lain seperti penindasan, ketelusan
pengurusan kewangan, kredibiliti sistem kehakiman, keterhakisan demokrasi ilmu,
kebebasan yang disekat dan pelbagai lagi. Perubahan ini boleh dicapai melalui
perubahan sepenuhnya kuasa pemerintahan politik negara melalui Pilihanraya.

BENTUK GERAKAN MAHASISWA AKHIR 90AN

Apabila kita membicarakan berkenaan mahasiswa, begitu banyak sekali andaian


serta komentar mengenai peranan mahasiswa. Mahasiswa negara sering
dibandingkan dengan mahasiswa-mahasiswa luar negara seperti Indonesia, Iran,

15
Berita Harian, 17 September 1999
16
Berita Harian, 17 September 1999
17
Zaharuddin Hj Abd Rahman, Kertas Kerja Konvensyen Mahasiswa Negara 1, 2
Ogos 1998.
18
Zaharuddin Hj Abd Rahman, Kertas Kerja Konvensyen Mahasiswa Negara 2,
16 Julai 1998.
19
Abd Jamil Al-Balali, Fiqh al-Dakwah fi Inkar al-Munkar, Dar al-Wafa’, hlm41
16 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Korea, China dan lain-lain negara yang begitu menonjol gerakannya dalam
mengharungi arus kebobrokan pemerintah zalim. Justeru, akibat daripada kegawatan
yang begitu membanjir di negara kita, ramai yang mempersoalkan dimanakah taring
mahasiwa?, adakah mahasiswa lesu?, mahasiswa tidak perihatin?, mahasiswa negara
tidak berperanan dan begitu banyak sekali tohmahan serta kritikan terhadap para
pemuda terpilih ini.

Di kesempatan ini, sebelum saya menjawab menurut pengalaman saya sebagai bekas
pimpinan gerakan mahasiswa Islam negara, saya tidak menolak seratus peratus
fakta yang menyatakan mahasiswa lesu, benar agak ramai juga mahasiswa yang
buta tentang perkembangan semasa dan isu di persekitaran mereka, walaupun
demikian majoriti mahasiswa masih sedar dan memainkan peranan mereka dalam
bentuk tersendiri. Saya akan cuba menjawab dan mendedahkan serba sedikit akan
bentuk gerakan mahasiswa negara di akhir tahun 90an.

Dapatlah kiranya mereka yang menuduh pimpinan mahasiswa lesu memberikan


kayu ukur mereka dalam menilai kelesuan gerakan itu tanpa mereka terlibat serta
menyelami sedikit pun realiti gerakan mahasiswa. Rasulullah pernah bersabda :

Mafhum:
“Tidak mengenali kelebihan (yang dimiliki) oleh seseorang itu melainkan oleh orang-
orang yang mempunyai kelebihan juga”

Saya begitu yakin bahawa ukuran mereka adalah:


i. Demonstrasi mahasiswa seperti tahun 70an.
2. Suara mahasiswa yang tidak kedengaran terutama dalam media-media
massa.
3. Suara mahasiswa yang tidak langsung diambil perhatian oleh para
pimpinan negara.
17 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

4. Mahasiswa gagal mengumpulkan jumlah besar mahasiswa dalam


perhimpunan.
5. Tiada pengorbanan mahasiswa sehingga terpenjara dan dibuang
Universiti ataupun juga menemui maut.

Mungkin inilah kayu ukur secara luaran yang digunakan oleh masyarakat luar terhadap
mahasiswa , jika unsur-unsur tersebut wujud maka mahasiswa akan dianggap tidak lesu
serta wira.

Apa yang perlu diambil perhatian dalam menilai sesebuah gerakan mahasiswa, terlebih
dahulu kita harus mengetahui target kepimpinan mahasiswa itu di sesuatu masa.
Gerakan mahasiswa akhir 90an sebenarnya mempunyai dua matlmat besar. Jangka
panjang dan jangka pendek. Kedua-duanya dibuat sebegitu rapi dan beberapa
pendekatan mahasiswa 70an dilihat sebagai tidak lagi sesuai diamalkan ketika ini
berdasarkan beberapa sebab yang telah membudaya dalam jiwa mahasiswa kini seperti
takut, kurang peka, tegahan ibu bapa, kurang ‘linkage’ maklumat, di’pekak’kan melalui
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan beberapa yang lain.

Justeru, suatu arus gerakan baru yang sesuai dengan kemampuan majoriti
mahasiswa perlu digariskan oleh kepimpinan. Natijahnya sebelum tercetusnya
kegawatan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, boleh dikatakan bahawa kepekaan
masyarakat serta beberapa ‘kerat’ mahasiswa terhadap politik agak kurang akibat
dibuai oleh budaya mewah dan kesenangan.

Ketika itu gerakan mahasiswa terpaksa mengambil pendekatan membentuk arus


‘pemulihan generasi’ dan program ‘mesra masyarakat’. Ia bermaksud seperti berikut:

i. Memastikan penguasaan kepimpinan seluruh kampus oleh


kumpulan yang beraliran Islam. Ini berjaya dibuktikan pada tahun
1998 apabila semua pilihanraya kampus dimenangi oleh kumpulan
Islam seperti UM (mengadakan kerjasama politik), UKM, USM, UTM,
UPM ,UIA, ITM, UNITEN dan UTP
18 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

ii. Mentarbiyah serta membentuk kefahaman terhadap agama kepada


seluruh mahasiswa baru dan lama. Ini sesuai dengan apa yang
dikatakan oleh Al-Ustaz Said Hawwa iaitu ‘pemusatan kerja Islam
hendaklah ditumpukan kpeada usaha melahirkan golongan pewaris
yang kamil melalui pemusatan ke atas ilmu, tarbiyyah dan
pemahaman Islam’.20

iii. Melatih melalui program-program rasmi persatuan seperti Kem


Kepimpinan Islam bagi pelajar tahun satu, program Dialog, Forum isu
Semasa, Debat Perdana antara parti politik dan lain-lain. Debat
Perdana UKM dan Debat Politik UM sebenarnya adalah satu bukti
sumbangan besar mahasiswa kepada seluruh masyarakat
Malaysia, dengannya rakyat mampu menilai siapa benar siapa
bathil, siapa wibawa dan siapa tidak. Ini merupakan suatu sejarah
baru sumbangan mahasiswa terhadap rakyat iaitu dalam bentuk
unik lagi tersendiri, suatu pendekatan yang amat berbeza dengan
sumbangan mahasiwa 70an.

iv. Turun kepada masyarakat dalam bentuk program Operasi Khidmat


Masyakarat (OPKIM) membawa matlamat kesedaran agama, sosial
dan proses penurunan maklumat semasa.

v. Mengadakan program dialog bersama masyarakat setempat.

vi. Menjalankan kajian sosio ekonomi, kehidupan, kesedaran agama


dalam bentuk kajian ilmiah untuk dianalisa seterusnya dipanjangkan
ke pihak berwajib.

Selain itu, beberapa pendekatan jangka pendek juga dilaksanakan bagi isu
yang begitu sensitif serta merbahaya iaitu seperti berikut:

1. Menghalau Pasukan Kriket Israel dari Malaysia. 1997

20
Sa’id Hawwa, Beberapa Pelajaran Dalam Amal Islami, Dewan Pustaka Fajar, hlm 105
19 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

2. Membidas pengamalan Kronisme, Nepotisme dan Korupsi dalam


negara.1998
3. Mendesak serta menghantar memorandum berkenaan Isu
Murtad. 1998
4. Mengutuk kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
1998
5. Menggabungkan diri dalam Gerakan Keadilan Rakyat (GERAK)
pada 22 September 1998
6. Mengutuk serta menghantar beribu-ribu surat kepada Ketua
Polis Negara
di atas tindakan ganas serta kejam pasukan Polis. 1998
7. Mengantar beribu-ribu surat bantahan kepada YAB Perdana
Menteri di atas kegagalan mentadbir negara dengan baik,
serta desakan supaya
mengundurkan diri. 1998 dan 1999
8. Menghantar memorandum kepada Ketua Hakim Negara. 1999
9. Membantah sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram
Israel. 1997 - 1999
10. Bantahan terbuka pengiklanan ‘Carlsberg’ di badan-badan
kenderaan awam.1998
11. Kajian terperinci terhadap kemiskinan di beberapa daerah, serta
menyelami permasalahan peneroka Kelapa Sawit dan Getah.
1999
12. Mengadakan Konvensyen Mahasiswa seluruh negara serta
menyerahkan resolusi kepada Menteri berkenaan. 1998 dan
1999
13. Menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuktikan
pembertulan pertindihan nombor kad pengenalan. - 1999
14. Mendesak di adakan pilihanraya Umum ke 10 dengan segera –
26 Oktober 1998
15. Menghidupkan risalah Mahasiswa Negara dan Laman Web
16. Beberapa siri demonstrasi dibuat melibatkan isu:
i. Murtad.
2. Kriket Israel.
20 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

3. Kezaliman ISA.
4. Kezaliman ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
5. Mengutuk keganasan Polis terhadap orang awam.
6. Mengutuk serangan Amerika ke atas Sudan.
7. Membantah pengkorporatan Universiti Malaya.

Begitulah antara bentuk tindakan pergerakan mahasiswa Islam yang dipelopori oleh
GAMIS beserta Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan lain-lain, adakah mereka
masih lesu? Tidak prihatin?, lembap?. Apa yang perlu dikaji semula adalah kelesuan
media yang dikongkong oleh parti pemerintah sehingga begitu ‘kecut’ untuk
menyiarkan berita-berita bantahan, demonstrasi mahasiswa.

Hasil daripada gerakan yang sedemikian rupa maka majoriti mahasiswa kini sudah
mampu untuk menilai kebenaran serta mengasingkannya daripada kebatilan.
Justeru mana-mana kebatilan yang ingin cuba mempengaruhi mereka tidak akan
berjaya, InsyaAllah. Malahan dengan darah muda mahasiswa mereka pula yang akan
mempengaruhi pihak yang masih berada di ’beranda’ kebatilan dan akan memekakkan
telinga terhadap ‘lagu pembohongan’ yang berdendangkan oleh pimpinan yang jelas
silap. Kerana itu juga wujudlah kes ‘boo’ terhadap pimpinan parti pemerintah di kampus
UKM dan UM semasa program Debat bagi membuktikan bahawa mahasiswa begitu
matang kini serta tidak boleh diperbodohkan lagi. Mana mungkin, para mahasiswa
yang sekian lama diberi ilmu beserta hujjah mantap lagi teliti para profesor, doktor
dan para pensyarah Universiti boleh dipengaruhi begitu mudah oleh hujjah ahli
politik yang dipenuhi kekeringan fakta dan kedangkalan idea.

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) telah mengambil pendekatan


yang cukup berhati-hati dalam menentukan sikap, sepanjang pengalaman kami
bertemu dengan beberapa tokoh dalam usaha untuk mengutarakan bantahan,
mendapatkan maklumat dan sebagainya. Umpamanya:
21 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Isu Nama Tokoh Tarikh


Murtad i. Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang 27 April 1998
ii. Dato’ Paduka Dr. Abd Hamid Othman 03 April 1999
iii. Ust Abdullah Fahim 23 Mei 1998
(Pengarah Penyeldik JAKIM)
iv. Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim 01 Ogos
v. Ust Shahir dan Setiausaha Akhbar Dr. Abd 1998
Hamid 02 Jun 1998
vi. Peguam Zulkifli Noordin 28 April 1998
vii. Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid 24 Mei 1998
viii. Dato’ Seri Anwar Ibrahim 28 Ogos
1998 29
Ogos 1998
Pengkorporat i. Dato’ Seri Najib Tun Razak
an ii. Tan Sri Dr. Abdullah Sanusi
Pemecatan i. Dato’ Seri Anwar Ibrahim 28 Ogos
Dato’ Seri ii. Dato’ Seri Anwar Ibrahim 1998
Anwar iii. Dato’ Seri Anwar Ibrahim 29 Ogos
Ibrahim iv. Dato’ Fadzil Mohd Noor 1998
v. Dato’ Zahid Hamidi 04 Sept 1998
11 Sept 1998
07 & 9 Sept
98
Isu Dalam a. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad 25 Jun 1998
Negeri
Serangan ke a. Dato’ Paduka Abd Hamid Othman 03 April 1999
atas Algeria

Suatu kesimpulan dari pemaparan di atas adalah mahasiswa telah pun bertemu muka
dengan kedua-kedua belah pihak pimpinan sanmada alternatif mahupun
pemerintah. Justeru setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan mahasiswa
adalah berdasarkan hasil penilaian yang adil dan sebaiknya.

Berikut pula adalah rentetan ringkas tindakan mahasiswa di sekitar pemecatan Dato’
Seri Anwar Ibrahim
22 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

27 Ogos 1999 Bertemu DSAI di Universiti Malaya


28 Ogos 1999 Undangan DSAI ke Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri

September '98
2. DSAI dipecat daripada TPM, Menteri Kewangan dan ahli UMNO
3. Perhimpunan GAMIS lebih 1500 di Dewan Akademi Pengajian Islam UM
4. Perbincangan serius dgn PKPIM
4. Forum aman dihalang dengan ‘black out’ seluruh Universiti Malaya
5. Bertemu DSAI di kediamannya (6.40 pm – 7.20 pm)
7. Bertemu Dato’ Zahid di rumahnya
10. Turun ke Masyarakat di Pendang Kedah
11. Bertemu rakyat di Tok Kling, Kedah
11 Pertemuan dengan Ust Dato’ Fadzil Noor

20 Menyertai demonstrasi bersejarah di Masjid Negara


20 Mendapat maklumat jelas di rumah DSAI sewaktu penangkapannya
21 Menjadi ahli majlis mesyuarat GERAK
27 Pelancaran GERAK, kutipan sebanyak RM 67,000

Begitulah sebenarnya bentuk gerakan mahasiswa akhir 90 an, kepimpinan GAMIS,


BBMN, PMIUM, ISIUKM, PMIUPM, PMIUUSM serta banyak lagi persatuan mahasiswa
akan tetap meneruskan rantaian perjuangan kebenaran serta menolak kebatilan.
Bentuk pergerakan yang kini diterima pakai oleh gabungan mahasiswa lain
menyemarakkan lagi nama mahasiswa hari ini dalam khidmat mereka kepada rakyat
semasa pembelajaran, mereka membuktikan bahawa sijil Ijazah sarjana Muda tanpa
perjuangan di alam realiti akan menatijahkan kehancuran generasi, kemandulan kretiviti,
kecetekan ilmu hidup serta membantutkan sumbangan rakyat.

HARAPAN KEPADA GENERASI TERPILIH (MAHASISWA)

Pergantungan rakyat kepada mahasiswa agak kurang menonjol di tahun 90an ini,
begitupun mahasiswa masih mempunyai pengaruh di kalangan rakyat. Justeru
pemulihan persepsi rakyat terhadap mahasiwa perlu diperbetulkan, mahasiwa perlu
menjunjung nama mulia terpelajar mereka dengan berkhidmat untuk agama, negara
23 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

dan bangsa tidak kira semasa bergelar mahasiswa ataupun graduan walaupun tiada
pujian dan imbuhan dihadiahkan oleh rakyat.

Secara kesimpulan pengharapan menggunung saya buat pimpinan mahasiswa terkini


adalah mengambil berat akan beberapa catatan di bawah:

i. Penerusan Rantaian Perjuangan


Begitu banyak ‘homework’ perlu dikaji oleh pimpinan terkini dalam usaha mereka
untuk mengabung-jalinkan ‘hujung rantai’ pimpinan lepas agar penerusan
perancangn dan kesinambungannya terpelihara dengan baik seterusnya dapat
menuju terus ke matlamat.

ii. Menjauhi Kebathilan


Maksiat dan kebatilan mungkin sahaja mencacatkan prinsip perjuangan dan
melahirkan kesimpangan dalam perjalanan. Nasihat saidina Umar Al-Khattab
sebagai sandaran:

Mafhum:
“Sesungguhnya dimenangkan muslim itu kerana maksiat yang dibuat oleh
musuh tetapi sekiranya kita membuat maksiat yang sama dengan musuh maka
mereka mempunyai kekuatan dan senjata fizikal yang lebih dari kita”

iii. Keterbukaan pemikiran bersama keteguhan prinsip


Pemikiran yang beku serta terlalu terikat dengan sesuatu pandangan tanpa nas
naqli akan menyebabkan kebuntuan merangka tindakan keluar dari sesuatu
masalah justeru keteguhan prinsip Islam dan menerima pelbagai pandangan
akan lebih cepat mematangkan perjuangan.

iv. Bersama mempelopori perubahan


Semangat yang didasari oleh ilmu tulen sememangnya akan mendorong diri
yang sarat dengan tanggungjawab serta amanah untuk berlumba-lumba dalam
mengejar kebaikan. Kepantasan kita dalam berfikir melaui segala kaedah ajaran
24 Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

baginda SAW memungkin mahasiswa mempunayi pemikiran yang lebih utuh


daripada seorang profesor mahupun doktor falsafah.

Justeru berbekal ilmu mahasiswa harus maju pantas ke hadapan sebaris


dengan para ilmuan tulen mendepani perubahan di alaf baru.

ZHAR
15 Oktober 1999
Bangsar Utama

HAK CIPTA TERPELIHARA


TIDAK DIBENARKAN MENERBITKAN SEMULA BAHAN INI DALAM APA JUA BENTUK
SEKALIPUN, MELAINKAN SETELAH MENDAPAT KEIZINAN MANHAL PMRAM.
HARGAILAH PENGORBANAN ORANG LAIN YANG BERTUNGKUS LUMUS
MENYIAPKANNYA. MENCETAK SEMULA DAN MENERBITKANNYA DALAM APA JUA
BENTUK SEKALIPUN DIANGGAP SEBAGAI JENAYAH DAN DIKIRA BERCANGGAH
DENGAN SYARIAH ISLAM.

©MANHAL PMRAM 2000