Anda di halaman 1dari 15

Kemerosotan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka adalah disebabkan oleh

beberapa faktor yang dapat kita klasifikasikan kepada dua asas. Pertama, faktor
dalaman iaitu melibatkan pengurusan internal kerajaan tersebut. Kedua pula ialah
faktor luaran yang memperlihatkan konflik eksternal iaitu pergeseran politik
kerajaan Melaka dengan kuasa-kuasa luar.

2.0 FAKTOR DALAMAN


Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya kejatuhan Kesultanan Melayu
Melaka. Antaranya ialah kelemahan pentadbiran Sultan Mahmud Syah. Baginda
merupakan seorang raja yang zalim, kejam dan pendendam. Situasi ini dapat dilihat di
awal pemerintahan baginda iaitu apabila Seri Maharaja menyuruh baginda membunuh
seseorang yang kecil kesalahannya. 1 Peristiwa tersebut telah menunjukkan bahawa
semasa kecil lagi baginda sudah diajar bersifat zalim, maka tidak hairanlah apabila
dewasa, baginda mengamalkan sifat tersebut.

Selain itu, Sultan Mahmud seorang yang gemar berfoya-foya dan bermain
muda. Contohnya, walaupun baginda telah berkahwin dengan anak Sultan Pahang
namun baginda masih mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain iaitu dengan
isteri Tun Bayajid, anak Laksamana Hang Tuah, Tun Dewi dan beberapa orang lagi
perempuan yang lain.2 Baginda juga mempunyai sifat boros dan suka membazir. Situasi
ini dapat dilihat apabila baginda sanggup memberikan pelbagai hadiah kepada orang
yang disayanginya seperti Hang Isa Pantas dan Hang Hussin Jong. Contohnya, Sejarah
Melayu ada mengambarkan hal ini seperti berikut;
1

A. Samad Ahmad, 1979, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka hlm. 175.

Dr. Mohd. Rais b. Abdul Karim, 1991, Malaysia Kita, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awan
Negara,

hlm. 109.

Maka titah Sultan Mahmud kepada mereka, Berdatang sembahlah engkau; apa
kehendakmu kepadaku? Sembah Hang Isa pantas, Tuanku, jikalau ada kurnia Tuanku
Duli Yang Dipertua, patik memohon emas barang dua tiga kati dan lain barang dua tiga
banian.... 3

Di samping itu, peribadi Sultan Mahmud amat lemah. Oleh itu, baginda mudah
dipengaruhi oleh para pembesar yang mempunyai kepentingan peribadi. Contohnya,
baginda mudah mendengar fitnah dan hasutan seseorang. Keadaan ini berlaku khususnya
setelah Tun Perak meninggal dunia. Semasa pemerintahannya juga sistem pertahanan dan
persenjataan tidak dipertingkatkan kerana baginda amat yakin terhadap kekuatan dan
kekebalan pertahanan di Melaka. Tambahan pula, Melaka sudah berdiri tegak dengan
megah lebih satu abad lamanya tanpa ada kuasa di rantau ini yang dapat menandingi
bandar Melaka.4

Faktor dalaman yang kedua ialah kematian Bendahara Tun Perak pada tahun
1498. Beliau merupakan seorang pemimpin yang cekap dan bijaksana. Situasi ini dapat
dilihat apabila para sejarawan telah bersepakat mengatakan bahawa semasa beliau
memegang jawatan sebagai Bendahara, negeri Melaka mencapai zaman kegemilangan
dan kemakmurannya.5 Dalam Sejarah Melayu juga ada mengatakan bahawa peranan Tun

Muhammad Yusoff Hashim, 1990, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, hlm. 47.

Prof. Madya Dr. Muhd. Yusof Ibrahim, Dr. Nordin b. Hussin, Hj. Wan Rusik b. Wan Yusoff,
2002, Sejarah Kesultanan Melayu, Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan
Malaysia, hlm. 60-61.

Dr. Mohd. Rais b. Abdul Karim, op. cit., hlm.128.

Perak setanding dengan peranan yang dilakukan oleh Mahapatih Gajah Mada (1331-64)
di Majapahit.6

Di samping itu, Tun Perak merupakan tokoh yang mencipta dasar negeri dan
mengamalkan perluasan kekuasaan politik negeri Melaka di Tanah Semenanjung
Malaysia dan di Nusantara. Contohnya, beliau telah berjaya menakluk Pahang, Kedah,
Siak, Kampar dan beberapa lagi negeri lain. 7 Beliau telah memegang jawatan sebagai
Bendahara selama 42 tahun di bawah empat orang sultan iaitu Sultan Muzaffar Syah
(1446-1459), Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Alaudin Riayat Syah (1477-1488)
dan Sultan Mahmud Syah (1488-1511).8

Tambahan pula, kehandalan dan kecergasan beliau sebagai Bendahara menjadikan


negeri Melaka sebagai sebuah kuasa ekonomi yang paling berpengaruh di rantau
Nusantara. Oleh itu, selepas kematian beliau, kerajaan Melaka mula mengalami zaman
kemunduran kerana para pegawainya lalai dan leka, makan rasuah dan tidak
menghiraukan tanggungjawab terhadap para pedagang dan rakyat lagi.

Faktor dalaman yang seterusnya adalah kekacauan yang berlaku di dalam Istana
selepas kematian Tun Perpatih Putih. Tun Perpatih Putih merupakan adik Tun Perak.
Beliau memegang jawatan Bendahara selepas Tun Perak meninggal dunia. Semasa
6

Mohd Dahlan Mansoer, 1979, Pengantar Sejarah Nusantara Awal, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pelajaran Malaysia , hlm. 253.

Ibid., hlm. 245.

Dr. Mohd. Rais b. Abdul Karim, op. cit., hlm. 130.

menyandang jawatan tersebut, umur beliau telah lanjut namun beliau berjaya melanjutkan
dasar dan kebijaksanaan Tun Perak. Beliau hanya menjadi Bendahara selama dua tahun.9

Pada tahun 1500 beliau meninggal dunia dan berlakunya perebutan kuasa dalam
kalangan Istana untuk melantik Bendahara yang baru. Orang Melayu ingin melantik anak
Tun Perak sebagai Bendahara tetapi atas pengaruh dan desakan daripada bonda Sultan
Mahmud maka Tun Mutahir dilantik menjadi Bendahara yang baru dengan gelaran Seri
Maharaja. Tun Mutahir adalah dari keturunan Tamil. Beliau merupakan seorang yang
angkuh dan mahu dirinya dihormat kerana beliau merupakan seorang saudagar yang
kaya-raya. Beliau juga memandang rendah terhadap pembesar-pembesar Istana yang lain.
Tambahan pula, jawatan Bendahara yang dimilikinya digunakan untuk memperkayakan
lagi dirinya dan kaum kerabat beliau. 10 Sikap buruk tersebut yang menyebabkan ada
segelintir pembesar Istana tidak berpuas hati dan menyimpan dendam terhadap beliau.

Konflik antara Sultan dan Bendahara juga merupakan salah satu penyebab Melaka
mengalami zaman kemerosotan. Pada hakikatnya, Tun Mutahir yang memegang kuasa
penuh sebagai raja di Melaka manakala Sultan Mahmud pula hanya berperanan sebagai
ketua negara tanpa memegang sebarang kuasa. Situasi tersebut menyebabkan baginda
berasa cemburu dan tergugat. Di samping itu, hubungan Tun Mutahir sebagai Bendahara
dengan saudagar-saudagar asing seperti saudagar dari Gujerat adalah sangat baik sekali
manakala hubungan Sultan dengan Bendahara semakin lama semakin renggang. Oleh

Mohd Dahlan Mansoer, op. cit., hlm. 253.

10

Ibid.

yang demikian, Sultan Mahmud Syah menghabiskan masa terluangnya dengan mengusik
isteri pembesar, bermain wau dan menuntut ilmu mistik.11

Pergolakan bertambah buruk apabila Tun Mutahir menolak hasrat baginda untuk
memperisterikan anaknya, Tun Fatimah. Tun Fatimah mempunyai paras rupa yang sangat
jelita. Sejarah Melayu ada mengatakan kejelitaan Tun Fatimah seperti berikut;
...anak Bendahara Seri Maharaja yang bernama Tun Fatimah itu, terlalu sekali elok
rupanya, tiadalah cendalanya lagi, sedap manis pantas pangus, seperti laut madu, bertasik
susu, berpantaikan sakar; mukanya bercahaya berkilat-kilat seperti bulan purnama pada
ketika cuaca....12

Penolakan ini disebabkan oleh Tun Mutahir sudah merancang untuk


mengahwinkan puterinya itu dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja. Hal ini
menyebabkan Sultan Mahmud murka dan baginda menyimpan dendam terhadap
Bendahara.13

Faktor dalaman yang terakhir ialah pembunuhan Bendahara Tun Mutahir, Seri
Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan Tun Ali. Mereka dibunuh kerana difitnah oleh
Laksamana Khoja Hassan, Raja Mendaliar dan Kitul, keluarga Nina Sura Dewana.
Peristiwa ini bermula apabila Kitul melihat perbuatan Nina Sura Dewana menghadiahkan
sepuluh kati emas kepada Bendahara Tun Mutahir. Peristiwa tersebut dijadikan alasan
oleh Kitul untuk menjelaskan hutangnya dengan Raja Mendaliar. Oleh itu, pada malam
11

Ibid., hlm. 253-254.

12

A. Samad Ahmad, op. cit., hlm. 236.

13

Muhammad Yusoff Hashim, op. cit., hlm. 45.

tersebut juga selepas Nina Sura Dewana pulang dari kampung Bendahara, Kitul telah
pergi ke rumah Raja Mendaliar untuk menyatakan bahawa Nina Sura Dewana dan
Bendahara Tun Mutahir telah bermuafakat untuk membunuh Raja Mendaliar. Raja
Mendaliar sangat berterima kasih atas berita itu dan dengan serta-merta Raja Mendaliar
menghapuskan semua hutang Kitul. Kemudian, Raja Mendaliar bercadang untuk
memberi rasuah kepada Laksamana Khoja Hassan kerana pada zaman tersebut kaum
Laksamana sangat rapat dengan Sultan Mahmud Syah. Raja Mendaliar menyuruh
Laksamana Khoja Hassan menyampaikan kepada Sultan Mahmud bahawa Bendahara
Tun Mutahir sedang bersiap sedia untuk memberontak dan merampas kuasa di Melaka.
Laksamana Khoja Hassan terpengaruh dan beliau bersetuju untuk menyampaikan kepada
Sultan Mahmud.14

Fitnah inilah, ditambah dengan dendam baginda telah membawa berlakunya


pembunuhan Bendahara Tun Mutahir dan kaum kerabatnya. Selepas peristiwa tersebut,
baginda sungguh menyesal dan sangat berdukacita walaupun semua yang terlibat
menimbulkan fitnah tadi telah dijatuhi hukuman yang setimpal, namun penyesalan dan
suasana dukacita itu tidak juga dapat dipulihkan. Dalam keadaan itulah, Sultan Mahmud
telah membuang kerajaan dan melantik puteranya untuk menggantikannya dengan
gelaran Sultan Ahmad Syah.15

Selain itu, semasa Tun Mutahir memegang jawatan sebagai Bendahara, beliau
telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang Bendahara yang cekap, pintar dan
14

A. Samad Ahmad, op. cit., hlm. 241-242.

15

Ibid., hlm. 249.

bijaksana dalam menjalankan tugasnya. Contohnya, beliau telah berusaha bersungguhsungguh untuk memperbaiki keadaan politik dan pentadbiran kerajaan Melaka. Beliau
juga telah meneruskan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Tun Perak. Kebijaksanaan
Tun Mutahir itu diakui oleh orang Portugis seperti;
Jikalau lagi ada Bendahara Seri Maharaja, berapa pun besarnya angkatan Goa mau
menyerang, Melaka tidak akan alah.16

3.0 FAKTOR LUARAN


Kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka bukan sahaja disebabkan oleh
faktor dalaman malah juga disebabkan oleh faktor luaran. Antara fakor luaran yang
menyebabkan berlakunya kejatuhan ialah keazaman tentera Portugis yang kuat.
Keazaman D Albuquerque untuk menuntut bela dan melepaskan orang tahanan bangsa
Portugis adalah amat membara. Orang-orang tahanan ini adalah pengikut Diego Lopez de
Sequiera yang mula mengunjungi Melaka pada tahun 1509.

Pada tahun tersebut, Lopez de Sequeira dengan 18 buah kapal dari Angkatan di
Raja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia
tenggara dan digelar Benggali Putih oleh orang tempatan. 17 Oleh kerana orang-orang
Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, di
samping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya
orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis kemudiannya diserang.
Dalam serangan itu, beberapa orang tentera Portugis telah terbunuh dan 20 anak kapalnya
16

Prof. Madya Dr. Muhd. Yusof Ibrahim, Dr. Nordin b. Hussin, Hj. Wan Rusik b. Wan Yusoff, op.
cit., hlm. 54-55.

17

www.keagungan-kesultanan-melayu-melaka/.com/.my.html

ditawan. Lopez de Sequeira dan beberapa orang Portugis yang lain telah dapat
melepaskan diri dan belayar menuju ke Goa. Lopez melaporkan kepada Albuquerque
tentang peristiwa yang telah berlaku di Melaka dan juga apa yang telah dapat
diketahuinya tentang Melaka.18

Orang-orang Portugis berminat berdagang di Melaka. Bagi D Albuquerque, inilah


saat dan perkhabaran yang ditunggu-tunggu. Orang Portugis merasakan bahawa mereka
sudah menemui waktu dan bulan yang sangat baik untuk menyerang dan menakluk
Melaka. Sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso D
Albuquerque

kembali

ke

Melaka.

Setelah

sampai

ke

Melaka,

Albuquerque

mengemukakan tuntutan yang sangat sukar dipenuhi oleh Sultan Mahmud Shah. Beliau
menuntut agar semua tawanan Portugis dibebaskan dan sejumlah pampasan yang besar
diberikan sebagai ganti rugi bagi peristiwa yang berlaku pada tahun 1509. Kemudian
ditambah pula dengan satu tuntutan lagi iaitu hak untuk membina sebuah kota yang akan
mereka jadikan kubu di Melaka.19 Albuquerque mengancam akan menyerang Melaka
sekiranya tuntutan-tuntutan itu tidak dipenuhi oleh Sultan Mahmud. Sultan Mahmud
tidak dapat memenuhi semua tuntutan itu kecuali pembebasan tawanan Portugis sahaja.

Walaupun tawanan ini dibebaskan, namun tujuan Albuquerque bukan hendak


berdamai tetapi ingin menakluki Melaka. Pihak Portugis telah memulakan serangannya
pada 25 Julai 1511.20 Perang Melaka-Portugis yang pertama telah bermula. Rakyat
18

Prof. Madya Dr. Muhd. Yusof Ibrahim, Dr. Nordin b. Hussin, Hj. Wan Rusik b. Wan Yusoff, op.
cit., hlm. 58.

19

Ibid.

20

http://www.serangan-pertama-portugis-keatas-melaka.html/

Melaka khasnya orang Melayu, berjuang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan


bandar Melaka daripada jatuh ke tangan musuh. Askar-askar upahan yang terdiri daripada
orang Jawa dan Gujerat juga turut membantu melawan orang Portugis. Rakyat Melaka
telah dapat mematahkan serangan awal orang Portugis itu. Melaka telah mendapat
kemenangan dalam Perang Melaka-Portugis yang pertama itu. Orang Portugis telah
berundur ke kapal dan merancang untuk memulakan tindakan yang seterusnya. Kira-kira
tiga minggu kemudian, orang Portugis memulakan serangan semula. 21 Rakyat Melaka
berjuang bermati-matian mempertahankan tanah air mereka.

Pada masa yang sama juga berlaku pula pengkhianatan oleh saudagar-saudagar
asing. Melaka, terutamanya orang Cina dan India yang juga bukan beragama Islam,
tidaklah memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada Melaka yang sedang berperang.
Malah dalam saat yang genting itu ada pula yang bersikap khianat dan belot. 22 Sikap ini
merupakan faktor kedua yang menyumbang kepada kejatuhan zaman Kesultanan Melayu
Melaka. Walaupun mereka telah lama tinggal dan menjalankan perniagaan di Melaka
tetapi mereka tidak mempunyai perasaan taat setia kepada Melaka. Mereka hanya
bersikap mementingkan diri mereka sahaja. Pada fikiran mereka, orang Portugis akan
mengalahkan Melaka. Oleh itu, mereka belot terhadap negeri yang telah sekian lama
mereka diami. Mereka telah memberi jalan dan memandu askar-askar Portugis untuk
menyerang dan seterusnya menakluk bandar Melaka. Sebagai contoh, semasa serangan
ke atas jambatan, wangkang Cina turut melanggar jambatan itu.

21

Ibid.

22

Prof. Madya Dr. Muhd. Yusof Ibrahim, Dr. Nordin b. Hussin, Hj. Wan Rusik b. Wan Yusoff, op.
cit., hlm. 59.

Faktor ketiga ialah bilangan tentera Portugis yang ramai dan terlatih. Orang
Portugis sejumlah 1,100 orang soldadu (800 orang Portugis dan 300 orang Malbari)
adalah askar yang terlatih, berdisiplin, matang dalam cara berperang dengan orang Islam.
Sebagai contoh, dalam buku Sulalatus Salatin yang ditulis semula oleh A. Samad Said
menyatakan bahawa;
Peringgi datang menyerang kita, tujuh buah kapal, delapan buah ghalias, sembilan buah
ghali panjang, enam belas fusta.23

Mereka juga mempunyai semangat yang kuat dan sering diapi-apikan oleh ketua mereka
bahawa perang menentang orang Islam di Melaka meneruskan semangat Crusade (Perang
Salib).

Dari segi ketenteraan pula, pada peringkat awal, tentera Melaka telah berjuang
bersungguh-sungguh menentang serangan orang Portugis. Mereka telah mematahkan
serangan di peringkat pertama itu. Tetapi dalam serangan yang seterusnya, disebabkan
oleh pengkhianatan saudagar-saudagar tadi dan juga hilangnya semangat askar-askar
upahan Melaka, maka Orang Portugis terus mara menyerang Melaka. Penggunaan senjata
dan alat peperangan yang lebih baik merupakan satu kelebihan yang berada di pihak
Portugis. Mereka menggunakan senjata-senjata api seperti meriam dan senapang yang
lebih berkesan. Portugis juga mempunyai kapal-kapal perang yang lebih lengkap dan
terbaik pada zaman itu. Saiznya juga lebih besar dan mempunyai kuasa meriam yang
lebih baik jika dibandingkan dengan saiz kapal negeri-negeri di Asia. Manakala senjata
yang digunakan oleh tentera Melaka hanyalah keris, lembing, pedang, tombak dan panah.

23

A. Samad Ahmad, op. cit., hlm. 252.

Terdapat juga tentera yang menggunakan senjata api tetapi hanya sebahagian kecil
sahaja.24

Kehebatan senjata api yang digunakan oleh Portugis itu juga telah menyebabkan
semangat sebahagian besar tentera upahan Melaka menjadi lemah. Mereka tidak lagi
berdaya untuk berjuang bagi mempertahankan Melaka dari serangan tersebut. Oleh itu,
hanya tinggal orang Melayu sahaja yang bertungkus-lumus meneruskan perjuangan
menangkis serangan Portugis itu.

Di samping itu, tentera Melaka juga tidak bersedia mempertahankan bandar


daripada senjata meriam Portugis yang lebih kuat. Hal ini demikian kerana pertama,
Melaka terbahagi kepada dua oleh Sungai Melaka. Bandarnya tidak mempunyai kota,
sama ada daripada batu atau kayu. Bahagian yang mempunyai kota hanyalah Bukit
Melaka yang dikelilingi kota kayu atau pagar ruyung. Pertahanan tentera Melaka menjadi
lemah apabila Portugis berjaya menawan jambatan (tempat pertahanan utama orang
Melaka) dekat dengan Kuala Sungai Melaka. Dalam pada itu juga, mereka tidak sempat
untuk mendapatkan bantuan dari tanah jajahan takluknya seperti dari Singapura, Pahang
dan Klang.25 Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat menyerang Portugis dari laut.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa, tentera Melaka tidak bersedia dengan selengkapnya
untuk menghadapi musuh yang sememangnya datang untuk menakluk Melaka.

24

Prof. Madya Dr. Muhd. Yusof Ibrahim, Dr. Nordin b. Hussin, Hj. Wan Rusik b. Wan Yusoff, op.
cit., hlm. 59

25

Ibid., hlm. 58-59.

Faktor yang seterusnya ialah Portugis mempunyai prinsip yang teguh. Portugis
mengasaskan perjuangan mereka atas empat prinsip yang telah ditetapkan iaitu gospel
(kitab Injil atau agama Roman Catholic), glory (kecemerlangan buat raja dan Portugal),
gold (emas dan harta perang), dan geography (peluang di Afrika dan di Asia yang masih
belum diteroka).26 Prinsip pertama adalah bertujuan untuk menyebarkan agama Kristian
dan menghapuskan pusat perkembangan Islam. Prinsip kedua pula, mereka berjuang
bermati-matian untuk negara Portugal serta berbakti kepada raja mereka. Prinsip yang
seterusnya ialah untuk mendapatkan kekuasaan dan kekayaan daripada harta rampasan
perang. Di samping itu, mereka juga berniat untuk menguasai kegiatan perdagangan
rempah-ratus di Melaka. Prinsip yang terakhir adalah bertujuan untuk menjajah. Mereka
ingin meluaskan tanah jajahan mereka hingga ke Asia dan tarikan tersebut terdapat pada
Melaka yang bukan sahaja maju dari segi perdagangan malah juga sebuah negeri yang
kaya.

Ketiadaan pemimpin-pemimpin tentera yang handal dan bijaksana merupakan


faktor terakhir yang menyebabkan berlakunya kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu
Melaka. Oleh hal yang demikian, pada saat-saat akhir, Sultan Ahmad terpaksa mengetuai
angkatan tenteranya untuk menentang serangan Portugis. Sejarah Melayu versi tahun
1612 terang mencatatkan;
Maka baginda (Sultan Ahmad) pun keluarlah dengan segala hulubalang, maka peranglah
dengan Feringgi beramuk-amukan. Maka tampil Alfonso dAlbuquerque dengan seribu

26

Dr. Mohd. Rais b. Abdul Karim, op. cit., hlm. 110.

rakyat soldadu beristinggar, menempuh pada segala orang MelakaDaripada sangat


tempuh anak Portugal, maka pecahlah perang orang Melaka, lalu undur.27

Selain itu, tidak ada sama sekali angkatan laut Melaka yang menentang Alfonso
DAlbuquerque di perairan kerana Laksamana Khawaja Hassan sudah tidak menyandang
jawatan Laksamana lagi. Angkatan Melayu yang menentang Portugis di laut
kemudiannya diketuai oleh Hang Nadim setelah diangkat menggantikan Khawaja
Hassan. Manakala di darat pula, rakyat Melaka terus berjuang melawan orang Portugis.
Sultan Ahmad sendiri telah mengetuai angkatan Melaka menentang Portugis. Bendahara
Paduka Tuan atau Bendahara Tepok pula meminta agar beliau dipapah lalu dilanggarkan
sahaja kepada askar Portugis yang sedang mara itu. Pada masa itu Bendahara ditandu
oleh Si Lamat Gagah. Setelah dilihat oleh Bendahara akan Peringgi yang semakin ramai,
beliau pun berkata kepada Si Lamat Gagah;
Baliklah! Baliklah! Langgarkan aku kepada Peringgi! Maka tiada diberi oleh segala anak
cucunya. Maka kata Bendahara lagi, Ceh! Cabarnya segala orang muda-mudi ini, apa daya aku
telah tepok, kalau aku lagi kuasa, mati aku dengan negeri Melaka ini!28

Akhirnya, Melaka jatuh ke tangan orang Portugis pada 24 Ogos 1511. Dengan itu juga,
maka bermulalah penguasaan dan penjajahan orang barat ke atas tanah air kita ini.29

27

Muhammad Yusoff Hashim, op. cit., hlm. 103.

28

A. Samad Ahmad, op. cit., hlm. 255.

29

Prof. Madya Dr. Muhd. Yusof Ibrahim, Dr. Nordin b. Hussin, Hj. Wan Rusik b. Wan Yusoff,
2002, Sejarah Kesultanan Melayu, Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan
Malaysia, hlm. 58.

Setelah memperoleh kemenangan tersebut, orang Portugis telah melakukan


keganasan perampasan dan pembunuhan yang kejam terhadap orang melaka sama ada
lelaki, perempuan ataupun kanak-kanak, terutamanya yang beragama Islam. Mereka juga
telah merampas banyak khazanah di Melaka khususnya yang terdapat dalam istana Sultan
Ahmad dan Sultan Mahmud, serta rumah pembesar-pembesar yang telah turut sama
berundur. Harta itu juga telah dibawa kembali ke negara mereka.

BIBLIOGRAFI
BUKU
A. Samad Ahmad. 1979. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Dr. Mohd. Rais b. Abdul Karim. 1991. Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran
Awan Negara.
Mohd Dahlan Mansoer. 1979. Pengantar Sejarah Nusantara Awal. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pelajaran Malaysia.

Muhammad Yusoff Hashim. 1990. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Prof. Madya Dr. Muhd. Yusof Ibrahim, Dr. Nordin b. Hussin & Hj. Wan Rusik b. Wan
Yusoff. 2002. Sejarah Kesultanan Melayu. Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

INTERNET
www.keagungan-kesultanan-melayu-melaka/.com/.my.html
http://www.serangan-pertama-portugis-keatas-melaka.html/

Anda mungkin juga menyukai