Anda di halaman 1dari 4

1.

Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda tentang kepentingan


permainan tradisional. Panjang huraian anda hendak antara 200 hingga 250 patah
kata.
2. Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda tentang cara-cara
mengembangkan permainan tradisional . Panjang huraian anda hendak antara 200
hingga 250 patah kata.

Kepentingan permainan tradisional


Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan dan
pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin
dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda. Salah satu khazanah
kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini ialah
permainan tradisional kita yang terdiri daripada congkak, wau, gasing dan sebagainya.
Oleh itu, generasi muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan
tradisional kepada bangsa dan negara.
Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan
kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan
tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan
bangsa kita. Permainan tradisional tidak boleh disamakan dengan permainan elektronik
atau permainan siber. Alat permainan tradisional juga merupakan satu seni budaya
yang amat unik dan terunggul. Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan
kertas warna-warni yang dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika
permainan tradisional kita telah lenyap di bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat
memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa, sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna.

Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang
signifikan dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan alam semula
jadi yang indah dan menikmati juadah yang lazat di negara kita, para pelancong pasti
ingin menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni. Lantaran itu, permainan
tradisional berupaya memukau hati pelancong yang melawat ke Malaysia. Seperti
peribahasa, Tak kenal maka tak cinta, setelah diperkenalkan kepada pelancong,
lazimnya mereka akan berminat dan turut bermain dengan seronoknya terhadap
permainan tradisional. Rentetan daripada itu, hotel- hotel lima bintang dan pusat
peranginan yang terkemuka di negara kita patut menyediakan tapak dan alat
permainan tradisional kepada pelancong asing kita. Hal ini bukan sahaja dapat
memangkinkan industri pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kita
kepada bangsa lain, seperti peribahasa, serampang dua mata. Ternyata, permainan
tradisional merupakan salah satu tarikan dalam industri pelancongan.
Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat kita
yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan duniawi. Dengan adanya
permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain
bersama secara beramai-ramai. Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering
dibanjiri oleh orang ramai untuk bermain layang-layang. Peminat itu tidak mengira
bangsa dan budaya tetapi bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka
corak . Mereka juga berkongsi idea dan pendapat tentang lelayang mereka. Tidak
hairanlah akan tercetusnya suasana yang muhibah dan harmoni dalam masyarakat.
Mereka turut melegakan tekanan dan menghabiskan masa bersama dengan keluarga
sendiri. Senario ini jauh lebih baik daripada individu yang asyik bermain permainan
komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain.
Natijahnya, permainan tradisional merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai.
Oleh itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini
daripada generasi kepada generasi, seperti peribahasa, Tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas. Walaupun zaman beredar, tetapi segala warisan yang baik dan
sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak digelar sebagai etnik yang tidak
berakar umbi dan sentiasa terhanyut oleh arus globalisasi.
Cara-cara untuk Mengembangkan Permainan Tradisional di Negara Kita
Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga
mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan
tradisional turut dipandang enteng dan dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus
perdana. Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan
permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita

sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam pengedaran zaman dan
lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera. Sebelum nasi menjadi bubur,
kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk membangkit permainan tradisional di
negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang terguling, di situ cendawan
tumbuh.
Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif
yang ampuh untuk mengembang permainan tradisional di negara kita. Kempen ini
perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran
dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik,
iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan
dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara
kita, seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan
cara bermain, pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan
permainan tradisional terhadap masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus
dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran,
dan peraduan poster dan sebagainya, bak kata peribahasa, tak kenal maka tak
cinta. Lantarannya golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut dan
berminat terhadap permainan tradisional kita.
Selain itu, pihak sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan
kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan
supaya menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab
permainan tradisional, pelajar boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara
bermain dan lain-lain lagi. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk
melibati permainan tradisional tersebut. Generasi muda merupakan tunjang yang bakal
mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Nescaya pelibatan
pelajar secara langsung dalam permainan tradisional dapat memajukan permainan
tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan
pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,
atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu
pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan
tekanan sebagai kegiatan riadah.
Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit
permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana
sebagai fitrah, manusia memang suka bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak
Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Pelancongan Malaysia dan
agensi kerajaan boleh bergabung dengan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis
untuk menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah,
daerah, kebangsaan hingga antarabangsa. Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival

Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu


berjaya menarik peminat-peminat permainan tersebut dari seluruh dunia untuk
mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan
tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, menyelam sambil
minum air.
Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek
hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan
hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi
kita. Ingatlah peribahasa, Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Anda mungkin juga menyukai