Anda di halaman 1dari 6

Konflik Selatan Thailand rumit

Nov 16, 2013

Oleh

Selatan Thailand yang mengandungi wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani masih bergolak sejak
sekian lama, seolah-olah tiada penghujungnya. Pelbagai usaha sudah dan sedang dilakukan tetapi
masalah di wilayah majoritinya penduduk Melayu Islam itu masih gagal diselesaikan dengan baik.
Masalah keamanan, keganasan dan
ketidaktentuan hala tuju di tiga wilayah berkenaan
berlaku sejak 1960-an lagi dan ia memuncak
pada 2004 apabila pertempuran berlaku di antara
penduduk dan pasukan tentera yang
menyebabkan beribu terkorban.
Sehingga kini, lebih 5,700 terkorban dan lebih
7,500 cedera dan kes keganasan bersenjata
termasuk pengeboman di tempat awam yang
masih berlaku, antaranya di pusat beli-belah,
malah di sekolah.
Hakikatnya, masalah pokok yang menjadi pertikaian antara kerajaan yang berpusat di Bangkok
dengan penduduk wilayah berkenaan amat rumit untuk diselesaikan.
Ketengah isu, perkembangan
Pada seminar Ke Mana Proses Keamanan Selatan Thailand yang dianjurkan Institut Kajian Strategik
dan Antarabangsa (ISIS) di Kuala Lumpur pada 12 November lalu mengetengahkan isu ini dan
perkembangan terkini mengenainya.
Dua ahli panel, Pengarah Forum dan Hubungan Antarabangsa Pattani, Don Pathan dan Felo Kanan
ISIS, Bunn Nagara membentangkan kertas kerja mereka mengenai kemelut di Selatan Thailand
dengan dikendalikan Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ISIS, Tan Sri Mohamed Jawhar
Hassan.
Ia membabitkan isu pembangunan yang mana tiga wilayah berkenaan disisihkan sehingga seperti
tidak ada langsung projek dilaksanakan berbanding di wilayah lain, yang didiami penduduk Buddha,
khususnya ibu negaranya, Bangkok.

Perselisihan juga membabitkan maruah dan jati diri


umat Islam, terutama ketika berlaku keganasan
membabitkan lebih 1,000 umat Islam dibunuh
angkatan tentera Thailand ketika mereka menjalani
ibadah puasa pada 2004.
Lebih teruk lagi jenazah mereka disumbat dalam lori
tentera seperti kayu balak yang disusun untuk dijual.
Ini mendatangkan kemarahan tidak terhingga
kepada mereka seperti luka yang tidak boleh
disembuhkan.
Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Sinawatra bukan saja gagal mewujudkan keamanan,
malah memburukkan lagi keadaan sehingga menjadi antara isu dia digulingkan pada 2006, di
samping isu rasuah dan salah guna kuasa.
Tuntut hak, keadilan
Ketika ini, wilayah berkenaan mempunyai banyak kumpulan yang bergerak sendiri bagi menuntut
pelbagai hak dengan fokus utama keadilan. Ini termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang
mendapat restu kerajaan Thailand yang dibenarkan menyertai meja perundingan.
Tindakan itu menyebabkan kumpulan lain tidak berpuas hati, antaranya Kumpulan Pembebasan
Pattani Bersatu (PULO), Pergerakan Mujahidin Pattani, Pergerakan Mujahidin Islam Pattani, Barisan
Pembebasan Kebangsaan Pattani (PLNF) dan kumpulan pemisah yang juga terbahagi kepada
beberapa pecahan.
Keadaan pecah-belah ini turut menyukarkan
rundingan dicapai kerana BRN bukan
mewakili semua golongan di wilayah
berkenaan.
Tuntutan BRN tak dipenuhi
Tuntutan BRN contohnya, kerajaan Thailand
perlu menerima peranan Malaysia sebagai
perantara kerajaan dalam rundingan damai,
bukannya fasilitator.
Kedua, rundingan damai akan dihadiri Melayu
Pattani diketuai BRN dan kerajaan Thailand, anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)
dan organisasi bukan kerajaan lain.
Pihak berkuasa Thailand juga perlu membebaskan semua suspek yang ditahan dan menggantung
serta membatalkan semua waran tangkap membabitkan kes keselamatan nasional tanpa syarat serta
status BRN perlu diiktiraf sebagai Pergerakan Pembebasan Pattani, bukan kumpulan pemisah.
Bagaimanapun, semua tuntutan ini tidak dipenuhi oleh kerajaan Thailand walaupun rundingan damai
dengan Malaysia mewakilkan Naib Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM),
Ahmad Zamzamin sebagai fasilitator sudah diadakan sejak dilantik pada 1 Mac lalu.

Ini menyebabkan keganasan berterusan berlaku.


Sepanjang Oktober tahun ini saja 118 kes pengeboman,
kebakaran yang disengajakan dan serangan bersenjata
membabitkan 32 kematian dan 72 orang cedera.
Ramai jadi mangsa
Mengikut laporan Pemantau Selatan Thailand Universiti
Prince of Songkhla (DSW), 31 kejadian berlaku di
Narathiwat menyebabkan 21 terbunuh dan 31 cedera,
manakala 56 kes di Pattani menyebabkan enam kematian
dan 26 cedera dan 21 kes di Yala dengan lima mati, 15
cedera dan empat mati di Songkhla.
Sebelum itu, perjanjian damai Ramadan untuk tempoh 40
hari bermula 9 Julai hingga 18 Ogos lalu diadakan,
malangnya pada 24 Julai, sembilan maut di Narathiwat
akibat dibom. Mangsanya membabitkan tentera, guru dan
orang ramai.
Pelbagai usaha sudah diambil namun ia masih menemui
kegagalan. Yang pastinya, Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dikatakan memandang mudah dan
tidak menganggapnya sebagai isu nasional yang boleh menjejaskan negara itu.

Dendam halang usaha damai


Kerajaan Thailand amat terdesak untuk melihat keamanan berlaku di tiga wilayah di Selatan
Thailand. Untuk itu, Perdana Menterinya, Yingluck Shinawatra menjemput Malaysia sebagai fasilitator
perundingan bermula 1 Mac lalu.
Malah Thailand mahu melihat kejayaan yang dicapai di selatan Filipina berlaku di negara itu supaya
ia boleh dibangunkan dari pelbagai segi, terutama ekonomi.
Pengarah Forum dan Hubungan Antarabangsa Pattani, Don Pathan, bagaimanapun menyifatkan
matlamat itu sukar dicapai ketika ini.
Beliau tidak pasti adakah perjanjian damai mampu dimeterai, terutama pelbagai masalah berlaku
sehingga pihaknya tidak faham apakah yang dikehendaki penduduk Narathiwat, Yala, Pattani dan
Songkhla.
"Kerajaan Thai sebenarnya melihat kemelut ini secara terperinci untuk mengenali lebih dekat masalah
sebenar yang dihadapi dan kehendak sebenar mereka.
Dendam tak berkesudahan
"Apa yang berlaku seperti tragedi pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Thailand ke
atas umat Islam sehingga lebih 1,000 mati pada Ramadan menjadi satu dendam tanpa kesudahan.
"Begitu juga Masjid Kerisek dimusnahkan, sedangkan ia adalah pusat ibadah yang menjadi lambang
kemegahan Islam yang penuh sejarah di wilayah berkenaan," katanya.
Walaupun sudah sembilan tahun berlalu, ia seperti titik hitam yang sukar dipadam meskipun banyak
rundingan dilakukan dan kini Barisan Revolusi Nasional (BRN) pula diiktiraf kerajaan Thai sebagai
wakil penduduk selatan.
Inisiatif Yingluck melantik Malaysia sebagai fasilitator, bagaimanapun tidak mencukupi bagi BRN,
malah lima tuntutan dikemukakan dan sehingga kini belum dipersetujui.
Keganasan disifatkan sebagai jalan penyelesaian, sama seperti Kerajaan Thailand enggan
mengundurkan angkatan tenteranya di 500 perkampungan Melayu Islam di wilayah itu yang
menyebabkan penduduk Islam berasa tidak berpuas hati. Akibatnya tindakan ganas berlaku dan ada
pihak mengaku sebagai pejuang sehingga wujud pelbagai kumpulan pemisah yang menuntut kuasa
autonomi.
Rundingan temui jalan buntu
Selain Malaysia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Jemaah Islamiah (JI) dari Indonesia turut
diundang bagi membantu menyelesaikan masalah, tetapi rundingan menemui jalan buntu.
Keadaan menjadi lebih buruk disebabkan generasi muda yang agresif. Siang hari bekerja sebagai
penoreh getah tetapi bertukar pejuang pada sebelah malam.
Menurut Don, inisiatif untuk mewujudkan kedamaian di wilayah berkenaan sudah dibuat sejak 2005
dengan menarik mereka ke meja rundingan, selain mendapat bantuan negara Asean pada Dialog
Bogor 2007. Sebelum itu perbincangan dibuat di Langkawi pada 2005 pada zaman Tun Dr Mahathir
Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.
Katanya, ketiadaan pembangunan ekonomi di wilayah berkenaan turut menyebabkan ia menjadi
pusat penyeludupan termasuk dadah dan senjata api.

Walaupun puluhan ribu tentera dikerah mengawal wilayah itu tetapi sukar untuk memantau
sepenuhnya disebabkan wujud pelbagai puak yang menguasai kawasan tertentu. Keadaan itu lebih
menyukarkan lagi proses keamanan kerana setiap kumpulan mempunyai kepentingan sendiri,
dendam dan mahu dilihat sebagai wira.
Benarkah dakwaan Yingluck tidak ambil peduli? Tidak benar, kata Don. Yingluck sudah berusaha
sebaik saja dilantik Perdana Menteri apabila berjaya mengetepikan pencabarnya, Abhisit Vejjajiva.
Selain menggunakan akhbar, televisyen dan radio, kerajaan Thailand juga mendapat bantuan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Masih ada harapan
"Harapan masih ada walaupun ia mungkin memakan lebih banyak masa sehingga berpuluh tahun,"
katanya.
Malaysia sememangnya sudah lama komited untuk membantu Thailand, malah Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak mencadangkan jambatan ketiga dibina bagi menyambungkan Pengkalan
Kubor, Tumpat dan Tak Bai bagi meningkatkan pembangunan ekonomi.
Syarikat swasta di Malaysia termasuk Sime Darby turut berminat membangunkan kawasan dengan
menanam kelapa sawit serta getah supaya penduduk di kawasan terbabit mampu menikmati
pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
Malah, Kerajaan Thailand sudah menetapkan sasaran meningkatkan pendapatan penduduk di
kawasan itu daripada RM6,400 kepada RM12,000 setahun. Empat memorandum persefahaman
sudah ditandatangani pada pertengahan tahun ini, membabitkan perjanjian kerjasama perdagangan,
kerjasama belia dan sukan serta pelaburan merentasi sempadan bersama.

Kejujuran pemerintah diragui


Kerajaan Thailand perlu jujur dan serius dalam usaha mewujudkan keamanan di wilayah selatannya
supaya matlamat bersama dapat dicapai.
Malah, masalah yang berlaku di kawasan itu perlu dilihat sebagai isu nasional yang tidak boleh
ditangani secara sambil lewa, kata Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS),
Bunn Nagara.
"Usaha lebih bersungguh-sungguh perlu dibuat ketika ini, bukan hanya tunggu dan lihat. Terlalu ramai
tentera Thailand di Narathiwat, Yala dan Pattani sehingga mengganggu keselesaan dan hidup
penduduk, sedangkan pemerintah menganggapnya sebagai sesuatu yang normal," katanya.
Keadaan itu menyebabkan, Thailand dituduh tidak mempunyai kesedaran sebenar mendepani isu
penting itu, sehingga dilihat gagal memahami apa kehendak penduduk.
Gagal melihat punca masalah
Bunn berkata, kegagalan Kerajaan Thailand melihat punca sebenar masalah dan menghayati serta
berusaha menyelesaikannya, menunjukkan ia tidak jujur dalam tindak-tanduknya.
Ketika ini, Kerajaan Thailand didakwa melihat kekacauan yang sudah meragut lebih 5,500 nyawa dan
lebih 7,500 cedera itu sebagai isu terpinggir.
"Adalah tidak wajar membiarkan masalah berlarutan berpuluh tahun tanpa usaha bersungguhsungguh menyelesaikannya.
"Dari sudut pembangunan, contohnya Kerajaan Thailand tidak menyediakan program dan peruntukan
sewajarnya sedangkan negara jiran khususnya Malaysia bersedia untuk membantu," katanya, sambil
menambah OIC, Asean, termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei sudah menawarkan bantuan.
Usaha dibuat sambil lewa
Malah, katanya, usaha mendapatkan sokongan penduduk juga tidak dibuat dengan betul, terutama
dalam menyatukan mereka. Ini menyebabkan ada sesetengah pihak menuduh Kerajaan Thailand
memang sengaja berbuat demikian melalui dasar `pecah dan perintah' supaya mereka mudah
menguasai kawasan Selatan Thailand.
Begitu juga soal tuntutan hak pemerintahan autonomi tidak dipandang serius kerana Kerajaan
Thailand sebenarnya tidak mahukan keamanan. Usaha yang dibuat setakat ini hanyalah bersifat
sementara dan tidak berterusan, sekali gus dilihat kosong.

Anda mungkin juga menyukai