Anda di halaman 1dari 7

Kognisi adalah proses intelektual yang berkait rapat dengan informasi yang diperoleh, ditukar,

disimpan, dicungkil dan digunapakai. Informasi yang diperolehi akan disimpan di dalam minda.
Apabila ia diperlukan, informasi akan dicungkil dan diguna pakai pada masa yang diperlukan.
Informasi yang disimpan tidak akan bermakna jika ia tidak dicungkil pada masa yang
diperlukan.

Kognisi merujuk kepada apa yang dilakukan oleh minda dan bagaimana minda memproses
aktiviti-aktiviti mental. Ia merupakan satu proses yang aktif dalam pemprosesan maklumat dan
sangat berguna serta diperlukan untuk meneruskan kehidupan.

Afeksi pula adalah istilah yang digunakan untuk emosi, emosionaliti, perasaan, mood dan
sebagainya. Ia merupakan perasaan positif atau negatif dalam reaksi kepada rangsangan yang
diiringi dengan proses fisiologi melibatkan tingkah laku yang berkaitan.

Unsur kognisi dan afeksi mempunyai perkaitan yang erat dalam mencungkil informasi secara
sedar, tidak sedar atau bawah sedar. Proses kognisi berhubung dengan afeksi dalam aspek
integral affect di mana perasaan disebabkan oleh kandungan aktiviti kognisi. Terdapat juga
penyelidik yang melihat emosi sebagai emosi primer dan emosi sekunder yang boleh
digabungkan. Emosi primer adalah semulajadi. Manakala, emosi sekunder muncul daripada
proses mental yang tinggi yang bergantung kepada kebolehan menilai keutamaan pada hasil dan
jangkaan.

Ahli psikologi kognisi secara amnya bersetuju bahawa emosi-emosi terlibat dalam mengaktifkan
fizikal, iaitu kemunculan sistem saraf secara automatik terhadap sesuatu situasi yang
mendebarkan termasuk denyutan jantung, suatu reaksi dalam perut, tindakbalas rangsangan
luaran dan suatu interpretasi kognisi terhadap keaktifan aksi tersebut.

Fenomena afeksi mempunyai kaitan dengan komponen kognisi. Kajian telah menunjukkan
hubungan antara mood dan memori juga mood dan pembelajaran. Ini bermakna afeksi boleh
mempengaruhi aktiviti kognisi. Di dalam teori psikologi, perasaan (afeksi) hendaklah sama
semasa menyimpan maklumat di dalam minda semasa seseorang mahu mencungkil kembali
maklumat tersebut. Sebagai contoh, seseorang mahu menghadapi peperiksaan, hendaklah
memastikan emosinya stabil semasa membaca buku dan pada esok hari jika emosi mereka juga
stabil, maka mudahlah untuknya mencungkil maklumat tersebut.
1

Aspek emosi mempengaruhi aspek kognisi. Kognisi berkait rapat dengan proses mental dan
afeksi merujuk kepada emosi. Kajian-kajian yang dijalankan menumpu kepada beberapa
bahagian utama dalam proses kognisi. Antaranya, menginterpretasi iaitu proses yang mana
makna diambil daripada maklumat kabur bagi membina perwakilan minda. Kajian ini
memfokuskan kepada emosi kerisauan (anxiety). Apabila keadaan risau meningkat, didapati ia
meningkatkan sensitiviti terhadap kemarahan (anger).

Teori kognisi (cognitive theory) merupakan suatu teori kontemporari yang berkait rapat dengan
kognisi atau proses pemikiran manusia yang digabungkan dengan penghasilan emosi. Teori ini
tidak menekankan objek rangsangan sebagai penyebab kepada apa yang dirasa (emosi), tetapi
bagaimana diinterpretasi objek rangsangan tersebut. Jika kita diinterpretasi sesuatu secara
positif, maka perasaan gembira akan muncul. Begitu juga sebaliknya. Elemen utama dalam teori
ini adalah proses kognisi. Dengan munculnya teori kognisi ini, dapatlah disimpulkan bahawa
terdapat perhubungan antara kedua-dua elemen ini, iaitu kognisi dan afeksi. Secara
kesimpulannya, bolehlah dikatakan proses kognisi mampu mengubah emosi seseorang.

Kemahiran menulis karangan secara formal adalah aspek yang ditekankan di sekolah dan
seterusnya dinilai dalam peperiksaan awam. Pelajar akan mengaplikasikan proses kognisi dan
afeksi secara sedar dan di bawah sedar ketika mengarang karangan. Terdapat tiga jenis teks
penulisan karangan iaitu teks lisan, teks penulisan dan teks multimedia.

Alexander, Schallert dan Hare (1991), mengklasifikasikan tiga jenis pengetahuan yang
diperlukan oleh penulis untuk merancang penulisan yang baik iaitu, pengetahuan konseptual,
pengetahuan sosialbudaya dan pengetahuan metakognisi. Walters (1992), pula memfokus
kepada proses imaginasi sebagai proses kognisi yang berguna dalam penulisan. Konsep
imaginasi mengutamakan aspek afeksi dalam mencungkil maklumat berdasarkan tajuk penulisan
karangan. Pengajaran terhadap imaginasi memberi tanggapan tentang emosi dan perasaan yang
membantu melahirkan idea dan huraian semasa menulis karangan.

Penulisan memerlukan aktiviti minda yang banyak. Kesedaran terhadap apa yang dipelajari
mempengaruhi kesan kepada informasi yang diproses oleh pelajar. Semakin tinggi kesedaran
kepada apa yang dipelajari, semakin banyak informasi yang akan diperoleh pelajar. Penerimaan

informasi pula bergantung kepada kebolehan kognisi pelajar apabila mereka menggabungkan
maklumat baru dengan apa yang mereka sudah ketahui.

Kognisi dan unsur-unsur afeksi yang dimiliki oleh pelajar memainkan peranan yang penting
dalam penulisan karangan. Semasa menulis, aspek afeksi membantu mencungkil maklumat
daripada tahap bawah sedar pelajar. Apabila dalam keadaan kerisauan, afeksi dicirikan sebagai
ketegangan (tension). Kerisauan membantu pelajar menulis dengan mengekspresikan idea dan
kandungan dalam tajuk karangan yang dikemukakan oleh guru.

Motivasi juga dikatakan oleh para penyelidik mempunyai suatu komponen afeksi. Ahli
psikologi kontemporari bersetuju bahawa terdapat pengaruh afeksi dalam pengalaman manusia.
Kesemua pengalaman manusia mengimplikasi afeksi. Pengaruh afeksi jelas dalam segala
tindakan manusia. Dalam penulisan, perasaan marah dan sedih akan membawa seseorang untuk
menulis peristiwa yang berbeza-beza.

Kemahiran menulis karangan dapat digunakan sebagai kaedah pelahiran idea daripada fikiran.
Beberapa langkah pemikiran diambil oleh pelajar dalam proses menghailkan sebuah karangan.
Pemikiran ilmu pengetahuan sebelum, semasa dan selepas menulis karangan diberi perhatian
oleh pelajar dalam proses menyiapkan karangan. Sebelum menjurus kepada pergerakan ke
arah memotivasikan untuk menulis. Semasa menjadikan penulisan dalam kesinambungan ke
arah pengakhiran. Selepas mengakibatkan kewujudan emosi yang menyatakan rasa puas hati
kerana tamatnya proses penulisan dan memangkin untuk memulakan episod penulisan yang
seterusnya.

Apabila menulis karangan, ia juga dianggap sebagai suatu proses inkuiri. Ia memerlukan
keupayaan pelajar untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat menghasilkan
karangan yang baik. Dalam proses itu, kemahiran imaginasi, kreativiti dan kesedaran kognisi
dan afeksi turut sama bergabung dan saling berinteraksi dengan proses pemikiran (kognisi) yang
lain untuk menghasilkan karangan yang berkualiti.

Penggabungan antara emosi dan kognisi dalam penulisan adalah sesuatu yang asas dan dinamik.
Aspek kognisi mewujudkan idea yang mempunyai makna, manakala aspek emosi membantu
pelajar mencari nilai di dalam makna idea tersebut. Proses pemikiran dari segi kognisi dapat
membina ilmu pengetahuan secara himpunan kemahiran dari asas kepada kompleks. Dalam
3

proses penulisan karangan soal kognisi disertai dengan unsur afeksi membantu pelajar secara
sedar dan di bawah sedar memikir, memproses dan mencungkil ilmu pengetahuan yang
tersimpan dalam memori jangka panjang semasa menghasilkan karangan yang baik.

Apa sahaja bentuk yang melahirkan ekspresi perasaan dan pemikiran manusia boleh dianggap
sebagai teks yang boleh dianalisis dan diinterpretasikan dalam konteks Hermeneutik. Analisa
Hermeneutik digunakan dalam karangan pelajar untuk mengenal pasti elemen-elemen kognisi
dan afeksi bagi membantu pelajar menghasilkan karangan yang baik. Mengenalpasti dan
menganalisa kehadiran unsur kognisi dan afeksi dalam penulisan karangan adalah suatu tugas
yang kompleks. Ia dilakukan secara abstrak, iaitu tidak dapat dilihat.

Analisa Hermeneutik banyak diaplikasikan dalam subjek penulisan. Analisis Pedagogi


Hermeneutik digunakan ke atas karangan pelajar disebut teks dan dibaca untuk diinterpretasikan
secara tersurat dan tersirat, hasilnya dinamakan metateks. Semasa membaca secar tersurat,
pengkaji akan menganalisis sejauhmana pelajar menggunakan proses kognisi dan afeksi semasa
menjana ilmu pengetahuan penuh dengan afeksi, iaitu dari segi kualiti penulisan karangan
tersebut. Melalui metateks ini dibuat rumusan tentang sejauhmana proses kognisi dan afeksi
membantu pelajar semasa menulis karangan yang baik.

Metateks, iaitu hasil interpretasi teks karangan pelajar mengandungi makna dan penjelasan.
Aspek yang difahami ialah hasil proses kognisi dan afeksi yang terlibat semasa pelajar menulis
teks karangan. Proses kognisi dan afeksi diinterpretasikan sebagai proses ke arah pencungkilan
maklumat dan fakta daripada memori jangka pendek (STM) dan memori jangka panjang (LTM).

Kesimpulannya, kehadiran proses kognisi dan afeksi membantu pelajar memikir secara serius
untuk menghasilkan karangan yang bermutu tinggi. Segala pengalaman lampau dicungkil untuk
mengatakan idea yang mempunyai pertalian dan kesinambungan dengan subjek (isi) karangan
yang ditulis. Proses kognisi dan afeksi adalah dua proses yang wujud secara dalaman dalam diri
pelajar untuk menganalisis, mensintesis dan menilai sebelum menulis karangan.

Penulisan karangan adalah komponen penting dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu di sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Kognisi dan afeksi memainkan peranan
yang penting dalam membantu penulisan karangan yang berkualiti. Kognisi merangkumi aspek
kesedaran, persepsi, penaakulan dan pengadilan untuk menyelesaikan masalah.

Kognisi mengandungi input asas yang terdiri daripada lima deria, naluri asas dan komunikasi
serta bahasa. Kognisi mendalam pula terdiri daripada pemprosesan pemikiran seperti ilmu
pengetahuan, pengalaman, kecerdasan dan intuisi. Output kognisi pula berkaitan dengan hasil
proses kognisi terhadap reaksi fizikal yang menjadi tabiat dan keputusan-keputusan yang dibuat
secara rasional dalam situasi tertentu.

Informasi atau maklumat haruslah didaftarkan dalam daftar sensori (Sensory Register) terlebih
dahulu sebelum disimpan dalam memori jangka panjang (LTM). Maklumat tersebut hendaklah
memberi makna kepada pelajar dan boleh dirumus sekiranya dikaitkan dengan pengetahuan
sedia ada dalam konteks maklumat baru diperoleh.

Maklumat yang telah didaftarkan dalam daftar sensori, akan dihantar pula ke memori jangka
pendek (Short Term Memory) yang mempunyai keupayaan yang terhad. Maklumat di dalam
STM ini boleh hilang dalam masa kurang daripada 30 saat. Jika maklumat ini tidak digunakan ia
akan hilang (lupa). Bagi mengekalkan maklumat di dalam STM maka ia hendaklah dipindahkan
ke memori jangka panjang (Long Term Memory).

Memori jangka panjang (LTM) terdiri daripada memori semantik dan memori episodik. Memori
semantik dibahagikan kepada pengetahuan deklaratif dan pengetahuan prosedur. Manakala,
memori episodik adalah memori tentang peristiwa, episod masa lampau, pengalaman yang
dialami dan sebagainya. Maklumat yang disimpan dalam LTM boleh dicungkil atau diingat
kembali kerana ia pernah dikod dalam memori terlebih dahulu melalui pengalaman belajar
secara formal dan tidak formal.

Proses afeksi sebagai unsur dalaman membantu menjana ilmu pengetahuan. Afeksi menjadi asas
untuk proses pemikiran dan ingatan. Reaksi afeksi dapat mengembangkan pelajar secara
kognitif untuk menghasilkan karangan yang baik. Apabila reaksi afektif mengalami gangguan,
iaitu kegagalan pencungkilan maklumat tentang sesuatu tajuk karangan daripada tahap bawah
sedar pelajar, maka proses penulisan karangan yang baik mengalami kecacatan. Afeksi
5

menghubungkaitkan ilmu pengetahuan apabila pelajar membinanya. Reaksi afeksi akan


mengembangkan pelajar secara kognisi melalui proses evolusi. Jadi, afeksi adalah suatu elemen
yang hadir bersama kognisi.

Penulisan karangan yang baik bergantung kepada penggunaan proses afektif dan kognitif.
Pelajar menulis karangan berdasarkan pola-pola berfikir yang sistematik, iaitu mencungkil
maklumat daripada tahap bawah sedar mereka. Pelajar menyimpan ilmu pengetahuan yang
pernah dipelajarinya sejak di sekolah rendah lagi. Apabila mula berfikir untuk menulis
karangan, maka pelajar mula mengalami proses afektif secara dalaman untuk mencungkil
maklumat berkaitan karangan yang akan ditulis.

Gabungan kognisi dan afeksi berkaitan dengan pembentukan struktur ilmu pengetahuan. Unsur
kognisi bertindak menyelesaikan masalah dan mensintesis aktiviti melalui rangsangan yang
diterima. Tetapi, unsur afeksi melibatkan emosi, perasaan, mood, keutamaan, kepercayaan
sikap, motivasi dan penilaian.

Pengalaman yang diterima melalui deria akan diproses untuk mewujudkan motivasi serta
melakukan aktiviti seperti penulisan karangan. Keadaan perasaan yang dialami akan membantu
pelajar mencungkil untuk menulis karangan. Perasaan mood amat penting dan menjadi
pemangkin untuk aktiviti berbahasa kepada pelajar. Proses afeksi membantu dalam penulisan
ekspresif.

Sikap dan kepercayaan melibatkan input kognisi, iaitu mengaitkan emosi dan faktor-faktor
analitikal. Kesan penulisan terhadap perkembangan emosi seseorang menjadi fokus utama ahli
psikologi. Peserta yang mempunyai pengawalan emosi semasa menulis mengenai pengalaman
yang positif melaporkan kecerdasan emosi lebih tinggi berbanding peserta dalam kumpulan
yang lain. Kesimpulannya, penulisan mengenai emosi yang positif memberi impak dalam
kehidupan peribadi seseorang secara keseluruhannya.

Pendekatan penulisan juga bergantung kepada tret emosi seseorang. Contohnya, individu yang
mempunyai tret emosi negatif yang tinggi dilaporkan mempunyai simptom tekanan pos trauma
yang lebih banyak berbanding individu yang mempunyai tret emosi negatif yang rendah.
Individu yang mempunyai tret emosi negatif yang tinggi cenderung mengatakan bahawa tugasan

penulisan lebih susah dan menyebabkan tekanan berbanding individu yang mempunyai tret
emosi negatif yang rendah.

Kesimpulannya, berjaya atau tidak pelajar menghasilkan karangan yang baik bergantung kepada
keaktifan proses afektif dan kognitif yang dialami semasa proses menulis karangan. Pemahaman
isi kandungan karangan membantu pelajar menulis karangan apabila perasaan afektif dan proses
kognitif memangkin pencungkilan idea dan huraian daripada tahap bawah sedar. Dalam proses
ini, kemahiran imaginasi dan kesedaran kognitif, emosi dan perasaan (afeksi) turut sama
bergabung dan saling berinteraksi dengan proses pemikiran yang lain untuk menghasilkan
karangan.