Anda di halaman 1dari 8

Hikayat Raja-raja Pasai

Hikayat Raja-raja Pasai


Hikayat Raja-Raja Pasai atau juga Hikayat Raja Pasai menceritakan kisah raja-raja di negara
Islam pertama di Asia Tenggara kini yang bernama Pasai. Hikayat Raja-Raja Pasai dianggap
hasil kesusasteraan Melayu, mengisahkan masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu
(tulisan Jawi). Tidak dapat dipastikan tarikh awal hikayat ini ditulis kerana pada masa itu tradisi
menceritakan semula cerita orang lain (seperti yang dilakukan pada cerita lisan) berlaku dan
dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Perhatikan bahagian awal petikan Hikayat Raja Pasai yang
berikut ini:
Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka
adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin
ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada
raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja
Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak
berbuat negeri di Samarlanga.
Artifak seperti makam Sultan Malik al Salih menunjukkan Pasai terletak di Kampung Geudong,
Lhokseumawe, utara Aceh, pulau Sumatera, Indonesia.
Teks ini ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan tangan huruf jawi pada lembaran lembaran berbentuk buku. Penyelidik menyatakan teks asal ditulis sekitar 1360 M kerana
sezaman dengan buku tasauf Durru al Mazlum / Darul Mazlum karya Maulana Abu Ishak.

Isi kandungan

1 Genre
2 Pembukaan dan PengIslaman Pasai
3 Pasai di bawah Sultan Ahmad Perumudal Perumal
4 Perluasan Kuasa Majapahit
5 Komentar / Catatan tambahan
6 Rujukan

Genre
Hikayat Raja-Raja Pasai tergolong dalam genre sastera sejarah juga disebut sekarang sebagai
karya agong. Karya sastera sejarah biasanya menceritakan pembukaan negeri, corak organisasi
pentadbiran , keadaan sosial budaya dan corak politiknya. Cerita ini termasuklah kewujudan
sesebuah negeri, perkembangannya, zaman keemasan , zaman kekalahan dan keruntuhan.
Jadi Hikayat Raja-Raja Pasai bukanlah sebuah buku teks sejarah yang murni. Sebaliknya telah
ditambah dengan unsur-unsur sejarah. Unsur mitos dan legenda diterapkan dalam bahan sejarah
yang memerlukan interpretasi yang mendalam untuk mengetahui objektif dan tujuan pengarang
istana ini.

Pembukaan dan PengIslaman Pasai

Pasai merupakan negeri pertama menerima agama Islam. Raja Ahmad dan Raja
Muhammad hendak membuka negeri Samarlanga. Raja Muhamad mendapat Puteri
Betung daripada perdu rebung buluh. Raja Ahmad bernegeri di Balik Rimba . Dia pergi
memburu dan berjumpa dengan seorang tua di dalam sebuah surau . Daripada nasihat
orang tua di surau itu, Raja Ahmad mendapat anak lelaki yang dibela oleh seekor gajah.
Anak itu dinamakan Merah Gajah . Akhirnya Merah Gajah dikahwinkan dengan Puteri
Betung.

Merah Gajah dan Puteri Betung mendapat anak lelaki iaitu Merah Silau dan Merah
Hasun. Merah Gajah mencabut rambut emas Puteri Betung lalu keluar darah pelik
berwarna putih. Puteri Betung akhirnya hilang. Raja Muhamad marah lalu membunuh
Merah Gajah . Maka Raja Ahmad melanggar negeri Raja Muhamad dan peperangan
terjadi. Kedua-dua raja adik beradik ini terbunuh dalam peperangan.

Merah Silau dan Merah Hasun tinggal di Biruan. Merah Silau menahan bubu dan
mendapat cacing gelang-gelang yang bertukar menjadi emas dan perak. Merah Silau
berkuasa menjinakkan kerbau liar di kawasan tersebut. Merah Hasun marah kerana
menyangka abangnya makan cacing gelang-gelang dan bermain dengan kerbau, satu
perbuatan yang memalukan maruah raja. Baginda menghalau Merah Silau dari
tempatnya.

Merah Silau dengan pengikutnya berpindah ke Sungai Pasangan dan ke Hulu Kalang. Di
sana dia bertemu dengan Megat Iskandar dan merestui dia tinggal di Buluh Telang.
Malangnya Merah Silau suka sangat bersabung ayam.

Megat Sekandar dan Megat Kedah ialah kekanda kepada Sultan Malikul Nasir di Rimba
Jerana. Megat Sekandar hendak mengangkat Merah Silau menjadi raja tetapi dibantah
oleh Tun Harid Benung. Apabila Merah Silau menjadi raja, Sultan Malikul Nasir
menyerangnya dan berlaku peperangan yang panjang. Akhirnya sultan Malikul Nasir
melarikan diri ke Kumat. Tetapi di Kumat, Sultan Malikul Nasir diserang oleh Megat
Sekandar dan Sultan Malikul Nasir tewas. Hulubalangnya bernama Tun Harid Benung
lari ke negeri Barus tetapi ditangkap oleh Raja Barus. Merah Silau menjadi raja di Rimba
Jerana.

Nabi Muhammad berwasiat kepada para sahabat supaya berdakwah di negeri Samudera
setelah baginda wafat. Bawa sebuah kapal dan alat kelengkapan dan ambil seorang fakir
di negeri Mengiri untuk mengislamkan seluruh negeri Samudera.

Semasa berburu di hutan, anjing Merah Silau yang bernama Si Pasai telah menyalak kuat
dan berdakap 7 kali dengan pelanduk . Di atas sebuah bukit ada seekor semut sebesar
kucing. Merah Silau makan semut tersebut dan tempat itu dijadikan negeri bernama
Semudera.

Nabi Muhamad wafat. Syarif yang mentadbir Kota Mekah telah menunaikan wasiat Nabi
Muhamad. Syeikh Ismail ditugaskan ke Semudera . Dia singgal di negeri Mengiri . Raja
Mengiri bernama Sultan Muhamad seorang keturunan Saidina Abu Bakar . anaknya yang
muda menyamar sebagai fakir menumpang kapal tersebut. Kapal itu belayar ke
Semudera.

Merah Silau bermimpi bertemu dengan Nabi Muhamad . Nabi menumpang dagunya dan
menutup mata dengan empat jam. Nabi mengajar mengucap dua kalimah syahadah. Nabi
meludah ke dalam mulutnya. Nabi menamakannya Sultan Malikul Saleh , makan hanya
binatang halal yang telah disembelih. Dalam masa 40 hari, akan datang sebuah kapal dari
Mekah dan hendaklah menerima ajaran Islam yang dibawa. Apabila Merah Silau terjaga
dari tidur , Merah Silau mendapati kemaluannya telah bersunat dan mulutnya lancar
membaca al Quran 30 juz.

Sebuah kapal dari Mekah telah berlabuh di pelabuhan Samudera di Teluk Terli. Syeikh
Ismail mengadap Sultan Malikul Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah
. Fakir memberi senaskah al Quran dan Sultan Malikul Saleh dapat membaca dengan
lancar. Syeikh Ismnail berjaya mengislamkan seluruh rakyat Semudera. Syeikh Ismail
menabal Sultan Malikul Saleh menjadi Raja Semudera Darul Salam. Menteri yang
bernama Tun seri Kaya diberi nama Sayid Ghiatuddin dan Baba Kaya dengan nama baru
Sayid Semayamuddin. Selepas habis tugasan, Syeikh Ismail kembali belayar ke Mekah .
Sultan menghadiahkan fidyah ambar, kapur barus,gaharu, cendana, kemenyan,
khelembak, cengkeh dan pala kira-kira 100 bahara. Fakil Mohamad tinggal di Samudera
dengan mengajar agama Islam.

Satu kaum di Samudera enggan memeluk agama Islam . Mereka lari ke hulu Pasangan
yang kini dikenali sebagai orang Gaya.

Sultan Malikul Saleh berkahwin dengan Puteri Ganggang, anak gundik Raja Perlak.

Seorang Keling dari Benua Keling telah mengerjakan lombong emas di Samudera.

Sultan Malikul Saleh mendapat seorang anak lelaki dan dinamakan Sultan Malikul Tahir
. Negeri Pasai dibuka dan Sultan Malikul Tahir menjadi raja di sana.

Sultan Malikul Tahir mendapat dua putera iaitu Sultan Malikul Mahmud dan Sultan
Malikul Mansur. Sultan Malikul Tahir mangkat. Sultan Malikul Saleh telah menyerahkan
cucunya Sultan Malikul Mahmud untuk dijaga oleh Sayid Ali Ghiatuddin dan Sultan
Malikul Mansur dijaga oleh Sayid Semyamuddin.

Sultan Malikul Saleh merajakan Sultan Malikul Mahmud di Pasai dan Sultan Malikul
Mansur di Samudera Darul Salam. Sebelum Sultan Malikul Saleh mangkat, baginda telah
berwasiat supaya kedua-dua Perdana Menteri dan kedua-dua cucunya menjalankan
pemerintahan dengan adil dan saksama sebagaimana syariat Islam.

Kerajaan Pasai enggan membayar ufti kepada Raja Siam sebagaimana dipinta. Panglima
perang Siam bernama Talak Sejang telah menyerang Pasai. Siam tewas dan Talak Sejang
terbunuh. Sultan Malikul Mahmud mendapat dua putera dan dua puteri . Puteranya
bernama Sultan Ahmad Perumudal Perumal.

Semasa Sultan Malikul Mahmud sedang berburu, Sultan Malikul Mansur datang ke Pasai
dan mengambil seorang perempuan dari istana Pasai. Sultan Maikul Mahmud memarahi
Perdana Menteri Sayid Semayamuddin kerana menyangka tidak menahan perbuatan
sumbang adindanya itu. Perdana Menteri Pasai telah meninggal dunia dan diganti oleh
Tun Perpatih Tulus Tukang Segara dan mereka merancang membunuh Sayid
Semayamuddin.

Sultan Malikul Mahmud mengadakan majlis berkhatan anaknya Sultan Ahmad


Perumudal Perumal dan menjemput Sultan Malikul Mansur dan Perdana Menteri
Samudera Sayid Semayamuddin. Sebaliknya , Sultan Malikul Mansur ditangkap dan
dibuang ke negeri Temiang. Sementara Sayid Semayamuddin dibunuh, kepalanya
dibuang ke laut, badannya disula di Kuala Pasai. Tetapi anehnya kepala itu mengikut-ikut
perahu Sultan Malikul Mansur.

Oleh itu , Sultan Malikul Mansur meminta tubuh Sayid Semayamuddin yang disula itu
daripada Sultan Malikul Mahmud untuk dikebumikan di Padang Maya. Setelah insaf,
Sultan Mlikul Mahmud menjemput Sultan Malikul Mansur ke Pasai semula. Tetapi
dalam perjalanan ke Pasai, Sultan Malikul Mansut telah meninggal dunia di atas makam
Sayid Semayamuddin. Sultan Malikul Mahmud semakin hiba dan jatuh sakit. Baginda
berwasiat agar puteranya Sultan Ahmad Perumudal Perumal menjadi raja Pasai.

Pasai di bawah Sultan Ahmad Perumudal Perumal

Sultan Ahmad Perumudal Perumal menjadi raja Pasai telah kematian Sultan Malikul
Mahmud. Seorang jogi dari Benua Keling mengadap baginda dan menggelar Sultan
Ahmad itu Perumudal Perumal dan gelaran itu kekal .

Sultan Ahmad mendapat 30 orang anak tetapi yang seibu sebapa 5 orang iaitu Tun
Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abdul Fadil, Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara.
Sultan Ahmad mempunyai 4 orang menteri kanan iaitu Tulus Agung Tukang Sekara,
Baba Mentuha, Sulaiman Dendang Air dan Tun Syah Ala Kota.

Sultan Ahmad Perumudal Perumal mempunyai nafsu terlampau kerana berahi akan anak
daranya sendiri iaitu Tun Takiah Dara dan Tun Medan Peria. Bagi mengelakkan kejadian
buruk berlaku, Tun Beraim Bapa membawa dua adik perempuannya itu ke Tukas untuk
tinggal bersamanya. Ini menyebabkan Sultan Ahmad semakin marah dan mahu
merealisasikan nafsu serakahnya.

Empat pendekar Keling datang beradu kekuatan ( gusti ) di Pasai dan berkelakuan
samseng. Tun Beraim Bapa yang gagah perkasa , berlatih bersama guru -gurunya di
Tukas. Gendang perang dari Tukas mengganggu tidur Sultan Ahmad Perumudal Perumal
di Pasai. Baginda marah dan memberitahu Dara Zulaikha Tingkap tentang niatnya mahu
membunuh Tun Beraim Bapa. Tun Beraim Bapa berjaya menewaskan pendekar Keling
dan mereka pulang semula ke Benua Keling.

Tun Beraim Bapa telah bergurau sakan dengan Tun Fatimah Lempau semasa berada di
istana ayahnya di Pasai hingga istana Pasai bergoncang . Sultan Ahmad Perumudal
Perumal tersedar dari tidur dan mengatur strategi agar Tun Beraim Bapa dibunuh.

Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim Bapa menyelam di Sungai Pasai dan menyuruh
hulubalang menetak sekiranya timbul. Tetapi Tun Beraim Bapa selamanya selam dan
timbul serantai jauhnya dari tempat itu.

Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim Bapa membuang batang yang melekat pada perahu
Sultan Ahmad. Tun Beraim Bapa berjaya melepaskan perahu yang tersangkut dan tidak
mati lemas.

Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim Bapa makan cucur peniaram (beracun) yang dibuat
oleh orang Seri. Anjing dan ayam yang makan cucur peniaram itu mati keracunan. Dua
adiknya Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara yang juga mati keracunan kerana makan
cucur peniaram. Mereka dikebumikan di Bukit Fudul Allah.

Tun Beraim Bapa yang tidak mahu derhaka , telah makan cucur peniaram yang beracun
itu lalu jatuh sakit. Tun Beraim Bapa yang kepanasan telah menyelam di Lubuk Turai.

Seekor ular lembu telah dapat ditangkap dan dimakan tetapi sakitnya tidak juga sembuh.
Lalu Tun Beraim Bapa melontar lembing dan lembing itu tercacak di antara kubur dua
adiknya. Tun Beraim Bapa akhirnya mati dan dikebumikan di mana lembing itu tercacak.
Sultan Ahmad amat gembira dengan kematian anaknya itu.

Semasa Sultan Ahmad Perumudal Perumal tidak ada, Tun Abdul Jalil memerintah
kerajaan Pasai.

Perluasan Kuasa Majapahit

Tuan Puteri Gemerencang anak Ratu Majapahit telah menyuruh Tun Perpatih melukis
potret anak-anak raja , termasuk Tun Abdul Jalil. Melihat potret itu, tuan puteri rasa
berahi amat dan mahu menemuinya. Ayahnya menghantar Tuan Puteri Gemerencang ke
Pasai untuk menemui Tun Abdul Jalil. Tetapi Sultan Ahmad cemburu mendengar hal itu
lalu membunuh Tun Abdul Jalil. Tuan Puteri Gemerencang mendapat malumat Sultan
Ahmad telah membunuh Tun Beraim Bapa dan Tun Abdul Jalil. Dia meomohon pada
Allah agar karamkan ghurabnya di Jambu air supaya dia dapat bertemu dengan Tun
Abdul Jalil. Doanya dimakmulkan Allah.

Ratu Majapahit marah tidak terkira apabila mendapat tahu puterinya Puteri Gemerencang
mati lemas di Jambu Air, negara Pasai. Ratu Majapahit mengerah pendekar-pendekar
menyerang Pasai dan Pasai alah. Sultan ahmad Perumudal Perumal lari ke Menduga, 15
hari perjalanan di hujung Pasai. Dalam perjalanan balik ke Majapahit, askar Majapahit
menawan Jambi dan Palembang serta membawa balik ramai tawanan perang dan para
ulama.

Ratu Majapahit mengerah Perdana Menteri , Patih Gajah Mada menakluk semua negara
jiran , tunduk dan membayar ufti ke Majapahit. Kerajaan Periaman enggan berbuat
demikian Ratu Majapahit mahu berlaga kerbau dengan kerbau Periaman dengan
pertaruhan ' Jika kerbau Majapahit kalah orang Jawa akan memakai kain cara perempuan.
Sebaliknya jika kerbau Periaman kalah , kerajaan Periaman takluk di bawah Majapahit'.

Patih Suatang dan Patih Ketemenggungan menggunakan taktik kotor bagi menewaskan
Majapahit dalam laga kerbau itu. Mereka mempertaruhkan anak kerbau kecil yang lapar
susu berhari-hari lamanya. Semasa hari laga kerbau, kerbau Periaman menghisap pelir
kerbau Majapahit kerana ia lapar susu. Majapahit diisytiharkan kalah dan dijamu dengan
air buluh rencong. Semasa pesta jamuan perpisahan itu, ramai askar Majapahit telah
ditikam dengan buluh rencong .

Kerajaan Periaman ditukar nama menjadi Minangkabau yang bermaksud 'menang laga
kerbau'.

Komentar / Catatan tambahan

Zaman gemilang kerajaan Pasai semasa Tun Beraim Bapa menjadi pahlawan.
Keruntuhan Pasai kerana faktor peribadi Sultan Ahmad Perumudal Perumal yang
bernafsu serakah hingga sanggup menodai anaknya sendiri.
Kematian Tun Abdul Jalil membuat tunangnya Puteri Gemerencang membunuh diri di
Jambu Air, Pasai. Ratu Majapahit menyerang dan menewaskan Pasai kerana menuntut
bela. Jika Tun Beraim Bapa masih ada, tentu Pasai dapat dipertahankan. Kehebatan Tun
Beraim Bapa disebut dalam ungkapan:
Wah anakku Beraim Bapa, jikalau ada ia, jika Jawa se Jawanya, jika Cina se Cinanya,
jika Keling se Kelingnya , tiada mau melawan si Beraim Bapa.

Dalam Seminar Sejarah masuknya Islam ke Indonesia, pada 17-20 Mac 1963 A Hashmy
mencatatkan ketetapan telah dibuat bahawa Islam masuk ke Indonesia oleh pedagang/
pendakwah dari Arab sekitar 7-8 masehi . Negara pertama memeluk Islam ialah Pasai /
Pase / Aceh Utara kerana persamaan Mazhab Shafie.
Hikayat Raja-Raja Pasai terbahagi kepada 3 bahagian iaitu : Pembukaan dan Pengislaman
Pasai, Pasai dibawah pemerintahan Sultan ahmad Perumudal perumal dan Peluasan
Kekuasaan Majapahit.
Negeri Pasai / Samudera dan Perlak yang terletak di Sumatera Utara ( Acheh) digelar
Serambi Mekah kerana orang yang hendak mengerjakan haji terlebih dahulu singgah di
Acheh dan belajar di madrasah dan masjid di Acheh.
Sultan Malikul Salih memerintah Samudera-Pasai mulai 1267 . Nama lainya ialah Malik
al Salih , Merah Silu , Merah Silau , Mara Silu, Muerah Silu .
Kerajaan Samudera Pasai dikenali juga sebagai Samudera, Pasai dan Samudera
Darussalam atau Sumatera. Lokasi kerajaan ini ialah di sekitar Kampung Geudong,
Lhokseumawe, Aceh.
Ahli Pelayaran Maghribi bernama Ibnu Batutah sempat mengunjungi Pasai pada 1346
masehi. Ketika di China, Ibnu Batuta mendapati kapal Pasai berlabuh di China untuk
membayar ufti.
Inskripsi Cina mencatatkan kerajaan Pasai menghantar ufti ke China setiap tahun.
Sultan Pasai pernah mengirim utusan ke Quilon , benua kecil India ( Keling) pada 1282
kerana urusan diplomasi dan perdagangan.

R.O. Winstedt menjangka Hikayat Raja Pasai selesai ditulis pada abad ke-15, Amin Sweeney
berpendapat abad ke-14, dan A.H. Hill mengatakan di antara tahun 1383 M hingga 1390 M
manakala Hooykaas mendakwa bahawa Hikayat ini seawal-awalnya dikarang sekitar tahun 1350
M. Pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai yang diusahakan oleh R. Jones (1987) tercatat:
Tamat Hikayat Raja Pasai. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang
menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu
wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad
mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.
Tamat hari Isnin, kepada hari
dua puluh sa, kepada bulan
Muharam, sanat za
Hijratul Nabi
1230
Sangking Kyai Suradimanggala, bupati sapu (pu) nagari Demak nagari Bagor, warsa
1742.
Tarikh yang tercatat pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai ini bukanlah bermakna penulisan
pertama cerita tersebut, melainkan merupakan salinan daripada beberapa salinan cerita yang
terdahulu. Penyalinan ini juga memperlihatkan bahawa ketika itu kesusasteraan Melayu tersebar
luas di seluruh Nusantara.

Rujukan

Mustafa Mohd Isa , 'Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih' JMK312, PJJ PPLK USM ,
1994
Hikayat Raja-Raja Pasai, Kuala Lumpur, Fajar Bakti, 1987
Raffles Malay No.67, Royal Asiatic Society, London
Perlawanan atas Hegemoni Jawa Rencana mengenai hubungan Jawa-Luar Jawa
menggunakan sumber-sumber hikayat lama, salah satunya Hikayat Raja-raja Pasai.
Awalnya dimuat di harian Republika.
(Inggeris)Dispersing God's shadows: Reflections on the translation of Arabic political
concepts into Malay and Indonesian
(Inggeris)Bibliografi di Malay Concordance Project