Anda di halaman 1dari 11

CABARAN DAN HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS.

1.0 PENGENALAN

Sistem pendidikan di negara kita masa kini telah banyak melalui transformasi yang memerlukan
komitmen guru yang amat tinggi. Perubahan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan dilihat
sebagai peluang untuk menguji potensi, kemampuan dan cara untuk mengoptimumkan
pembangunan individu. Mereka perlu sedar akan kekuatan dan kelemahan diri dan di atas kesedaran
itu sanggup meningkatkan keupayaan diri serta bersedia melakukan perubahan mengikut keperluan.
Guru bertaraf dunia bukan sahaja merancang strategi pengajaran-pembelajarannya dengan teliti
dan sentiasa membuat persediaan untuk membuka peluang kepada pelajar melakukan penerokaan
malah merancang pelbagai laluan pembelajaran dengan kemahiran yang tinggi.

Cabaran dalam profesion perguruan masa kini memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi.
Pekerjaan yang penuh cabaran ini menguji kemampuan dan ketabahan dalam menguruskan suatu
organisasi dengan bijaksana. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 : 232) cabaran
didefinisikan sebagai hasil yang mencabar kemampuan dan ketabahan seseorang dalam pekerjaan
yang penuh dengan cabaran. Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu
menyahut cabaran untuk melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan
dengan muridnya tetapi juga bersama organisasi dan rakan sekerja yang mempunyai pelbagai
kepakaran. Pengurusan dalam pendidikan mempunyai satu organisasi yang dibentuk yang
mempunyai hala tuju yang mahu dicapai.

Halatuju pula bermaksud penetapan matlamat dan sasaran yang hendak dicapai dalam sesuatu
organisasi. Pendidikan khas perlu mempunyai visi, misi dan objektif utama dalam mengurus tadbir
sesuatu organisasi. Halatuju merangkumi perancangan pentadbiran, program-program utama,
peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran dan
membentuk kepakaran yang beretika.

2.0 Cabaran yang dimaksudkan boleh dilihat dalam pelbagai aspek:

2.1 Individu dan keluarga

Dari aspek penglibatan ibu bapa, didapati di Malaysia tahap kesedaran ibu bapa mengenai masa
depan anak-anak yang berkeperluan khas masih berada dalam keadaan yang minima. Hal ini dapat
dilihat dengan jelas di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa yang tinggal di luar bandar.
Hal ini kerana terdapat setengah ibu bapa yang beranggapan anak yang istimewa ini tidak layak dan
tidak berkeupayaan untuk mendapat pendidikan yang seimbang dan sempurna. Disebabkan
anggapan sedemikian maka wujudlah keciciran murid-murid berkeperluan khas daripada alam
persekolahan. Perkara ini terus menyebabkan kanak-kanak istimewa ini tidak mempunyai kemahiran
hidup yang baik dan akhirnya memberi bebanan kembali kepada keluarga masing-masing.

Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang masih kurang sedar mengenai betapa pentingnya
memberi pendidikan atau pun kemahiran mengurus diri kepada anak-anak yang istimewa. Faktor
utama yang menyebabkan perkara ini berlaku disebabkan kurangnya keyakinan akan kebolehan
anak-anak istimewa mereka ini. Sebagai contoh, pengajaran amali kemahiran memasak dan
menjahit, mungkin boleh menyebabkan timbulnya perasaan risau ibu bapa terhadap anak-anak
mereka berada di dapur. Hal ini mungkin disebabkan memikirkan keadaan yang mungkin boleh
mengundang bahaya semasa di dapur dan semasa menggunakan jarum untuk menjahit. Disebabkan
sikap yang terlalu obses akan perkara negatif inilah menyebabkan mengapa kanak-kanak
berkeperluan khas di Malaysia agak ketinggalan.
Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang hanya bergantung kepada pihak sekolah semata-mata
sahaja dalam usaha memberi didikan kepada anak mereka terutama dalam aspek pengurusan diri.
Disebabkan itulah terdapat murid-murid yang masih tidak tahu untuk membuang air kecil atau besar
di tempat yang sepatutnya iaitu tandas. Perkara ini sedikit sebanyak agak mengganggu proses
pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Akibatnya guru sendiri terpaksa membantu
menguruskan kanak-kanak tersebut semasa berada di dalam kelas.
Segelintir mereka mengharapkan sesuatu yang mustahil dalam masa yang singkat. Keenganan
ibu bapa memahami perjalanan pengurusan pendidikan khas menjadikan ianya semakin sukar untuk
dilaksanakan. Bagi mereka anak mereka harus diajar seperti murid aliran perdana yang lain.
Keghairahan menjadikan anak mereka sama dengan rakan sebaya sedikit sebanyak memberikan
tekanan kepada pengurusan pendidikan khas. Walau bagaimanapun ada sebahagian mereka pula
menyerahkan sepenuhnya anak mereka kepada pihak sekolah.

Mereka mengharapkan sepenuhnya kepada guru pendidikan khas mendidik anak mereka dalam
segala aspek. Kedua-dua situasi ini menjadi satu cabaran yang besar dalam pendidikan khas. Hal
yang demikian kerana tidak ada kesinambungan dan komitmen daripada pihak ibu bapa terhadap
pembelajaran anak mereka di luar waktu persekolahan. Peranan sesebuah institusi keluarga dan
sekolah amat penting dalam membantu membina kemahiran-kemahiran yang seharusnya dikuasai
murid berdasarkan transformasi dalam pendidikan. Terdapat sebahagian ibu bapa merasa rendah
diri kerana mempunyai anak yang tidak sempurna dan berasa malu pada ahli keluarga yang lain. Ada
sebahagiannya pula mengasingkan diri dari ahli keluarga lain.

Dari aspek individu murid pula adalah berbeza diantara satu sama lain. Menurut Khairul Yusri (2007),
perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulannya
sama ada dari segi sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek
aspek yang lain mungkin terdapat sesama individu dalam sesuatu kumpulan. Cabaran utama bagi
guru-guru pendidikan khas bagaimana untuk mendapat kepercayaan dari anak-anak istimewa ini.
Bukan senang untuk berhadapan dengan mereka kerana setiap orang kanak-kanak istimewa
tersebut biasanya mempunyai pelbagai kelainan. Kesediaan anak-anak istimewa ini memasuki alam
persekolahan juga dengan cara yang berbeza. Ini dapat dilihat pada faktor kematangan dan
kesediaan fizikal berhadapan dengan rakan-rakan baru di sekolah. Besar kemungkinan layanan yang
diterima di sekolah tidak sama dengan dirumah. Setiap hari mereka perlu mengikuti peraturanperaturan sama seperti rakan sebaya mereka.

Guru akan menghadapi berbagai bagai gaya dan karenah daripada murid-murid pendidikan khas ini
kerana kebanyakan mereka tidak pernah mengenali alam persekolahan pada peringkat awal.
Mereka mahu dilayan sebagaimana ibu bapa mereka melayan mereka di rumah. Guru sebagai
pengganti ibu bapa perlu peka kepada keperluan mereka setiap masa. Termasuklah dalam
pengurusan emosi dan amalan berdikari. Cabarannya ialah mungkin apa yang diberi oleh guru tidak
sama dengan apa yang mereka terima dirumah. Sangat sukar bagi guru berhadapan dengan mereka
yang mempunyai kepelbagaian yang pelbagai. Hanya dengan kesabaran dan keperihatinan serta
kemampuan memberikan layanan yang baik dalam pelbagai aspek mampu meningkatkan
kepercayaan murid terhadap guru pendidikan khas. Kepercayaan dan kasih sayang mereka terhadap
guru akan melebihi kepercayaan dan kasih sayang terhadap ibu bapa mereka sekiranya kita dapat
menyesuaikan diri dengan kepelbagaian mereka.

Cabaran juga dilihat dalam menguruskan murid-murid pendidikan khas yang berada di dalam
kelas inklusif . Kelas inklusif yang berjaya memerlukan guru biasa dan guru Pendidikan Khas
perlu bersikap jujur dan terbuka. Perkara yang sering diperkatakan ialah layanan yang diberikan
terhadap murid pendidikan khas dan keprihatinan guru dalam membimbing mereka bersama murid
biasa. Kita juga melihat peranan yang perlu dipikul oleh guru pendidikan khas semasa menghantar
murid mereka ke kelas inklusif. Murid inklusif ini mempunyai potensi untuk cemerlang sama dengan
murid biasa tetapi mereka memerlukan lebih bimbingan dan motivasi yang tinggi untk berdaya
saing.

2.2 Sosial dan persekitaran

Sosial dan persekitaran merupakan salah satu aspek penting dalam pengurusan pendidikan khas.
Sikap dan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan murid-murid pendidikan khas merupakan
satu lonjakan ilmu yang perlu diterokai bersama. Masyarakat mempunyai pelbagai perbezaan gaya
hidup dan kepercayaan. Cabaran yang sangat besar bagi pengurusan pendidikan khas adalah dalam
memberikan kesedaran dan membetulkan tanggapan mengenai pendidikan untuk kanak-kanak
kelainan upaya. Bukan semua daripada mereka mempunyai kemampuan untuk memenuhi
keperluan perbelanjaan sara hidup anak-anak mereka. Malah kebanyakan kanak-kanak kelainan
upaya ini datang dari keluarga yang mempunyai kemampuan yang tinggi untuk memberikan
kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan keperluan.

Kita mengharapkan sokongan dan komitmen dari ahli masyarakat dalam menangani masalah
tingkah laku dan displin serta penderaan kanak-kanak.
Sokongan masyarakat sangat penting bagi meredakan kegundahan hati ibu bapa berhadapan
dengan pelbagai rintangan dan cabaran membesarkan anak-anak kurang upaya. Ibu bapa sendiri
perlu bersikap terbuka bagi menggalakan masyarakat bersifat penyayang dan prihatin. Hubungan
dengan ahli komuniti yang lain perlu dijaga supaya semua orang sekeliling faham mengenai
pengurusan anak-anak pendidikan khas. Pengurusan pendidikan khas menghadapi cabaran dalam
menerapkan nilai-nilai simpati dan empati dalam kalangan ahli masyarakat atas nama kesedaran dan
tangungjawab. Kegiatan-kegiatan kerja amal dalam masyarakat masih lagi kurang mendapat
sambutan dan penglibatan dalam badan-badan sukarela hanya dalam kalangan ahli yang terlbat
sahaja.

Oleh yang demikian pelbagai kemudahan dalam persekitaran dapat diusahakan bersama . Namun
demikian bukan disemua tempat segala kemudahan itu disediakan malah ada segelintir yang
menyalahgunakannya. Menerapkan kesedaran dalam kalangan ahli masyarakat mengenai keperluan
golongan kelainan upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Lontaran pandangan sinis dan serong
terhadap golongan ini secara negatifnya akan memberi impak kepada pergaulan kanak-kanak
kelainan upaya dalam masyarakat. Kita lihat juga di persekitaran sekolah dimana penerimaan
pentadbiran sekolah dalam membuka ruang kepada murid-murid pendidikan khas. Pengintegrasian
sesuatu program bukanlah sesuatu yang mudah hendak dilaksanakan. Kesanggupan berkongsi segala
kemudahan yang ada dan memberikan keutamaan kepada murid-murid pendidikan khas
merupakan antara sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan.

Kebanyakan sekolah lebih berfokus kepada kecemerlangan dan bukan kepada kebajikan kerana
ianya membawa kepada impak yang lebih besar. Bukan semua program integrasi mendapat tempat
yang selesa dan mempunyai ruang yang cukup bagi menampung keperluan aktiviti mereka.
Pentadbir melihat program pendidkan khas ini seolah sekadar menumpang disatu sudut yang lain
atau menjadi tempelan sahaja kepada sekolah. Masyaralat sekolah memandang ianya satu program
yang bukan menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan sekolah.

Inilah cabaran yang sangat besar yang perlu dihadapi oleh pengurusan pendidikan khas. Dalam
melaksanakan tugasan hakiki dan berdaya saing dengan ahli masyarakat sekolah yang lain maka
pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hala tuju supaya program ini akan dipandang sama
hebat dengan program lain. Kerjasama dengan badan-badan atau persatuan yang boleh
memperjuangkan hak-hak kanak-kanak kelainan upaya sangat memberi impak. Kita semua perlu
bersatu menetapkan satu perjuangan yang sama supaya akan timbul kesedaran dalam kalangan
mereka bagi menghargai golongan yang kurang bernasib baik. Jabatan-jabatan kerajaan turut
memainkan peranan membuka ruang dan menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran
masyarakat terhadap tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan berbanding kepentingan peribadi.

Pelbagai aktiviti dan program perlu dirancang bagi membuktikan bahawa pengurusan pendidikan
khas boleh berdaya saing dan mempunyai matlamat jangka panjang. Kesedaran dapat dilihat sudah
banyak badan-badan sukarela menjalankan aktiviti-aktiviti bersama dan memberikan bantuan
kepada yang memerlukan.

2.3 Personel dan Kepakaran


Asas terpenting yang perlu dimiliki dalam sesuatu organisasi pendidikan ialah personel yang terdapat
dalam sesuatu organisasi. Personel inilah yang akan membentuk dan menggerakkan sesuatu
organisasi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Menurut Greenlaw dan Kohl dalam
buku Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan(zaidatol,2003), pengurusan personel merangkumi
semua keputusan yang berkaitan dengan sesebuah organisasi. Termasuklah aspek motivasi, melatih
dan menyediakan keperluan serta kefungsian personel.

Dalam konteks cabaran dalam pengurusan pendidikan khas, pengurusan sekolah berusaha
membentuk personel seorang guru yang mempunyai nilai-nilai etika dan kredibiliti sebagai seorang
pendidik. Semua peringkat dalam pengurusan perlu memberikan perhatian dan mengambil berat
kebajikan guru dalam memberikan ruang keselesaan. Pengurusan perlu bijak meletakkan guru di
tempat yang betul dengan minat dan kepakarannya. Kecekapan sesuatu pengurusan dapat dilihat
dengan sumbangan dan kerja buat seorang guru yang mampu melaksanakan tugasan dengan
efisyen.

Tugas seorang guru sebagai pengurus kanak-kanak istimewa ini sangat mencabar. Sebagai seorang
guru, adalah penting untuk mengetahui dan meneliti pendekatan yang bersesuaian yang dibawa
oleh setiap murid pendidikan khas, bakat serta minat mereka ke dalam situasi pembelajaran.
Sewajarnya guru perlu mengetahui bahawa setiap individu adalah berbeza dari aspek budaya, latar
belakang keluarga, dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak memberi kesan kepada
gaya dan corak pembelajaran mereka. Setelah guru perlu mampu memahami serta mengenali setiap

jenis murid didalam kelas supaya mereka juga boleh mencapai kejayaan daripada hasil
pembelajaran mereka di sekolah. Cabaran yang paling besar bagi guru pendidikan khas ialah bukan
sahaja memberikan pendidikan malah memastikan mereka juga boleh melakukan amalan berdikari
dalam kehidupan harian mereka. Amat sukar untuk dipastikan sebanyak mana amalan tersebut
dipraktikan di rumah dan mempunyai kesinambungan yang berterusan.

Pengurusan pendidikan khas juga perlu membuat perancangan mengurus bagi menentukan
keperluan dalam sesuatu organisasi. Ini bermaksud mengetahui bilangan guru yang diperlukan
dalam sesuatu organisasi mencukupi dengan keperluan. Kebanyakan program pendidikan khas
sering mengalami kekurangan guru. Tenaga pengajar yang tidak cukup akan menganggu proses
pengajaran dan pembelajaran murid khas. Oleh yang demikian lahirlah guru-guru yang dilatih secara
segera oleh kementerian termasuklah yang bertukar opsyen. Pengurusan pendidikan khas terpaksa
berhadapan dengan tenaga kerja yang kurang berpengetahuan, kurang kepakaran dan tidak
mempunyai minat dengan pendidikan khas.

Kewibawaan dan kebolehan guru pendidikan khas pula sering dipertikaikan kerana usaha melahirkan
seorang kelainan upaya yang cemerlang sangat sukar dilakukan. Kecemerlangan mereka dinilai
oleh prestasi murid pendidikan khas dalam akademik. Guru perlu sentiasa mengubahsuai proses
pengajaran dan pembelajaran termasuk kesediaan menggunakan pelbagai alatan pengajaran bagi
mencapai objektif pengajaran. Namun demikian masa untuk menghasilkan seorang insan yang
cemerlang dalam kalangan kelainan upaya memerlukan masa yang amat panjang. Sikap kebanyakan
guru pendidikan khas sendiri yang terlalu mengambil mudah dan tidak menunjukkan kesungguhan
dalam melaksanakan tugas. Alasan kerana mengajar pendidikan khas bukanlah satu helah yang baik
untuk tidak memberikan kerjasama dalam organisasi sekolah. Inilah satu cabaran dalam pengurusan
pendidikan khas kerana keseluruhan organisasi akan dipandang sepi kerana sikap beberapa orang
guru yang sedemikian.
Begitu sukar meletakan satu-satu kepakaran mengikut minat dan kebolehan guru dalam pengurusan
pentadbiran. Kepakaran itu boleh diperolehi dengan usaha latihan dan bacaan, kursus, pembelajaran
kendiri. Inidividu guru itu sendiri perlu mengapliksikan kepakaran yang ada bersama organisasi lain
atau kepakaran itu tidak boleh dikongsikan dengan orang lain. Ini satu cabaran yang sukar dihadapi
kerana ianya bergantung kepada minat dan komitmen guru dalam menjana idea dan perkongsian
maklumat. Bekerjasama sebagai satu kumpulan guru-guru biasa dan guru khas merupakan satu
himpunan kepakaran dan resos yang boleh digunakan untuk memenuhi keperluan
kepelbagaian murid. Kesepaduan tenaga dan pemikiran tersebut akan mengurangkan
pergantungan kepada pendekatan pengasingan.

Pengurusan pendidikan khas perlu melahirkan personel yang mempunyai kepakaran dan kualiti
kerja yang seimbang dengan penampilan peribadi. Cabaran memupuk hubungan baik dengan dalam
satu organisasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan daya pengeluaran dalam satu kerja

berpasukan. Struktur organisasi perlu membina hubungan baik dan menyediakan latihan bagi
meningkatkan semangat kerja berpasukan dan mempertingkatkan kepakaran personel.

3.0 HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS

Halatuju dalam amalan pendidikan telah jelas dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Khas iaitu satu
usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya,beriman,
berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai
individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Halatuju bermaksud menetapkan sasaran, misi, visi dan objektif keseluruhan dalam
sesuatu organisasi.

Pengurusan pendidikan khas dalam sesuatu organisasi akan berjaya apabila terdapat komitmen
sepenuhnya terhadap kualiti. Pentingnya melaksanakan visi dan misi haruslah seiring dengan
kecemerlangan tindakan. Tribus 1994, dalam buku Mengurus Kualiti Di Sekolah(2004), mengatakan
matlamat hendaklah tetap dan tidak berubah-berubah setiap hari. Justeru itu hasrat organisasi
untuk mempunyai hala tuju yang betul perlu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan misi
pendidikan untuk berdepan dengan cabaran-cabaran dalam pendidikan. Secara keseluruhannya
perbincangan halatuju dalam konteks pengurusan pendidikan khas merangkumi aspek:

3.1 Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan Khas

Misi Pendidikan Khas menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid dengan keperluan khas
untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari,berjaya dalam hidup dan memberikan
sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara. Visi Pendidikan Khas pula bagi menyediakan
perkhidmatan yang berkualiti kepada mereka dengan keperluan khas kearah kecemarlangan hidup
sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

Pentadbiran pendidikan khas perlu menyusun atur bidang tugas dengan bijak supaya tidak berlaku
pertindihan tugas yang boleh menjejaskan kualiti guru dan keseluruhan organisasi. Pembahagian
tugas yang adil dan sentiasa memantau pengurusan kerja serta memberikan khidmat bantu
membolehkan seseorang guru itu menjalankan tugas di atas landasan yang betul. Pentadbiran
pendidikan khas perlu mempunyai acuan yang tersendiri dengan gaya kepimpinan yang berkesan.
Pentadbiran pendidikan khas perlu melihat secara menyeluruh dari aspek pengurusan kurikulum,
kokurikulum, hal ehwal murid, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Tugas-tugas tersebut harus
difahami dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai penetapan perancangan strategik dengan sumbersumber yang cukup sesuai dengan keupayaan membangunkan organisasi. Hubngan baik dengan
rakan sekerja yang bersedia menerima kritikan, idea dan mencari jalan penyelesaian masalah.

3.2 Personel Dan Kepakaran

Menurut Atan (1991), guru mempunyai tugas yang mulia dan penting kerana di tangan gurulah
letaknya rakyat pada masa hadapan. Jika tugas guru itu dijalankan dengan baik, masyarakat
beruntung kerana menjadi rakyat yang berguna tetapi jika berlaku sebaliknya, masyarakat akan
menanggung kerugian yang besar. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini
harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan
menjadi dewasa kelak. Mereka perlu diberi ruang menjalani kehidupan yang bermakna dan mampu
menjalani hidup berdikari dalam masyarakat.

Pendidikan Khas adalah pengajaran yang direka bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan
keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara tersendiri, dilaksanakan secara teratur serta dinilai
keberkesanannya secara teliti bagi membantu murid dengan keperluan khas mencapai tahap
berdikari tinggi dan kejayaan hidup memuaskan. Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011),
menyatakan bahawa mendidik murid kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran
tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap setiap daripada mereka
memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

Pentadbir pendidikan khas perlu merupakan seorang yang menjadi pakar rujuk dalam segala aspek.
Pengetahuan dan pengalaman adalah gabungan yang boleh memimpin guru-guru lain. Halatuju yang
cemerlang memerlukan guru yang mempunyai keperibadian yang unggul, bersikap positif, memiliki
ketrampilan pengetahuan dan kemahiran dan beretika. Guru perlu berusaha meningkatkan
profesionalisme keguruan supaya kewibaan dan kebolehan mengendalikan murid-murid pendidikan
khas tidak boleh dipertikaikan. Justeru itu keupayaan berkomunikasi dan berkolaborasi dengan
semua pihak membawa kepada satu budaya kerja cemerlang dan berkualiti.

Guru pendidkan seharunya berani membuat anjakan minda dan sentiasa membuat pelabagai inovasi
dalam pengajaran sebagai tuntutan atas satu usaha yang bersungguh-sungguh. Kepakaran yang
dimiliki menjadi amalan dalam pengajaran dan pembelajaran yang membawa kepada
kecemerlangan dalam pendidikan khas. Perkongsian ilmu dapat meningkatkan prestasi kerja dan
memperbaiki kelemahan diri. Mohd Taib Hj Dora, 2005 dalam buku Asas Kepimpinan dan
Perkembangan Profesioanal(2010), mengatakan seorang guru itu perlu pakar dalam ilmu
pengetahuan dan berkualiti untuk meningkatkan profesion perguruan.

Guru pendidikan khas perlu mempunyai pengurusan emosi dan spiritual yang tinggi supaya dapat
mengekalkan kualiti dalam perkhidmatan. Ketrampilan diri hendaklah seiring dengan kepercayaan
pada diri sendiri dan berteraskan iman yang kuat agar tidak kecundang dengan tewas dengan
tanggapan negatif pihak lain. Halatuju guru dalam merealisasikan misi Kementerian Pendidikan,
khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf
professional melalui latihan dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan secara
kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran
melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk
merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan profesionalisme. Guru harus sedar tentang
tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara.
Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini setiap masa. Disamping itu
berusaha mengaplikasi kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru pendidikan khas
perlu menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak
berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran
yang semakin kompleks ini. Selain itu juga seorang guru perlulah berpengetahuan, berdaya fikir dan
berakhlak mulia. Guru yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk
peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian.

Guru-guru yang terlibat dalam kelas inklusif hendaklah bersedia untuk menghadapi sebarang
rintangan dan halangan yang mendatang. Mereka juga perlu belajar untuk berkompromi dan juga
membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang dirancangkan. Disamping itu juga guru
kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak
berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai perbezaan individu. Kedua-dua guru kelas
biasa dan guru khas perlu bersedia untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang dipersetujui
serta berkesanggupan untuk merancang dan bekerjasama dalam semua aspek aktiviti dan isu.
Penting sekali adalah kita tidak boleh mengenepikan, mengabaikan atau mengecilkan pendidikan
kanak-kanak bekeperluan khas ini. Isu isu pengasingan dan pelabelan membangkitkan semangat
dan kekuatan untuk bangun berdaya saing.

Murid-murid pendidikan sudah boleh berada dalam kelompok murid-murid biasa dan menjalankan
aktiviti kurikulum serta kokurikulum bersama. Program inklusif banyak membantu menjadikan
mereka berdaya saing dan berketrampilan setanding dengan rakan sebaya. Justeru itu program
inklusif perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya supaya murid-murid pendidikan khas boleh
berpeluang membuktikan keupayaan mereka dalam bidang akademik. Guru pendidikan khas harus
berusaha dan menunjukkan kepakaran dalam pelbagai bidang supaya kebolehan dan kepakaran itu
tidak boleh dipertikaikan. Kajian Haniz Ibrahim (1998) mendapati bahawa guru aliran perdana
sekolah rendah dan menengah bersikap negatif terhadap pendidikan inklusif. Penerimaan guru
aliran perdana terhadap murid yang belum didiagnosis lebih positif berbanding murid yang sudah
dilabel dengan sesuatu masalah.

3.3 Peranan Ibu bapa dan Masyarakat

Kita melihat perkembangan program pendidikan khas masa kini semakin diterima dengan baik.
Sambutan dari pihak ibu bapa sangat menggalakan demi kesedaran dalam memberikan pendidikan
kepada anak-anak istimewa. Akta pendidikan wajib telah memperlihatkan kedudukan kanak-kanak
kelainan upaya juga berhak diberi pendidikan yang selayaknya seperti kanak-kanak yang seusia
mereka. Bukan mudah bagi pihak ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada orang tidak mereka
kenali. Guru sentiasa perlu bersedia memberikan harapan dan menunjukkan kecekapan mereka agar
kewibawaan mereka dalam mendidik anak-anak kelainan upaya tidak dipandang remeh.

Pihak pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa dan
sentiasa berkolaborasi demi kejayaan anak-anak pendidikan khas. Keberkesanan dan pemantapan
program sangat memerlukan sokongan daripada institusi keluarga dan masyarakat. Pendapat
Sharifah Alwiyah Al Sagoff, 1985 dalam buku Kepimpinan Pendidikan di Malaysia92005),
mengatakan sekolah dan keluarga perlu mempunyai aspirasi , nilai dan sikap yang ada
kesinambungan antara sekolah dan rumah. Hal ini akan mengeratkan hubungan baik dua pihak
dalam mencapai visi pengurusan pendidikan khas. Ibu bapa dan masyarakat juga akan menjadi role
model kepada ibu bapa lain dan anak-anak pendidikan khas. Kesediaan ibu bapa dan masyarakat
memberi sokongan dalam program-program anjuran sekolah dan penglibatan dalam majlis ilmu
seperti seminar ke ibu bapaan membawa kepada hala tuju yang sama.

Kerjasama dengan badan-badan sukarela dan NGO akan membuka ruang dan pemikiran yang
lebih luas dan terbuka. Disinilah tempat yang paling sesuai untuk mereka bertukar-tukar pendapat,
menjana idea dan memberikan kritikan membina dalam usaha memahami keperluan pendidikan
masa kini. Kesedaran dalam kalangan mereka merupakan satu sokongan dan berfungsi sebagai
penyumbang dalam kemajuan pendidikan. Persepsi ibu bapa dan masyarakat terhadap pengurusan
sekolah perlu berubah mengikut keperluan semasa tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

4.0 Rumusan

Kesimpulannya cabaran dan halatuju pengurusan pendidikan khas perlu seiring. Isu-isu yang
dihadapi bukanlah satu halangan dalam mentadbir sesuatu program. Semua pihak perlu bekejasama
dan berganding bahu supaya murid-murid pendidikan khas mendapat peluang dan hak yang sama
dalam pendidikan. Kecekapan pengurusan sangat bergantung kepada kebijaksanaan mellaksanakan
hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi dua hala. Pihak-pihak yang terlibat secara langsung
seharusnya diberi pendedahan yang sebaiknya mengenai pengurusan dan pentadbiran pendidikan
khas. Dengan adanya kerjasama dan hubungan baik, maka kecemerlangan murid-murid pendidikan
khas sudah pasti dapat ditingkatkan. Pendidkan Khas juga mempunyai murid yang mempunyai
matlamat mencapai kehidupan bermakna dan berketrampilan dengan didikan golongan guru yang
inovatif dan kreatif. Berikan ruang kepada mereka untuk menjadi rakyat yang berpendidikan selari
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Anda mungkin juga menyukai