Anda di halaman 1dari 2

Pengenalan

Pendidikan ialah penyumbang utama kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi
negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang
melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan. Di Malaysia, bahasa
Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar
ilmu sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan diwartakan dalam Perlembangaan Persekutuan manakala
kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pula diwartakan dalam Akta Bahasa
Kebangsaan 1967. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu pula
diwartakan dalam Akta Pendidikan dan kemudian Akta Pendidikan 1996.
Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan
kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa
digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak
aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan
pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran
bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
Menyentuh mengenai perkembangan pendidikan Negara, pendidik dan guru adalah
anggota yang terlibat secara langsung bagi melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran yang efektif. Mereka boleh ditakrifkan sebagai alat perhubungan dalam
pendidikan. Berdasarkan hakikat di atas, guru adalah orang yang paling penting dalam urusan
penyampaian pelajaran kepada murid-murid. Oleh itu amatlah wajar bagi guru bersikap
positif dalam urusan penyampaian pelajaran kepada murid-murid. Biasanya, murid-murid
akan bersedia menerima apa sahaja bentuk pelajaran yang diajar oleh guru. Tetapi mereka
akan lebih berminat dan menghayati usaha guru yang dapat mempelbagaikan teknik
penyampaian pengajaran. Dalam pengajaran bahasa, guru perlu lebih kreatif dalam urusan
pemilihan media untuk pengajaran. Penggunaan pelbagai kaedah pengajaran dan
pembelajaran meningkatkan minat murid terhadap sains. Pelajaran bahasa yang tidak menarik
tidak akan merangsang murid-murid untuk belajar dan seterusnya memberi kesan kepada
tingkah laku mereka. Pemilihan kaedah pengajaran bahasa mestilah berdasarkan kandungan
kurikulum, kebolehan dan kepelbagaian jenis kecerdasan murid serta sumber prasarana yang
ada. Pernyataan ini juga disokong oleh Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abd Rahman

(2011) dengan menyatakan bahawa teknik pengajaran guru mestilah sesuai dengan kebolehan
murid dengan mengambil kira penggunaan kaedah pembelajaran berasaskan kajian masa
depan, kecerdasan pelbagai dan konsep konstruktivisme untuk meningkatkan minat murid
terhadap pelajaran.
Perkara ini jelas menunjukka pendidik memerlukan pendekatan dan strategi baharu
agar setiap murid mampu memiliki dan menguasai kemahiran yang diperlukan terutamanya
kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira. Berdasarkan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2015, setiap kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira taraf
ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapat pendidikan berkualiti bagi membolehkan
mereka mencapai potensi masing-masing. Melalui konteks ini, penekanan tidak hanya
terbatas kepada kanak-kanak normal sahaja malah turut merangkumi kanak-kanak yang
menghadapi kesulitan dalam pembelajaran seperti kanak-kanak pemulihan. Kanak-kanak
pemulihan perlu diasuh dengan menggunakan strategi serta kaedah pengajaran yang istimewa
dan berkesan.

Anda mungkin juga menyukai