Anda di halaman 1dari 6

Erti Merdeka 31 Ogos 1957 bagi Sabah dan Sarawak

oleh: Calvin Ohsey

Bayangkan jikalau kisah Puteri Hang Li Po dan Hang Tuah lima bersaudara yang sebenarnya
tidaklah sebagaimana yang diperkatakan dalam sejarah Melayu Melaka sebaliknya lagenda?
Bagaimana pula jikalau ada sejarah lain yang benar mengenai sesuatu peristiwa penting namun
ianya disembunyikan? Apakah motif sejarah tersebut diperakukan sedemikian rupa? Siapakah
yang menerima faedahnya?

Latar Belakang
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Laungan keramat Tunku Abdul Rahman sewaktu
mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 lalu menjadi kelaziman sebagai hari
sambutan kemerdekaan. Tahun ini, hari kemerdekaan telah masuk tahun yang ke-57. Tema
kemerdekaan adalah Malaysia...Disini Lahirnya Sebuah Cinta. Signifikannya, tarikh tersebut
dirayakan sebagai hari kemerdekaan Malaysia dan bukannya hari kemerdekaan Persekutuan
Tanah Melayu (sebut Malaya atau Semenanjung Malaysia).

Saya bukan berniat untuk menghasut bahkan apatah lagi menghina tarikh kemerdekaan 31
Ogos 1957. Namun, saya ingin mengajak rakyat Malaysia yang berfikiran matang dan terbuka
agar meneliti serta mengkaji semula sejarah sebenar Persekutuan Malaysia daripada pelbagai
sumber dan aspek. Dalam konteks sejarah, ciri-ciri sejarah haruslah benar dan tepat; penting
dan bermakna; serta penting dan bermakna. Bahkan sumber sejarah yang diperoleh haruslah
asli dan terbukti kesahihannya serta tidak diolah.

Dilema Sabah dan Sarawak


Merujuk kepada sejarah Sabah dan Sarawak masing-masing, salah satu kesilapan fatal dalam
penyampaian sejarah adalah kronologi peristiwa Pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.
Sabah dan Sarawak pada mulanya telah pun merdeka masing-masing daripada British pada 31
Ogos 1963 dan 22 Julai 1963. Oleh sedemikian, secara rasminya Sabah dan Sarawak
merupakan negara yang berdaulat.

Sabah dan Sarawak belum sempat meniti cita-cita sebagai negara berdaulat seperti yang
dijanjikan British. Tiba-tiba, dengan tidak semena-mena sebuah gagasan baru dicadangkan dan
dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold atas desakan rayuan Malaya serta kerjasama British
untuk membentuk sebuah negara baru bagi mengimbangi kuasa politik, menghalang pengaruh
komunis serta keseimbangan kaum dan mengukuhkan kedudukan ekonomi. Model
Persekutuan yang dijanjikan adalah serupa seperti United Kingdom.

Pada mulanya, ramai rakyat Sabah dan Sarawak tidak bersetuju dangan gagasan persekutuan
tersebut kerana ianya dianggap satu bentuk koloni baru oleh Malaya. Namun, setelah
rundingan, hampir kesemua parti-parti Sabah dan Sarawak pun bersetuju membentuk
Persekutuan Malaysia bersama Singapura. Rentetan peristiwa tersebut, Perjanjian Malaysia
1963 pun temeterai dan Persekutuan Malaysia pun diisytiharkan pada 16 September 1963.

Beserta Perjanjian Malaysia tersebut, dimuatkan juga Perjanjian 20 Perkara Sabah dan 18
Perkara Sarawak. Jikalau 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak itu hanya memorandum dan
bukan perjanjian sebagaimana didakwa oleh segelintir pakar sejarah mahupun ahli politik,
maka penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 langsung tidak melambangkan citra keagungan,
kesucian, kemuliaan dan kedaulatan kerana ianya dicabuli dan menzahirkan bahawa Malaya

memang sebuah kolonial yang licik. Melalui Perjanjian tersebut barulah dikatakan lahirnya
sebuah cinta iaitu Malaysia dimana ianya dibentuk menjadi sebagai Persekutuan.

Realiti Semasa Sabah dan Sarawak


Kita lihat pelbagai persepsi serta konotasi negatif dilemparkan apabila penduduk Sabah dan
Sarawak berhijrah ke Malaya atas sebab melanjutkan pelajaran dan peluang pekerjaan.
Sebagai seorang siswa, saya serta rakan-rakan Sabah dan Sarawak saya pernah diajukan
soalan seperti Di Sabah/Sarawak masih ada yang tinggal atas pokokkah?, Orang di kampung
masih pakai cawatkah dan pelbagai lagi soalan mengejek lain diajukan oleh segelintir siswa
Malaya yang jahil.

Tidak kurang juga di laman sosial, masih ada lagi juak-juak seperti pekerja jabatan kerajaan
dari Malaya seperti guru yang kurang prihatin atau tidak ikhlas mempersoalkan mengapa
mereka dihantar ke sana serta menghina penduduk Sabah dan Sarawak kerana tidak
mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap serta kekurangan tenaga pekerja tempatan
mereka walhal mereka tidak diberi peluang atau tidak mempunyai ruang kerjaya di kawasan
mereka sendiri.

Jika dilihat pada paksi realiti, Sabah dan Sarawak membangun dengan pesat terutama di
kawasan-kawasan bandar serta pekan-pekan kecil. Persoalannya, mengapa kawasan
perkampungan dan pedalaman masih lagi miskin dan tidak dilengkapi keperluan asas yang
mencukupi. Jikalau dilihat pada kekayaan hasil muka bumi seperti minyak Sabah dan Sarawak,
Petronas memperoleh keuntungan hasil kira-kira RM 70 billion setahun. Mana mungkin 5%
royalti minyak itu cukup jikalau ianya tidak mencukupi untuk keperluan pembangunan
infrastruktur serta modal insan di Sabah dan Sarawak. Realitnya 2/3 hasil minyak tersebut

adalah diperoleh dari Sabah dan Sarawak yang sepatutnya ada hak autonomi mengurus
berapa peratus perolehan mereka untuk diberikan kepada Persekutuan.

Tidak kurangnya dengan pelbagai masalah-masalah lain, seperti kebanjiran pendatang asing
tanpa izin di Sabah, serangan pengganas di Sabah projek empangan mega Sarawak dan
banyak lagi, persoalan utama bagi peduduk Sabah dan Sarawak adalah: Inikah yang wajar
mereka peroleh selama 51 tahun dalam Persekutuan Malaysia?

Gerakan Nasionalis Sabah dan Sarawak


Atas kesedaran bahawa Sabah dan Sarawak berhak mendapat hak yang sama seperti Malaya
serta inginkan keadilan sosial dan kebenaran ditegakkan, maka ramai individu Sabah Sarawak
tampil mempersoalkan status quo mereka dalam Persekutuan Malaysia. Daripada beberapa
individu ini, maka tampillah gerakan nasionalis yang bergerak secara berperingkat-peringkat
bagi memberi kesedaran.

Meskipun demikian, tidak semua gerakan nasionalis ini sama pada zahirnya. Ada gerakan yang
memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak hanya untuk Sabah dan Sarawak sahaja, ada pula
gerakan yang memperjuangkan pengkajian semula Perjanjian 18/20 Perkara Sabah dan
Sarawak serta Akta Malaysia dalam Persekutuan Malaysia beserta pemulihan semula
Persekutuan Malaysia dan ada pula gerakan yang memperjuangkan kemerdekaan mutlak
Sabah dan Sarawak dengan pemisahan daripada Persekutuan Malaysia.

Persoalan sekarang, mengapa gerakan-gerakan ini timbul dan lebih berani? Adakah ini agenda
pembangkang kerajaan? Adakah ini agenda puak pelampau? Saya berpendapat gerakan ini
timbul kerana kesedaran segelintir individu yang serik melihat anak bangsa mereka menagih
simpati di tempat lain sedangkan tanah tumpah darah mereka kaya dengan hasil bumi. Mungkin

juga kerana serik ditipu dengan penyembunyian serta manipulasi fakta sejarah oleh juak-juak
tertentu bagi kepentingan pemerintah. Mungkin juga mereka kesal dengan sikap pemimpin
bangsa mereka terdahulu yang silap menandatangani perjanjian membentuk Persekutuan
Malaysia dan akhirnya merasakan mereka dijajah oleh kolonisasi baru oleh Malaya.

Renungan erti kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 bagi Sabah dan Sarawak
Memetik kata-kata Naspazis Channel (Nasionalis Sabah) di laman sosial Facebook:
Kalau Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957 (57 tahun); Kalau Sarawak merdeka pada 22
Julai 1963 (51 tahun); Kalau Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 (51 tahun); maka Bilakah
Persekutuan Tanah Malaya merdeka?; dan Bilakah Malaysia dibentuk?; Adakah Malaysia itu
Malaya?

Sekiranya mengikut logik kata-kata tersebut, jikalau sesiapa yang mengatakan Malaysia itu
merdeka 31 Ogos 1957; mereka adalah orang-orang yang berdusta dengan sejarah. Mana
mungkin Malaysia merdeka, sedangkan Malaysia tidak pernah dijajah. Adalah lebih fatal jika
Sabah dan Sarawak dianggap merdeka pada tarikh 16 September 1963 melalui pembentukan
Malaysia.

Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 diikuti Sabah dan Singapura pada 31 Ogos 1963.
Justeru, jikalau kemerdekaan telah disytiharkan, maka status kemerdekaan sudah pasti adalah
negara. 3 negara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah merdeka bersama negara
Malaya telah membentuk Persekutuan Malaysia; maka disitulah lahirnya sebuah cinta.

Akhir kalam, saya berharap agar pihak pemerintah menghentikan pemanipulasian fakta sejarah
dengan mengikhtiraf kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963, diikuti kemerdekaan Sabah
pada 31 Ogos 1963 seiring dengan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957 agar tidak luput

dek telan zaman. Apalah makna kemerdekaan jika masyarakat masih terjajah dengan penipuan
sejarah serta ketidakadilan sosial yang sepatutnya membentuk identiti masyarakat Persekutuan
Malaysia yang sebenarnya?

Anda mungkin juga menyukai