Anda di halaman 1dari 3

Orang Banjar

Orang Banjar merupakan suku peribumi bagi sebahagian besar wilayah Kalimantan Selatan,
kecuali di Kabupaten Kota Baru.

Mereka menggunakan bahasa Banjar, yang pada asasnya adalah bahasa Melayu. Nama Banjar
diperolehi dari Kesultanan Banjarmasin atau dipendekkan menjadi Banjar, bertepatan dengan
nama ibukota pada mula berdirinya.

Asal usul orang Banjar

Terdapat sekurang-kurangnya dua pendekatan yang cuba menerangkan mengenai asal usul
orang Banjar. Pertama, pendekatan primordialisme yang dikemukakan oleh Alfani Daud.
Kedua, pendekatan konstruktifis atau situasionalis yang pada mulanya dikemukakan oleh
Idwar Saleh (1986), kemudian dikembangkan oleh Marko Mahin (2004).

Pendekatan primordialisme

Mengikut Alfani Daud (1997; 2004: 85) suku bangsa Banjar ialah penduduk asli sebahagian
wilayah provinsi Kalimantan Selatan, iaitu selain kabupaten Kota Baru. Mereka itu diduga
berintikan penduduk asal Sumatera atau daerah sekitarnya lebih dari seribu tahun yang lalu.
Setelah berlalu masa yang lama sekali, dan setelah bercampur dengan penduduk yang lebih
asli, yang biasanya dinamakan secara umum sebagai suku Dayak, dan dengan imigran yang
datang kemudian, akhirnya terbentuklah setidak-tidaknya lima subsuku, iaitu:

• Banjar Pahuluan
• Banjar Batang Banyu
• Banjar Kuala
• Banjar Alai
• Banjar Kaluak

Orang Pahuluan pada asasnya ialah penduduk daerah lembah sungai-sungai (cabang sungai
Negara) yang berhulu ke Pegunungan Meratus. Orang Batang Banyu mendiami lembah
sungai Negara, sedangkan oang Banjar Kuala mendiami daerah sekitar Banjarmasin dan
Martapura. Bahasa yang mereka kembangkan dinamakan bahasa Banjar, yang pada asasnya
ialah bahasa Melayu– sama halnya seperti ketika mereka berada di daerah asalnya di
Sumatera atau sekitarnya – yang di dalamnya terdapat banyak sekali kosa kata yang berasal
dari kosa kata Dayak dan Jawa.

Nama Banjar diperoleh kerana mereka dahulu, sebelum dihapuskan pada tahun 1860, adalah
warga Kesultanan Banjarmasin atau dianggap sebagai Banjar, sesuai dengan nama ibukotanya
pada masa mula-mula didirikan. Ketika ibukota dipindahkan arah ke pedalaman, terakhir di
Martapura, nama Banjar tersebut nampaknya sudah diterima umum dan tidak berubah lagi
Pendekatan konstruktifis atau situasionalis

Mengikut Idwar Saleh (1986: 12) pula, sebelum dan pada awal berdirinya Kesultanan Islam
Banjar, etnik Banjar pada waktu itu belum menjadi identiti suku atau agama, dan hanya
sebagai identiti diri yang merujuk pada kawasan teritorial tertentu yang menjadi tempat
tinggal mereka.

Idwar Saleh menyimpulkan suku Banjar terdiri dari tiga subetnik berdasarkan wilayah tempat
tinggal mereka dan unsur pembentukan suku:

• Banjar Pahuluan; campuran Melayu dan Bukit (Bukit sebagai ciri


kelompok).
• Banjar Batang Banyu; campuran Melayu, Maayan, Lawangan, Bukit dan
Jawa (Maanyan sebagai ciri kelompok)
• Banjar Kuala; campuran Melayu, Ngaju, Barangas, Bakumpai, Maayan,
Lawangan, Bukit dan Jawa (Ngaju sebagai ciri kelompok)

Budaya dan agama

Dari segi agama, boleh dikatakan semua orang Banjar memeluk agama Islam. Dan mereka
pada umumnya ialah orang yang taat menjalankan perintah agamanya. Beberapa ulama
terkenal nusantara adalah terdiri dari orang Banjar.

Penghijrahan ke Sumatera dan Malaysia

Suku Banjar yang tinggal di Sumatera dan Malaysia merupakan anak cucu dari para
penghijrah etnik Banjar yang datang dalam tiga gelombang migrasi besar.

Pertama, pada tahun 1780 terjadi penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. Etnik Banjar
yang menjadi pendatang ketika itu adalah para penyokong Pangeran Amir yang kalah dalam
perang saudara Kerajaan Banjar, iaitu Pangeran Tahmidullah. Mereka terpaksa melarikan diri
dari wilayah Kerajaan Banjar kerana sebagai musuh politik mereka sudah dijatuhkan
hukuman mati.

Kedua, pada tahun 1862 terjadi lagi penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. Etnik
Banjar yang menjadi pendatang ialah para pendukung Pangeran Antasari dalam kemelut
Perang Banjar. Mereka terpaksa melarikan diri dari pusat pemerintahan Kerajaan Banjar di
kota Martapura atas alasan yang sama. Pasukan Residen Belanda yang menjadi musuh mereka
dalam Perang Banjar yang sudah menguasai kota-kota besar di wilayah Kerajaan Banjar.

Ketiga, pada tahun 1905 etnik Banjar kembali melakukan penghijrahan besar-besaran ke
pulau Sumatera. Kali ini mereka terpaksa melakukannya kerana Sultan Muhammad Seman
yang menjadi Raja di Kerajaan Banjar ketika itu mati syahid di tangan Belanda.

Penghijrahan suku Banjar ke Sumatera khususnya ke Tembilahan, Indragiri Hilir sekitar tahun
1885 di masa pemerintahan Sultan Isa, raja Indragiri sebelum raja yang terakhir. Tokoh etnik
Banjar yang terkenal dari daerah ini ialah Syekh Abdurrahman Siddiq Al Banjari yang berasal
dari Martapura, Banjar yang memegang jawatan sebagai Mufti Kerajaan Indragiri.
Dalam masa-masa tersebut, suku Banjar juga berhijrah ke Malaysia antara lain ke negeri
Kedah, Perak (Kerian, Sungai Manik, Bagan Datoh), Selangor (Sabak Bernam, Tanjung
Karang), Johor (Batu Pahat) dan juga negeri Sabah (Sandakan, Tenom, Keningau, Tawau)
yang dikenali sebagai Banjar Melau. Tokoh etnik Banjar yang terkenal dari Malaysia adalah
Syeikh Husein Kedah Al Banjari, iaitu bekas mufti Kerajaan Kedah. Salah seorang etnik
tokoh Banjar dari Malaysia yang terkenal ketika ini ialah Dato Seri Harussani bin Haji
Zakaria yang menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Daerah yang paling ramai terdapat etnik Banjar di Malaysia adalah daerah Kerian di Negeri
Perak Darul Ridzuan. Organisasi suku Banjar di Malaysia adalah Pertubuhan Banjar
Malaysia.

Hubungan dengan kaum Dayak

Hubungan antara suku Banjar dan kaum Dayak selalunya dalam keadaan baik. Beberapa
kaum Dayak masuk Islam dan berasimilasi dengan budaya suku Banjar serta memanggil diri
mereka orang Banjar. Kaum Dayak menganggap suku Banjar sebagai saudara. Ini
diperkuatkan lagi dengan banyaknya perkahwinan antara suku Banjar dan kaum Dayak
termasuk pada peringkat raja. Contohnya, Biang Lawai, isteri kepada raja Banjar adalah dari
etnik Dayak Ngaju.

Hubungan ini menjadi kuat apabila mereka berhadapan dengan penjajahan. Mereka bersama-
sama berperang dan beberapa pejuang yang terlibat dalam Perang Banjar adalah dari etnik
Dayak. Contohnya.

• Panglima Batur, dari etnik Dayak Siang Murung


• Panglima Wangkang, ayahnya Dayak Bakumpai dan ibunya Banjar
• Panglima Batu Balot (Tumenggung Marha Lahew), pahlawan wanita yang
menyerang Kubu Muara Teweh pada tahun 1864-1865.