Anda di halaman 1dari 11

Persidangan Antarabangsa Minoriti dan Majoriti: Bahasa, Budaya dan Identiti: Hilton, Kuching, Sarawak, Malaysia: 23 24

November 2010.

Tikar Bemban Satu Seni Rupa Iban Yang Harus Dipertahankan


Oleh
Anna Durin,
Rahah Hasan,
Zarina Mohd. Shah.

Abstrak
Tikar bemban ialah sejenis tikar masyarakat Iban yang dianyam dan ia diperbuat daripada
tumbuhan bemban dari jenis donax andurastrum. Pada zaman dahulu, tikar bemban sangat
popular dalam kalangan orang Iban yang tinggal di Bahagian Samarahan, Sri Aman dan Betong
Sarawak. Tikar bemban dianyam dengan motif-motif yang cantik. Motif-motif itu dibahagikan
kepada tiga kategori, iaitu motif mudah, motif sederhana dan motif kompleks atau kelas tinggi.
Biasanya, penciptaan motif-motif dipengaruhi oleh alam sekitar, pandangan dunia dan
kepercayaan tradisi masyarakat berkenaan. Motif-motif itu juga menyimpan gambaran budaya
masyarakat yang menciptanya dan oleh itu ia boleh dijadikan artifak untuk mengkaji budaya
penciptanya. Pada zaman dahulu, tikar bemban memainkan peranan penting dalam kehidupan
masyarakat Iban misalnya sebagai alas duduk pada hari-hari biasa, dan juga alas duduk waktu
keramaian, dalam persembahan ritual tertentu seperti kematian, perubatan, perkahwinan dan
lain-lain. Pada masa kini, seni rupa tikar bemban mengalami masalah kepinggiran. Kebanyakan
masyarakat Iban pada zaman kini, sama ada yang tinggal di rumah panjang ataupun di Bandar,
tidak mementingkan seni rupa itu lagi. Oleh itu, hanya segelintir kecil sahaja daripada mereka
yang masih boleh menganyam tikar bemban terutamanya, tikar bemban yang menggunakan
motif-motif kompleks. Walau bagaimanapun terdapat juga syarikat kraftangan di sekitar
Bandaraya Kuching dan di daerah Serian yang mengusahakan tikar bemban secara kecil-kecilan
untuk tujuan komersial. Tikar bemban yang di pasaran hanyalah terdiri daripada yang dianyam
dengan motif mudah dan sederhana sahaja. Oleh itu, menerusi kertas kerja ini kami ingin
mencadangkan supaya tikar bemban yang bermotif kompleks perlu dianyam dengan banyak, dan
pakar-pakar seni anyaman yang masih ada harus mengajar, melatih dan mendidik generasi muda
Iban untuk menerus dan mempertahankan seni rupa berkenaan demi untuk kebanggaan dan
identiti masyarakat Iban.

Pendahuluan
Tikar bemban ialah sejenis tikar yang dianyam daripada bilah-bilah bemban dan orang
Iban di Sarawak telah menggunakan tikar bemban sejak zaman nenek moyang mereka dahulu
lagi (Heinze, 1969). Tikar Bemban banyak digunakan orang Iban yang tinggal di Bahagian Kota
Samarahan, Bahagian Seri Aman dan Bahagian Betong. Ini berkemungkinan kerana di ketigatiga bahagian itu mempunyai tanah yang berpaya, iaitu memang sesuai untuk tumbuhan
berkenaan tumbuh dengan suburnya.
1

Tumbuhan Bemban
Bemban yang digunakan untuk menganyam tikar ialah terdiri daripada spesis donax
andusrastrum dan dalam bahasa Iban ia dinamakan bemban ai dan ai bermaksud air dan ia
dinamakan begitu kerana ia biasanya tumbuh di tepi sungai yang berlumpur dan juga di kawasan
berpaya (Blehaut:1992). Bunga bemban berwarna putih dan wangi. Kulitnya berwarna hijau tua
dan halus. Tumbuhan bemban ini mempunyai sejenis penyakit yang disebut dalam bahasa Iban
balu dan penyakit ini adalah disebabkan oleh daun-daun yang tua dan gugur kemudian melekat
kepada kulit bemban. Lama-kelamaan daun atau akar yang melekat pada kulit bemban berkenaan
menjadi reput dan seterusnya akan merosakkan batang bemban berkenaan dan akhirnya bemban
itu akan mati. Oleh kerana penyakit balu pada bemban itu, maka orang Iban mempunyai pantang
larang untuk menanam bemban. Adalah dilarang orang yang bukan balu untuk menanam bemban
kerana ditakuti dia akan menjadi balu (Anna Durin, 2002). Apabila seseorang menanam bemban
maka mereka harus berhati-hati kerana pada waktu itu mereka berkenaan tidak boleh memijak
bayang-bayang sendiri kerana ditakuti akan alah ayu atau lemah semangat dan hal ini boleh
membuatkan mereka jatuh sakit.

Gambar 1: Bemban Air (Donax Andurastrum)

Fungsi Tikar Bemban


Pada zaman dahulu orang Iban menggunakan tikar bemban sebagai alas duduk misalnya
untuk kegunaan harian, pada waktu-waktu tertentu seperti keramaian, kematian, sebagai alas
tidur, alas untuk meletakkan mayat, bertangas dan meletakkan beras yang hendak dipilih
antahnya. Fungsi-fungsinya menentukan jenis-jenis tikar bemban yang digunakan dan terdapat
2

beberapa jenis tikar bemban yang dicipta orang Iban untuk mengisi keperluan, seperti yang telah
dinyatakan di atas.
Tikar bemban yang digunakan sebagai alas duduk untuk hari-hari biasa terdiri daripada
yang dianyam dengan bilah-bilah yang kasar dan ini terdiri daripada tikai belebak atau tikai
tampung. Maksud tikai belebak ialah tikar bemban yang dianyam daripada bemban yang panjang
dan oleh itu, bilah-bilah itu tidak perlu disambung-sambung. Tikai tampung pula dianyam
daripada bemban yang pendek dan kerana ia pendek maka bilah-bilah harus disambungsambung. Tikai empeda ialah tikar bemban yang dianyam daripada kulit dalaman bemban dan
oleh bilah-bilah besar dan hanya sesuai dianyam dengan motif-motif yang kecil, seperti motif
Anyam Dua, motif Cit Padi dan motif Anyam Apit. Biasanya tikai empeda digunakan untuk
meletakkan beras apabila hendak memilih antah padi tersebut. Untuk waktu keramaian biasanya
tikar bemban yang digunakan adalah dari jenis tikai halus atau tikai bujang dan tikar-tikar ini
biasanya dianyam dengan motif kelas tinggi atau motif kompleks. Untuk bertangas biasanya
menggunakan tikar yang menggunakan bilah kasar dan biasanya tikai belebak.

Gambar 2: Tikar Bemban


3

Etika Seni Anyaman Tikar Bemban


Dalam proses penganyaman tikar bemban terdapat beberapa pantang larang yang harus
dipatuhi sekiranya orang yang menganyam itu hendak selamat dari segala perkara-perkara buruk
yang berkaitan dengan kepercayaan tradisi orang Iban. Misalnnya, seseorang yang baru belajar
menganyam mesti bermula daripada motif-motif yang mudah seperti motif Anyam Dua, motif
Mata Punai, dan motif Buah Empit/ Empelanjau. Kemudian pergi kepada motif Bintang Senulau,
motif Buah Andu, motif Burung Punai, motif Bintang Senagir dan seterusnya kepada motif yang
dalam peringkat tinggi seperti motif Nabau Betabu, motif Burung Helang, motif Gerasi
Bejengkau dan pergi kepada motif yang tinggi dan kompleks seperti motif Bulan Sebayan, motif
Sepit Api, motif Remaung Tali Gantung, motif Mulung Merangau, motif Pipit Banda, motif
Dulang Sempandai, motif Kapal Bejarut dan lain-lain.

Gambar 3: Motif Bintang Senulau (Mudah/Simple)


Peringkat-peringkat menganyam motif itu harus dipatuhi kerana dalam kepercayaan orang
Iban tradisi, sekiranya seseorang melanggar pantang-larang berkenaan, perkara tersebut boleh
menyebabkan mereka lemah semangat dan jatuh sakit, dan sekiranya tidak dapat diubati maka ia
boleh membawa maut. Seorang wanita yang layak menganyam motif-motif yang terdiri dalam
kelas tinggi dan yang kompleks adalah terdiri daripada yang sudah tuai bulu. Tuai bulu
bermaksud wanita berkenaan memiliki ubat enda layu dan mereka juga mempunyai pengalaman
yang luas dalam ilmu seni anyaman dan melalui pengalaman itu maka mereka memiliki
kepakaran yang sangat tinggi. Ubat enda layu bermaksud sejenis azimat pelindung yang
dipercayai pemberian daripada deities seperti Indai Abang, Kumang, dan Lulung. Kepercayaan
tradisi berkaitan deities itu juga sangat mempengaruhi penciptaan motif-motif kompleks seni
anyaman orang Iban (Derek, 1992).

Seperti seni anyaman orang Melayu yang dinyatakan oleh Haziyah Hussin (2006),
pengaruh alam sekitar dalam penciptaan motif itu sangat ketara kerana banyak motif seni
anyaman orang Iban yang menggunakan nama tumbuhan misalnya motif daun Rotan, motif
4

Paku-Pakis, motif Mayang Nipah, dan motif Lelingkuk yang berunsurkan akar. Selain tumbuhan,
terdapat juga motif yang berunsurkan haiwan seperti motif Iku Enseluai, dan motif Ular Sawa.
Terdapat juga motif yang dicipta kerana pengaruh ritual animisme, iaitu seperti motif Mulung
Merangau dan motif yang berunsurkan budaya bejalai atau pegi seperti motif Kapal Bejarut.
Motif-motif yang berunsurkan hantu semangat adalah seperti motif Gerasi Bejengkau dan motif
Anak Buau. Seperti juga yang terdapat dalam seni rupa Melayu, iaitu terdapat motif seni
anyaman Iban yang berunsurkan cakerawala seperti motif Senagir dan motif Senulau yang telah
dinyatakan di atas.

Gambar 4: Motif Bintang Senagir (Sederhana)

Gambar 5: Motif Burung (Sederhana


5

Motif Seni Tikar Bemban sebagai Simbol Budaya Iban


Sebagai simbol budaya, sudah tentu motif-motif seni anyaman tikar bemban masyarakat
Iban mempunyai pelbagai gambaran budaya masyarakat berkenaan dan budaya yang
dimaksudkan itu adalah seperti yang berkaitan dengan kepercayaan tradisi atau animisme dan
cerita mitos.
Sebagai simbol kepercayaan tradisi atau animisme seni tikar bemban mempunyai motifmotif yang berunsurkan mahluk ghaib misalnya gergasi, deities, penunggu dan sebagainya.
Motif-motif seperti corak Gerasi Bejengkau yang menggambarkan kepercayaan Iban tradisi yang
percaya kepada kewujudan hantu gergasi dan dalam motif atau corak berkenaan, motif hantu
gergasi-hantu gergasi itu dianyam secara berpegang tangan dan ini adalah lambang kepada
kepercayaan Iban yang menyatakan pada waktu senja kanak-kanak dilarang bermain di luar
rumah panjang kerana takutkan antu gerasi berayah tunsang yang bermaksud gergasi-gergasi itu
menari songsang.

Gambar 6: Motif / Corak Gerasi Bejengkau (Kategori Tinggi)


6

Kepercayaan mengenai semua benda hidup atau bukan hidup mempunyai semangat telah
diterapkan kepada beberapa motif seni anyaman Iban, iaitu motif Remaung (harimau), motif
Lang atau Menaul (helang), motif Nabau (ular sawa yang besar) dan motif Burung. Amalan
animisme juga telah membuatkan masyarakatkan Iban pada zaman dahulu mempraktikkan head
hunting maka tercipta juga motif seni tikar bemban yang berunsurkan budaya berkenaan, seperti
motif Mulung Merangau (nama ritual animisme), motif Sepit Api (nama gelaran deity atau bapa
deity Keling) dan motif Pipit Banda Dua Betunga, Beipa Beila-ila dan motif ini melambangkan
budaya kayau anak, iaitu satu daripada aktiviti head hunting yang dibuat secara senyap-senyap
atau mengendap menunggu masa yang baik untuk membunuh atau memotong kepala
mangsanya. Dalam cerita mitos deity Sepit Api digambarkan sebagai seorang wira yang gagah,
berani dan mempunyai ilmu sakti yang amat tinggi dan begitu juga anaknya deity Keling. Keling
digambarkan dalam cerita mitos Iban, seorang pemuda yang gagah perkasa, sangat tampan dan
seperti bapanya yang memliki ilmu sakti sangat tinggi. Oleh yang demikian, kedua-dua deities
ini biasanya dipuja oleh masyarakat Iban tradisi apabila mereka mengadakan ritual berkaitan
dengan amalan animimse seperti ritual Mulung Merangau.

Gambar 7: Motif Remaung (Kategori Tinggi dan Kompleks)


7

Gambar 8: Motif Kapal Bejarut (Kategori Tinggi dan Kompleks

Gambar 8: Motif Mulung Merangau (Kategori Tinggi dan Kompleks)

Gambar 9: Motif Anak Buau (Kategori Tinggi)

Alam cakerawala, seperti bulan dan bintang juga mempunyai pengaruh dalam seni anyaman
tikar bemban masyarakat Iban, maka dengan itu terciptalah motif Bulan dan motif Bintang.
Motif Bulan juga menggambarkan budaya tentang kepercayaan masyarakat Iban berkenaan
dengan alam selepas manusia meninggal dunia atau menua sebayan maka dengan itu terciptanya
motif Bulan Sebayan. Oleh kerana motif-motif yang telah dinyatakan di atas mempunyai
pengaruh hantu semangat, deities dan alam selepas mati maka tidak semua orang Iban
dibenarkan menganyam motif-motif berkenaan kerana ditakuti boleh membuatkan penganyam
tersebut menjadi lemah semangat dan seterusnya boleh jatuh sakit atau meninggal dunia. Mereka
yang layak hanyalah yang terdiri daripada yang memliki ubat enda layu atau tuai bulu atau Indu
Takar.

Masalah yang Dihadapi oleh Seni Tikar Bemban


Pengaruh pemerintahan Brooke di Sarawak sejak 1841 banyak menyumbang kepada
perubahan budaya masyarakat Iban dan oleh itu aktiviti atau praktik head hunting sudah lama
ditinggalkan. Oleh kerana praktik head hunting itu tidak diamalkan lagi maka dengan itu ritualritual berkaitan dengan head hunting juga dipinggirkan, seperti ritual mulung merangau yang
telah dinyatakan di atas. Semasa pemerintahan Brooke juga terdapat mubaligh-mubaligh Kristian
yang dibawa ke Sarawak untuk mengajar masyarakat Iban tentang agama berkenaan. Oleh itu
ramai daripada mereka telah menganut agama Kristian. Di Bahagian Betong (lokasi kajian),
tidak kurang daripada 85% orang Iban di situ ialah beragama Kristian dan kebanyakan mereka
Kristian Anglika.
9

Perubahan kepercayaan kepada agama Kristian juga turut menyumbangkan kepada


kepupusan penciptaan motif-motif baru yang berkaitan dengan hantu semangat, deities dan ritual
head hunting.Selain itu, perubahan ekonomi kepada tahap yang lebih baik juga turut dirasai oleh
seni tikar bemban kerana masyarakat Iban sama ada di bandar-bandar atau di rumah panjang
lebih berminat menggunakan perabot-perabot seperti kerusi, settee, kusyen dan lain-lain sebagai
tempat duduk. Ramai antara mereka terutamanya generasi baru yang berpendidikan tinggi tidak
berminat untuk menyambung seni berkenaan. Mereka yang memiliki kemahiran menganyam
motif kompleks seni tikar bemban tersebut hanyalah yang terdiri daripada golongan tua (50
tahun ke atas).

Cadangan untuk Memelihara dan Memperkembangkan Seni Tikar Bemban


Pada zaman dahulu pengaruh animisme telah membantu penciptaan motif dan juga
menentukan pantang-larang pantang-larang tertentu terhadap penganyam tikar bemban, namun
pada masa kini, amalan animisme tersebut telah banyak ditinggalkan. Oleh itu, menerusi kertas
kerja ini saya ingin mencadangkan supaya agama baru yang dianuti itu digunakan untuk
menguatkan semangat seseorang penganyam supaya tidak takut meneruskan seni motif kompleks
tikar bemban. Selain itu, kertas kerja ini juga mencadangkan supaya seni tikar bemban ini
diperkenalkan semula kepada generasi baru Iban dan juga masyarakat lain di Malaysia (tidak
kira apa budaya dan agama). Tujuannya adalah untuk memperkembangkan seni tikar bemban
supaya dianyam oleh seluruh rakyat Malaysia. Maka dengan itu diharapkan ia menjadi satu seni
yang boleh menyatu-padukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Maka dengan
cara begitu kertas ini mohon supaya institusi-institusi kraftangan pusat dan negeri mengambil
langkah untuk mengekal dan memajukan seni ini. Kertas ini juga mencadangkan kepada mereka
yang mahir dalam seni ini supaya tampil ke hadapan untuk membantu memelihara dan
mengembangkan seni rupa tikar bemban kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebagai pengakiran
kata, diharapkan seni tikar bemban terus maju dan mampu menyatukan-padukan rakyat Malaysia
yang berbilang bangsa, budaya dan agama sekaligus menjadi lambang identiti budaya orang Iban
di Sarawak.

10

Bibliografi:
Anna Durin, 2002. Tikar Bemban Dalam Seni Dan Budaya Masyarakat Iban Di Sarawak.
Latihan Ilmiah, Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya.
Blehaut, Jean-Francois, 1992. Sarawak Literary Society.
Haziyah Hussin, 2006. Motif Alam dalam Batik dan Songket Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Heinze, Susi, 1969. Art Teaching for Upper Secondary Schools. Kuching: Borneo Literature
Bureau.
Muhammad Afandi Yahya, 1995. Simbolisme dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Munan, Heidi, 1989. Sarawak Crafts. Methods, Material and Motifs. Singapore: Oxford
University Press.

11