Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PELAJAR SEMPENA HARI GURU 2013

Bismillah hirrahman nirrahim ,


Yang Berusaha, Pengetua Cemerlang SMK Raja Tun Uda, Pn. Hajah Wan Lijah Bt Wan Daud
Penolong Kanan Pentadbiran, En Johari bin
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En Zaidi Bin Hamzah
Penolong Kanan Kokurikulum, Pn. Asiah Binti Mat
Penolong Kanan Tingkatan Enam, En Kumaravel
ketua- ketua bidang, Guru cemerlang, guru-guru
dan rakan-rakan yang dihormati sekalian.
Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, Salam 1 Malaysia, Salam mercu di Hari Guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Bicara saya dimulakan dengan deklamasi petikan sajak yang saya dapati dari laman maya. Sajak
tersebut kalau saya renung- renungkan sememangnya mengenai guru dan jasanya. Dalam konteks
yang lebih mendalam, saya mendapati bahawa penyajak ingin mengutarakan bahawa guru
merupakan tulang belakang utama sesebuah negara.
"Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai
guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi
rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi
kepada agama, bangsa dan juga negara.
Pepatah Melayu ada berkata, Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain,
menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna
kepada kita semua. Tanpa guru, takkan ada insan-insan hari ini yang berpangkat menteri, berjawatan
besar, bergelar jutawan, doktor, peguam, jutawan internet, angkasawan dan sebagainya.
Tema hari guru pada tahun ini , GURU MALAYSIA : 1 ASPIRASI, 1 AGENDA, jika dilihat
secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan
keadaan telah berubah maka guru sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara
perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Perlaksanaan
KSSR, SPPK dan MBMMBI serta PPPM 2013-2025 perlulah mengikut acuan yang telah ditetapkan
oleh kerajaan agar transformasi pendidikan yang diingin dapat dicapai. Begitu juga dengan
penggunaan IT (teknologi maklumat) dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) yang begitu izhar
eksplisitnya di SMK RAJA TUN UDA. Warga guru di sekolah ini amat bertuah kerana mempunyai Pn.
Pengetua Cemerlang yang begitu terkenal dengan ICT nya bagi memastikan agar matlamat untuk
mentransformasikan pendidikan negara tercapai.
Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke arah
Wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan. Guru- guru
bertanggngjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda kerana melentur buluh biarlah

dari rebungnya.
Kendatipun begitu, guru yang diibaratkan lilin membakar dirinya untuk menerangi orang lain
mendepani pelbagai onak dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah anak-anak muridnya.
Meniti hari ke hari, cabaran guru makin sukar. Antaranya, ada saja dalam kalangan pelajar yang
menimbulkan masalah disiplin. Ada pula yang sering tidak membuat kerja sekolah. Bagai jatuh
ditimpa tangga, kalau ada pelajar yang terlibat dalam kes buli atau prestasi mereka merudum pasti
wujudnya segelintir ibu bapa yang akan menunding jari ke arah guru seolah-olah guru sahaja yang
bertanggungjawab atas disiplin dan perkembangan anak-anak mereka.
Namun, di sebalik semua kekusutan tersebut, para guru juga sering dihargai. Sebagai bukti,
Hari Guru yang kita sambut pada hari yang mulia ini. Hari Guru ini disambut sebagai suatu simbolik
penghargaan masyarakat 1 Malaysia kepada guru-guru.
Sebelum saya menutup tirai, saya mewakili semua pelajar ingin memohon maaf atas segala
kekhilafan kami.
Dan seterusnya SELAMAT HARI GURU kepada semua guru SMK RAJA TUN UDA. Segala
pengorbanan cikgu akan kami semat dan hargai selagi hayat dikandung badan.
Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah assalamualikum wrbthkth

Disediakan Oleh:

En Mohd Khairul Anuar Awang

Anda mungkin juga menyukai