Anda di halaman 1dari 5

ULAMA dan fuqaha Islam sudah lama membincang dan meneliti

isu pendermaan organ secara mendalam berdasarkan nas-nas yang


ditentukan hukum syarak. Di Malaysia, Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang kali pertama
bersidang pada Jun 1970 sudah memutuskan bahawa pemindahan
mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup dibenarkan
dengan mengikut syarat tertentu. Begitu juga, fatwa di Singapura
memutuskan pemindahan organ dalam keadaan darurat
dibenarkan.
Majma Figh al-Islami pada pertemuan keempat mereka di Jeddah
11 Februari 1988 juga memutuskan bahawa memindahkan anggota
si mati kepada yang hidup dibolehkan dengan syarat mendapat
keizinan si mati atau warisnya.
Ini bermakna, sudah tiada keraguan mengenai kebenaran
pendermaan organ dari perspektif Islam. Malah, sejak zaman
Rasulullah SAW, konsep pendermaan organ sudah diamalkan jika
pun tidak secanggih hari ini.
Pada zaman Nabi Muhamad SAW ketika Perang Badar, sudah
wujud pemindahan tulang membabitkan mangsa yang cedera
dalam peperangan, selain sudah ada pemindahan kornea.
Selain tidak perlu lagi timbul soal Islam tidak membenarkan
pendermaan organ, kepercayaan masyarakat Islam bahawa apabila
meninggal dunia, setiap organ dan tubuh mesti lengkap dibawa
ketika menemui Tuhan atas dasar tubuh kita dipinjam daripada
Allah juga perlu dihakis.
"Keraguan dan kesamaran yang masih wujud di kalangan
sebahagian masyarakat mengenai hukum dan konsep pendermaan
organ menyebabkan umat Islam tidak mahu menderma organ.

Sedangkan kalau kita lihat senarai penerima organ pula, sebahagian


besar adalah orang Islam," kata Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Akibatnya, ketakutan, syak wasangka dan kurang maklumat
menjadi faktor terbesar kenapa umat Islam di negara ini enggan
menderma organ. Walaupun pendermaan organ dibolehkan
mengikut Islam, kebanyakan orang Islam masih enggan berbuat
demikian.
Kajian Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mendapati 56.3
peratus responden sebenarnya takut untuk menderma organ, 17.8
peratus pula tidak tahu mengenai pendermaan organ dan 5.2
peratus mendakwa Islam tidak membenarkan pendermaan organ.
Hakikat ini diakui Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz,
sedangkan isu pendermaan organ dari sudut pandangan hukum
sudah dibincangkan sejak 39 tahun lulu dan keputusan
mengenainya sudah pun dibuat.
"Selagi ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada
penderma atau penerima organ, tiada alternatif lain dalam
menyelamatkan nyawa pesakit, ikhlas kerana Allah dan mendapat
izin penderma dan warisnya, Islam tidak pernah mengatakan tidak
kepada pendermaan organ.
"Sayangnya, masih ramai umat Islam yang beranggapan Islam tidak
membenarkan pendermaan organ, sedangkan fakta sebenarnya
mereka sendiri takut hendak berbuat demikian," katanya.
Mengikut statistik 2005 yang dikeluarkan Pusat Sumber Transplan
Kebangsaan (NTRC), Hospital Kuala Lumpur, penderma organ di
kalangan orang Islam hanya lapan peratus berbanding 64 peratus
(Cina) dan 22 peratus (India).

Keperluan untuk mendapatkan organ baru, termasuk di kalangan


umat Islam agak mendesak. Sebagai contoh, setiap tahun
dianggarkan 5,000 orang didiagnosis dengan masalah ginjal dan
19,000 pesakit menggunakan mesin dialisis. Daripada jumlah itu,
75 peratus memerlukan ginjal baru.
Sehingga kini, senarai penerima ginjal terlalu panjang, sekitar
6,000 orang. Jika dilihat senarai penerima organ lain pula seperti
paru-paru dan injap jantung, jumlahnya lebih panjang.
Seseorang itu boleh menjadi pengikrar untuk menderma organ
sebaik berusia 18 tahun. Bagaimanapun, daripada 17 juta warga
Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, hanya 134,596 orang atau
4.9 peratus berdaftar sebagai pengikrar.
Di Malaysia, isu pendermaan organ mula diberi perhatian pada
1970 tetapi di negara Islam lain, derma organ sudah lama
difatwakan. Pada 1952, misalnya Mufti Besar Mesir, Syeikh Hasanin
Makhluf ketika itu mengharuskan pemindahan kornea mata.
Pada 1972, Majlis Agama Islam Algeria mengambil langkah lebih
jauh dengan mengharuskan pemindahan organ. Setahun kemudian,
Mufti Besar Mesir, Syeikh Khater ketika itu mengharuskan
pemindahan kulit daripada mayat yang tidak dikenali.
Di Kuwait, pada 1979, Majlis Fatwa memfatwakan harus melakukan
pemindahan organ termasuk daripada penderma kardaverik. Pada
1986, Persidangan Ketiga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC),
memfatwakan kematian otak diterima sebagai kematian.
Islam sebenarnya sangat jelas dalam memberi panduan apa yang
boleh dan tidak boleh dilakukan dalam soal pendermaan organ.

Namun, sikap umat Islam yang tidak mahu mengambil inisiatif


mendalami isu menenggelamkan fakta sebenar.
Misalnya dalam pendermaan organ, Islam menegaskan
pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang hidup
adalah dibenarkan dan dilakukan di atas pertimbangan berikut;
l Dalam keadaan mendesak dan mustahak bahawa nyawa penerima
bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahan itu
difikirkan berjaya;
l Dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma sudah
dipastikan sebelum organ dipindahkan;
l Tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tiada
pembunuhan manusia dan tidak wujud jual beli anggota; dan
l Kebenaran diperoleh daripada penderma jika disebabkan
kematian biasa dan kebenaran daripada keluarga jika kematian
disebabkan kemalangan.
Sejarah pendermaan organ di Malaysia bermula dengan
pemindahan kornea di Hospital Kuala Lumpur pada 1970. Lima
tahun kemudian, pemindahan buah pinggang dilakukan di hospital
sama membabitkan warga Australia.
Pemindahan hati pula membabitkan penderma hidup bermula di
Pusat Perubatan Subang Jaya pada 1995 sementara di Hospital
Selayang dimulakan pada 2002.
Pemindahan jantung pula dilakukan buat pertama kalinya pada 18
Disember 1997. Sehingga kini, 94 pemindahan organ berjaya

dilakukan dengan
kardaverik.

30

daripadanya

membabitkan

penderma

Di sebalik semua kejayaan itu, pendermaan organ masih bukan


pilihan rawatan yang popular di Malaysia, terutama di kalangan
umat Islam.
Sehingga tahun lalu Kementerian Kesihatan merekodkan 14 peratus
daripada 126,403 pengikrar adalah umat Islam. Sehingga kini,
penderma sebenar yang direkodkan ialah 238 orang iaitu 5.4
peratus daripada jumlah sebenar umat Islam di negara ini.
Ahli Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof Madya Dr Paizah Ismail,
berkata apa yang haram di sisi Islam ialah memindahkan manamana organ orang hidup yang akan menyebabkan dia kehilangan
fungsi asas hidupnya walaupun mungkin tidak mengancam nyawa.
"Persetujuan bersama antara penderma atau warisnya dengan
penerima mestilah tidak dikaitkan dengan sebarang bentuk
penjualan. Dalam apa cara sekalipun, organ manusia tidak boleh
diperdagangkan," katanya.
(Disunting dari akhbar Berita Mingguan- Ahad 15 November 2009 )