Anda di halaman 1dari 3

Universiti bukan lagi institusi elit

Prof Dr Zaini Ujang

Saban hari kita mendengar pelbagai teguran, kritikan malah cemuhan terhadap graduan
pengajian tinggi. Graduan tidak mahir berbahasa Inggeris dan tidak cekap
berkomunikasi dengan baik, tidak kurang pula yang cetek pengetahuan amnya. Tetapi
apabila teguran itu datang sendiri daripada Menteri Pengajian Tinggi tentang graduan
yang tidak tahu nama Menteri, dan ura-ura melanjutkan tempoh pengajian ijazah sarjana
muda dari tiga kepada empat tahun disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, maka
kita tertanya-tanya: Apa yang sebenarnya terjadi? Apakah sebahagian graduan
universiti, termasuk IPTA, tidak sampai ke tahap sewajarnya dari segi ketrampilan
berkomunikasi dan ketangkasan berfikir selepas puluhan tahun di bangku pengajian
(lupakan dulu soal kesarjanaan dan citra Melayu Glokal)? Apakah pihak pengurusan
universiti sekali lagi harus dipersalahkan?
Secara realistik, kita terpaksa mengakui bahawa ketika ini universiti tempatan bukan lagi
menara gading. Menara gading merupakan perlambangan tentang puncak status yang
tinggi dengan aura dan academia bersifat elitis dan jaminan kualiti yang tidak mudah
untuk dipertikaikan. Realitinya status universiti tempatan sudah lama menurun.
Hakikatnya, universiti sudah menjadi kilang yang menghasilkan graduan dalam
pelbagai bidang. Peranan tersebut lebih ketara di IPTS. Sebagai kilang, tugas utama
universiti ialah mengeluarkan graduan yang diperlukan oleh pasaran kerja dalam
pelbagai bidang. Sejak kebelakangan ini skop bidang yang diperlukan memerlukan
kemahiran teknikal yang tinggi, terutamanya dalam jurusan kejuruteraan, perubatan,
bioteknologi dan teknologi maklumat. Yang lebih menyukarkan lagi, perkembangan
bidang-bidang ini begitu pantas dan universiti nampaknya terpaksa mengejar
perkembangan tersebut dalam usaha menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran
lebih relevan dengan perkembangan terkini.
Dalam keadaan yang sedemikian, aspek lain seperti kematangan berfikir,
perkembangan sahsiah, daya kepimpinan, budaya intelektual, ketrampilan dalam
pelbagai kemahiran hidup dan kerjaya (soft skills) di kalangan pelajar yang seharusnya
terangkum dalam pendidikan yang bersepadu itu kadangkala tidak menonjol sepanjang
pengajian di universiti. Dalam tempoh pengajian yang singkat iaitu tiga tahun, maka
tumpuan semasa sesi pengajian lebih diberikan kepada aspek pembangunan akademik,
kemahiran teknikal dan amalan profesional. Tugas selanjutnya menjadi tanggungjawab
Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kolej Kediaman (pastinya dengan kerelaaan dan
inisiatif pelajar sendiri) yang menyediakan iklim pembelajaran dan sosial yang
diperlukan oleh para pelajar untuk pengembangan minda, kepimpinan, sahsiah dan
ruhani.
Keadaan ini dipersulitkan lagi dengan bilangan pelajar yang bertambah saban tahun,
sehingga menjadikan hubungan interpersonal sesama pelajar-pensyarah semakin
renggang. Pertambahan ini sebenarnya selari dengan dasar dan perancangan Kerajaan,
apatah lagi dalam konteks untuk mencapai matlamat menjadikan 40 peratus rakyat
Malaysia yang berumur antara 17 hingga 23 tahun mendapat pendidikan tinggi
menjelang 2010.
Disebabkan universiti tempatan bukan lagi menara gading yang melahirkan golongan
elit, maka kita terpaksa menerima kenyataan bahawa universiti adalah institusi

pendidikan biasa seperti sekolah atas untuk siapa sahaja yang berkeinginan dan
berkelayakan. Maka pendidikan yang diberikan juga adalah pendidikan biasa tanpa
terlalu terikat kepada keperluan untuk melahirkan graduan yang memenuhi ciri-ciri elit
dan citra menara gading: terbaik, tersohor dan terbilang.
Ini mudah difahami kerana sifat dan proses sesebuah universiti memberi kesan
langsung kepada menghasilkan graduan dengan ciri-ciri tertentu. Universiti elit
menghasilkan pelajar elitis, samalah seperti kilang Proton menghasilkan kereta kelas
Proton, tidak kelas Porche atau kelas BMW. Dalam konteks industri automotif, kita
sedia maklum bahawa syarikat Proton masih tidak berhasrat untuk menghasilkan kereta
kelas elit setanding Porche, Mercedes Benz dan BMW. Oleh itu proses penghasilan
kereta kelas Proton juga berbeda dan keuntungan perniagaan berasaskan kepada
penjualan yang banyak.
Dari segi konsep, saya dapati kebanyakan masyarakat Malaysia, termasuklah pegawaipegawai sumber manusia di pelbagai agensi awam dan swasta, masih beranggapan
bahwa universiti tempatan sebagai menara gading dan institusi elit. Mereka mahukan
graduan kelas Proche atau kelas BMW. Maka disinilah bermulanya konflik dan salah
anggap.
Sekadar makluman, sesebuah universiti elit mempunyai kelainan dan keunikan yang
tersendiri dengan jumlah pelajar yang sedikit, sejarah dan tradisi yang panjang, profesor
yang ternama, sistem pengajian yang berorientasi tradisi dan tekstual, serta biaya yang
besar. Kewujudan, falsafah, sejarah dan prosesnya tercerna daripada falsafah
pendidikan yang didokong. Kebanyakannya menjurus kepada pendidikan liberal dan
pembinaan insan yang mempunyai wawasan, citra dan budaya ilmu yang tinggi. Aspek
teknikal dan profesionalisme bukan menjadi persoalan pokok, malah dalam jurusanjurusan tertentu termasuklah perundangan dan kejuruteraan, ianya dikuliahkan secara
asas teori sahaja. Oleh itu, tidak hairan ramai pelajar di Cambridge dan Oxford
misalnya, masih mengikuti jurusan ilmu lama seperti falsafah, sejarah, politik, ekonomi,
kimia, biologi, matematik, dan perundangan. Dan sehingga kini, kursus paling popular
ialah gabungan politik, falsafah dan ekonomi.
Bagi profesor dan pendokong universiti elit, permintaan pasaran kerja bukanlah
persoalan yang pokok dan relevan. Apa yang mereka tumpukan ialah proses
pembelajaran yang menjurus kepada persoalan-persoalan pokok kehidupan, yang
akhirnya menghasilkan manusia sejagat yang boleh memahami isu-isu
kemasyarakatan dan pembangunan dari perspektif yang pelbagai.
Graduan yang dihasilkan ialah mereka yang berkemahiran berfikir, berhujah,
berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perpsektif, berperwatakan mulia dan
mahir dalam pencarian ilmu. Dengan kemahiran ini mereka mampu mengharungi
pelbagai situasi dan memasuki pasaran kerja dengan lebih selesa berbanding dengan
graduan universiti biasa yang lebih menumpu kepada beberapa kemahiran teknikal dan
amalan professional tertentu yang kadangkala lemah pula dari segi kemahiran berfikir
dan berkomunikasi.
Dalam keadaan ini, saya mencadangkan agar pihak Kerajaan mengkaji persoalan ini
dengan mendalam. Saya juga mencadangkan agar satu strategi dilaksanakan untuk
membolehkan beberapa buah IPTA dimantapkan lagi kepada pembinaan pendidikan
dan budaya ilmu setanding universiti-universiti elit yang ada di serata dunia. Ini perlu

kerana universiti elit mempunyai peranannya yang tersendiri yang sangat penting dalam
mencorakkan sesuatu standard, citra dan budaya ilmu yang cemerlang, gemilang dan
terbilang. Elit dalam konteks akademik yang saya maksudkan tidak bermakna hanya
untuk golongan dan waris tertentu, sebaliknya kepada mereka yang terbaik dan berdaya
saing, sama ada staf akademik dan sokongan, serta para pelajar.
Rasionalnya, setelah kita berupaya menghasilkan kelas Proton dengan jayanya sejak
puluhan tahun maka eloklah kita meningkatkan keupayaan dan jati diri dengan cuba
menghasilkan kepas BMW pula. Ianya sesuai dengan permintaan pasaran Malaysia
yang semakin tinggi citra dan daya saingnya.
Penulis ialah Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar & Sumber Air (IPASA) di Universiti Teknologi Malaysia

Anda mungkin juga menyukai