Anda di halaman 1dari 23

2 HAKIKI

04. Fana dalam wahyu baqa dalam ubudiyah


Pada hari Isnin 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos tahun 610 Masehi, ketika Nabi Muhammad s.a.w
berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari, datanglah malaikat Jibrail a.s kepada baginda s.a.w yang sedang
berkhalwat di Gua Hiraa. Jibrail a.s yang muncul secara tiba-tiba itu terus berkata: Baca! Nabi
Muhammad s.a.w menjawab: Saya tidak tahu membaca. Jibrail a.s terus menangkap Nabi Muhammad
s.a.w. Diserkupnya baginda s.a.w dengan kain rida dan dipeluknya sehingga baginda s.a.w mengalami
kesukaran untuk bernafas. Kemudian dilepaskannya dan disuruhnya baginda s.a.w membaca seperti
mulanya. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca. Sekali lagi Jibrail a.s menangkap Nabi
Muhammad s.a.w dan dilakukannya seperti mula-mula tadi. Pelukan Jibrail a.s kali ini lebih erat daripada
yang pertama tadi, menyebabkan baginda s.a.w hampir-hampir tidak dapat bernafas. Kemudian baginda
s.a.w dilepaskan oleh Jibrail a.s dan disuruhnya lagi baginda s.a.w membaca. Baginda s.a.w masih
mengatakan tidak tahu membaca. Buat kali ke tiga Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad s.a.w,
menutup baginda s.a.w dengan kain rida dan memeluk baginda s.a.w dengan erat. Perbuatan yang
demikian sangat memayahkan baginda s.a.w bernafas. Setelah melepaskan baginda s.a.w buat kali ke
tiganya,

Jibrail

a.s

membacakan

firman

Allah:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia
menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang
mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (
Ayat 1 5 : Surah al-Alaq )
Termetrailah wahyu pertama di dalam dada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali Jibrail a.s membacakan
wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w, wahyu tersebut akan melekat, terpahat pada hati baginda s.a.w,
tidak akan hilang atau pudar buat selama-lamanya. Baginda s.a.w mengikuti bacaan Jibrail a.s dengan
fasih. Setiap huruf dan ayat yang baginda s.a.w bacakan membuka segala tutupan dan menghuraikan
segala simpulan yang tidak mampu dihuraikan oleh fitrah baginda s.a.w selama baginda s.a.w berkhalwat
di Gua Hiraa. Apa yang tidak mampu disingkap oleh akal dan renungan batin sudah terjawab dengan
kedatangan wahyu. Kebenaran yang disampaikan oleh wahyu adalah kebenaran yang muktamad.
Nabi Muhammad s.a.w menerima perkhabaran wahyu dengan sepenuh jiwa raga tanpa sebarang
keraguan walaupun sebesar zarah. Baginda s.a.w yakin penuh dengan kebenaran berita dan janji yang
wahyu sampaikan. Wahyu sentiasa turun membimbing baginda s.a.w serta memberi ketetapan hati,
meneguhkan kepercayaan dan pendirian baginda s.a.w di dalam melaksanakan amanah yang Allah s.w.t
serahkan kepada baginda s.a.w. Tempoh wahyu turun kepada baginda s.a.w adalah 22 tahun, 2 bulan
dan 22 hari.
Wahyu turun kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui tujuh cara. Cara yang pertama adalah mimpi yang
benar. Apabila baginda s.a.w melihat sesuatu di dalam mimpi, pandangan yang kelihatan adalah terang

seperti cuaca subuh. Apa yang baginda s.a.w saksikan di dalam mimpi benar-benar berlaku. Wahyu cara
ke dua dihantarkan oleh malaikat kepada hati baginda s.a.w. Baginda s.a.w mengetahui sesuatu secara
spontan, tanpa berfikir atau merenung. Wahyu cara ke tiga dibawa oleh malaikat Jibrail a.s yang
menggunakan bentuk misal. Contohnya Jibrail a.s pernah memakai rupa salah seorang daripada sahabat
Rasulullah s.a.w yang elok wajahnya iaitu Dihyah bin Khalifah al-Kalbi. Sahabat inilah yang kemudian
hari menjadi wakil Rasulullah s.a.w menyampaikan surat baginda s.a.w kepada Heraklius, penguasa
kerajaan Roman Timur. Wahyu cara ke empat pula datang kepada Rasulullah s.a.w seperti suara loceng.
Wahyu cara inilah yang paling berat dan memenatkan baginda s.a.w. Baginda s.a.w pernah berpeluh
pada musim dingin tatkala menerima kedatangan wahyu cara ke empat ini. Pernah satu ketika paha
Rasulullah s.a.w sedang menindih paha Zaid bin Sabit ketika wahyu yang seperti suara loceng ini turun
kepada baginda s.a.w. Zaid merasakan seolah-olah pahanya akan pecah menanggung paha Rasulullah
s.a.w yang sedang menerima wahyu tersebut. Wahyu cara ke lima datang kepada Rasulullah s.a.w
dengan menderu seperti suara lebah. Pada cara ke enam pula Jibrail a.s datang kepada Rasulullah s.a.w
dalam rupanya yang asli. Wahyu cara ke tujuh adalah penyampaian secara langsung daripada Allah s.w.t
kepada Rasulullah s.a.w, tanpa sebarang perantaraan, seperti yang pernah dialami oleh Nabi Musa a.s.
Ketegasan dan keteguhan Rasulullah s.a.w menyampaikan dakwah melalui bimbingan wahyu ternyata
pada kata-kata baginda s.a.w kepada bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, yang menyampaikan
kepada baginda s.a.w permintaan kaumnya agar baginda s.a.w menghentikan pekerjaan dakwah.
Baginda s.a.w memberikan jawapan yang tegas: Wahai bapaku. Walaupun mereka meletakkan matahari
pada bahuku yang kanan dan bulan pada bahuku yang kiri dengan maksud daku meninggalkan tugasku,
tidak akan daku tinggalkannya sehinggalah agama ini menang atau daku binasa sebelumnya!
Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melepaskan pergantungan kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w
memperolehi berbagai-bagai kemuliaan dan ketinggian tetapi segala puji-pujian diperuntukkan kepada
Allah s.w.t semata-mata. Apabila baginda s.a.w dipuji oleh orang ramai baginda s.a.w mengembalikan
pujian itu kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w sangat cermat dan tegas di dalam menanggung wahyu. Apa
yang diperintahkan oleh Allah s.w.t baginda s.a.w melaksanakannya sendiri terlebih dahulu sebelum
menyuruh orang lain melakukannya. Baginda s.a.w telah menunjukkan contoh teladan melalui diri
baginda s.a.w sendiri. Tidak ada istilah hukum yang wajib untuk orang ramai tetapi tidak wajib untuk
Rasulullah s.a.w. Hukum Allah s.w.t berjalan sama rata sama rasa, kepada Rasulullah s.a.w dan juga
kepada umat baginda s.a.w. Jika umat baginda s.a.w wajib mengerjakan sembahyang lima waktu sehari
semalam baginda s.a.w juga wajib berbuat demikian, malah baginda s.a.w lakukan melebihi daripada apa
yang dikerjakan oleh orang lain. Baginda s.a.w memperbanyakkan sembahyang malam hingga bengkak
tumit baginda s.a.w, tetapi umat baginda s.a.w tidak diwajibkan berbuat demikian, walaupun digalakkan.
Nabi Muhammad s.a.w sangat mengasihi umat manusia. Baginda s.a.w pernah disakiti oleh kaum
baginda s.a.w tetapi baginda s.a.w mengelakkan daripada mendoakan keburukan untuk mereka. Baginda
s.a.w lebih suka mendoakan: Wahai Tuhanku! Tunjukilah kaumku kerana mereka tidak mengerti.

Kadang-kadang baginda s.a.w mendoakan: Wahai Tuhanku! Ampunilah kaumku kerana mereka tidak
tahu. Begitulah halusnya nilai budi dan akhlak Rasulullah s.a.w yang diasuh oleh wahyu.
Rasulullah s.a.w menerima wahyu sebagai kebenaran yang Mutlak. Apa juga bakat yang ada dengan
baginda s.a.w seperti fikiran, ilham dan kasyaf, baginda s.a.w gunakan sebaik mungkin bagi
menterjemahkan wahyu dan menyatakan kebenaran wahyu itu. Tidak pernah terjadi baginda s.a.w
mengeluarkan buah fikiran, ilham atau kasyaf yang berbeza dengan wahyu. Baginda s.a.w menggunakan
segala bakat baginda s.a.w untuk menyokong wahyu. Cara yang baginda amalkan menyebabkan Hadis
menjadi sumber hukum selepas al-Quran. Hadis yang benar daripada Rasulullah s.a.w tidak sezarah pun
bercanggah dengan al-Quran.
Rasulullah s.a.w dengan perintah, petunjuk dan bimbingan wahyu menjalani kehidupan di dalam dunia ini
sebagai manusia biasa bukan sebagai malaikat atau manusia luar biasa. Baginda s.a.w menjalani
kehidupan yang ada urusan beristeri dan berkeluarga, bermasyarakat, merasai kenyang dan lapar, sihat
dan sakit dan segala aspek kehidupan manusia biasa, hinggakan baginda s.a.w menjalani juga proses
kematian walaupun ada Nabi yang tidak menjalani proses tersebut. Kehidupan yang baginda s.a.w jalani
itu berdasarkan bimbingan wahyu yang maha benar. Baginda s.a.w adalah orang yang paling arif
mengenai maksud wahyu. Terjemahan wahyu yang baginda s.a.w tunjukkan dengan prinsip dan amalan
kehidupan baginda s.a.w sendiri merupakan suasana kehidupan yang paling utama, paling baik, paling
mulia dan paling tinggi. Suasana demikian juga yang dijalani oleh para sahabat baginda s.a.w. Mereka
adalah puak yang bergerak di atas muka bumi, di dalam dunia, menyebarkan apa yang diajarkan oleh
Rasulullah s.a.w.
Setelah diangkat menjadi Rasul Allah, Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah mengenai enam
perkara yang menjadi dasar pembentukan umat yang ingin kembali kepada kemurnian fitrah mereka dan
melaksanakan kewajipan kehambaan kepada Allah s.w.t. Enam dasar yang konkrit itu adalah:
1: menyampaikan, mengajak serta membimbing umat manusia supaya mematuhi sekalian perintah Allah
s.w.t

dan

menjauhi

sekalian

larangan-Nya

dengan

sepenuh

kekuatan

dan

kebijaksanaan.

2: bersyukur kepada Allah s.w.t yang menciptakan dan mengurniakan nikmat kesinambungan hidup
sehingga umat manusia tidak menemui kesukaran di dalam menjalani kehidupan dan mendapatkan
keperluan

mereka.

3: membersihkan pakaian dan perbuatan zahir serta amalan hati bagi mencapai kesempurnaan takwa.
4: meninggalkan segala yang keji dan munkar seperti syirik, berhala, arak, judi, zina, riba dan lain-lain
yang

telah

ditentukan

oleh

Allah

s.w.t.

5: mengikhlaskan niat dan amalan supaya kepentingan diri tidak merobohkan benteng keadilan dan
supaya fitnah kebendaan tidak memesongkan haluan ubudiah (kehambaan) terhadap Allah s.w.t.
6: semua perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilengkapkan dengan sabar kerana dugaan di
dalam melakukan kebaikan jauh lebih kuat daripada dugaan meninggalkan kejahatan. Sabar menjadi

prinsip yang kukuh mempertahankan diri dalam menghadapi halangan dan penentangan di sepanjang
jalan menyebarkan dan melakukan kebaikan.
Wahyu telah memberi jawapan yang konkrit terhadap permasalahan yang tidak mampu dihurai oleh
fikiran, ilham dan kasyaf. Apabila wahyu datang selesailah perjuangan batin Nabi Muhammad s.a.w di
dalam mencari hakikat yang sebenar. Kebenaran Hakiki yang baginda s.a.w terima melalui wahyu itu
dipertanggungjawabkan kepada baginda s.a.w untuk disampaikan pula kepada sekalian manusia.
Baginda s.a.w tidak boleh lagi memencilkan diri di dalam Gua Hiraa. Apabila cahaya kebenaran
memancar di dalam lubuk hati dan bidang tugas dibukakan, baginda s.a.w mesti keluar kepada orang
ramai, kepada dunia, bagi menyampaikan amanah yang baginda s.a.w tanggung dengan bersuluhkan
cahaya kebenaran.
Wahyu menceritakan tentang Allah s.w.t, Tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat Kesempurnaan, Yang
Maha Mulia dan memiliki nama-nama yang baik-baik. Diterangkan juga tentang kejadian manusia.
Wahyu mengajar manusia berbuat kebaktian kepada Allah s.w.t. Diajarkan cara perhubungan dengan
sesama manusia. Wahyu sangat menekankan soal takwa iaitu mematuhi titah perintah Allah s.w.t, tidak
keluar daripada sempadan jalan yang lurus yang telah digariskan oleh Allah s.w.t sendiri. Wahyu
mendidik manusia supaya hidup sebagai hamba Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Wahyu telah
dengan tegas dan jelas meletakkan manusia pada taraf hamba Tuhan, bukan taraf yang lain daripada itu.
Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran kepada kaum Muslimin. Pendidikan
al-Quran berkembang dengan sangat pesat setelah baginda s.a.w dan kaum Muslimin berhijrah ke
Madinah. Jika Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran, kaum Muslimin pula
sangat bersungguh-sungguh mempelajarinya. Sebahagian daripada kaum Muhajirin yang berhijrah ke
Madinah terpaksa tinggal di luar kota Madinah, di satu kawasan yang bernama Sunuh, kira-kira 20 km
dari masjid Rasulullah s.a.w. Di sana mereka mendirikan rumah-rumah dan menguruskan kebun-kebun.
Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar adalah di antara mereka yang tinggal di Sunuh. Jarak 20km itu
tidak menghalang mereka mempelajari al-Quran daripada Rasulullah s.a.w. Mereka telah menyusun
jadual pembelajaran al-Quran dengan rapi. Tiap-tiap hari mereka menghantarkan dua atau tiga orang
wakil dari Sunuh pergi ke Madinah. Sepanjang hari wakil dari Sunuh akan mendapatkan apa sahaja yang
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, terutamanya ayat-ayat al-Quran yang baharu turun. Mereka mempelajari
al-Quran secara menghafal dan memahami dengan lengkap. Jika ada larangan atau perintah atau
amalan yang disampaikan oleh al-Quran mereka akan mendapatkan penjelasan yang sejelas-jelasnya
daripada Rasulullah s.a.w. Apa juga ayat yang turun pada hari itu mesti dihafalkan pada hari itu juga
kerana pada hari esoknya mungkin ada pula ayat-ayat yang baharu turun. Setelah hari petang mereka
kembali semula ke Sunuh dan pada malam itu juga atau paling lewat keesokan harinya semua pelajaran
yang diterima daripada Rasulullah s.a.w sudah disampaikan kepada semua kaum Muslimin di Sunuh.
Mereka mempelajari al-Quran tanpa bertangguh-tangguh. Al-Quran dipelajari secara menyeluruh iaitu
membaca, menghafal, memahami dan mengamalkan. Program pembelajaran al-Quran yang diatur oleh

Saidina Abu Bakar dan sahabat-sahabat beliau di Sunuh sungguh berkesan sehingga mereka boleh
menjalankan kegiatan harian untuk menampung perbelanjaan mereka dan pada masa yang sama
mereka boleh mempelajari al-Quran dengan sempurna. Kegiatan pertanian, perniagaan, penternakan,
pertukangan dan lain-lain boleh berjalan dengan lancar jika pembelajaran al-Quran dilakukan dengan
bersistematik. Kesungguhan mempelajari al-Quran tidak menjejaskan urusan kehidupan harian.
Rasulullah s.a.w sangat teliti di dalam menyampaikan ayat-ayat suci al-Quran kepada kaum Muslimin.
Setiap kali turun ayat baginda s.a.w akan mengumpulkan sahabat-sahabat baginda s.a.w dan ayat yang
baharu turun itu disampaikan dengan pembacaan yang betul, sebutan setiap huruf mengikut kadar
panjang dan pendek yang harus dibunyikan. Bacaan yang tepat sebutannya dihafal berulang-ulang
sehingga ayat-ayat tersebut benar-benar melekat di dalam ingatan dan hati mereka. Mereka tidak
berganjak daripada majlis Rasulullah s.a.w sebelum mereka dapat menyebut ayat-ayat al-Quran dengan
betul dan menghafalnya dengan baik. Bukan sekadar membaca dan menghafal, malah mereka juga
dilengkapkan dengan pengetahuan dan pengertian yang jelas tentang maksud ayat, kedudukan
susunannya di dalam al-Quran dan hubung-kaitnya dengan ayat-ayat yang lain. Jika ayat tersebut
melibatkan peraturan dan amalan maka kaedah peraturan dan amalan itu difahami benar-benar. Semua
itu mereka pelajari secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Kemudian apa yang sudah mereka
pelajari itu mereka sampaikan pula kepada kawan-kawan mereka yang tidak sempat menghadiri majlis
Rasulullah s.a.w.
Selain dihafal, ayat-ayat al-Quran juga ditulis di atas kulit binatang, tulang-tulang yang lebar, pelepahpelepah tamar yang sudah dikeringkan dan batu-batu yang lebar. Jadi, ayat al-Quran bukan sahaja
dipelihara di dalam dada kaum Muslimin malah ia juga dipelihara secara bertulis. Lembaran al-Quran
yang bertulis itu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w telah mewariskan al-Quran kepada umat baginda s.a.w dengan cara yang paling
berkesan dan selamat. Atas kebijaksanaan baginda s.a.w umat Islam yang datang kemudian dapat
menerima al-Quran dalam keasliannya. Selain daripada jurutulis wahyu yang khusus terdapat kira-kira 40
orang yang mengambil bahagian di dalam bidang penulisan wahyu. Cara yang demikian lebih
memudahkan kaum Muslimin menyebarkan al-Quran.
Rasulullah s.a.w sangat menekankan soal menghafal al-Quran. Baginda s.a.w memberi petunjuk
mengenai

penghafalan

ayat-ayat

al-Quran

dengan

sabda

baginda

s.a.w

yang

bermaksud:

Perumpamaan orang yang menghafal al-Quran adalah seperti orang yang memiliki unta yang diikat. Jika
unta itu dijaga ia terpelihara. Jika dilepaskan ia akan hilang. Baginda s.a.w mengajarkan supaya
mengikat hafalan al-Quran dengan cara terus mengulangi bacaannya seberapa kerap yang terdaya.
Selain daripada menghafal, pemahaman dan amalan juga dititik-beratkan. Ibnu Masud menceritakan:
Apabila seseorang kami mempelajari sepuluh ayat dari al-Quran kami tidak akan berpindah kepada ayat
lain sebelum kami mengetahui benar-benar maksudnya dan tahu cara beramal dengannya. Ramai para

sahabat menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran kepada mereka secara
sepuluh

ayat

sekali

belajar,

tetapi

lengkap

dengan

menghafal,

memahami

maksud,

tahu

mengamalkannya dan tahu kedudukannya berhubung dengan ayat-ayat lain yang turun terdahulu.
Mereka mempelajari al-Quran, menyimpan serta mengamalkannya.
Rasulullah s.a.w selama-lamanya membaca al-Quran secara tartil, membaca dengan terang dan
perlahan-lahan, mengeluarkan bunyi setiap huruf dengan jelas. Cara bacaan yang demikian baginda
s.a.w sebarkan kepada para sahabat. Cara tersebut selain memberi faedah kepada para pembaca juga
memudahkan pendengar mengikuti serta menghafalnya.
Rasulullah s.a.w berjaya membentuk satu umat yang tidak pernah wujud di atas muka bumi seperti
mereka sebelumnya dan tidak akan ada lagi yang menyamai mereka sesudahnya. Itulah umat yang
setiap ahlinya terdiri daripada orang yang arif tentang al-Quran. Jika dilihat al-Quran dari sudut
perlembagaan negara maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli politik yang arif tentang peraturan
negara. Jika dilihat al-Quran sebagai kod etika sosial maka setiap ahli masyarakatnya adalah pemimpin
yang bertanggung-jawab kepada apa yang dipimpin, baik keluarga, perniagaan, pertanian, penternakan
dan sebagainya. Jika dilihat al-Quran sebagai kitab ilmu perang maka setiap ahli masyarakatnya adalah
perajurit yang sentiasa bersedia menyahut panggilan jihad. Jika al-Quran dilihat sebagai peraturan
kehidupan maka setiap ahlinya adalah ahli syariat yang taat. Jika dilihat al-Quran sebagai penyampai
khabar tentang Allah s.w.t maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli makrifat yang benar-benar
mengenal Allah s.w.t. Jika dilihat al-Quran sebagai ajaran penyucian hati maka setiap ahli masyarakatnya
adalah yang sangat mendalam pengertian mereka mengenai hati. Mereka beragama secara menyeluruh.
Darah, daging, tulang, sumsun dan urat saraf adalah Muslim. Pendengaran, penglihatan, penciuman,
pergerakan dan akal fikiran mereka adalah Muslim. Hati mereka adalah Muslim. Roh mereka adalah
Muslim. Mereka memakai satu makam sahaja iaitu makam HAMBA ALLAH! Mereka tidak tahu perbezaan
istilah-istilah syariat, tarekat, hakikat, makrifat, ilmu tauhid, ilmu fikah, ilmu tasauf dan yang
seumpamanya. Mereka adalah ahli al-Quran dan ilmu mereka adalah ilmu al-Quran.
Rasulullah s.a.w menyiramkan roh dan jiwa raga sahabat baginda s.a.w dengan air al-Quran. Lahirlah
individu yang cergas dalam segala bidang. Mereka yang menjadi petani bekerja bersungguh-sungguh
dengan segala kemahiran yang mereka miliki bagi menghasilkan makanan dan keperluan kaum
Muslimin. Peniaga pula mengumpulkan harta sebanyak mungkin secara halal untuk disumbangkan
kepada pembangunan umat dan juga jihad fi-sabilillah. Apa juga nikmat yang diperolehi diperakui
sebagai kurniaan Allah s.w.t yang dipertaruhkan sebagai amanah, bukan sebagai milik individu
sepenuhnya. Individu yang menerima kurniaan tersebut mentadbirkannya secara yang diredai oleh Allah
s.w.t. Apabila pemilikan harta longgar pada hati mudahlah melepaskannya demi kepentingan agama
Allah s.w.t kerana Allah s.w.t adalah Pemilik sebenar. Saidina Abu Bakar as-Siddik melepaskan kesemua
hartanya demi jihad fi-sabilillah. Para sahabat yang lain menyumbangkan menurut kadar masing-masing.
Tidak ada yang menuntut harta sebagai pemilikan mereka sepenuhnya. Kaum Ansar telah

membuktikannya dengan kesanggupan mereka melepaskan harta dan tanah pemilikan mereka demi
membantu saudara-saudara mereka kaum Muhajirin. Apa yang dilepaskan itu diserahkan sepenuhnya
kepada Rasulullah s.a.w. Terpulang kepada baginda s.a.w bagaimana mahu membahagikan harta Ansar
tersebut.
Al-Quran telah membimbing Nabi Muhammad s.a.w dan kaum Muslimin agar bergerak cergas dalam
segala bidang bagi membentuk kehidupan yang sihat sejahtera sesuai dengan kehendak dan peraturan
Allah s.w.t. Kehidupan dunia yang demikian menjadi asas kepada kehidupan akhirat. Kesungguhan
Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w membina kesejahteraan di bumi dapat dilihat melalui
program dan strategi pertahanan dan ketenteraan yang rapi disusun oleh baginda s.a.w bersama-sama
para sahabat baginda s.a.w. Ketika berlaku Perang Badar dalam tahun ke dua hijrah tentera Islam terdiri
daripada 313 orang dengan alat kelengkapan perang yang sangat sederhana. Ketika berlaku Perang
Uhud dalam tahun ke tiga hijrah tentera Islam berjumlah 700 orang dengan kelengkapan perang yang
lebih baik daripada ketika Perang Badar dahulu. Dalam tahun ke lima hijrah berlaku pula Perang
Khandak. Dalam peperangan tersebut tentera Islam sudah berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan
perang yang mencukupi. Dalam tahun ke enam hijrah Rasulullah s.a.w memimpin 1,700 orang kaum
Muslimin menuju Makkah dengan bilangan kuda sebanyak 200 ekor. Dalam tahun ke sepuluh hijrah
baginda s.a.w memimpin 10,000 orang tentera Muslimin menakluki kota Makkah. Bilangan kuda pada
masa itu sudah berjumlah 1,000 ekor. Pada tahun ke sembilan hijrah baginda s.a.w memimpin hampir
40,000 orang tentera Muslimin ke Tabbuk dalam daerah Syam. Mereka menggunakan 10,000 ekor kuda
dan 20,000 ekor unta. Mereka mampu meredah jarak 2,000 batu yang sebahagian besarnya adalah
padang pasir. Bukan pekerjaan yang mudah membentuk 40,000 orang tentera yang tinggal di merata
tempat dalam Semenanjung Arab. Mereka terdiri daripada berbagai-bagai suku dan kaum. Kerja
penyelarasan pasukan tentera yang begitu besar bukanlah mudah. 40,000 orang tentera, 10,000 ekor
kuda dan 20,000 ekor unta berkumpul di Madinah pada satu masa sebelum berangkat ke Tabbuk.
Tempat tinggal, makan dan minum mereka semua diperlukan. Pekerjaan yang berat itu dapat
diselenggarakan oleh kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Apa yang tidak dapat dibuat
oleh umat lain mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w kerana mereka mendapat pimpinan
yang langsung dari Allah s.w.t melalui wahyu-Nya, melalui Rasul-Nya. Al-Quran telah berjaya membentuk
umat yang menjadi penolong dan pembela agama Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengatakan di Arafah
bahawa orang yang boleh menolong agama Islam adalah mereka yang memberikan sepenuh hatinya
kepada Islam dan bekerja dalam segala jurusan untuk Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu
jurusan sahaja tidak dapat menyumbangkan kepada perkembangan Islam secara berkesan. Hanya
mereka yang menyerah secara menyeluruh dirinya, tenaganya, hartanya dan masanya untuk Islam
benar-benar mampu menaikkan Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja, misalnya
dalam jurusan ibadat sahaja atau dalam jurusan ekonomi sahaja atau politik sahaja, tidak banyak
membantu kepada pertumbuhan dan perkembangan agama Islam. Hanya puak Ansar (orang yang
menolong dan membela Islam dalam segala bidang) dapat menyokong perkembangan Islam. Orang
Ansar mengenepikan segala kepentingan diri demi agama Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t!

Rasulullah s.a.w juga memberikan perhatian kepada bidang ekonomi. Di dalam pelan pembangunan
Madinah baginda s.a.w tidak lupa menyediakan kawasan untuk dijadikan pusat perniagaan kaum
Muslimin. Sebelumnya kaum Muslimin Madinah berkumpul di pasar Yahudi Banu Kainuka. Sistem pasar
tersebut berjalan menurut peraturan Yahudi. Rasulullah s.a.w sangat tidak menyukai apa sahaja yang
bercanggah dengan peraturan Allah s.w.t. Baginda s.a.w mahu kaum Muslimin berniaga menurut prinsip
perekonomian Islam. Oleh itu baginda s.a.w membuka pusat perniagaan yang baharu. Baginda s.a.w
bersabda yang maksudnya: Inilah tapak tempat perniagaan kamu, semoga ia tidak sempit dan tidak
dipungut hasil padanya. Muncullah sebuah pekan kecil yang berperanan sebagai pasar bebas cukai
milik kaum Muslimin Madinah. Pusat perniagaan yang dibuka oleh Rasulullah s.a.w itu diberkati Allah
s.w.t. Pengunjungnya sentiasa bertambah dan pada masa yang sama pasar Yahudi menjadi semakin
lengang.
Tugas Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi bukan sekadar menyediakan kawasan perniagaan sahaja.
Baginda s.a.w juga melindunginya agar keadilan dalam perniagaan ditegakkan di sana. Satu ketika
baginda s.a.w melihat ada didirikan khemah di kawasan perniagaan tersebut. Baginda s.a.w
memerintahkan agar khemah itu dibakar. Sebelum terjadi perlumbaan mengawal kepentingan diri sendiri
dengan mencabut hak orang lain, awal-awal lagi Rasulullah s.a.w mencabut pokok yang berbisa itu,
sebelum ia sempat tumbuh segar dan merosakkan sistem perekonomian kaum Muslimin. Baginda s.a.w
tidak mahu ruang perniagaan menjadi sempit lantaran didirikan bangunan di atasnya. Tidak ada
pemilikan dan penguasaan individu di dalam kawasan perniagaan yang di bina oleh Rasulullah s.a.w.
Pada masa yang lain pula Rasulullah s.a.w melihat ada peniaga yang menumpuk gandum. Baginda s.a.w
memasukkan tangan baginda s.a.w ke dalam tumpukan gandum itu dan mendapati bahagian bawahnya
basah. Baginda s.a.w memerintahkan agar bahagian yang basah diletakkan di atas supaya pembeli tidak
tertipu. Baginda s.a.w juga menegur sikap peniaga yang sengaja menaikkan harga barang. Baginda
s.a.w bersabda yang maksudnya: Orang yang membawa barang ke pasar ini seperti orang yang
berjihad fi-sabilillah. Orang yang menaikkan harga barang seperti orang yang kufur dengan Allah s.w.t.
Di dalam pelan pembangunan Madinah masjid menjadi pusat atau jantung yang segala aktiviti bergerak
mengelilinginya. Roh kepada jantung itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Daripada masjid baginda s.a.w
memancarkan kehidupan yang baik yang berbentuk kerohanian dan juga kebendaan. Jika masjid
diibaratkan jantung, maka darah yang dihantarkan oleh jantung kepada semua bahagian adalah alQuran. Darah al-Quran memberikan kekuatan kepada kaum Muslimin. Kaum Muslimin bekerja di atas
dasar mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Pembangunan kebendaan berdasarkan prinsip keadilan dan
kebenaran.
Wahyu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut baginda
s.a.w. Setiap kali wahyu turun terjadilah perubahan pada diri mereka dan suasana di sekeliling mereka.
Wahyu yang dibacakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w mempunyai kekuatan untuk mendatangkan

perubahan. Apabila Rasulullah s.a.w membaca wahyu yang menegur sesuatu perkara yang ada pada
mereka, maka dengan segera mereka mengambil tindakan menyesuaikan diri dengan teguran tersebut.
Amalan, kepercayaan, tradisi dan apa sahaja mereka boleh lepaskan dengan mudah apabila datang
perintah wahyu. Pekerjaan berat dan belum pernah mereka lakukan akan menjadi ringan jika wahyu
memerintahkan mereka melakukan pekerjaan tersebut. Apabila datang wahyu mengharamkan arak,
orang yang sedang memegang botol arak terus mencampakkannya, sekalipun mereka merupakan orang
yang ketagihkan arak. Begitulah kekuatan wahyu yang dibacakan secara langsung oleh Rasulullah s.a.w.
Kaum Muslimin sentiasa mengharapkan kedatangan wahyu untuk memberi petunjuk, bimbingan dan
teguran kepada mereka. Kedatangan wahyu adalah umpama kedatangan kekasih yang mereka rindui.
Mereka fana di dalam wahyu hinggakan tidak ada perkataan yang menguasai mereka melebihi perkataan
Allah s.w.t. Mereka baqa di dalam perintah wahyu iaitu kehambaan kepada Allah s.w.t hinggakan tidak
ada yang menguasai mereka melainkan peraturan Allah s.w.t. Itulah umat Nabi Muhammad s.a.w yang
fana dalam wahyu dan baqa dalam ubudiah (kehambaan).
05. Jalan para sahabat r.a
Kaum Muslimin yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w telah menunjukkan
kecemerlangan dalam apa juga bidang yang mereka ceburi dan apa juga suasana yang mereka berada
di dalamnya. Mereka mampu bertahan ketika menghadapi ujian bala bencana, menanggung penghinaan,
ejekan, penentangan dan penyiksaan sehingga mereka terpaksa mengharungi lautan ke Habsyah dan
meredah padang pasir ke Yasrib demi menyelamatkan agama mereka. Di hadapan Raja Habsyah, Jaafar
bin Abu Talib selaku ketua Muhajirin di Habsyah, telah memberi penerangan lengkap dan jelas mengenai
Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam, mematahkan hujah wakil pihak Quraisy yang menuntut agar
kaum Muslimin dihantar pulang ke Makkah. Jelas sekali para sahabat Rasulullah s.a.w bukan sahaja
memiliki ketahanan jiwa menanggung kesusahan malah mereka juga memiliki kecerdasan akal fikiran.
Mereka adalah duta-duta Rasulullah s.a.w, menterjemahkan sifat-sifat baginda s.a.w iaitu benar,
amanah, menyampaikan dan bijaksana. Mereka boleh berdiri di hadapan sesiapa sahaja bagi
menyampaikan kebenaran secara bijaksana. Apa yang terbit dari mereka adalah bakat-bakat dan sifatsifat Roh Islam yang tulen yang memenuhi seluruh rongga tubuh mereka dan setiap ruang hati mereka.
Ketulenan Roh Islam yang mengendalikan kehidupan mereka menyebabkan mereka Islam pada
perkataan, Islam pada perbuatan dan Islam pada amalan hati.
Ketulenan Roh Islam lahir apabila ia digilap dengan cara mengesakan Allah s.w.t, mengabdikan diri
kepada-Nya dengan beramal salih dan bertakwa serta mengasihi saudara Muslimnya apa yang dikasihi
untuk dirinya sendiri. Apabila jalan atau tarekat tersebut diikuti akan muncullah Roh Islam yang sejati dan
tulen. Ketulenan itu diuji pula dengan dihadapkan kepada ujian bala bencana, penekanan pada zahir dan
batin. Jika ujian bala tidak mencederakan iman maka sahlah ketulenan Roh Islam seseorang Muslim itu.
Begitulah tarekat yang didukung oleh kaum Muslimin yang diasuh secara langsung oleh Rasulullah s.a.w.
Mereka tundukkan jasad kepada pemerintahan roh dan roh ditundukkan kepada perintah Allah s.w.t yang
disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Roh Islam tidak dikuasai oleh sesuatu melainkan kekuasaan Allah

s.w.t. Roh Islam merdeka dari segala sesuatu kecuali Allah s.w.t, Rasul-Nya dan agama-Nya. Apa juga
kekacauan yang melanda dunia tidak akan sampai kepada Roh Islam selagi orang Islam tidak
menjualkan akhiratnya untuk kebendaan dan duniawi.
Kaum Muslimin dibimbing oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w dibimbing oleh Jibrail a.s.
Jibrail a.s dibimbing oleh Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w telah memasuki satu jalan khusus untuk
baginda s.a.w sendiri. Baginda s.a.w memasuki alam khalwat sewaktu berusia 36 tahun. Baginda s.a.w
pergi ke Gua Hiraa melalui bimbingan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya:
Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan
wahyu al-Quran)? ( Ayat 7 : Surah adh-Dhuha )
Tuhan yang memimpin Nabi Muhammad s.a.w ke Gua Hiraa. Pimpinan yang demikian dinamakan
Tarikan Rahmani atau tarikan yang langsung dari Allah s.w.t. Ketika mencari kebenaran Nabi Muhammad
s.a.w tidak pergi kepada pendeta Yahudi dan Nasrani yang terkenal alim mengenai kitab-kitab dari langit
dan juga ilmu falsafah. Baginda s.a.w pergi ke Gua Hiraa yang gelap gelita, meletakkan sepenuh
harapan dan pergantungan kepada Allah s.w.t. Apa yang dicari oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak dapat
dihurai dan dibukakan oleh sesiapa sahaja kecuali Allah s.w.t. Apa yang Allah s.w.t berkehendak
mengurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w melebihi apa yang mampu diberikan oleh manusia.
Setelah fitrah suci baginda s.a.w menerima pembukaan dengan kedatangan wahyu yang pertama,
selesailah urusan berkhalwat. Khalwat di Gua Hiraa telah memberikan makna yang besar kepada
penghidupan Nabi Muhammad s.a.w. Latihan tersebut menjadi asas yang kukuh di dalam pembentukan
keperibadian dan kekuatan jiwa Nabi Muhammad s.a.w. Hasilnya rohani dan jasmani baginda s.a.w
mampu bertahan menerima kunjungan wahyu yang maha berat dan ia juga membuatkan baginda s.a.w
mampu melakukan Israk dan Mikraj di kemudian hari nanti. Tanpa kekuatan yang diperolehi di Gua Hiraa
mungkin jasad dan roh baginda s.a.w akan hancur bila dihempap oleh wahyu dan bila baginda s.a.w
memasuki alam tinggi ketika Mikraj. Hanya golongan nabi-nabi yang dipersiapkan untuk menjadi cukup
kuat bagi menerima kedatangan wahyu dan juga memasuki alam tinggi. Golongan yang selain nabi-nabi,
walaupun siddiqin dan salihin, mereka hanya menerima percikan wahyu dan memasuki alam tinggi
secara pengalaman kerohanian seperti zauk dan kasyaf, tidak secara langsung seperti yang dilakukan
oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian siddiqin dan salihin juga wajib merujuk kepada wahyu
di dalam menentukan kebenaran sesuatu perkara. Siddiqin yang paling utama, Abu Bakar as-Siddik, juga
tertakluk kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada fikiran, ilham dan
kasyaf orang siddik dan salih yang bebas daripada wahyu. Kenyataan ini dibuktikan oleh Nabi
Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w tidak meninggalkan
khalwat sebelum wahyu datang. Para sahabat tidak meninggalkan Rasulullah s.a.w, sentiasa mentaati
baginda s.a.w dalam apa perkara sekali pun.

Setelah wahyu datang tamatlah peringkat khalwat yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda
s.a.w sebagai penterjemah wahyu yang paling arif menyampaikan ajaran wahyu kepada pengikutpengikut baginda s.a.w tanpa membawa mereka memasuki proses khalwat baik di Gua Hiraa atau di
mana-mana gua. Tarekat atau jalan sebelum kedatangan wahyu dengan selepas kedatangan wahyu
adalah berbeza. Wahyu membawa Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut baginda s.a.w memasuki tarekat
kehidupan harian di atas muka bumi, di dalam dunia, secara bertauhid dan beramal salih serta bertakwa.
Semua itu dilakukan dengan memperakui dan memelihara kewujudan kekeluargaan, kemasyarakatan
dan kenegaraan. Golongan hamba yang telah memeluk agama Islam memperakui kedudukan mereka
sebagai hamba. Tidak ada hamba yang memeluk Islam lari dari tuan mereka. Mereka tetap menghormati
institusi kemasyarakatan sekalipun telah memilih Islam yang mempunyai institusinya sendiri. Golongan
pedagang terus juga berdagang. Golongan pertukangan dan pertanian terus juga bertukang dan bertani.
Tidak ada di antara mereka yang meninggalkan urusan kehidupan harian lantaran mahu berkhalwat
secara khusus seperti yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Islam tidak mengubah kehidupan harian.
Apa yang Islam buat adalah menyusun semula kehidupan itu agar ia menjadi jalan yang lurus menuju
kebaikan di dunia dan di akhirat dan seterusnya menemui Tuhan Rabbul Jalil.
Muslim generasi pertama telah membina asas jalan yang lurus dengan keringat dan darah mereka,
dengan harta dan jiwa mereka. Generasi yang datang kemudian dapat berjalan di atas jalan lurus yang
sudah siap di bina, tidak perlu lagi membina jalan yang lain. Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda
s.a.w yang berjuang menegakkan jalan yang lurus itu tidak melepaskan sifat-sifat benar, amanah,
menyampaikan dan bijaksana dalam segala urusan termasuklah ketika bertawakal, berserah diri dan
beriman kepada Qadak dan Qadar. Mereka beriman kepada takdir dan berserah diri secara bijaksana
dan benar. Mereka melihat tanda mereka berserah diri kepada Tuhan adalah mereka menggunakan
segala bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka untuk bergerak di atas jalan yang
lurus, melakukan amal salih dan bertakwa. Mereka melihat bahawa tanda mereka beriman kepada takdir
adalah mereka menggunakan segala kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan yang benar
kerana yang demikian itulah takdir yang paling benar, sementara yang lain itu hanyalah bayangan takdir
yang samar-samar dan tidak layak diimani.
Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan contoh teladan yang benar mengenai konsep beriman kepada
takdir dan bertawakal. Baginda s.a.w cenderung bergerak dan bertindak di dalam sempadan
kemanusiaan biasa dengan menggunakan bakat kemanusiaan seperti orang ramai. Pada malam
pemuda-pemuda Quraisy mengepung rumah baginda s.a.w untuk membunuh baginda s.a.w, baginda
s.a.w telah menyuruh Saidina Ali bin Abu Talib tidur di tempat baginda s.a.w biasa tidur dan Saidina Ali
diselimutkan dengan kain selimut baginda s.a.w sendiri. Baginda s.a.w menggunakan strategi,
kebijaksanaan dan helah kemanusiaan untuk mengalahkan kumpulan yang mahu membunuh baginda
s.a.w itu. Setelah keluar dari rumah, baginda s.a.w bersama-sama sahabat paling akrab, Saidina Abu
Bakar, bersembunyi di dalam Gua Saur. Rancangan persembunyian di sana telah di atur dengan sangat
rapi sehingga rahsia tersebut tidak bocor. Semasa di dalam persembunyian itu maklumat sentiasa di

hantar kepada baginda s.a.w oleh anak lelaki Saidina Abu Bakar. Makanan disediakan oleh bekas hamba
Saidina Abu Bakar yang mengembalakan kambing Saidina Abu Bakar di kaki Bukit Saur. Semua jejak
yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar dihapuskan sehingga tidak ada tanda-tanda
yang mereka bersembunyi di Gua Saur. Sekali lagi kaum musyrikin ditewaskan oleh kebijaksanaan
Rasulullah s.a.w.
Sebaik sahaja keadaan di dalam negeri Makkah reda dan tenang sedikit dan telah ada ruang untuk
Rasulullah s.a.w bergerak, maklumat tersebut dengan pantas dihantarkan oleh anak Saidina Abu Bakar
dan dengan segera pula Rasulullah s.a.w bertindak di atas kesempatan yang terbuka itu. Unta-unta
Saidina Abu Bakar yang kuat, yang dijaga khusus untuk tujuan hijrah itu, dan bekalan makanan dengan
segera dihantarkan ke Gua Saur. Rasulullah s.a.w bersama-sama Saidina Abu Bakar, dengan dipandu
oleh jurupandu yang mahir, bersegera meninggalkan Gua Saur. Pergerakan yang begitu pantas hanya
boleh terjadi dengan perancangan yang rapi dan bijaksana. Setelah meninggalkan Gua Saur baginda
s.a.w mengambil jalan yang bertentangan dengan arah Yasrib. Jalan yang paling sukar dan paling tidak
di sangka telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. Selepas melepasi kawasan bahaya baharulah Rasulullah
s.a.w membelok ke arah Yasrib.
Tidak ada pengkaji sejarah yang tidak berasa kagum dengan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.
Kebijaksanaan baginda s.a.w sudah menyerlah ketika baginda s.a.w masih muda belia lagi. Kekuatan
akal baginda s.a.w dapat mengalahkan kekuatan akal semua manusia. Semua akal tunduk kepada akal
yang mendapat pembukaan daripada Allah s.w.t. Kebijaksanaan merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w
yang sangat ketara. Ketika suku-suku Quraisy sudah sampai kepada peringkat mahu berperang sesama
sendiri akibat kebuntuan akal mereka menentukan siapakah yang layak meletakkan semula Hajaral
Aswad ke tempat asalnya setelah Kaabah dibina semula, Nabi Muhammad s.a.w yang pada masa itu
masih seorang pemuda, dengan mudah sahaja menyelesaikan pertikaian tersebut, tanpa memerlukan
masa untuk berfikir, tanpa meminta pendapat sesiapa dan tanpa ragu-ragu baginda s.a.w mengeluarkan
formula yang diterima oleh semua orang. Kebijaksanaan baginda s.a.w menjadi lebih sempurna lagi
setelah mendapat penerangan daripada wahyu. Tidak ada sepatah pun perkataan baginda s.a.w yang
sia-sia. Tidak ada satu pun perbuatan baginda s.a.w yang tidak bermanfaat. Hanya Nabi Muhammad
s.a.w seorang sahaja di dunia ini yang setiap patah perkataan dan setiap perbuatannya direkodkan.
Hingga kini belum ditemui sebarang kesilapan pada perbuatan dan perkataan baginda s.a.w.
Rasulullah s.a.w melaksanakan segala tugas dengan cemerlang, dengan menggunakan bakat dan
keupayaan kemanusiaan. Memang benar baginda s.a.w dikurniakan mukjizat tetapi mukjizat hanya
datang setelah baginda s.a.w menggunakan bakat kemanusiaan dalam melaksanakan tugas. Baginda
s.a.w tidak melemparkan sifat-sifat kemanusiaan lantaran kunci mukjizat berada dalam tangan. Bahkan
keupayaan baginda s.a.w menyelesaikan masalah kemanusiaan dengan menggunakan bakat
kemanusiaan merupakan mukjizat yang sangat luar biasa. Baginda s.a.w telah membuktikan bahawa
seseorang insan yang dapat mempertahankan sifat-sifat kemanusiaan dan kehambaan dalam segala

keadaan dan makam itulah perkara yang sangat luar biasa. Di bumi, Nabi Muhammad s.a.w bergerak
sebagai hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Di langit, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba
Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Bahkan di hadapan Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w sujud sebagai hambaNya dan Rasul-Nya. Tidak terbalik pandangan baginda s.a.w lantaran berlaku perubahan stesen dan
makam.
Peristiwa hijrah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada umat manusia agar mereka
menghargai bakat dan keupayaan kemanusiaan yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka. Nabi
Muhammad s.a.w telah mengajarkan bahawa menggunakan akal fikiran, mengadakan strategi dan
perancangan serta melakukan ikhtiar dan usaha adalah sebahagian daripada pakej beriman kepada
takdir, bertawakal dan berserah diri. Jika ada orang yang mentafsirkannya secara lain tentu sekali
tafsirannya berbeza dengan tafsiran yang dikeluarkan secara nyata melalui perbuatan oleh Rasulullah
s.a.w.
Sebelum kedatangan wahyu Nabi Muhammad s.a.w memasuki amalan berkhalwat. Setelah wahyu
datang baginda s.a.w dibimbing oleh wahyu untuk membimbing umat manusia. Baginda s.a.w membawa
pengikut-pengikut baginda s.a.w meredah lautan bala bencana, menanggung penyiksaan dan
menghadapi penentangan kerana semua itu adalah batu ujian yang menggilap iman. Tarekat khalwat
sudah berubah menjadi tarekat kehidupan harian yang penuh dengan ujian bala bencana.
Rasulullah s.a.w dan Muslim generasi pertama berjalan di atas ranjau kehidupan, menghadapi kezaliman
dan menanggung penderitaan. Keluarga Yasir yang menjadi hamba kepada suku Banu Makhzum telah
diseksa dengan sangat teruk sekali. Mereka dijemur di lembah Makkah diwaktu panas terik dengan
diletakkan batu di atas dada mereka. Rasulullah s.a.w menziarahi keluarga Yasir dan memberikan
kekuatan rohani kepada mereka. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: Bergembiralah wahai
keluarga Yasir. Kamu akan mendapat tempat di dalam syurga. Ucapan Rasulullah s.a.w itu menjadi
penawar yang sangat mujarab, memberi kekuatan kepada keluarga Yasir untuk menanggung
penderitaan yang sedang menimpa mereka. Mereka mampu mempertahankan iman mereka dengan
penuh kesabaran. Mereka telah terhibur dengan janji yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka
sedikit pun tidak berasa ragu dengan jaminan Rasulullah s.a.w itu. Mereka telah mencium bau syurga
dan ia menjadikan mereka tenang, reda dengan takdir Tuhan. Kebahagiaan syurga yang menunggu di
hadapan menyapu segala kesakitan yang sedang dialami.
Walaupun diseksa dengan hebatnya oleh Banu Makhzum namun keluarga Yasir tidak berganjak
daripada kepercayaan mereka. Usaha untuk membawa mereka kepada kekufuran hanya sia-sia. Orang
Banu Makhzum yang gagal mengubah akidah keluarga Yasir, menjadi kerasukan syaitan. Apabila syaitan
sudah menguasai mereka sepenuhnya hilanglah keperimanusiaan mereka. Dada Yasir direjam dengan
tombak. Samyah, isteri Yasir, menjadi lebih bersemangat dan berani menentang tuannya. Banu
Makhzum tidak tahu hendak buat apa lagi dengannya. Samyah diserahkan kepada Abu Jahal yang ikut

serta menyeksa keluarga Yasir itu. Abu Jahal yang bersekutu dengan iblis, mengambil sebilah tombak
dan dengan sekuat-kuat tenaganya merejamkan tombak itu ke bahagian kemaluan Samyah hingga
tembus ke belakang. Keluarlah dua roh suci, naik kepada Tuhan mereka, membawa kemenangan di
dalam mempertahankan tauhid. Yasir dan isterinya Samyah menjadi syuhada yang pertama dalam Islam.
Nama mereka yang diukir dengan tinta emas tidak mungkin padam dari lembaran sejarah perjuangan
Rasulullah s.a.w. Yasir dan Samyah mendahului para syuhada yang lain, menunggu mereka di pintu
syurga.
Selain Yasir dan keluarganya, Bilal bin Rabah dan ibunya juga menerima seksaan yang berat daripada
tuan mereka. Mereka menjadi hamba kepada Umayyah bin Khalaf. Bilal menghadapi segala penyeksaan
ke atasnya dengan semangat yang kental. Bilal berkata kepada tuannya: Walaupun tuan cincang lumat
badan saya, tuan pisahkan roh dari tubuh saya, namun agama ini tetap saya anuti dan saya pertahankan
sedaya upaya saya. Tubuh saya tidak memerlukan makanan yang enak atau pakaian yang cantik atau
kehidupan yang selesa. Roh saya yang memerlukan makanan dan pakaian dan perlu dipersucikan. Kini
saya sudah temui yang dapat memenuhi keperluan roh saya sebanyak mungkin. Saya tidak memerlukan
apa-apa lagi dari tuan. Sia-sia sahaja tuan menghalangi saya dari mendapatkan yang demikian.
Ketegasan Bilal menambahkan kemarahan Umayyah. Tangan Bilal diikat dan lehernya dibelit dengan
rantai yang berduri. Bilal tidak diberi makan dan minum. Usaha yang kejam itu gagal meruntuhkan iman
Bilal. Kemudian Bilal diheret mengelilingi kota Makkah. Orang ramai mengejeknya sambil membalingnya
dengan batu. Tindakan begini juga tidak menggugat iman Bilal. Apabila sampai berhampiran dengan
Kaabah Bilal menjerit sekuat-kuat hatinya: AHAD! AHAD! AHAD! Perkataan inilah yang sangat dibenci
oleh kaum musyrikin Quraisy. Bilal tidak putus-putus menyebut Ahad, Ahad, Ahad. Bilal dibawa pula ke
padang pasir yang sangat panas. Beliau dipakaikan baju perang (baju besi). Bilal yang dipakaikan baju
besi itu dijemur di tengah panas yang sangat terik. Iman Bilal terus memancar. Perkataan Ahad terus
keluar dari celah bibirnya. Orang musyrikin sudah tidak dapat menahan geram lagi. Mereka beramairamai mengangkat seketul batu besar dan diletakkan di atas dada Bilal. Nun di atas sana matahari
menyala. Di bawah pula pasir membara. Di antara keduanya adalah Bilal yang berpakaian baju besi
dan ditindih pula oleh batu besar. Bilal tidak nampak matahari, pasir atau batu besar. Bilal tidak
merasakan kepanasan atau keberatan. Bilal hanya melihat satu sahaja iaitu Yang Maha Satu, Maha Esa,
Ahad! Bilal menikmati kelazatan menyaksikan Yang Maha Esa. Dari celah bibirnya, dengan nada yang
perlahan dan tersekat-sekat, masih lagi keluar ucapan: Ahad! Ahad! Ahad! Dengarlah Bilal bermunajat:
Jika mereka mahu membunuh aku agar aku menyengutukan Tuhan ar-Rahman, biarlah aku mati
daripada aku berbuat demikian. Aku lebih takut menyengutukan Allah. Allahumma! Tuhan Ibrahim, Tuhan
Yunus, Tuhan Musa dan Tuhan Isa. Selamatkan iman daku!
Bilal telah lulus ujian makam keesaan. Bilal sudah memperolehi pancaran Ahadiyyah. Allah s.w.t
menghantarkan wakil-Nya untuk menyelamatkan hamba-Nya yang telah membuang segala sesuatu dari
hatinya selain Allah s.w.t. Abu Bakar, lelaki benar lagi jujur, datang ke tempat Bilal yang sedang teruk

diseksa. Abu Bakar mahu membeli Bilal yang imannya sudah dibeli oleh Allah s.w.t. Apakah Umayyah
mahu melihat Bilal mati dan dia kerugian? Umayyah mengambil peluang yang ditawarkan oleh Abu
Bakar. Bilal dijualkan kepada Abu Bakar dengan harga lima kali lebih mahal daripada harga biasa
seorang hamba. Abu Bakar membayarnya tanpa tawar menawar. Abu Bakar cuba mengangkat batu
yang di atas dada Bilal tetapi tidak berdaya. Beliau naik berang. Disergahnya orang-orang yang berada di
tempat itu. Baharulah mereka datang mengangkat batu tersebut. Baju besi juga ditanggalkan dari tubuh
Bilal. Bilal sudah bebas dari matahari yang menyala dan pasir yang membara. Bilal sudah bebas dari
batu yang menindih dadanya. Bilal sudah bebas dari baju besi yang membungkusnya. Bilal bertanya
kepada Abu Bakar: Adakah tuan membeli saya untuk menjadi hamba tuan? Abu Bakar menjawab:
Demi Allah, wahai Bilal engkau aku bebaskan. Bebaslah Bilal sepenuhnya dari segala bentuk
perhambaan kecuali kehambaan terhadap Allah s.w.t. Ibu Bilal, Hamamah, juga dibeli oleh Abu Bakar
dan dimerdekakan. Lain-lain hamba yang dibeli dan dibebaskan oleh Abu Bakar adalah Amir bin Furahah
(lelaki yang mengembala kambing di kaki Gunung Saur sewaktu Rasulullah bersembunyi di sana
sebelum berangkat ke Madinah), Abu Fukaihah, Zinnirah, Ummu Ubais, an-Nahyah dan anak
perempuannya, Khabbab bin al-Aratti (lelaki yang berada bersama-sama adik perempuan Umar alKhattab dan suaminya ketika Umar menerpa masuk dan merampas lembaran yang tertulis ayat al-Quran
yang sedang dibaca oleh adiknya) dan seorang hamba perempuan kepada Banu Zuhrah.
Rasulullah s.a.w dan Muslim telah menjalani tarekat ujian bala. Mereka terpaksa meninggalkan kampung
halaman, rumah tangga, kaum keluarga, harta benda dan pekerjaan demi menyelamatkan akidah
mereka. Walau bagaimana keras ujian yang mereka terima namun, mereka tetap berpijak di atas bumi
yang nyata. Tarekat mereka adalah kekhalifahan di bumi. Mereka beriman kepada akhirat dan perkara
ghaib dan mereka juga beriman kepada perkara kehidupan harian di dalam dunia ini yang diajarkan oleh
Rasulullah s.a.w. Mereka menuju akhirat dengan menunggang dunia. Tidak ada di antara mereka yang
lari daripada dunia lantaran cintakan Allah s.w.t dan akhirat. Mereka adalah kumpulan yang diperakui
oleh Rasulullah s.a.w sebagai puak yang paling baik pernah wujud di atas muka bumi. Itulah puak yang
menggabungkan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, puak yang menjadikan dunia sebagai
kebun akhirat. Mereka menyintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya tanpa membuang dunia dan akhirat. Mereka
mendukung tarekat Islam iaitu mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan melakukan kehambaan
kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar kehambaan serta melakukan amal salih dan bertakwa.
Mungkin tidak seorang pun yang datang kemudian telah mengalami zauk atau kefanaan yang dialami
oleh Bilal sewaktu dijemur di panas terik dengan berpakaian baju besi dan ditindih batu besar di atas
dadanya. Dalam kemuncak kefanaan dan zauk Bilal mengucapkan: Ahad! Ahad! Ahad! Suasana
ketuhanan yang menguasai Bilal dan yang sedang disaksikan oleh mata hati Bilal menyebabkan terucap
perkataan AHAD bukan ana al-Haq! Masih adakah umat kemudian yang semulia Bilal, juru azan
Rasulullah s.a.w? Bukankah pada malam Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w mendengar bunyi terompah
Bilal di dalam syurga. Kemuliaan dan ketinggian darjat Bilal masih tidak mengatasi darjat Abu Bakar asSiddik, sedangkan Abu Bakar tidak melalui makam fana dan zauk. Beliau r.a sentiasa di dalam keadaan

jaga. Zauknya adalah mencintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Kefanaan beliau r.a adalah wahyu. Kebaqaan
beliau r.a adalah ubudiah. Begitu juga halnya dengan Umar, Usman dan Ali. Jalan yang ditempuh oleh
para sahabat itu adalah jalan yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w dan jalan demikian
diistilahkan sebagai jalan kenabian.
06. Jalan kenabian
Para sahabat Rasulullah s.a.w adalah kumpulan kaum Muslimin yang paling bertuah kerana Rasulullah
s.a.w berada di tengah-tengah mereka. Mereka menerima pengajaran wahyu secara langsung daripada
baginda s.a.w. Mereka adalah puak yang paling diberkati Allah s.w.t kerana Dia kurniakan kepada
mereka cahaya (Nur) Nabi Muhammad s.a.w secara terus, tanpa dihijab oleh ruang, zaman atau masa.
Apa yang mereka perolehi daripada Nur Nabi Muhammad s.a.w adalah yang paling benar dan asli pada
tahap maksimum. Jika Nabi Muhammad s.a.w diibaratkan sebagai matahari, maka para sahabat
menerima pancaran matahari ketika ia berdiri tegak tanpa segumpal awan pun melindunginya. Umat
yang di belakang pula adalah umpama orang yang menerima pancaran cahaya matahari ketika ia telah
condong ke barat dan ketika awan mendung sudah berarak dipermukaan langit.
Kaum Muslimin yang menerima tarekat secara langsung daripada Rasulullah s.a.w menetap di atas jalan
kehambaan dan kesedaran. Wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w secara langsung membakar
sifat-sifat keji para sahabat tanpa membakar identiti mereka. Mereka mengikuti tingkah-laku Rasulullah
s.a.w dengan bersungguh-sungguh untuk memakai sifat-sifat benar, amanah, menyampaikan dan
bijaksana. Mereka berusaha menyesuaikan diri dengan Rasulullah s.a.w kerana baginda s.a.w adalah
model yang Allah s.w.t hantarkan untuk diteladani. Apabila jalan yang demikian diikuti maka para sahabat
menjadi duta-duta kepada Rasulullah s.a.w, cermin yang membalikkan cahaya Nabi Muhammad s.a.w
dan penyambung lidah Nabi Muhammad s.a.w. Cara yang demikian meneguhkan iman di atas landasan
kehambaan. Tidak ada percubaan untuk membuang kehambaan dan menjadi Tuhan. Tidak ada
pengalaman kerohanian yang memabukkan. Banyak daripada pengalaman yang ganjil-ganjil yang
dialami oleh para sufi yang datang kemudian, tidak dialami oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Golongan
yang menjalani tarekat yang diterima secara langsung daripada Rasulullah s.a.w tidak mengalami atau
jarang terjadi pengalaman dan penyaksian terhadap tajalli-tajalli, warna dan cahaya. Pengalaman yang
demikian tidak terjadi di peringkat awal sahabat menerima Islam dan tidak juga di peringkat akhir.
Pengalaman yang demikian tidak berlaku kerana matahari kenabian tidak ditutup oleh awan mendung
keraguan dan syak wasangka yang biasa dikeluarkan oleh akal fikiran. Pengembara pada jalan kenabian
iaitu tarekat para sahabat tidak terpukau dengan tajalli dan tidak tertarik dengan bayangan. Tajalli dan
bayangan adalah fenomena yang timbul selama awan mendung menutupi cahaya matahari yang asli.
Setelah awan mendung berlalu muncullah cahaya yang terang benderang, tanpa rupa, tanpa warna dan
bayangan juga hilang.
Para sahabat yang mengikuti jalan kenabian sangat menyintai akhirat. Keluarga Yasir yang sedang hebat
menderita diseksa oleh orang Banu Makhzum, menjadi tenang apabila menerima jaminan syurga

daripada Rasulullah s.a.w. Syurga yang dijanjikan itu memberi semangat dan kekuatan kepada keluarga
Yasir. Kecintaan mereka kepada akhirat lahir daripada kecintaan mereka kepada Allah s.w.t yang berjanji
untuk memperlihatkan Diri-Nya di akhirat kelak. Mereka tidak meninggalkan akhirat atau pun dunia
lantaran kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. Kecintaan kepada Allah s.w.t yang disertai oleh kecintaan
kepada akhirat dan dunia tidak menggoncangkan iman dan pegangan tauhid mereka.
Apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin bukanlah memaksa kaum Muslimin menafikan ketuhanan Allah
s.w.t, tetapi mereka mahu diadakan sekutu bagi Allah s.w.t. Kaum Muslimin yang hati mereka sudah
dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah s.w.t tidak mahu mempersekutukan Allah s.w.t dengan sesuatu.
Inilah prinsip menyintai Allah s.w.t yang berdasarkan iman, yang dibentuk melalui jalan kenabian. Cinta
yang demikian diperkuatkan dengan kecintaan kepada akhirat dan syurga. Syurga diingini kerana syurga
adalah tempat pertemuan sebenar hamba dengan Tuhan. Allah s.w.t menggalakkan hamba-Nya
menyintai akhirat dan syurga di samping benar dalam menyintai-Nya dan Rasul-Nya. Cinta yang
berdasarkan kepada iman itu juga tidak memisahkan seseorang daripada dunia.
Tujuan manusia diciptakan adalah supaya mereka mengabdikan diri kepada Tuhan dengan cara menjadi
khalifah di bumi, di dalam dunia. Manusia sebagai khalifah atau wakil Tuhan berkewajipan memakmurkan
kehidupan di dalam dunia ini, melaksanakan peraturan dan kehendak Allah s.w.t. Dunia adalah daerah
kekhalifahan manusia. Dunia adalah kebun buat manusia bercucuk tanam. Dunia adalah tempat buat
manusia bekerja sebagai hamba Tuhan. Dunia adalah amanah yang Tuhan pertanggungjawabkan
kepada makhluk berbangsa manusia. Cinta kepada Allah s.w.t yang berdasarkan iman mendorong
seseorang manusia menyempurnakan tugas dan kewajipannya di dalam dunia. Tugas yang sangat
penting di dalam dunia adalah menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar dan semuanya itu
hendaklah dibuat berlandaskan kepada tauhid.
Pada jalan kenabian yang diikuti oleh para sahabat, kesungguhan digembelingkan ke arah mematuhi
peraturan syariat. Mereka meyakini syariat dengan sepenuh jiwa raga dan bersedia untuk
mempertahankan syariat dengan segala kemampuan yang mereka ada. Rasulullah s.a.w menolak
permintaan puak Taqif yang datang dari Taif, agar berhala mereka tidak dirobohkan dalam tempuh satu
tahun dari masa mereka mula menerima Islam dan mereka juga meminta dikecualikan daripada
melakukan sembahyang lima waktu. Agama Tauhid tidak boleh bertolak-ansur dengan berhala.
Mengenai sembahyang pula baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: Tidak ada Islam tanpa
sembahyang. Tentera Islam meredah padang pasir, memikul senjata, berperang, membunuh dan
dibunuh, semuanya dilakukan dengan membawa peraturan syariat, termasuklah sembahyang lima
waktu. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Khalifah Abu Bakar as-Siddik memerangi puak Islam yang
enggan mengeluarkan zakat. Syariat dipegang sewaktu Rasulullah s.a.w masih hidup dan juga selepas
kewafatan baginda s.a.w. Kaum Muslimin berkewajipan menanggung syariat sehingga ke akhir hayat
mereka. Tidak ada had atau makam di mana seseorang bebas daripada tuntutan syariat. Rasulullah

s.a.w sendiri pun terikat dengan tuntutan syariat, malah kesungguhan baginda s.a.w bersyariat melebihi
orang lain.
Orang yang memasuki jalan kenabian adalah hamba yang Allah s.w.t pimpin kepada-Nya. Jalan tersebut
sudah dilalui oleh para anbia, siddiqin dan salihin. Pada jalan tersebut sesuatu adalah terang dan jelas,
tiada kesamaran. Tuntutan pada jalan ini adalah syariat, tidak perlu melakukan latihan yang berat,
merbahaya dan samar-samar. Pada jalan kenabian latihan bersuluk dan berkhalwat tidaklah sepenting
menjaga tuntutan fardu di samping melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan harian. Amalan pada
jalan kenabian tidak mengganggu pekerjaan harian, tidak perlu mengasingkan diri ke tempat yang tidak
ada orang. Cara yang diajarkan oleh Sunah Rasulullah s.a.w boleh mengelakkan seseorang terbawabawa ke dalam zauk, berkelakuan ganjil, meratap dan menangis atau mengeluarkan perkataan yang
menyalahi syariat. Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak mengambil tahu tentang tajalli Tuhan,
Rahsia Tuhan, fana dalam Tuhan, baqa dengan Tuhan atau yang seumpamanya. Kasyaf, zauk, jazbah
dan keramat jarang sekali ditemui pada orang yang melalui jalan kenabian. Jika ada pun perkara yang
demikian berlaku, ia berlaku bukan disengajakan, tidak dibuat amalan khusus untuk memperolehi yang
demikian. Mereka yang beramal menurut Sunah Rasulullah s.a.w mendapat kelazatan di dalam
sembahyang dan membaca al-Quran bukan di dalam zauk. Mereka bertindak menguruskan kehidupan
harian secara manusia biasa tanpa perlu bersandar kepada kekeramatan. Mereka menetap di dalam
kesedaran, tidak dibawa ke alam fana. Mereka terus berada di atas landasan kehambaan, tidak
memasuki suasana bersatu dengan Tuhan atau baqa dengan-Nya. Mereka menghabiskan masa dengan
melakukan tuntutan syariat, bukan berbahas tentang afal, asma, sifat dan zat Tuhan. Mereka berpegang
kuat kepada wahyu dan perkataan Rasulullah s.a.w, tidak mencari-cari apa yang dipanggil ilmu rahsia,
ilmu isi atau yang seumpamanya.
Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak digesa berperang dengan jasad dengan melakukan
latihan yang menyakitkan jasad. Pada jalan kenabian penekanan diberikan kepada soal kesederhanaan
dan menjaga agar tidak melampaui batas. Dibenarkan mengadakan pembalasan tetapi sekadar
kejahatan yang dilakukan orang, jangan melampau dalam pembalasan dan jika sanggup memaafkan
adalah lebih baik. Dibenarkan tidur tetapi jika bangun bersembahyang tahajjud adalah lebih baik.
Dibenarkan makan dan minum tetapi jika berpuasa adalah lebih baik. Cara yang demikian lebih
memudahkan orang ramai mengikutinya. Orang khusus juga boleh mencapai matlamat melalui jalan ini.
Pengembara pada jalan kenabian membina kecintaan kepada Allah s.w.t berdasarkan bimbingan syariat.
Cinta yang lahir melalui cara yang demikian berada di dalam batasan rasional, tidak terjadi kecintaan
yang asyik mahsyuk sehingga lupa diri dan makhluk di sekeliling. Kasih yang rasional melahirkan rasa
syukur tatkala menerima nikmat dari Allah s.w.t dan sabar di dalam menerima ujian. Cara yang demikian
membuat kehambaan sentiasa menemani pengembara pada jalan kenabian. Rasa bergantung, berhajat
dan berharap kepada Allah s.w.t tidak pernah lepas dari hati hamba itu. Kasih yang berdasar kepada
iman menjadi lebih kuat dengan cara mendukung syariat, mematuhi Sunah Rasulullah s.a.w, dengan

tulus ikhlas beramal sesuai dengan perintah al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w dalam perkara zahir
dan batin, juga tidak melakukan perkara yang munkar. Jika yang demikian dilakukan seseorang itu
selamat daripada kekufuran dan seterusnya seseorang itu dibawa kepada suasana berserah diri kepada
Allah s.w.t. Cara yang demikian menundukkan keinginan diri sendiri kepada ketentuan dan kehendak
Allah s.w.t. Tunduk kepada ketentuan dan kehendak Allah s.w.t menambahkan kecintaan kepada-Nya
yang didasarkan kepada iman. Kasih yang demikian menjadi lebih kuat apabila dilakukan kebaktian
kepada agama-Nya, peraturan-Nya, Sunah Rasul-Nya, menolong makhluk-Nya, menghapuskan
kezaliman dan kemunkaran serta menegakkan keadilan di atas muka bumi. Kasih kepada Allah s.w.t
secara demikian melahirkan juga kasihkan makhluk Allah s.w.t dan orang yang berkenaan bekerja untuk
membasmikan perkara-perkara yang tidak baik dari umat manusia seperti kemiskinan, penyakit,
kesusahan dan lain-lain. Pada jalan kenabian kecintaan kepada Allah s.w.t berkait rapat dengan
kecintaan kepada peraturan Allah s.w.t dan makhluk-Nya. Matlamatnya adalah melaksanakan kehendak
Allah s.w.t sebaik mungkin.
Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak mengalami suasana fana, bersatu dengan Tuhan, baqa,
tajalli atau menyaksikan satu wujud (wahdatul wujud) yang biasa ditemui oleh pengembara pada jalan
kesufian. Pada jalan kenabian Allah s.w.t kurniakan yang lebih baik dan lebih benar daripada semua itu.
Dikurniakan kepada pengembara pada jalan kenabian makna agama yang sebenarnya yang tidak
bercampur dengan kesamaran dan kekeliruan. Allah s.w.t jadikan mereka saksi bagi agama-Nya,
menjadi puak yang menyatakan kebenaran agama-Nya dan kebenaran Rasul-Nya menyampaikan
perintah-Nya. Allah s.w.t kurniakan kepada mereka makam yang mulia iaitu menjadi penyebar agamaNya secara benar dan bersih daripada bidaah dan kesesatan. Orang yang berjalan pada jalan kenabian
dikurniakan rasa ghirah (kecemburuan) beragama. Perasaan yang demikian membuat mereka bersedia
berjuang melindungi agama dan mempertahankannya daripada gangguan musuh-musuh agama.
Merekalah yang sebenar-benar dipilih dan dilantik sebagai khalifah Allah s.w.t pada bumi dan diberikan
izin menggunakan cop mohor-Nya di dalam melaksanakan tugas kekhalifahan itu. Allah s.w.t akan
membantu, menolong dan membela mereka menjalankan tugas mereka menyebarkan syariat,
memakmurkan bumi, mengalahkan musuh-musuh Islam dan menyelamatkan umat Islam daripada
penindasan bangsa-bangsa lain.
Pada jalan kenabian tidak ada fana dalam perbuatan Allah s.w.t, fana dalam nama Allah s.w.t, fana
dalam sifat Allah s.w.t dan fana dalam zat Allah s.w.t. Bila tidak ada fana tidak ada juga baqa. Bila yang
demikian tidak ada maka tidak ada pula mabuk. Kecintaan kepada Allah s.w.t berjalan di dalam
kesedaran. Tidak terjadi keasyikan yang melahirkan ucapan yang pelik-pelik. Tidak ada tangisan dan
rayuan untuk bersatu dengan Tuhan atau dukacita lantaran berpisah dengan Tuhan. Para sahabat yang
diasuh sendiri oleh Rasulullah s.a.w sentiasa berada di dalam kesedaran sepenuhnya, bukan kefanaan.
Mereka mengejar kecintaan kepada Allah s.w.t dan kehampiran dengan-Nya dengan cara mentaati
Rasulullah s.a.w di dalam mentaati Allah s.w.t. Mereka bekerja memahami wahyu Tuhan dan
mengamalkannya dalam kehidupan harian. Mereka tidak memasuki jalan suluk secara khusus kerana

bagi mereka kehidupan inilah tempat bersuluk. Suluk mereka adalah takwa, iaitu berjalan di celah-celah
duri kejahilan, kemusyrikan, kemunafikan, kemunkaran dan kefasikan. Mereka bersuluk secara menjaga
diri agar tidak melakukan dosa dan maksiat terutamanya syirik kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha
Esa.
Rasulullah s.a.w diutuskan ketika umat manusia mengalami kegelapan akidah dan keruntuhan akhlak.
Baginda s.a.w berkewajipan menyelamatkan umat manusia. Baginda s.a.w bekerja keras bagi mengubati
penyakit-penyakit yang dihidapi oleh bangsa manusia dalam segala segi termasuklah akidah, akhlak,
sistem perekonomian, sistem pentadbiran masyarakat dan lain-lain. Agama yang dibawa oleh Rasulullah
s.a.w mencakupi segala aspek kehidupan umat manusia, bersesuaian dengan akal budi manusia,
mengimbangi soal lahiriah dengan soal batiniah. Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w
memperbetulkan aspek lahiriah yang telah diputar-belitkan oleh kaum Yahudi dan aspek batiniah yang
telah dikelirukan oleh kaum Nasrani. Tugas suci yang ditanggung oleh Rasulullah s.a.w itu ditanggung
juga oleh kaum Muslimin yang menjadi pengikut baginda s.a.w. Tugas yang sama dipikul oleh kaum
Muslimin yang datang kemudian dengan mendukung jalan kenabian.
Jalan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w dan diikuti oleh para sahabat adalah jalan singkat dalam
mencapai matlamat iaitu keredaan Allah s.w.t. Jalan yang ada suluk adalah jalan jauh yang perlu dilalui
oleh orang-orang tertentu kerana sesuatu sebab yang perlu, terutamanya pada zaman yang telah jauh
daripada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Ketika baginda s.a.w masih hidup bimbingan wahyu dan
pengajaran secara langsung daripada baginda s.a.w lebih kuat dan lebih berkesan daripada cara
berkhalwat sendirian jauh daripada Rasulullah s.a.w. Beriman dan beramal salih lebih dituntut daripada
mengasingkan diri. Berjuang menyelamatkan manusia daripada neraka adalah juga termasuk dalam
perkara amal salih. Di dalam melaksanakan tugas suci itu Rasulullah s.a.w dan kaum Muslimin perlu
berperang menghapuskan faktor-faktor yang membentengi umat manusia daripada sampai kepada
kebenaran. Banyak puak yang pada mulanya enggan menerima atau mendengar ajaran Islam, telah
dengan rela memeluk Islam setelah mereka dikalahkan. Muslim zaman Rasulullah s.a.w sanggup mati
demi menyelamatkan umat manusia daripada api neraka.
Nabi Muhammad s.a.w sebagai juru pandu yang mahir telah mengemudikan perjalanan kaum Muslimin di
celah-celah kehidupan jahiliah. Kehidupan jahiliah dipenuhi oleh duri-duri keruntuhan akidah dan akhlak.
Orang jahiliah menyembah berhala, mendewa-dewakan sesama manusia, meminum arak, berjudi,
berzina, membunuh anak-anak perempuan, menyelesaikan permasalahan dengan cara berlaku kejam
dan membunuh, menjadikan wanita sebagai alat memuaskan nafsu dan bermacam-macam perlakuan
yang menyalahi moral dan etika kemanusiaan. Di dalam menangani masalah jahiliah itu Rasulullah s.a.w
menekankan

dua

perkara

pokok

iaitu

mengembalikan

akidah

manusia kepada

tauhid

dan

mengembalikan akhlak manusia kepada nilai-nilai murni kemanusiaan (fitrah). Selama baginda s.a.w
berdakwah di Makkah tumpuan baginda s.a.w adalah akidah dan akhlak. Penekanan kepada aspek
akhlak semata-mata, iaitu nilai murni kemanusiaan semata-mata, tanpa tauhid, tidak akan memberi

kesan yang mendalam kepada pembentukan keperibadian manusia. Revolusi akhlak semata-mata tanpa
revolusi akidah mungkin mampu mengwujudkan manusia yang baik tetapi manusia yang demikian hanya
bergerak pada soal-soal kebendaan dan keduniaan sahaja. Kejayaan dan kecemerlangan diukur melalui
pencapaian pada perkara kehidupan keduniaan dan kebendaan semata-mata. Tanpa akidah manusia
akan mengalami kekosongan jiwa dan kekosongan tersebut akan diisi oleh sesuatu seperti ketaasuban
kepada keluarga, keturunan, kaum dan bangsa. Pengisian dengan anasir keduniaan itu akan menarik
manusia kembali kepada kerosakan akhlak. Ramai manusia yang memulakan perjalanan mereka dengan
baik sehingga memperolehi akhlak yang mulia. Setelah mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dalam
kehidupan lahiriah jiwanya yang kosong diresapi oleh berbagai-bagai anasir keduniaan dan kebendaan.
Kesudahannya mereka jatuh ke dalam perlakuan yang mencemarkan nilai murni kemanusiaan. Ramai
pemimpin yang telah berjuang dengan ikhlas bagi membebaskan negara mereka daripada penjajah.
Setelah mencapai kemerdekaan dan menjadi pemimpin, mereka yang tiada pengisian akidah itu bertukar
menjadi tamak kuasa dan menindas rakyat. Ramai juga golongan peniaga yang memulakan perniagaan
mereka secara jujur sehingga orang ramai memberi sokongan padu kepada mereka. Saham mereka
melambung naik. Setelah mencapai kejayaan dan kekayaan, jiwa mereka yang kosong diisikan dengan
harta benda. Akibatnya lahirlah sifat menambun harta tanpa batasan sehingga harta orang ramai yang
diamanahkan kepada mereka juga diselewengkan. Ramai manusia yang memulakan sesuatu kerjaya
dengan menghormati nilai-nilai murni kemanusiaan, tetapi setelah kejayaan dicapai, nilai murni tersebut
dibuang begitu sahaja. Orang yang seperti inilah yang selalu mendatangkan kesusahan kepada manamana badan atau persatuan yang mereka anggotai. Revolusi akhlak akan hancur jika ia tidak mengiringi
revolusi akidah. Rasulullah s.a.w telah membina jalan yang menyelaraskan akidah dengan akhlak.
Semakin kuat dan benar akidah kaum Muslimin semakin murni akhlak mereka. Kemurnian akhlak kaum
Muslimin menjadi daya penarik kepada kaum lain. Orang yang belum Islam lebih mempelajari tentang
Islam melalui akhlak kaum Muslimin. Pembentukan akhlak kaum Muslimin merupakan dakwah secara
tidak langsung kepada kaum lain. Pada jalan kenabian kaum Muslimin berkecimpung di dalam
masyarakat dan mereka melakukan dakwah sepanjang masa dengan mempraktikkan nilai-nilai murni
kemanusiaan.
Orang yang meminati bidang kerohanian, tasauf dan tarekat biasanya tertarik kepada soal kewalian.
Kewalian biasanya dihubungkan dengan jalan kesufian. Apabila memperkatakan tentang wali-wali Allah
maka nama-nama mereka yang memasuki jalan kesufian sering ditonjolkan. Orang-orang seperti Syeikh
Abdul Qadir Jilani, Ibrahim bin Adham, Hasan Basri, Junaid, Rabiatul Adawiah dan lain-lain orang sufi
biasanya disenaraikan sebagai wali-wali Allah. Mengaitkan kewalian secara khusus dengan kesufian
semata-mata telah menimbulkan banyak kekeliruan dan merugikan umat Islam sendiri. Apabila namanama sufi sering ditonjolkan sebagai wali Allah, timbullah anggapan bahawa hanya dengan memasuki
jalan kesufian seseorang itu boleh mencapai makam kewalian. Kewalian pada jalan kenabian tidak
ditonjolkan. Kefahaman tentang kewalian haruslah diperbetulkan. Haruslah diketahui bahawa orang yang
menerima Islam secara langsung daripada Rasulullah s.a.w adalah wali Allah. Wali-wali Allah yang
sezaman dengan Rasulullah s.a.w, mendengar pengajaran daripada baginda s.a.w sendiri, melihat wajah

baginda s.a.w, mendengar tutur-kata baginda s.a.w, makan bersama-sama baginda s.a.w, berperang di
samping baginda s.a.w, adalah wali-wali Allah peringkat paling tinggi. Tidak ada kewalian yang lebih
tinggi daripada kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w. Kewalian yang muncul selepas sahabat,
termasuklah kewalian para sufi tidak melebihi kewalian para sahabat. Di dalam senarai nama-nama wali
Allah peringkat tertinggi yang sezaman dengan Rasulullah s.a.w, mendahuluinya adalah orang-orang
seperti Abu Bakar as-Siddik, Umar al-Khatab, Usman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Zahid bin Harisah,
Zubair bin Awam, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abu Waqqas, Talhah bin Ubaidillah, Al-Arqam bin
Arqam, Yasir dan anak-anaknya Amar dan Abdullah, Samyah isteri Yasir, Bilal bin Rabah, Jaafar bin Abu
Talib, Muaz bin Jabar, Abdullah bin Rawahah, Said bin Muaz, Dihyah bin Khalifah al-Kalbi yang Jibrail a.s
pernah muncul dalam rupanya, Saad bin Ubada dan ramai lagi yang tergolong di dalam senarai wali-wali
Allah peringkat tertinggi yang tidak ada wali pada zaman kemudian mengatasi kedudukan mereka.
Setelah selesai senarai nama para sahabat itu baharulah datang nama-nama wali-wali yang datang
kemudian seperti Abdul Qadir Jilani dan lain-lain.
Memasukkan nama para sufi sahaja di dalam senarai wali-wali yang datang kemudian merupakan
kekeliruan yang nyata dan ia adalah sikap yang tidak adil kepada kewalian itu sendiri. Orang ramai
jangan lupa untuk melihat kewalian orang-orang yang menetap pada jalan kenabian seperti Imam Syafie,
Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Nawawi, Imam Ghazali dan lain-lain. Harus
juga diperhatikan ahli-ahli ilmu yang telah banyak menyumbang kepada umat manusia dalam bidang
perubatan, kimia, falsafah, astronomi dan lain-lain. Apakah tidak layak orang yang seperti Ibnu Rusyd
dan Jamaluddin al-Afghani dipanggil wali Allah?
Wali-wali di peringkat paling atas adalah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, termasuklah syuhada di
Badar. Mereka telah mendapat pengiktirafan dan sanjungan daripada al-Quran dan disokong oleh
Rasulullah s.a.w sendiri. Perkataan al-Quran dan Rasulullah s.a.w adalah muktamad. Wali-wali yang
datang kemudian kedudukan mereka diperbesarkan oleh manusia sendiri, bukan perakuan secara
langsung oleh Rasulullah s.a.w. Para sahabat adalah wali-wali yang lebih utama daripada wali yang
datang kemudian sama ada dari jalan kesufian atau pun dari jalan kenabian. Kenyataan ini mesti
dihunjam ke dalam fikiran umat Islam yang keliru dengan kedudukan kewalian. Ramai kaum Muslimin
meninggalkan perkataan wali-wali peringkat tertinggi dan berpegang kepada perkataan wali yang lebih
rendah atau orang yang tidak sahih kewaliannya.
Walaupun istilah wali tidak popular digunakan pada zaman Rasulullah s.a.w tetapi kewalian para sahabat
tidak boleh dinafikan. Sebahagian daripada mereka telah disebut nama mereka dengan sahih oleh
Rasulullah s.a.w sebagai ahli syurga. Baginda s.a.w juga memberi jaminan bahawa sesiapa yang
mengikuti mana-mana sahabat baginda s.a.w sesungguhnya orang itu telah mengikuti yang benar. Waliwali seperti Imam Syafie dan Imam Malik merupakan yang paling hampir jalan mereka dengan jalan para
sahabat Rasulullah s.a.w. Oleh itu perkataan mereka lebih kuat dan lebih kukuh daripada perkataan waliwali yang bukan berada pada jalan kenabian. Sangat tidak wajar kaum Muslimin membuang perkataan

Imam Syafie kerana terpengaruh dengan perkataan zauk Abu Mansur al-Hallaj. Jalan yang ditempuh
oleh Abu Mansur yang ada zauk, fana dan jazbah itu dinamakan jalan kesufian.