Anda di halaman 1dari 15

IDENTITI SOSIAL

Ideologi Kebangsaan membina identiti


sosial

Oleh :
Marzudi Md Yunus (P50747)
Program Doktor Falsafah
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Tarikh : 20 Oktober 2009

1
IDENTITI SOSIAL- IDEOLOGI NASIONAL MEMBINA IDENTITI
SOSIAL

Apabila kita melihat persekitaran, didapati terdapat pelbagai objek, tumbuh-


tumbuhan, haiwan dan manusia yang perbagai jenis dan rupa. Lantas terfikir
oleh kita bagaimana kita membezakan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan paling
penting adalah makhluk sejenis kita? Bagaimana kita mengenai “dia” sebagai
siapa? Jawapan bagaimana kita mengenal “dia” sebagai siapa adalah kerana
wujudnya perbezaan dikalangan kita semua. Perbezaan ini mewujudkan identiti
kepada setiap benda yang ada disekitar kita. Gabungan perbezaan setiap
indvidu jika dilihat dari perpektif sebagai sebuah komuniti yang besar
membentuk suatu gabungan interaksi harmonis yang menjadi nilai sepunya
kepada komuniti. Nilai-nilai sepunya ini menjadi identiti bagi kumpulan tersebut
untuk mereka dikenali oleh kumpulan yang lain.

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, identiti
adalah sifat-sifat yang terdapat pada sesuatu sebagai memperkenalkannya
atau yang membezakannya daripada yang lain. Ini bermaksud identiti adalah
sebagai suatu ‘tanda’ pengenalan yang membezakan suatu dengan yang lain.
Sebagai contoh nama yang diberi kepada setiap manusia sebagai tanda identiti
yang membezakannya dengan orang lain. Perlu diberi perhatian disini juga
tentang sifat-sifat yang boleh disama ertikan dengan ciri-ciri. Ini menunjukkan
bahawa dalam mengenal suatu sifat atau ciri-ciri tertentu menjadi rujukan
utama dalam menganalisa dan menentukan identiti.

Manakala perkataan sosial dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi
yang sama membahagikannya kepada empat perkara. Perkara pertama
menyatakan sebagai semua perkara yang berkaitan dengan masyarakat.
Kedua, ia berkaitan dengan persahabatan, pergaulan dan aktiviti. Perkara
ketiga membawa maksud keadaan manusia yang suka dengan pergaulan.
Manakala yang keempat adalah aktiviti perjumpaan dan keramaian. Jika
dirumuskan keempat-empat maksud sosial ini membawa maksud tentang
segala perkaitan elemen-elemen penting dalam masyarakat dan interaksi yang
berlaku dalam masyarakat.

2
Week dalam tulisan beliau yang berjudul The Value of Difference (Chris, 2004),
menjelaskan kepada kita identiti adalah suatu yang dipunyai individu samada
dalam bentuk persamaan atau perbezaan dengan individu lain. Ia menjadi
suatu pengenalan yang kukuh tentang suatu individu berkait rapat dengan sifat
fizikal dan nilai. Chris menjelaskan bahawa identiti merupakan kunci utama
dalam dunia kontemporari hari ini. Identiti berkembang sejak perang dunia
kedua sehingga ke perang dingin merupakan warisan penjajahan, migrasi,
globalisasi, gerakan sosial menjadi perdebatan dalam kajian-kajian
kemanusiaan dan sains sosial. Persoalan tentang identiti menjadi isu yang
penting dan menyumbang kepada banyak konflik didunia hari ini.

Identiti adalah suatu yang dipunyai oleh individu samada persamaan atau
perbezaan. Ia merupakan suatu pengenalan yang kukuh tentang susuatu
individu berkait rapat dengan sifat fizikal dan nilai sepertimana yang dinyatakan
oleh Week dalam artikel bertajuk The Value of Difference (Chris, 2004).
Berdasarkan kepada rujukan itu, Chris Weedon menegaskan bahawa identiti
merupakan kunci utama dalam senario semasa hari ini. Persoalan identiti mula
berkembang sejak perang dunia kedua lagi. Ia merupakan hasil daripada
kesan penjajahan, migrasi, globalisasi, gerakan sosial yang menjadi
perdebatan dalam kajian kemanusiaan dan sains sosial. Keadaan ini
menyebabkan isu-isu identiti menjadi penting dalam konflik dunia hari ini yang
melibatkan tentang individu, sosial, institusi, gender (jantina),
kewarganegaraan, sivil, budaya, negara dan pelbagai lagi.

Abdul Rahman Embong (1999) menjelaskan identiti adalah sesuatu yang


individu, ia melibatkan cara bagaimana individu cuba mengerti dunia
sekitarnya. Ia sebenarnya berkait dengan identiti kolektif membentuk identiti
masyarakat kerana hidup bermasyarakat adalah ciri-ciri utama kewujudan
manusia. Menurut beliau lagi, identiti yang ditunjulkan ini akan diterima menjadi
identiti individu atau masyarakat setelah ia diinternalisasikan oleh individu atau
masyarakat itu, yakni apabila ia berubah menjadi identiti takrifan harian melalui
pengalaman kehidupan sehari-hari individu itu sebagai pelaku sosial.

Identiti, menurut Abdul Rahman lagi, adalah suatu yang berinteraksi dan
berkait rapat dengan pelbagai sumber seperti sejarah, agama, geografi sosial,

3
memori kolektif, alam sekitar, khayalan peribadi dan pelbagai lagi yang
berhubungan dan menpunyai pengaruh terhadap perilaku dan aktiviti manusia.

Merujuk kepada Athusser dalam buku sama (Criss, 2004), identiti adalah
propeties yang dipunyai oleh sesuatu dan dipunyai dan diketahui individu (atau
suatu entiti) berdasarkan sifatnya yang disedari olehnya. Berdasarkan kepada
konsep tersebut proses mengenal pasti identiti adalah melalui proses
menjustifikasikan sesuatu dalam pelbagai aspek seperti bahasa, ideologi
sebagai asas. Proses penjustifikasian bermula dengan memasukkan elemen
individual kedalam ideologi dan ideologi praktikal bersama sifat individu dan
hubungan perlakuannya. Beberapa elemen terkandung dalam membentuk
identiti adalah kepercayaan, ilmu pengetahuan, keluarga, undang-undang,
politik, budaya dan media dalam aspek ideologi dan menjadi subjek kepada
suatu identiti.

Bentuk identiti yang diperlihatkan oleh suatu individu berdasarkan apa yang
dijelaskan pada perenggan terdahulu menjadikan individu sebagai tersebut. Ia
dikenali sebagai “Performativity” oleh Judith Butles. Butles menjelaskan
fenomena ini adalah apa yang terjadi didalam kehidupan seharian kita. Apa
yang penting diperkatakan oleh Butles adalah identiti diperlihatkan dengan
perbagai tanda pengenalan seperti simbol, sign, pakaian dan juga amalan.
Berikutan itu Chris (2004) mengenalpasti bahawa dalam membicarakan identiti
ini, ia melibatkan pelbagai perkara seperti kelas sosial, gender, seksualiti,
bangsa, bahasa, ciri-ciri visual seperti warna kulit, paras rupa serta asal usul
sesuatu bangsa.

Gidden menghujahkan identiti sebagai suatu yang berpunca daripada maksud


pelaku dan perlakuan yang dibawa oleh individu sebagai usaha mewujudkan
dirinya (Manuel.C, 1997). Berdasarkan pendapat Gidden ini, identiti adalah
suatu subjek dan aktiviti yang yang dilakukan oleh subjek itu sendiri
berdasarkan gerak kerja subjek itu untuk memperkenalkannya kepada orang
lain. Berdasarkan pendapat Gidden itu, Manuel mengembangkan identiti
kepada suatu institusi adalah juga boleh berpunca daripada pelaku sosial yang
dominan membentuk maksud atau ciri-ciri tertentu dalam institusi dan
membentuk identiti bila maksud atau ciri-ciri yang ada disatukan dalam

4
kelompok itu. Menurut beliau identiti akan menjadi lebih berpengaruh
berbanding peranan suatu institusi.

Bagi Calhoun pula, dalam buku bertajuk “Social Theory and The Politics of
Identity” yang dirujuk dalam tulisan Manuel menjelaskan identiti terbit dari
maksud dan pengalaman. Beliau memberikan analogi berikut bahawa kita
semua mengenal manusia bukan berdasarkan nama, bahasa dan budaya yang
berbeza tetapi berdasarkan pengetahuan yang didapati atau ditemui dalam
pencarian keatas seseorang.

Manuel lebih menjurus kepada punca terbitnya suatu identiti berbanding


membicarakan identiti itu sendiri. Punca kepada terbitnya identiti itu adalah
suatu yang penting. Identiti adalah daripada pengalaman dan dirinya
seseorang sebagai pelaku sosial. Ia terbit daripada individu itu sendiri dan
mendefinisikan identiti sebagai maksud simbolik berdasarkan tujuan seseorang
samada oleh pelaku atau daripada orang lain. Identiti boleh dibentuk
berdasarkan tujuan tertentu. Pembentukan ini boleh dilakukan dengan
menggunakan nilai sejarah, geografi, biologi, peranan yang dimainkan oleh
institusi tertentu, pengalaman lepas, harapan, instrumen lain seperti ideologi
dan agama sebagai kepercayaan. Gabungan-gabungan material atau elemen
tersebut disesuaikan dengan keperluan, maksud dan keadaan masyarakat
serta perlu sesuai dengan suasana semasa (Manuel,1997). Identiti individu
boleh berkembang menjadi identiti kolektif sesuatu masyarakat. Identiti individu
sebagai pelaku sosial bermula daripada pengaruh budaya
setempat/masyarakat yang membawa kepada maksud tertentu yang menjadi
cerminan kepada seluruh masyarakat itu.

Marthy dan Appleby dalam tulisan mereka, Fundamental Observed yang


dirujuk dalam buku Manuel telah membahaskan identiti dalam aspek
keagamaan sebagai satu pembinaan dan gabungan kolektif pelakuan individu
dengan norma-norma dari peraturan tuhan (yang diinstitusikan) untuk
menjalankan urusan ketuhanan dan kemanusiaan. Agama menjadi tunjang
kepada pembentukan identiti dalam masyarakat yang berkepercayaan. Perkara
ini selaras dengan apa yang diperkatakan oleh Rached Gannouchi, seorang
intelektual pergerakan islam Tunisia yang menegaskan bahawa nilai-nilai

5
agama, sejarah dan tamadun menjadi syarat penerimaan modenisasi oleh
masyarakat Islam di Tunisia (Manuel, 1997). Memetik pendirian Hassan Al-
Banna, seorang ketua dan pengasas gerakan Islam yang dibunuh pada tahun
1949 dalam tulisan yang sama, menjelaskan bahawa A-Quran adalah prinsip
utama dan agung, Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh, manakala mati
dijalan Allah (Tuhan) adalah impian yang agung.

Kedua-dua rujukan pada perenggan sebelum ini (Manual dan Chris)


menyentuh tidak secara langsung bagi maksud identiti sosial secara terperinci.
Tetapi bagi Lindar Martin dan Eduardo Mendieta menjelaskan bahawa identiti
sosial adalah melibatkan aspek-aspek seperti bangsa, gender, seksualiti dan
gerakan-gerakan bersifat politik (2003). Mereka memberikan contoh tentang
isu-isu etnik, seksualiti dan kenegaraan telah menjadi isu penting dalam
gerakan-gerakan politik semenjak revolusi budaya di Amerika Syarikat sejak
1960-an. Perkara yang sama juga menjadi punca kepada konflik-konflik didunia
adalah kerana perbezaan identiti. Dalam tulisan mereka menjelaskan bahawa
individu membentuk identiti bukan berdasarkan kepada pilihan sendiri tetapi
lazimnya terhasil akibat penjajahan, bangsa, seksualiti dan konflik berdasarkan
sejarah kumpulan (kaum) dan struktur sosial.

Stuart Hall dalam buku ini juga telah menjelaskan identiti sebagai nama yang
diberi kepada sesuatu secara berbeza berdasarkan kedudukan kita dalam
masyarakat dengan merujuk pengalaman lepas yang dilalui. Sosial pula
merujuk kepada warna kulit, bentuk badan, bahasa, peranan bahasa dan
tempat kelahiran. Untuk memahami identiti, kajian tentang psikologi, budaya,
politik,falsafah dan sejarah perlu dikaji dengan teliti untuk difahami. David
Halperin (Linda, 2003) menjelaskan bagi pembentukan sejarah juga perlu
difahami dalam kajian ini.

Selain daripada unsur fizikal perlu dianalisa dalam pengkajian tentang identiti
sosial ini, perkara yang spritual juga harus diambil kira seperti kepercayaan
yang melibatkan agama, pengharapan yang merupakan wawasan dan
pengalaman yang dilalui oleh suatu kaum atau masyarakat. Perkara ini seperti
mana yang dijelaskan oleh Fanon dalam tulisan Linda (2003).

6
Berdasarkan kepada tulisan mereka (Linda dan Eduardo), kebanyakan ahli-ahli
teori hari ini meletakkan tidak kurang empat perkara yang membentuk sosial
identiti seperti bangsa (race), kelas, nasionaliti, seksualiti, biologi, tempat atau
lokasi, ekonomi (capital) dan negara bangsa (nation state).

Jika berdasarkan kepada beberapa rujukan diatas pemahaman tentang identiti


sosial ini boleh dijelaskan dalam pelbagai dimensi yang cukup luas dan
pelbagai merangkumi seluruh kehiduapan sosial manusia. Namun, bagi
merumuskan definisi identiti sosial secara umumnya ia boleh dinyatakan
sebagai suatu keadaan, sifat, struktur sosial, gambaran kolektif yang terhasil
dari interaksi dan gabungan pelakuan, nilai individu-individu dalam suatu
kelompok. Interaksi dan gabungan pelakuan dan nilai ini amat dipengaruhi oleh
elemen-elemen yang bertentangan seperti bangsa (race), kelas, nasionaliti,
seksualiti dan pelbagai lagi seperti yang dinyatakan oleh ahli-ahli teori.

Pembentukan Identiti

Identiti sosial ini bukanlah suatu benda yang kekal sifatnya jika difahami
daripada bahan rujukan yang digunakan untuk menulis perbincangan ini (Abd.
Rahman, 1999). Beliau menjelaskan identiti adalah sesuatu yang bersifat cair
dan berubah-ubah berdasarkan parameter identiti seperti budaya, agama. Ia
sentiasa diberi takrifan baru akibat daripada pelbagai keadaan yang sentiasa
berubah seperti pemodenan dan pembangunan ekonomi.

Berdasarkan rujukan daripada para sarjana, didapati terdapat banyak faktor


yang membentuk dan mengubah identiti sosial dalam sesuatu wilayah. Antara
yang dikenal pasti diri individu, faktor migrasi,sifat fizikal, kesan daripada
penjajahan,gander dan seksualiti, kewarganegaraan,ideologi, kepercayaan dan
agama, ilmu pengetahuan, undang-undang, keluarga, kelas sosial, bangsa dan
ciri-ciri visual seperti paras rupa dan warna kulit, asal usul bangsa, sejarah,
geografi, pengalaman, bahasa, budaya, media, wawasan, globalisasi dan
gerakan sosial. Ia boleh bertukar dan berubah keadaannya secara sengaja
atau tidak. Sebab-sebab yang dikenalpasti ini boleh dibahagikan kepada dua
kategori utama iaitu sebagai faktor tetap dan faktor boleh ubah.

7
Jika diperhatikan kepada bilangan bilangan faktor yang menyumbang kepada
pembentukan suatu identiti sosial dalam sesebuah negara adalah sangat
banyak. Justeru tidak dapat dipastikan secara pasti faktor manakah yang
membentuk identiti sosial dalam suatu negara atau wilayah. Ini kerana manusia
adalah makhluk sosial yang sentiasa terpengaruh dengan persekitarannya.
Disamping mempunyai kehendak dan persepsi yang berbeza berasaskan teori
pilihan rasional dalam pelbagai hal untuk berhadapan dengan persekitaran
yang pelbagai (Abd. Rahman, 1999).

Kebanyakan ahli teori cenderung untuk membicarakan hanya empat aspek


seperti ras, kelas, jantina (gender) dan nationaliti (kewarganegaraan) dalam
merujuk kepada identiti sosial ini seperti (Linda, 2003). Hal ini mungkin bagi
menbicarakan isu dan rencana identiti sosial secara global dan diadaptasi ke
atas semua negara, Ia juga mungkin sesuai untuk kajian keatas negara eropah
yang penduduknya dari ras yang hampir sama yang berbeza keadaannya dari
negara-negara sebelah timur yang mempunyai masyarakat berbilang etnik dan
pernah dijajah oleh kuasa asing.

Walaupun hakikat pembentukan identiti sosial bermula dari individu sebagai


faktor sosial yang berkembang kepada perlakuan identiti kolektif bagi seluruh
ahli masyarakat/kelompok (seperti yang didefinisikan oleh Abd. Rahman dan
Gidden), namun peranan institusi memainkan peranan yang cukup berkesan
dalam membentuk identiti sosial dalam dalam masyarakat. Perkara ini
dibuktikan oleh Shamsul (1999) tentang pembentukan identiti orang melayu
oleh penjajah British yang bukan sahaja berjaya menguasai politik malah aspek
pemikiran juga. Identiti melayu yang dibentuk oleh berasaskan ilmu kolonial
telah diterima oleh orang melayu sebagai identiti bangsa melayu. Walaupun
hakikatnya ia terbina dari kaca mata penjajah..

Memandangkan pembentukan identiti sosial sering menjadi perkara yang


diperkatakan oleh masyarakat bagi tujuan politik dan sosial, manuel (1997)
telah menjelaskan tiga jenis atau bentuk pembentukan identiti sosial dalam
masyarakat. Bentuk yang pertama disebut sebagai Legitimazing Identity, ia
seseorang atau institusi yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat .
Natijah kepada pembentukan identiti baru ini akan memberi kelebihan atau

8
kebaikan kepada individu atau institusi tersebut. Ia berkait rapat dengan asas
Theory Authority and Domination yang diperkenalkan oleh Sennett dan theory
nationalism.

Bentuk yang kedua dikenali sebagai Resistance Identity yang pembentukannya


diusahakan oleh pelaku sosial yang menentang pembetukan identiti yang
dilakukan oleh pihak perpengaruh dan mempunyai kepentingan terhadapnya.
Ia sebagai reaksi terhadap pembentukan legitimazing identity yang dikatakan
oleh pihak ini mempunyai agenda dan kepentingan pihak yang berkuasa dalam
sesebuah negara. Bentuk identiti sebegini adalah menyamai dengan institusi
yang berkaitan dengan politi dalam sesebuah negara seperti yang dijelaskan
dalam tulisan Calhoun, Social Theory and the Politics Identity (Manuel,1997).

Bentuk ketiga adalah dipanggil Project Identity. Ia bermula apabila pelaku


sosial dalam masyarakat (yang berpengaruh) menggunakan segala sumber
yang menjadi faktor perubahan sosial seperti budaya, bahasa dan sebagainya
untuk membentuk satu identiti yang baru. Ia melibatkan banyak usaha dan
perubahan nilai dan struktur dalam masyarakat. Pembentukan identiti ini
memerlukan gerakan-gerakan daripada institusi dalam negara untuk
menjayakan pembetukan identiti jenis ini. Manuel memberi contoh kepada
gerakan pembelaan kaum wanita dalam sesebuah negara. Dalam konteks
negara kita mungkin project identity ini boleh dirujuk kepada pembentukan
ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara yang bertujuan menyatukan
masyarakat berbilang kaum dan berbilang budaya serta nilai.

Rukun Negara Membentuk Identiti Sosial

Telah bahawa pembentukan identiti sosial dalam suatu negara adalah


dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak hanya tertumpu kepada ras, kelas,
jantina (gender) dan nationaliti sahaja. Malah ia diakui oleh sarjana bahawa
terdapat faktor yang mempengaruhi seperti yang telah dibincangkan pada
perenggan yang sebelum ini. Hal yang sebegini tidak terkecuali bagi negara
kita. Negara kita didiami penduduk dari pelbagai etnik, bangsa, ras, kelas,
budaya, sejarah, asal usul, nilai dan juga kepercayaan agama. Oleh yang

9
demikian identiti sosial yang terbentuk hasil daripada gabungan sumber
pembentukan identiti itu agak kompleks dan pelbagai demensi. Terlalu banyak
perbezaan yang ketara dalam masyarakat tidak membentuk identiti kolektif
yang boleh diambil sebagai identiti sosial. Pembentukan identiti sosial
berasaskan ras, bangsa, kelas dan juga nasionaliti tidak mungkin berhasil oleh
sikap prajudis terhadap etnik berbeza serta budaya budaya yang diamalkan.

Identiti sosial penduduk Malaysia banyak dipengaruhi oleh sejarah, penjajahan,


etnik dan gerakan-gerakan politik dalam negara. Sejarah etnik yang berbeza
memberik kesan yang besar terhadap penyatuan identiti sosial seluruh
penduduk. Etnik melayu dengan sejarah yang merujuk kepada kegemilangan
kesultanan melayu Melaka, etnik cina berasal dari tanah besar China yang
menpunyai tamadun awal yang hebat dan etnik india dari benua India yang
mempunyai tamadun lama. Identiti yang dikenali oleh kita hari terhadap setiap
etnik ini dicipta oleh penjajah yang menguasai hampir segenap sudut
kehidupan termasuk pemikiran (Shamsul, 1999). Agak sukar bagi kita untuk
mengubah apa yang telah ditanah oleh penjajah yang menjajah negara lebih
daripada 400 tahun berbanding dengan kemerdekaan yang telah dicapai yang
hanya berusia 52 tahun sahaja.

Gerakan-gerakan politik di negara ini pula lebaih cenderung kepada


pengkhususan etnik tertentu. Perjuangan yang dilaungkan lebih kepada
memperjuangkan nasib etnik tertentu sahaja berbanding untuk kepentingan
keseluruhan etnik yang ada. Isu-isu yang sering diperjuangkan juga bukanlah
berbentuk nasional dan global tetapi menjurus kepada isu-isu kecil dalam
lingkungan etnik tertentu. Sebagai contoh parti UMNO untuk memperkasa etnik
melayu, MCA dan MIC untuk cina dan india tetapi berselindung disebalik
identiti Barisan Nasional yang memperjuangkan kepentingan seluruh bangsa
Malaysia. Begitu juga parti PAS yang memperjuangkan negara Islam masih
berakar umbikan etnik melayu sebagai etnik yang dominan dalam negara.

Kerencaman menjadi identiti sosial, telah menjadi masalah seakan ‘duri dalam
daging’ kepada pembentukan identiti sosial yang positif bagi rakyat negara ini.
‘Indentiti rencam’ yang terbina hasil dari identiti yang terbit dari kajian ilmu
kolonial seperti yang dijelaslan oleh Shamsul (1999) menjadikan Malaysia

10
mempunyai identiti sosial seperti yang dapat kita lihat, sedari dan alami hari ini.
Identiti yang sebegini menguntungkan penjajah, baik semasa penjajahan
berlaku tetapi juga selepas kemerdekaan dalam bentuk pemikiran.

Justeru, kepelbagaian yang ada dalam masyarakat Malaysia sering dianggap


penghalang kepada pembentukan identiti sosial dan perpaduan. Akan tetapi
kesedaran tentang kepelbagaian ini membentuk satu kesedaran dalam
masyarakat Malaysia terhadap falsafah ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ dan
‘meraikan kepelbagaian’ seperti yang terkandung dalam ideologi Kebangsaan
iaitu Rukun Negara (Abd. Rahman,2006).

Kepelbagaian sejarah, budaya, bahasa, agama dan etnik boleh disatukan


dengan menggunakan sumber yang boleh diterima oleh semua seperti
pengharapan yang boleh diertikan sebagai wawasan, nilai-nilai dari keagaman
dan moral, undang-undang serta meningkatkan peranan institusi sosial kearah
tujuan itu berasaskan keperluaan setempat (Manuel 1997). Pembentukan
identiti melalui bentuk Project Identity juga boleh diadaptasikan dengan
menggunakan Rukun Negara sebagai instrumen dalam membentuk identiti
sosial rakyat Malaysia. Hal ini selaras dengan tujuan kenapa Rukun Negara
dilancarkan untuk rakyat Malaysia pada tahun 1970 bersama dengan Dasar
Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyusun semula struktur masyarakat
yang pincang pada masa itu. Penyusunan ini boleh disama ertikan dengan
membentuk identiti sosial baru rakyat dari bentuk asal yang direka cipta oleh
penjajah.

Rukun Negara yang selalu kita tatapi daripada kulit buku latihan sekolah, kotak
tisu jenama tertentu malah terdapat juga pada botol air mineral dan bungkusan
roti untuk sarapan pagi mengandundi dua bahagian utama. Bahagian pertama
berupa sebuah wawasan. Terdapat lima wawasan utama yang dijadikan
sebagai pengharapan seluruh rakyat Malaysia. Wawasan yang pertama ialah
‘mencapai perpaduan yang lebih erat dikalangan seluruh masyarakat’.
Perpaduan menjadi kunci utama dalam wawasan ini serta prasyarat dalam
meraikan kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat. Perpaduan bukanlah
suatu benda yang boleh dilihat tetapi ia adalah satu proses yang aktif dalam
spritual yang sukar untuk kita nyatakan.

11
Wawasan yang kedua ‘memelihara satu cara hidup demokratik’. Demokratik
bukan sahaja merujuk kepada sistem pemerintahan tetapi luas maksudnya
meliputi seluruh aktiviti dan gerak kerja masyarakat berasaskan nilai-nilai
perundingan dan tolak ansur dalam semua perkara seperti pemilikan rumah,
ekonomi dan sosial.

Wawasan ketiga ialah untuk ‘mencipta satu masyarakat yang adil dimana
kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama’.
Sekali pandang, maksud wawasan ini seakan tidak dapat dilaksanakan oleh
rakyat biasa tetapi oleh pemerintah yang mempunyai kuasa untuk
melaksanakan keadilan tersebut. Tetapi dari mana datangnya para pemerintah
jika tidak dari rakyat! Oleh itu bagaimana bermulanya perpaduan yang erat
dikalangan rakyat yang berupaya menggunakan demokrasi dengan cara yang
demokratik memilih para pemimpin dikalangan mereka yang kemudian akan
melaksanakan keadilan dalam mengagihkan sumber kemakmuran negara
kepada semua secara adil dan saksama.

Wawasan keempat ialah ‘menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-
tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak’. Masyarakat seluruhnya
dijamin dapat mengamalkan apa sahaja aktiviti kebudayaan mereka asal
sahaja tidak bersifat melampau bagi menghormati sensitiviti kumpulan lain
yang juga mengamalkan kebudayaan mereka pada masa yang sama. Sifat
toleransi amat diperlukan dalam merealisasikan wawasan ini bagi dikalangan
individu tetapi juga kepada institusi sosial dan kerajaan.

Wawasan kelima ialah ‘membina satu masyarakat progresif yang akan


menggunakan sains dan teknologi moden’. Penggunaan sains dan teknologi
moden sinonim dengan penguasaan ilmu pengetahuan dalam masyarakat.
Penguasaan ilmu menjadi kunci utama dalam cita-cita mencapai wawasan ini
dan ia dimainkan oleh banyak pihak seperti individu, institusi keluarga, institusi
pendidikan dan juga kerajaan. Individu sebagai pelajar contohnya harus
mempunyai cita-cita meningkatkan ilmu pengetahuan, institusi keluarga
memupuk kesedaran tersebut, institusi pendidikan melaksanakan amanah
mendidik bangsa serta kerajaan menyediakan infrastruktur yang relevan
kearah mencapai wawasan ini.

12
Kelima-lima wawasan sebagai pengharapan rakyat tidak terpisah antara satu
sama lain. Ia mempunyai hubungan hirarki dan kesinambungan bermula
dangan perpaduan dalam mengamalkan hidup yang demokratik dalam sistem
demokrasi berparlimen. Sistem pemerintahan yang dipilih secara demokratik
menjalankan tugas sebagai pemerintahan dengan adil dan saksama dalam
mengagih sumber ekonomi dalam negara kepada rakyat yang bebas
mengamalkan cara hidup dan tradisi mereka. Masyarakat yang terbina
perpaduan dan aman dalam sistem yang adil akan membentuk masyarakat
yang progresif dan maju menggunakan ilmu pengetahuan untuk menguasai
sains dan teknologi.

Bahagian kedua Rukun Negara adalah prinsip yang menjadi ‘jalan’ untuk
rakyat mencapai wawasan tersebut. Walaupun mungkin ada ‘jalan’ lain lagi
boleh digunakan untuk mencapai wawasan atau pengharapan itu, tetapi hanya
jalan inilah yang disaran oleh pemerintah sebagai penyatu dalam aspek
pemikiran dan hala tuju. Ia mengandungi sebanyak lima prinsip. Prinsip
pertama ialah ‘kepercayaan kepada Tuhan’. Kepercayaan kepada kuasa super
natural menjadi sifat semulajadi manusia. Negara meletakkan kepercayaan
kepada tuhan sebagai prinsip yang pertama. Nilai-nilai keagamaan disebalik
kepercayaan kepada tuhan membawa seseorang itu melakukan perbuatan dan
tindakan yang baik terhadap persekitarannya. Ini selaras dengan pendapat
Marthy dan Appleby aspek keagamaan adalah suatu yang penting dalam
membentuk perlakuan kolektif dalam masyarakat (Manuel, 1997).

Prinsip kedua pula ‘kesetiaan kepada raja dan negara’ menjadi pengangan
rakyat. Raja merujuk kepada pemerintah atau peminpin. Dalam masyarakat
melayu raja adalah pusat tumpuan rakyat pada zaman dahulu (Shamsul,
1999). Pada era moden hari ini kuasa eksekutif raja dimainkan oleh pemimpin
yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen. Kesetian
kepada pemimpin yang dipilih dan sebagai wakil bagi menjalankan tugas
eksekutif raja. Begitu juga perasaan itu mesti ada terhadap negara. Negara
menjadi simbol penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira etnik, budaya dan juga
kepercayaan dengan prinsip perkongsian tanah (wilayah) yang sama,
menyedut udara yang sama dan sanggup gugur demi mempertahankan
kedaulatannya.

13
Prinsip ketiga ‘keluhuran perlembagaan’ yang harus diterima oleh seluruh
rakyat. Keluhuran mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud
suatu yang tinggi, agung dan mulia. Seluruh rakyat tanpa mengira kaum harus
meletakkannya sebagai suatu yang boleh menjamin kebebasan mereka di
negara ini. Manakala prinsip keempat ‘kedaulatan undang-undang’ pula berkait
rapat dengan prinsip ketiga. Undang-undang yang terbit daripada
pelembagaan itu berkuat-kuasa keatas siapa sahaja yang melanggar undang-
undang negara, tanpa berkecuali dari menghadapi undang-undang.

Akhir sekali prinsip kelima ‘kesopanan dan kesusilaan’. Ia menjurus kepada


ketinggian budi dan pekerti mulia yang wajar dipraktikkan oleh seluruh rakyat
baik dalam upacara formal dan tidak formal. Prinsip yang terakhir ini
merupakan kemuncak kepada cerminan identiti sosial rakyat Malaysia kerana
gerak laku prinsip-prinsip sebelum ini dapat diterjemahkan dengan prinsip ini.

Rumusan

Identiti sosial dan pembentukannya sangat penting dalam sesebuah negara


yang berbilang kaum seperti Malaysia bagi menjamin kestabilan sosial dan
politik. Sumber-sumber pembetukan identiti tidak terhad kepada ras, kelas,
jantina (gender) dan nationaliti sahaja tetapi meliputi semua hal-hal yang
berkaitan dengan sejarah, pengharapan (wawasan), pengalaman dan juga
falsafah.

Secara ringkasnya identiti sosial adalah suatu yang terhasil dalam bentuk
perilaku, nilai dan wawasan suatu kelompok sosial yang difahami oleh entiti
lain dan kelompok itu sendiri samaada suatu yang terbit itu (bentuk perilaku,
nilai dan wawasan) disedari atau tidak dan secara sengaja atau tidak
disengajakan. Oleh yang demikian pembentukan identiti sosial yang positif
haruslah dibina oleh kerajaan melalui institusi tertentu agar masyarakat
Malaysia dikenali bangsa yang beridentiti tinggi. Justeru Rukun Negara boleh
digunakan sebagai satu insturen yang membentuk identiti yang boleh terima
oleh seluruh rakyat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

14
Rujukan:

Abd. Rahman. 1999. Identiti dan Pembentukan Identiti. Jurnal Sains


Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Keluaran Khas (55): 3-15.

Abd. Rahman. 2006. Negara-Bangsa.Edisi kedua. Bangi : Penebit


Universiti Kebangsaan Malaysia.

Chris. 2004. Identity and Culture. England : Open University Press.

Manuel Castells. 1997. The Power of Identity. Massachusetts : Blackwell


Publishers

Shamsul. 1999. Identity Contestation in Malaysia : A Comparative


Commentary on ‘Malayness’ and ‘Chineseness’. Jurnal Sains Kemasyarakatan
dan Kemanusiaan. Keluaran Khas (55): 17-37.

Linda Martin Alcoff and Eduardo Mendieta (pnyt.) Identities-Race, Class,


Gender and Nationality. Melbourne : Blackwell Publishing.

15

Anda mungkin juga menyukai