Anda di halaman 1dari 5

MENDIDIK ISTERI CARA RASULULLAH

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah
SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah
didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan
akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta
kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan
pendidik yang berwibawa.
Firman Allah SWT:
Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan
yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada
hartanya.
Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta
kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki
adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik
dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak
menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk
mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya
satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi
nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah,

pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu
itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan
persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas
dasar inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak
melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan
rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari
sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada
dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri
sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang
suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri
sehingga isteri lupa daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami
tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat
sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui
latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita
dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.
Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan membaling sampah
kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan
yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda
lalu di sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari Rasulullah
SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan
serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda
bertanya kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik
ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong
memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat
akhlak Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya
dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu, menyebabkan terbuka
hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu
Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW
memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri
salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut
salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: Kami sengaja mahu Rasulullah SAW
mendoakan untuk kami.

Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya
tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila
berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin.
Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu
perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang
sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan
penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi
hadas. Rasulullah SAW menjawab:
Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya. Perempuan
itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi
pertanyaannya: Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu? Sekali lagi Rasulullah
mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya.
Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan
itu. Maka Siti Aishah pun berkata: Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat
darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata
asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri
hendaklah mempunyai ciri pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang
tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat egonya, seperti mana
yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah.
Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti
Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa
melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah
diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang.
Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa
menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan
bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai
terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri.
Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan.
Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan
kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah
rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya.
Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran

terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan
diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan
marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang
dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama
perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan
suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja
dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap
perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu
diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluapluapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan
dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.
Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya
diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguhsungguh. Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang
sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak
bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan
suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam
rumahtangga Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua,
bertanya: Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling
Rasulullah sayangi? Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus
menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan
memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteriisteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini
diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada di
kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada
isteri yang tertentu. Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi
isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai
persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap
seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu
pada isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana
baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah
hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh

Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara
mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun berkata, Isteri yang paling
disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya. Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah
kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya
tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut
murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami
mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus
dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah
dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya
menjadi kendur, barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka
barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik.
Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah
tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan
ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan
atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri
yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela
mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan
bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami
sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak
membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan
masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:
Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari
agamanya.
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan yang besar kerana di
tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan
wanita yang solehah boleh membahagiakan seisi alam.