Anda di halaman 1dari 17

1.

0 PENGENALAN

Globalisasi merupakan satu fenomena pada abad ke 21 dan mendominasi arus


pertumbuhan serantau khususnya rantau Asia. (Mohd Akbal & Ahmad Zaidi, 2003). Berbeza
dengan masa-masa sebelumnya, perubahan ini telah pun melangkau batasan kebangsaan.
Globalisasi merupakan satu proses yang meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama
tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. (Ahmad Yani, 2000).
Proses globalisasi yang berlaku hasil daripada perkembangan pesat dalam bidang teknologi
terutamanya teknologi komunikasi dan informasi (ICT) serta pengangkutan yang telah
memungkinkan seluruh pelosok dunia dihubungi dengan mudah sehingga menjadi sukar bagi
sesebuah negara mengawal sempadan negaranya. (Mustafa Dakian, 2001). Aspek globalisasi
ini meliputi pelbagai dan merupakan fenomena yang multi-dimensi yang merangkumi aspek
ekonomi, politik, sosial, ideologi, bahasa mahu pun agama. Meskipun, aspek budaya dilihat
sebagai satu ukuran nilai dan kesan terhadap keseragaman dunia, namun, kuasa globalisasi
yang paling asas ialah ekonomi. (Mohd Akbal & Ahmad Zaidi, 2003). Seperti yang kita
ketahui, globalisasi ekonomi merupakan satu elemen yang perlu dititik beratkan. Kekuatan
aspek ini sukar dinafikan tentang pengaruhnya dalam proses globalisasi kerana boleh
mempengaruhi budaya, politik, sosial, keagamaan dan lain-lain. (Shaharom TM. Sulaiman,
2000). Globalisasi ekonomi merujuk kepada sempadan ekonomi antara wilayah dan negaranegara di dunia yang semakin runtuh atau terhapus ekoran seluruh wilayah digabungkan
menjadi satu unit yang boleh dihubungkan dengan cepat, mudah, pantas dan rapat. (Mustafa
Dakian, 2001). Hal ini kerana matlamat utama globalisasi ekonomi adalah liberalisasi yang
mendukung maksud bersifat bebas atau terbuka manakala deregulasi pula bererti tanpa
berperaturan seperti mana yang dipelopori oleh negara-negara barat. (Azman Awang,
Mahbob Salim & John F. Halldane, 1998). Implikasi akibat globalisasi ekonomi bukan sahaja
dapat diukur berdasarkan taraf kemajuan dan pembangunan sesebuah negara semata-mata
namun pelbagai elemen lain yang secara tidak langsung menerima perubahan arus
modenisasi ini terutamanya pembangunan sesebuah lokasi khususnya wilayah. Aspek ini
tidak dapat dinafikan bahawa globalisasi ekonomi pada hakikatnya telah menghapuskan
aspek sempadan wilayah yang lama atau lebih dikenali sebagai wilayah tradisional. Garis
sempadan antara wilayah seolah-olah tehapus apabila pelbagai inisiatif yang dilakukan bagi
mewujudkan gabungan antara wilayah yang secara umumnya berlandaskan atas dasar
kemajuan ekonomi secara bersama contohnya seperti ikatan kelompok kerjasama ekonomi.

2.0 IMPLIKASI GLOBALISASI EKONOMI TERHADAP SESEBUAH SEMPADAN


WILAYAH TRADISIONAL.
Selaras dengan matlamat globalisasi ekonomi yang mendukung sifat keterbukaan atau
bebas, hal ini secara tidak langsung menghapuskan sempadan wilayah tradisional. Wilayah
secara asasnya merupakan suatu konsep yang kompleks. Hal ini kerana terdapat berbagaibagai takrif wilayah bergantung kepada pandangan masing-masing disebabkan ianya
dipengaruhi oleh cabang disiplin yang diterajui. Justeru, merujuk kepada sudut pengkajian
geografi, wilayah ditakrifkan sebagai satu unit kawasan yang seakan-akan sama dan dapat
dibezakan daripada kawasan yang berhampiran dari beberapa segi terutamanya berdasarkan
garis sempadan. (Meor Ahmad Noor, 2001). Namun, globalisasi ekonomi mengakibatkan
dimensi keterbatasan ruang atau had sempadan sesuatu wilayah berubah ekoran lokasi
pembahagian wilayah lama sudah tidak relevan untuk diguna pakai. Menurut Martin Khor
yang merupakan seorang ahli ekonomi, globalisasi menghapuskan halangan ekonomi
antara sesebuah negara dengan negara yang lain dalam kadar yang pantas. (Gao
Shangquan, 2000). Halangan sempadan antara sesebuah wilayah atau negara akan terhakis
ekoran laluan ekonomi perdagangan dibentuk oleh kebanyakan negara membangun selepas
merdeka termasuk Malaysia melalui pengenalan dasar-dasar serta ikatan kerjasama antara
wilayah mahu pun negara bagi meningkatkan kerjasama ekonomi. (Azman Awang, Mahbob
Salim & John F. Halldane, 1998). Lebih penting lagi, proses globalisasi ekonomi ini
dikaitkan dengan sesuatu wilayah dapat kita lihat berdasarkan peristiwa kemelesetan ekonomi
pada tahun 1997. Pengaruh globalisasi ini telah menyebabkan nilai ringgit jatuh dan ekonomi
negara merundum sejak pertengahan tahun 1997. Krisis kewangan Asia telah melanda
beberapa negara seperti Thailand, Korea, Malaysia mahu pun Indonesia bermula pada bulan
Jun 1997 yang merupakan kes yang nyata membuktikan fenomena ini disebabkan polisi
liberalisasi dan deregulasi yang tidak henti-henti dituntut oleh pentadbiran Clinton. (Mustafa
Dakian, 2001). Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kemerosotan ekonomi dunia secara
tidak langsung menjejaskan pembangunan sesuatu wilayah. Konseptual globalisasi ekonomi
ini akan mempengaruhi sempadan sesebuah wilayah kerana aspek ini bukan lagi
dipertimbangkan dalam ruang tempatan namun ia merupakan pertimbangan global. Oleh
sebab itulah, sempadan wilayah tradisional akan berubah kerana aspek ini diukur berdasarkan
penggabungan beberapa buah wilayah yang akan digabungkan di bawah satu unit atas dasar
kelompok kerjasama yang berteraskan pembangunan ekonomi. Pelaksanaan pembangunan
rentas sempadan akhirnya menjadi rentetan kepada kemunculan kelompok kerjasama
ekonomi. Malaysia mula mengambil langkah ke arah global dengan mewujudkan kelompok

kerjasama ekonomi dengan negara-negara luar khususnya negara jiran seperti Indonesia,
Singapura mahu pun Thailand. Pembangunan rentas sempadan yang menjadi model kepada
pelaksanaan kelompok kerjasama ekonomi sub-wilayah Asean ini jelas memaparkan bahawa
konsep sempadan tradisional sudah tidak relevan untuk diaplikasi pada era modenisasi ini.
Malah, berikutan daripada kejayaan pembangunan rentas sempadan dengan beberapa buah
negara jiran ini juga, kerajaan mula mengorak langkah dengan mengilhamkan kelompok
kerjasama ekonomi yang menjadi model ikutan kepada pembangunan wilayah pada masa kini
khususnya koridor pertumbuhan ekonomi wilayah. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat
lima koridor pembangunan ekonomi wilayah yang telah berjaya dilaksanakan di Malaysia
adalah seperti Wilayah Pembangunan Iskandar, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Wilayah
Ekonomi Koridor Utara, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, dan Koridor Pembangunan
Sabah. (http://www.epu.gov.my). Fungsi sempadan antara wilayah mula terhapus antara
negara ekoran kemajuan dunia pada hari ini sudah tidak lagi memfokuskan kepada localoriented, namun kepesatan pembangunan terutamanya dalam aspek ekonomi lebih mendesak
kepada international-oriented. Selaras dengan desakan kemajuan berteraskan ekonomi global
ini, idea segi tiga pertumbuhan mula diwujudkan. Segi tiga pertumbuhan ini merupakan satu
wadah kerjasama ekonomi dalam kalangan anggota Pertubuhan Negara-negara Asia
Tenggara (ASEAN). Idea ini diilhamkan pada bulan Disember 1989 iaitu sejak pembentukan
pelbagai gabungan segi tiga pertumbuhan negara-negara lain. (Azman Awang, Mahbob Salim
& John F. Halldane, 1998). Justeru, berdasarkan segala bentuk penggabungan wilayah yang
berpacukan objektif kemajuan ekonomi, kita dapat melihat pengaruh globalisasi ekonomi
telah mengubah konsep sempadan tradisional bagi meningkatkan darjah ketersampaian ke
sesuatu ruang.

3.0 PEMBANGUNAN RENTAS SEMPADAN DAN KELOMPOK KERJASAMA


EKONOMI
Berdasarkan kedudukan geografi, Malaysia terletak ditengah-tengah Asia Tenggara dan
berkongsi sempadan secara langsung dengan lima negara serantau seperti Brunei, Filipina,
Indonesia, Singapura mahu pun Thailand. Sempadan darat bagi Malaysia- Thailand meliputi
kawasan yang bersempadan dengan negeri-negeri di utara Malaysia seperti Kelantan, Perlis,
Kedah dan Perak. Di kawasan sempadan ini terdapat pelbagai aktiviti mahu pun interaksi
ekonomi dan sosial yang berjalan sejak begitu lama antara penduduk dikedua-dua belah
sempadan. Malah, begitu juga dengan negara Filipina apabila Malaysia berkongsi sempadan
maritim dengan negara tersebut di perairan Borneo yang mempunyai ribuan pulau kecil yang
sesetengahnya tidak mempunyai penduduk. Lebih penting lagi, jarak sempadan maritim yang
terdekat antara Malaysia dan Filipina hanya beberapa kilometer sahaja. Di timur pula,
Malaysia dan Indonesia berkongsi sempadan darat yang luas yang memisahkan wilayah
Kalimantan dengan Sarawak dan Sabah. (Ramli Dollah & Wan Shawaluddin, 2012) .
Lazimnya, kawasan sempadan antara negara merupakan kawasan yang sensitif dan sering
menjadi punca pertelingkahan namun ia berpotensi dan mendatangkan manfaat kepada
penduduk di kedua-dua atau beberapa buah negara jika kawasan ini dibangunkan secara
bersama. (Norizan Md. Nor, 1998). Konsep sempadan kebiasaannya difahami merujuk
kepada istilah suatu garisan imaginasi yang memisahkan kawasan pentadbiran antara dua
negara. Hubungan fizikal geologinya dan elemen kemanusiaan termasuk politik, ekonomi dan
budaya kerap diabaikan. (Norizan Md. Nor, 1998). Menurut pandangan Carl Grundy- Warr,
kawasan sempadan adalah merupakan kawasan yang lemah. Aspek ini adalah kerana
kawasan sempadan sering menghadapi pelbagai masalah atau konflik tidak kira dari aspek
ekonomi, politik mahu pun sosial. Pada masa yang sama, kawasan sempadan juga tidak harus
difahami secara terpencil atau teransing kerana kawasan sempadan adalah merupakan sub
sistem yang saling muka (interface) dalam sistem antara negara (inter-state) yang
berhubungan dengan sistem ekonomi dunia sejagat. (Norizan Md. Nor, 1998). Hal ini kerana
kawasan sempadan secara asasnya merupakan satu lokasi yang mempunyai kelebihan jika
dibangunkan sekiranya wujud interaksi antara kedua-dua buah negara yang dipisahkan
berdasarkan peraturan garis sempadan. Menurut pandangan Oscar Martinez (1972, 1993),
menegaskan bahawa terdapat empat kemungkinan bentuk interaksi yang berlaku di kawasan
sempadan seperti kewujudan teransing iaitu tidak wujud interaksi antara negara yang
bersempadan, manakala, kewujudan bersama pula menjurus kepada kawasan sempadan
yang mempunyai keadaan stabil dan terbuka kepada interaksi dalam kalangan penduduk di

kedua-dua buah negara tetapi di dalam keadaan yang terhad. Selain itu, bentuk interaksi yang
seterusnya adalah kewujudan saling bergantungan yang merujuk kepada kawasan yang
stabil dan bertindak saling melengkapi serta kewujudan yang bersepadu iaitu merupakan
satu keadaan yang ideal atau dalam erti kata lain sebuah kerjasama yang tidak mempunyai
halangan. (Norizan Md. Nor, 1998). Ekoran arus globalisasi ekonomi, istilah sempadan ini
mula terhapus dan bentuk regionalisme secara terbuka pula diterapkan. Berdasarkan
pandangan Ross Garnaut dalam catatan bukunya Regionalisme dan Liberalisasi
Perdagangan Terbuka ada menyatakan bahawa istilah regionalisme terbuka ini merujuk
kepada integrasi ekonomi serantau tanpa diskriminasi terhadap orang luar. Malah dalam erti
kata lain, regionalisme terbuka ini mendukung maksud open regionalism requires countries
within a regional group to gradually eliminate internal trade barries among member
countries at the same rate and at the same pace as the lowering of trade barriers with nonmember countries. (Azman Awang, Mahbob Salim & John F. Halldane, 1998). Oleh itu,
regionalisme terbuka adalah satu peluang bagi sekumpulan negara untuk bersama
meningkatkan pembangunan melalui kerjasama dengan negara jiran. Berdasarkan kepada
matlamat pembangunan ekonomi wilayah, pembangunan rentas sempadan direalisasikan
antara kedua-dua buah negara yang berjiran, contohnya seperti hubungan Malaysia- Thailand.
Pembangunan rentas sempadan ini merangkumi hubungan kerjasama antara kedua-dua buah
negara tanpa dibatasi halangan sempadan. Buktinya, ekoran respon serta implikasi positif
hubungan rentas sempadan ini, keadaan ini telah menarik minat anggota ASEAN untuk
merealisasikan konsep kerjasama ekonomi wilayah yang ditekankan di dalam projek segi tiga
pertumbuhan. (Azman Awang, Mahbob Salim & John F. Halldane, 1998). Hal ini selaras
dengan strategi pembangunan wilayah serta untuk meningkatkan pembangunan di kawasan
sempadan antarabangsa. Pelbagai kerjasama dengan negara jiran telah diambil. Usaha ini
dapat kita lihat melalui mekaniesma kerjasama wilayah kecil ASEAN, iaitu Kawasan
Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia- Malaysia- Thailand (IMT- GT), Kawasan Pertumbuhan
ASEAN Timur Brunei Darussalam- Indonesia- Malaysia- Filipina (BIMP- EAGA) dan
Jawatankuasa Malaysia- Thailand bagi Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan
(JDS). (Azman Awang, Mahbob Salim & John F. Halldane, 1998). Idea segi tiga
pertumbuhan mula ini diilhamkan pada bulan Disember 1989 sejak pembentukan pelbagai
kerjasama segi tiga pertumbuhan dijalankan yang bertujuan untuk mewujudkan satu bentuk
hubungan yang saling bergantungan bagi pembangunan masa depan.
Mahbob Salim & John F. Halldane, 1998).

(Azman Awang,

4.0 PEMBANGUNAN RENTAS SEMPADAN MENJADI TERAS PEMBANGUNAN


WILAYAH PADA MASA KINI.
Pelbagai kejayaan yang telah ditempuh dalam konteks kestabilan, kesepaduan dan
kemajuan pembangunan kawasan sempadan melalui kerjasama pembangunan rentas
sempadan. Buktinya, ekoran implikasi kejayaan pembangunan rentas sempadan telah
menarik minat negara-negara yang berjiran untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan
pelaksanaan kelompok kerjasama ekonomi yang merujuk kepada segitiga pertumbuhan.
Elemen ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan rentas sempadan pada asasnya
merupakan teras kepada pembangunan wilayah pada era modenisasi ini seperti pelaksanaan
koridor pembangunan ekonomi wilayah. Aspek ini memang tidak dapat dinafikan bahawa
pembangunan rentas sempadan merupakan satu wadah pembangunan kerjasama yang
menjadi model contoh kepada pembangunan wilayah masa kini berdasarkan beberapa
rasional seperti persamaan masalah, perkongsian sesuatu sumber, semangat kerjasama,
faedah bandingan, kesaling melengkapi, ruang lingkup berasaskan tempatan kepada wilayah,
kemajuan globalisasi, mobiliti buruh dan sumber, situasi menang-menang (win-win situation)
serta kedudukan di pusat pinggir.

4.1 Persamaan Masalah.


Pembangunan rentas sempadan merupakan wadah peneraju kepada pembangunan
wilayah pada masa kini iaitu berdasarkan aspek persamaan masalah. Hal ini kerana jika
sebarang masalah atau kekacauan yang berlaku di ruang lingkup kawasan sempadan, maka
penyelesaian kepada masalah tersebut tidak boleh ditunding kepada tanggungjawab sebuah
negara sahaja. Aspek ini kerana setiap wilayah akan saling berkait ekoran setiap insidens
yang berlaku di kawasan sempadan akan memberi tempias dan implikasi kepada kedua-dua
buah negara yang saling berkongsi sempadan. Buktinya, berdasarkan ikatan pembangunan
rentas sempadan yang dijalinkan melalui hubungan dua hala antara Malaysia- Thailand, kita
dapat melihat bahawa pelbagai insidens sering berlaku di kawasan sempadan yang dikongsi
oleh kedua-dua buah negara ini. Lebih malang lagi, masalah di kawasan sempadan antara dua
buah negara ini pernah membawa kepada ketegangan hubungan antara kerajaan MalaysiaThailand. Isu pencerobohan sempadan, pergaduhan, kejadian jenayah dan penyeludupan telah
berlaku di kedua-dua kawasan tersebut sehingga mengganggu perjalanan kehidupan seharian
khususnya membabitkan aktiviti perniagaan. (Norizan Md. Nor, 1998). Konflik sempadan

sering muncul disebabkan oleh hasrat pemerintah pusat yang cuba melaksanakan pelbagai
bentuk kawalan dan sekatan ke atas penduduk. (Norizan Md. Nor, 1998). Aspek ini sedikit
sebanyak sudah tentu akan menimbulkan ketidakpuasan hati kepada pihak pentadbiran.
Malah, kadang kala halangan-halangan masih lagi banyak dan sering mencetuskan
pergeseran kedua-dua pemerintah jika tidak mengambil langkah berhati-hati dalam
menangani sebarang isu berkaitan dengan kawasan sempadan. Sejajar dengan itu, kita dapat
merumuskan bahawa setiap wilayah yang bersempadan mempunyai persamaan masalah yang
perlu diatasi dan dikendalikan oleh kedua-dua buah negara.

Buktinya, dapat kita lihat

berdasarkan masalah insidens yang berlaku di Pekan Bukit Kayu Hitam dan di Pekan Padang
Besar. (Norizan Md. Nor, 1998). Kedua-dua lokasi ini merupakan lokasi garisan sempadan
yang dikongsi oleh kedua-dua buah negara. Pada masa yang sama, kawasan ini juga akhirnya
menjadi salah satu lokasi tumpuan dalam projek kerjasama Segi Tiga Pertumbuhan
Indonesia- Malaysia- Thailand (IMT- GT). Aspek persamaan masalah ini juga menjadi teras
kepada ikatan kerjasama antara ketiga-tiga buah negara ini. Hal ini kerana, Indonesia juga
mempunyai persamaan masalah seperti yang dialami oleh Malaysia- Thailand. Aspek
persamaan masalah ini secara tidak langsung akan mewujudkan implementasi terbaik apabila
negara-negara di bawah lembayung segi tiga pertumbuhan ini bekerjasama dalam mengatasi
setiap permasalahan yang berlaku di kawasan sempadan. Selain itu, aspek persamaan
masalah ini juga menjadi titik matlamat kepada pembangunan wilayah pada masa kini
khususnya dapat kita lihat melalui pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Northern
Corridor Economic Region) atau NCER yang merupakan satu pelan komprehensif yang
dilaksanakan bagi mengatasi masalah kemiskinan yang melibatkan negeri-negeri di wilayah
utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan utara Perak. Aspek ini kerana kita tidak boleh
menyatakan isu masalah sosial khususnya kemiskinan hanya berlaku di negeri Pulau Pinang
sahaja ekoran taraf hidup yang tinggi atau di negeri Perlis dengan sebab kurangnya tahap
pembangunan. Namun, aspek persamaan masalah ini membolehkan sesuatu masalah
pembangunan dikaji secara bersama dan menyeluruh. Pembangunan wilayah yang dilakukan
secara menyeluruh di setiap wilayah dapat melahirkan pembangunan ekonomi negara yang
seimbang.

4.2 Perkongsian Sumber.


Teras yang memacu kepada pembangunan wilayah pada masa kini berdasarkan
kejayaan pelaksanaan pembangunan rentas sempadan adalah melalui perkongsian sumber.
Melalui kelompok kerjasama ekonomi, setiap negara anggota akan saling membantu dan
melengkapi. Peranan sempadan geografi yang dahulunya memisahkan antara sebuah negara
dengan negara yang lain sudah tidak relevan diaplikasi pada masa kini. Pembangunan
wilayah pada masa kini lebih menumpukan kepada aspek kesepaduan di bawah satu unit
pembangunan wilayah secara kerjasama. Buktinya, merujuk kepada projek kerjasama Segi
Tiga Pertumbuhan Indonesia- Malaysia- Singapura (IMS- GT), kekangan sumber asas seperti
bekalan air, tanah dan penawaran buruh merupakan kekangan yang dibelenggu oleh
Singapura. Sebaliknya, Kepulauan Riau mempunyai tanah yang luas dan bekalan tenaga
buruh pada upah yang murah. Manakala, negeri Johor pula merupakan salah sebuah negeri
yang mewakili Malaysia sebagai anggota ketiga dalam IMS- GT ini mempunyai
keistimewaan dari segi bekalan tanah dan sumber tenaga buruh yang boleh dilatih. (Azman
Awang, Mahbob Salim & John F. Halldane, 1998). Justeru, adalah lebih wajar berdasarkan
konteks perkongsian sumber sekiranya Singapura menempatkan semula operasinya yang
melibatkan penggunaan buruh yang ramai serta penggunaan tanah yang luas di Kepulauan
Riau dan Johor. Pada masa yang sama, dalam konteks perkongsian sumber ini juga,
Singapura boleh menawarkan perkhidmatan kewangan dan kepakaran pengurusan untuk
membangunkan industri di Kepulauan Riau. Malah, aspek ini dapat kita lihat dalam projek
kerjasama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia- Malaysia- Singapura (IMT- GT), keluasan
tanah yang luas di Utara dan Tengah Sumatra memberi peluang untuk pelaburan Malaysia
dan kepakaran sektor perladangan. (www.treasury.gov.my.). Perkongsian sumber-sumber
ekonomi daripada beberapa buah negara yang berbeza menjadi rentas kepada pembangunan
wilayah pada masa kini. Pembangunan wilayah masa kini juga menekankan kepada
perkongsian sumber iaitu aspek pembangunan infrastrukur. Seperti mana yang kita sedia
maklum, dalam Rancangan Malaysia Ke- 9 (RMK9), pembangunan koridor Wilayah
Ekonomi Pantai Timur yang terdiri dari negeri Pahang, Kelantan, Terengganu serta daerah
Mersing di Johor telah diperuntukkan sebanyak RM22.3 billion atau 11.2 peratus bagi jumlah
bajet untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur. Projek infrastruktur ini menjadi
tumpuan pembangunan wilayah iaitu melalui pembinaan jalan raya utama ketiga yang akan
menghubungkan Koridor Pantai Timur dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 di Terengganu.
Projek ini melibatkan Jalan Simpang Pulai- Gua Musang- Kuala Terengganu yang akan

saling berkongsi kemudahan sumber infrastruktur ini. (Remali Yusoff, Dullah Hj. Mulok,
Nor Azurah & at. All, 2009).

4.3 Semangat Kerjasama.


Semangat kerjasama merupakan satu teras utama yang amat penting kepada
pelaksanaan pembangunan rentas sempadan. Setiap wilayah secara asasnya berperanan untuk
saling memakmur dan bukannya bersaing antara satu sama lain. Semangat kerjasama
merupakan satu kunci untuk mewujudkan satu komitmen politik yang utuh. Aspek ini akan
mengelakkan negara-negara berjiran untuk mempunyai sejarah permusuhan, sebaliknya,
semangat kerjasama ini akan melahirkan satu persefahaman politik. (Ruhanas Harun, 2009).
Hal ini amat penting dalam mengatasi kepentingan tempatan atau mengatasi kekangan politik
dalam sesebuah negara. Melalui semangat kerjasama ini juga, sinergi pembangunan dapat
diwujudkan dengan mengambil faedah daripada beberapa faktor asli ekonomi yang wujud
serta unsur-unsur pelengkap di antara kawasan yang berdekatan. Pada asasnya, kawasan
pertumbuhan segitiga menghubungkan beberapa buah wilayah yang terlibat untuk
meningkatkan kerjasama ekonomi yang lebih dinamik. Segitiga pertumbuhan merupakan satu
bentuk kerjasama ekonomi serantau. (Ramli D & Wan Shawaluddin, 2012). Aspek ini tidak
semestinya melibatkan keseluruhan negara tetapi hanya memfokuskan kepada kawasan yang
memiliki keupayaan serta sumber saling melengkapi di sesebuah negara. Semangat kerjasama
ekonomi sub rantau ini selaras dengan evolusi rantaian ekonomi semulajadi dalam kalangan
negara jiran yang terbina hasil daripada peningkatan perdagangan setempat secara formal dan
tidak formal. Malah, pembangunan rentas sempadan ini juga dapat memberi faedah
kerjasama yang lebih cepat dan kurang unsur ketidak pastian berbanding dengan perjanjian
kerjasama yang melibatkan kawasan yang luas dan berbentuk formal. (Ruhanas Harun,
2009). Justeru, sesebuah negara dibenarkan menyertai beberapa segitiga pertumbuhan
serentak supaya dapat menguji pelbagai pendekatan kerjasama ekonominya dan dapat
membuat penyesuaian dengan keadaan tertentu. (Abdul Razak, Norzilah Hj. Ahmad &
Azizah, Md. Yusof, 2010). Aspek ini memaparkan bahawa pembangunan rentas sempadan
merupakan kerjasama hubungan simbiotik antara sektor awam dan sektor swasta. Hubungan
ini

menjangkaui peranan tradisi, malahan dapat mewujudkan bentuk perkongsian dan

semangat kerjasama baru antara sektor. (Azman Awang, Mahbob Salim & John F. Halldane,
1998). Buktinya, dalam prospek Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK9) ada menyatakan bahawa

pembangunan negeri di kawasan sempadan akan diberi penekanan melalui kerjasama wilayah
kecil ASEAN dalam IMT- GT, BIMP- EAGA dan JDS. Semangat kerjasama ini juga
menjadi teras dalam pembangunan wilayah pada masa kini seperti mana dapat kita lihat
melalui semangat kerjasama yang wujud terhadap penggabungan wilayah pantai timur dalam
Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur mahu pun Wilayah Ekonomi Koridor Utara bagi
negeri di sebelah utara. (www.epu.gov.my). Semangat kerjasama ini sememangnya menjadi
teras penting bagi memastikan pembangunan wilayah yang seimbang agar faedahnya
dinikmati semua penduduk.

4.4 Faedah Bandingan.


Lebih penting lagi, salah satu teras utama kepada pembangunan rentas sempadan
adalah merujuk kepada faedah bandingan. Faedah bandingan merupakan satu konseptual
yang mudah iaitu kawasan yang mempunyai faedah bandingan yang berbeza khususnya
merangkumi perbezaan kemajuan teknologi, bekalan buruh yang dapat dianalisis dari segi
kuantiti dan kualiti, sumber asli dan modal kewangan untuk membantu sub rantau
pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh pasaran dinamik.(www.treasury.gov.my). Secara
amnya, faedah bandingannya dapat kita lihat berdasarkan perbezaan kemajuan yang terdapat
di sesebuah negara. Malaysia umumnya mempunyai kelebihan dari aspek pembangunan
infrastruktur yang bagus seperti lapangan terbang antarabangsa mahu pun pelabuhan yang
serba lengkap yang menyediakan kemudahan untuk aktiviti eksport dan import. Aspek ini
merupakan elemen yang dapat meningkatkan darjah ketersampaian seiring dengan kehendak
arus globalisasi ekonomi. Manakala, negara Thailand dan Indonesia pula merupakan negara
yang mempunyai ramai komuniti Islam. Kelebihan faedah bandingan ini merupakan satu
peluang kepada Malaysia khususnya untuk memasarkan sebarang produk Islam di sana.
Malah, tarikan barang-barang berharga murah juga merupakan satu faedah bandingan yang
dapat menarik kemasukan pengunjung ke sempadan negara ini. Berdasarkan pemerhatian
yang dijalankan menunjukkan bahawa lebih ramai penduduk Malaysia yang berkunjung ke
Pekan Siam dan Danok jika dibandingkan dengan bilangan penduduk Thailand yang
berkunjung ke Pekan Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam untuk urusan membeli belah dan
mendapatkan perkhidmatan. (Norizan Md. Nor, 1998). Aspek faedah bandingan juga
merupakan satu komponen teras yang dititikberatkan dalam pembangunan wilayah masa kini.
Hal ini dapat kita lihat berdasarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Wilayah Ekonomi

10

Koridor Utara. Buktinya, dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur, negeri Terengganu
mempunyai faedah bandingan dari segi sumber asli seperti industri minyak, gas dan
petrokimia, manakala Kelantan pula berfokuskan kepada pertanian tanaman herba, perikanan
dan pengeluaran ternakan diikuti dengan Pahang yang mempunyai kelebihan sumber alam
seperti perladangan kelapa sawit (POIC). (Remali Yusoff, Dullah Hj. Mulok, Nor Azurah &
at. All, 2009). Faedah bandingan yang berbeza antara setiap negeri mahu pun negara
sememangnya tidak dapat dinafikan merupakan satu teras utama kerana ia dapat mewujudkan
elemen saling bergantung dan melengkapi antara negara-negara yang terlibat.
4.5 Kesaling Melengkapi.
Sejajar dengan itu, aspek kesaling melengkapi secara asasnya merupakan satu teras
yang menjana kepada pembangunan rentas sempadan. Aspek ini kerana salah satu wadah
pencetus kepada pembentukan segitiga pertumbuhan adalah saling melengkapi terutamanya
dalam aspek kemajuan ekonomi dan infrastruktur. Jika dua atau lebih kawasan sempadan
negara yang berjiran menikmati sama ada kadar pertumbuhan yang berbeza atau kelebihan
dan kekurangan sumber yang berbeza. Hal ini secara tidak langsung boleh mewujudkan satu
elemen saling melengkapi dalam kalangan negara yang terlibat.(Azman Awang, Mahbob
Salim & John F. Halldane, 1998). Malah, aspek saling melengkapi amat penting kerana ia
akan mewujudkan satu elemen saling bergantungan antara setiap negara. Contohnya, teras
saling melengkapi ini berperanan dalam mewujudkan keuntungan pembangunan dari aspek
perkongsian modal. Kekurangan modal dalam sesebuah negara akan ditampung oleh negara
yang lain sama ada dalam bentuk pelaburan kerajaan mahu pun pelaburan swasta. (Johan
Afendi & Mohammad Zaki, 2010). Keuntungan pelaburan modal merupakan implikasi dari
elemen saling melengkapi antara setiap negara apabila negara-negara yang terlibat di bawah
segi tiga pertumbuhan bergerak di bawah satu unit atas dasar kerjasama ekonomi. Prinsip
perkongsian bijak seperti kaedah perlaburan bersama atau kaedah pelaburan silang secara
tidak langsung telah mempercepatkan proses pembangunan ekonomi di kawasan segitiga
pertumbuhan sepeti IMS- GT, IMT- GT dan juga EAGA- BIMP. (Azman Awang, Mahbob
Salim & John F. Halldane, 1998). Justeru, jelaslah bahawa aspek saling melengkapi
menyebabkan negara-negara yang bernaung di bawah kelompok kerjasama ekonomi akan
membangun secara bersama dan bukannya secara terasing. Pembangunan pada masa kini
juga dilihat begitu menerapkan teras saling melengkapi dalam melaksanakan sesebuah
pembangunan wilayah.

11

4.6 Globalisasi.
Selain itu, pembangunan rentas sempadan memang tidak dapat dinafikan menjadi satu
elemen peneraju kepada pembangunan wilayah pada masa kini iaitu jika dilihat dalam ruang
lingkup kemajuan globalisasi. Seperti yang kita sedia maklum, globalisasi merupakan satu
proses yang meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan
dan kedudukan geografi sesebuah negara. (Ahmad Akbal & Ahmad Zaidi, 2003). Aspek ini
merujuk kepada ikatan kerjasama antara beberapa buah wilayah dan bergabung di bawah satu
unit yang hasilnya akan mewujudkan kemunculan wilayah yang baru. Globalisasi juga
menyebabkan setiap negara terpaksa bekerjasama demi menjaga kepentingan bersama, tetapi
pada yang sama mempertahankan kepentingan yang khusus bagi mereka. (Mustafa Dakian,
2001). Tuntutan akibat arus globalisasi khususnya dalam kemajuan ekonomi menyebabkan
pembahagian sempadan yang dahulunya antara negeri mula berkembang kepada
pembahagian sempadan antara negara. Hal ini kerana globalisasi ekonomi umumnya amat
mementingkan peningkatan darjah ketersampaian dan penjimatan masa. (Shaharom TM.
Sulaiman, 2000). Sejajar dengan arus perkembangan semasa yang menongkah arus global
dan liberalisasi ini, negara-negara sudah tidak mampu berdiri secara sendirian bahkan ia lebih
kepada kebergantungan antara sebuah negara dengan negara yang lain. Setiap negara perlu
saling bergantung dan bekerjasama untuk menerokai potensi-potensi yang terdapat di
kawasan yang terlibat dan menambah keupayaan mereka untuk bersaing. Justeru, kita dapat
melihat kebergantungan Indonesia kepada negara lain dalam aspek pemindahan teknologi.
Berdasarkan kelompok kerjasama ekonomi Segitiga Pertumbuhan Indonesia- MalaysiaSingapura (IMS- GT), negara Indonesia masih ketinggalan dalam bidang teknologi. Namun,
ekoran elemen saling kebergantungan antara tiga buah negara ini, Indonesia akhirnya dapat
menikmati faedah teknologi dari negara yang lebih maju seperti Malaysia dan Singapura.
Buktinya, Indonesia mendapat manfaat pemindahan teknologi dari Singapura di Wilayah
Batam ekoran banyak projek pembinaan dijalankan di kawasan tersebut. Lebih penting lagi,
globalisasi juga menjadi teras pembangunan wilayah pada masa kini. Arus globalisasi yang
pesat membangun menyebabkan ketidak seimbangan antara wilayah khususnya melibatkan
pembangunan di bandar mahu pun luar bandar. Oleh sebab itulah, pembangunan wilayah
masa kini lebih berteraskan kepada penggabungan beberapa buah wilayah yang disatukan
dalam pembangunan wilayah ekonomi mengikut koridor tertentu seperti Wilayah
Pembangunan Iskandar, (Noor Azilawati, 2008), Wilayah Ekonomi Pantai Timur, (Surita
Samsudin, 2008), Wilayah Ekonomi Koridor Utara, (Noor Azilawati, 2008), Koridor Tenaga

12

Diperbaharui Sarawak, dan Koridor Pembangunan Sabah (www.epu.gov.my). Aspek


kerjasama di bawah satu unit ini bertujuan untuk memastikan keseimbangan pembangunan
dan mengelakkan jurang antara penduduk di bandar dan kawasan luar bandar.

4.7 Mobiliti Buruh dan Sumber.


Mobiliti buruh dan sumber juga merupakan salah satu komponen teras utama dalam
melaksanakan pembangunan rentas sempadan. Hal ini kerana faedah bandingan bagi
sesebuah negara adalah tidak sama. Misalnya, Singapura merupakan sebuah negara yang
membangun dan mempunyai kelebihan dari aspek infrastruktur. Namun, negara ini pada
hakikatnya mempunyai kekurangan tenaga buruh jika dibandingkan dengan negara Thailand
yang mempunyai bekalan buruh yang ramai serta upah buruh yang murah. Oleh itu, melalui
kelompok kerjasama ekonomi ini membolehkan wilayah-wilayah yang terbabit dalam
pakatan kerjasama untuk mengatasi masalah tenaga buruh yang berlaku dengan mewujudkan
pengaliran tenaga buruh kepada wilayah yang terlibat. (www.treasury.gov.my). Aspek ini
kerana kekurangan tenaga buruh di sesuatu kawasan akan dapat ditampung oleh bekalan
tenaga buruh dari wilayah negara jiran. Merujuk kepada kelompok kerjasama ekonomi Segi
Tiga Pertumbuhan Indonesia- Malaysia- Thailand (IMT- GT) umumnya, telah wujud
persetujuan bersama antara negara yang terbabit untuk membekalkan keperluan sumber
tenaga buruh ke negara jiran bagi memajukan sektor ekonomi tertentu seperti sektor
pembinaan, perladangan dan juga perindustrian. Pergerakan buruh dari selatan Thailand telah
banyak menyumbang kepada perkembangan sektor pertanian di wilayah Kedah- Perlis iaitu
di Semenanjung Malaysia. (Azman Awang, Mahbob Salim & John F. Halldane, 1998).
Mobiliti buruh ini akan mempercepatkan proses pembangunan ekonomi di wilayah yang
terlibat. Selain daripada aspek pengaliran bekalan buruh, aspek mobiliti sumber juga
merangkumi teras pembangunan rentas sempadan ini. Aliran pergerakan sumber ini jelas
dapat kita lihat berdasarkan pergerakan sumber dari satu wilayah ke satu wilayah atas dasar
menjalankan sektor ekonomi khususnya perdagangan. Thailand merupakan sebuah negara
yang terkenal dengan penanaman padi. Beras dari Thailand lazimnya berkualiti tinggi dan
akan dieksport ke pasaran Malaysia mahu pun Indonesia. (Endi Haryono & Ratnawati, 2012).
Lebih penting lagi, aspek mobiliti buruh dan sumber juga merupakan salah satu syarat yang
menjana pembangunan wilayah pada era globalisasi ini. Hal ini dapat kita melalui wilayah di

13

utara, mobiliti buruh dan pasaran sumber dilihat lebih berkelompok di negeri Pulau Pinang.
(Mohd Faiz Bakhri, 2008). Aspek aglomerasi ekonomi

berlaku kerana Pulau Pinang

merupakan salah sebuah wilayah yang maju di Malaysia ekoran wujudnya kemajuan sektor
perindustrian di negeri ini khususnya melibatkan industri barangan elektrik dan elektronik
(BEE). Buktinya, terdapat lebih 900 buah syarikat yang perlu mengupah kira-kira 335,200
orang pekerja kilang ekoran industri BEE merupakan pengeksport terbesar khususnya
melibatkan semikonduktor dan peralatan audio-visual dunia. (Nooriah Yusoff, 2011).

14

5.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, kita dapat merumuskan bahawa kepesatan globalisasi ekonomi
mengakibatkan konsep sempadan wilayah tradisional sudah tidak releven diaplikasikan pada
masa kini. Arus modenisasi menyebabkan negara-negara tidak utuh untuk membangun secara
bersendirian bahkan kepantasan kemajuan ini telah mendorong negara-negara untuk saling
bergabung di bawah satu kelompok kerjasama ekonomi. Pembangunan rentas sempadan
sememangnya menjadi teras dalam memajukan pembangunan wilayah pada era ini agar dapat
mewujudkan kestabilan politik, perkongsian sumber semulajadi dan bekalan sumber buruh
yang murah serta pembangunan infrastruktur yang baik di wilayah ASEAN. Jelaslah bahawa
sesebuah pembangunan rentas sempadan yang melibatkan hubungan kerjasama dengan
beberapa buah negara sememangnya menjadi pemangkin kepada kelompok kerjasama
ekonomi yang lebih mengalakkan pada masa hadapan. Pelaksanaan projek Pertumbuhan Segi
Tiga Indonesia- Malaysia- Thailand (IMT- GT), Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur
Brunei Darussalam- Indonesia- Malaysia- Filipina (BIMP- EAGA) dan Jawatankuasa
Malaysia- Thailand bagi Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan (JDS)
merupakan satu wadah bagi mengatasi masalah pembangunan yang melibatkan kawasan
sempadan. Implementasi yang positif perlu digiatkan dalam kalangan negara anggota supaya
eksploitasi kelebihan bandingan dapat dilaksanakan secara optimum. Justeru, pembangunan
rentas sempadan jelaslah dapat mewujudkan ikatan kerjasama antara wilayah pada masa kini
dengan cara meminimumkan perbezaan antara wilayah yang sedia wujud khususnya dari
aspek undang-undang bagi menjalinkan satu bentuk ikatan yang saling bergantungan dan
bersepadu dalam menongkah arus globalisasi ekonomi.

15

6.0 RUJUKAN
Abdul Razak, C., Norzilah, Hj. A & Azizah, Md. Y. (2010). Kerjasama Ekonomi Asean
Peralihan dan Perubahan. Universiti Utara Malaysia, Kedah.
Ahmad Yani, A. M. (2000). Dunia Tanpa Sempadan: Penjajahan Bentuk Baru. Dewan
Masyarakat, Kuala Lumpur.
Azman, A., Mahbob, S & John, F. H. (1998). Indonesia- Malaysia- Singapore Growth
Triangle: Borderless Region For Suistainable Progress. Institute Sultan Iskandar of
Urban Habitat and Highrise, Johor.
Endi, H & Ratnawati Y. S. (2012). Keadaan Sosio- Ekonomi Sempadan Indonesia- Malaysia
Dalam Laporan Akhbar Kompas 2008. Vol.4, 1- 11.
Johan Afendi, I & Mohammad Zaki, A. (2010). Pelancongan Sempadan: Potensi dan
Cabaran. Vol.2, 260- 272.
Katiman, R., Abdul Rahim, Md. N., Aishah, M & at. All. (2011). Impak Pembangunan
Bandar Baru Nusanjaya Wilayah Iskandar Terhadap Kesejahteraan Hidup Penduduk
Asal Setempat. Vol.7, 14-28.
Meor, A. N. (2001). Konsep Sempadan Negeri dalam Masyarakat.
Mohd Akbal, A & Ahmad Zaidi, J. (2003). Globalisasi Ekonomi dan Strategi Malaysia.
Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Batu Pahat.
Mohd Faiz, B. (2008). Analisis Kekurangan Tenaga Mahir dalam Industri Pembinaan di
Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia.
Mustafa, D. (2001). Prospek Ekonomi Malaysia Menjelang 2020. Dewan Ekonomi, Kuala
Lumpur. Hlm 19- 22.
Noor Azilawati, M.S. (2008). Siri Pembangunan Wilayah Ekonomi: Wilayah Pembangunan
Iskandar. Penapro Sdn. Bhd, Selangor.
Noor Azilawati, M.S. (2008). Siri Pembangunan Wilayah Ekonomi: Wilayah Ekonomi
Koridor Utara. Penapro Sdn. Bhd, Selangor.
Nooriah, Y. (2011). Pelaburan Langsung Asing dan Pembangunan Industri Barangan
Elektrik dan Elektronik di Negeri Pulau Pinang, 1970- 2007. Jurnal Ilmu Kemanusiaan.
Vol.18, 43- 74.

16

Norizan, M. N. (1998). Pembangunan Kawasan Sempadan: Satu Tinjauan Mengenai Isu,


Masalah dan Potensi di Kawasan Sempadan Malaysia- Thailand. Jurnal Ilmu
Kemanusiaan. Vol. 5, 97- 122.
Ramli, D & Wan Shawaluddin, W. H. (2012). Cabaran dan Pengurusan Sempadan Maritim
Indonesia: Pengajaran Kepada Malaysia. Vol. 17, 57- 77.
Remali, Y., Dullah, Hj. M., Nor Azurah, Md. K & at. All. (2009). Pembangunan Ekonomi
Wilayah Pantai Timur: Satu Konsep Teori dan Pelaksanaan Pembangunan di Negeri
Kelantan. Vol. 1, 169- 179.
Ruhanas, H. (2009). Peningkatan Keselamatan Bersama Melalui Kerjasama Dua Hala
Malaysia dan Negara-negara Jiran. Hlm 16- 40.
Shaharom, TM. S. (2000). Penjajahan Baru di Bawah Tabir Globalisasi. Berita Harian, 22
April 2000.
Shangquan, G. (2000). Economic Globalization: Trends, Risks and Risk Prevention. New
York, USA.
Surita, S. (2008). Siri Pembangunan Wilayah Ekonomi: Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Penapro Sdn. Bhd, Selangor.
Unit Perancang Ekonomi, Rancangan Malaysia Ke Sembilan 2006- 2010. Diakses daripada
http://www.epu.gov.my/ninth-malaysia-plan-2006-2010.
Tinjauan Ekonomi Antarabangsa. Diakses daripada http://www.treasury.gov.my.
www.jpa.gov.my

17

Anda mungkin juga menyukai