Anda di halaman 1dari 2

Kontinjen bola sepak negara gagal lagi untuk melayakkan diri dalam pusingan kelayakan

Piala Dunia. Kenyataan berikut memaparkan prestasi pasukan bola sepak kebangsaan di
arena antarabangsa. Menurut Persekutuan Perseatuan Bola Sepak Antarbangsa (FIFA),
pasukan bola sepak Malaysia berada di tangga ke-159. Pada zaman 1970-an dan 1980-an,
Malaysia sering digeruni sebagai pasukan bola sepak yang disegani di rantau Asia. Namun,
kini Malaysia sudah hilang kegemilangannya. Kecuali prestasi membanggakan dalam
beberapa sukan seperti badminton dan skuasy, kecemerlangan skuad sukan Malaysia semakin
pudar. Malang yang mula menimpa pasukan bola sepak kebangsaan itu mula merebak kepada
beberapa pasukan sukan yang lain seperti, olahraga, renang, dan badminton juga. Gergasi
baru seperti China, Korea Selatan dan Jepun telah mencuri kehebatan Malaysia.
Usaha-usaha tersusun perlu dilaksanakan untuk mengembalikan keunggulan sukan tanah air.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab penuh terhadap kemajuan sukan negara,
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) wajar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
mengembalikan mutu sukan negara. Kementerian hendaklah lebih bersikap tegas dengan
menggubal suatu dasar baru yang lebih komprehensif tentang matlamt dan hala tuju sukan
negara. Isu-isu seperti padang di Stadium Negara yang tidak berada dalam keadaan yang
memuaskan sering menimbulkan tanda tanya tentang kredibiliti Kementerian Belia dan
Sukan dan agensi-agnesi terlibat. Kementerian harus sedar bahawa selain sumber kewangan
yang perlu disuntik ke dalam organisasi-organisasi sukan, prestasi pasukan dan pemain perlu
lebih diutamakan. Janganlah seperti katak di bawah tempurung dengan hanya melihat sesuatu
isu dengan persepktif yang sempit. Kebajikan pegawai dan pemain hendaklah dipandang
serius. Sikap melebihkan mangkuk daripada sudu seperti itu hanya boleh memudarkan
semangat juang para peserta sahaja.
Selain itu, faktor stamina dan kemahiran juag perlu ditingkatkan lagi. Dalam bidang sukan,
tidak dinafikan ketahanan fizikal dan kemahiran merupakan modal besar untuk mencapai
kejayaan. Latihan sukan untuk atlet-atlet perlulah menitikberatkan aspek-aspek yang
menyeluruh meliputi stamina, latihan fizikal, kemahiran dalam sukan tersebut serta latihan
mental. Atlet-atlet negara China dilaporkan menjalani latihan melebihi lapan jam sehari.
Dalam sukan gimnastik, kana-kanak semuda usia lapan tahun berlatih sepenuh masa untuk
memastikan mereka dapat melatih dan menyesuaikan tubuh untuk sukan tersebut, seperti
peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita wajar beringat-ingat bahawa sesuatu
kejayaan itu tidak dating bergolek.
Bukan itu sahaja, usaha mencungkil bakat-bakat baru wajar dilaksanakan oleh KBS dan
persatuan sukan tanah air. Hakikatnya, sikap suka bergantung kepada beberapa atlet
cemerlang yang menyerlah sahaja tidak boleh dijadikan sandaran. Hal ini demikian kerana
bidang sukan sememangnya tidak dapat lari daripada diburu usia dan kudrat yang makin
terhad. Oleh itu langkah pasukan MyTeam yang berusaha mencari bakat baru dalam pasukan
bola sepak harus menjadi inspirasi kepada pasukan sukan yang lain untuk melaksanakan
pelbagai pendekatan bagi mencari bakat-bakat baru. Pelbagai usaha boleh dilakukan jika kita
sentiasa memikirkan usaha tersebut sebagai suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu
dipikul. Pihak yang berkenaan dalam bidang ini hendaklah turun padang untuk mencungkil
bakat sukan yang masih bertaburan di serata pelosok negara.
Selaras dengan era profesional, para atlet hendaklah mempunyai wawasan sendiri untuk
mencapai tahap tertinggi. Inspirasi yang ditunjukkan oleh jaguh-jaguh dunia seperti Tiger
Wood, Michael Schumacher dan Lin Dan hendaklah menjadi cabaran besar kepada mereka.
Di negara kita sendiri, beberapa personaliti sukan seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk

Nicol Ann David boleh dijadikan ikon atlet yang berjaya. Kejayaan mereka yang banyak
ditunjangi oleh daya usaha sendiri dan sokongan keluarga mereka wajar dijadikan contoh.
Atlet tidak mempunyai wawasan untuk mencapai tahap yang tertinggi tidak akan mempunyai
motivasi untuk terus maju ke hadapan. Oleh itu, segala-galanya bergantung kepada
kesungguhan untuk mengharumkan nama negara bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak
mahu seribu dalih.
Dalam aspek lahiriah, para pemain Malaysia perlu mempunyai semangat patriotik apabila
mewakili negara.. Mereka tidak boleh bermain untuk pasukan negara dengan sikap sekadar
melepaskan batuk di tangga . Lebih mustahak lagi, mereka tidak boleh mengutamakan
kepentingan diri mengatsi kepentingan negara, bak kata pepatah bersatu teguh, bercerai
roboh. Semangat para pemain dalam dekad 70-an dan 80-an seperti Shukur Salleh, Datuk
Soh Chin Aun dan Santokh Singh wajar dicontohi. Pemain yang mewakili Negara dalam
kejohanan sukan boleh diibaratkan seperti perajurit Negara yang mempertahankan nama
Negara di mata dunia. Lagu Sukan Komanwel 1998 Standing in the Eyes of the World jika
diterjemahkan bermaksud berdiri di mata dunia. Justeru, selain latihan fizikal dan mental
berbentuk kesukanan, perasaan cinta akan negara yang lahir daripada sanubari pemain juga
harus wujud dan diterapkan.
Sesungguhnya, usaha untuk meningkatkan mutu sukan dan mengembalikan gah Malaysia di
mata dunia adalah tidak mustahil. Kerajaan, persatuan-persatuan sukan dan para atlet
memainkan peranan yang teramat penting dalam hal ini. Namun, rakyat memainkan peranan
yang besar juga kerana doa keramat rakyat Malaysialah yang akan menjadi pendorong
kepada para atlet untuk terus berjuang. Apabila semua rakyat Malaysia duduk di hadapan
kaca televisyen mengharapkan yang terbaik bagi atlet negara yang sedang bertanding tanpa
mengira kaum dan agama, itulah pembakar semangat atlet negara. Seperti api obor Sukan
Olipik yang berkobar-kobar, itulah semangat yang harus setiap rakyat Malaysia tonjolkan
untuk menaikkan mutu sukan negara. Malaysia Boleh, itulah laungan keramat kita.

Anda mungkin juga menyukai