Anda di halaman 1dari 2

Bengkel Riong: Cara mencuci badan, enjin kereta dengan betul

PEMILIK kenderaan suka melihat kereta bersih dan berkilat manakala bahagian enjin
pula tidak comot. Untuk membersihkan enjin, jangan menggunakan air kerana pada
permukaan enjin ada banyak kesan minyak yang tidal dapat dihilangkan dengan air.
Penggunaan air juga boleh menyebabkan litar pintas dan kereta akan meragam. Seelokeloknya gunakanlah bahan yang paling klasik iaitu minyak tanah untuk menghilangkan
minyak dan gris pada permukaan enjin.
Tetapi lebih mudah lagi sekarang ada banyak bahan pencucian yang dijual di kedai
aksesori untuk menghilang gris dan tar. Semburkan bahan berkenaan di tempat yang
perlu, biarkan ia meresap kemudian lap dengan kain kering.
Gris dan sisa minyak pelincir perlu dibersihkan dengan segera daripada bahagian luaran
enjin kerana boleh merosakkan tali kipas, paip getah dan kabel elektrik. Selain gris, debu
atau lumpur yang melekat pada komponen elektrik seperti alternator (motor penghidup),
generator, gegelung penghidup, pengagih dan lampu boleh menyerap wap air dan boleh
menyebabkan litar pintas.
Pada terminal bateri pula jika terlihat ada endapan berwarna putih, siramlah dengan air
panas kemudian bersihkan dengan kain. Endapan itu dapat dihilangkan dengan mudah
tetapi jaga jangan sampai air masuk ke dalam bateri. Lubang pengudaraan pada penutup
bateri juga perlu dipastikan sentiasa terbuka.
Ketika mencuci bahagian enjin, pemilik kenderaan dapat memastikan jika ada kebocoran
minyak pelincir, elemen penting bagi menjamin kesinambungan kerja setiap bahagian
yang bergerak.
Oleh itu, jika tahu ada kebocoran minyak pelincir, cari segera puncanya dan tambahkan
minyak pelincir jika kurang. Dalam keadaan biasa, selepas beberapa tahun, gasket kebuk
enjin akan bocor sedikit dan minyak pelincir akan menitis. Ini dapat dilihat pada lantai
tempat kereta diletakkan. Jika jumlah titisan itu banyak, mungkin gasket di oil sum yang
rosak.
Dalam keadaan biasa minyak pelincir akan berkurang menerusi pemeluwapan dan
pembakaran. Tapi jumlahnya tidak banyak kira-kira 1/300-1/500 daripada jumlah
penggunaan petrol.
Jumlah minyak pelincir boleh dipastikan dengan memeriksa tolok sukat. Baik periksa
sendiri kerana jika dibiarkan juruteknik stesen minyak memeriksanya, dalam banyak
keadaan anda sebenarnya membantu memajukan perniagaan mereka.
Untuk membersihkan bahagian luar adalah lebih mudah. Hantar saja ke bengkel mencuci

kereta dan bayar antara RM5 dan RM10. Dalam tempoh setengah jam, kereta anda sudah
bersih dan cantik semula.
Namun jika anda mahu membasuh sendiri, anda perlu menggunakan sabun yang sesuai
untuk pencucian kereta. Sabun basuh tidak sesuai dan kelorok tidak sesuai.
Lazimnya, kereta baru dicat dengan cat bermutu tinggi. Jika permukaan itu tidak
dibersihkan dengan baik, cat akan cepat rosak.
Debu dan lumpur yang melekat pada badan kenderaan akan menyerap wap air dengan
cepat dan merosakkan permukaan cat. Selain nampak comot, cat akan luntur dan mudah
menjadi retak-retak.
Langkah pertama membersihkan kenderaan ialah menghilang debu dengan membuat
semburan tanpa menggunakan sabun.
Apabila permukaan badan kenderaan berada dalam keadaan kering dan tidak terlalu
kotor, debu yang melekat dapat dihilangkan dengan bulu ayam. Tetapi, jika kotoran tidak
dapat dihilangkan, gunakan kain bersih basah.
Penggunaan kain kering akan menyebabkan calar atau gurisan pada permukaan cat. Ini
disebabkan kotoran berkenaan mempunyai butir debu keras dan pasir.
Apabila membasuh kenderaan menggunakan sabun, jangan biarkan sabun melekat terlalu
lama di badan kenderaan kerana ia akan meningkatkan partikel bintik-bintik putih serta
bahan kimia sabun boleh memakan cat.
Setelah dibasuh, keringkan badan kereta dengan kain bersih. Untuk hasil yang lebih baik
setelah kereta kering sapulah wax (lilin). Selain menambahkan kilat kereta, wax
bertindak melindungi permukaan supaya tetap menarik dan hidup.
The New Straits Times Press (M) Berhad