Anda di halaman 1dari 6

Ideologi Kebangsaan Dr Burhanuddin al-Helmy

Menuntut satu pembentukan radikal

oleh Syed Zulfaqar

Saya telah meneliti satu video yang dianjurkan kepada saya tentang wacana Kebangsaan Melayu tokoh kemerdekaan Malaysia Dr Burhanuddin al-Helmy, pemikir, politikus, islamis dan seorang nasionalis kiri. 1 Video ini walaupun berhak mendapat pujian (kerana usahanya dalam mengangkat idea dan pemikiran Dr Burhanuddin serta galakan secara tidak langsung kepada masyarakat Malaysia untuk merebut kembali khazanah yang ditinggalkan beliau) jauh sekali bagi saya daripada mengagumkan atau jujur kepada idea Dr Burhanuddin. Ianya bagi saya adalah usaha populis bagi membenarkan naratif dan kepentingan pembentang tentang bagaimana wacana politik di Malaysia seharusnya.

Hal ini bagaimanapun bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dalam menilai kembali fakta-fakta, sejarah terutamanya, seorang sejarawan atau narrator itu pasti akan membuat pilihan daripada jutaan fakta yang ada untuk menyokong dan membenarkan naratifnya. Dan pilhan itu tidak dilakukan secara neutral melainkan bergantung kepada kepentingan dan ideologi sang sejarawan atau narrator itu.

Hal ini diungkapkan oleh Zinn, yang saya rasa berbaloi untuk saya petik secara panjang:

History is an infinite number of events, an infinite number of facts. Inevitably you must select from that number of facts those things which you are going to present, if you are going to write, if you are going to teach. What’s is going to go into this book, into your lecture, your classroom? There’s no way of avoiding the process of selection. Once you make that selection, that selection is based on your point of view whether you acknowledge it or not, whether you even know it or not. There’s a way in which you can reproduce the point of view that has been dominant in your culture without understanding that you are reproducing the dominant point of view. You make selection according to what you think is important. And different people think different things are important.2

Jadi saya dapat melihat bagaimana pemilihan fakta dan naratif yang diutarakan pembentang dibuat berdasarkan ideologi dan kepentingan yang beliau ataupun organisasinya wakili. Ini tidak bermakna fakta-fakta yang diberikan tidak benar (kerana saya percaya dia memetik terus petikan-petikan daripada karangan Dr Burhanuddin) tetapi pemilihan fakta-fakta yang beliau berikan tidak neutral dan tidak dapat lari daripada kepentingan yang beliau wakili.

Saya bukanlah seorang sarjana jauh sekali seorang sejarawan mahupun seorang politikus. Saya cuma seorang yang yakin akan kemajmukan perspektif dan penafsiran dalam menilai bahan sejarah. Jadi, dalam makalah ini saya akan memberikan tafsiran saya tentang ideologi Kebangsaan Melayu Dr Burhanuddin sepertimana yang saya fahami dan direkodkan sejarah. Dan saya sepertimana pembentang akan berpihak (yakni tidak neutral) dalam memilih dan menyampaikan fakta-fakta saya.

Kebangsaan Melayu

Dr Burhanuddin telah menulis dalam Falsafah Kebangsaan Melayu (1954):

Kebangsaan Melayu bukan dibina semata-mata kerana seseorang itu bangsa Melayu atau bapanya Melayu, datuknya Melayu, tetapi kebangsaan Melayu itu adalah diasaskan dan

dibina di atas kebangsaan Melayu iaitu kebangsaan mengikut tabiat semula jadi kedudukan bumi, keturunan pusaka, kebudayaan baka dan penduduk hak mutlak bumi pertiwi ini. Yang bersatu hasrat pada azamnya, bersatu padu dalam ideologi kebangsaannya…” 3

"Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas dan sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan kolot dan kuno." 4

“Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.5

Yang pertama, menurut Dr Burhanuddin ideologi kebangsaan Melayu bukan eksklusif untuk orang Melayu. Ianya bukan “dibina semata-mata kerana seseorang itu bangsa Melayu atau bapanya Melayu, datuknya Melayu”. Tetapi ianya menerima sesiapa yang mempunyai pertalian dengan tanah ini dan sanggup pula memakai ideologi kebangsaannya serta menumpahkan taat setia kepada tanah ini. Dr Burhanuddin sudah lama menerima kemajmukan (plurality) dalam masyarakat di Tanah Melayu ketika itu. Beliau merupakan seorang yang pragmatik dan pantas menerima dan menanggapi realiti baru ini. Justeru, dasar kebangsaan Melayu yang baru menurut fikirannya perlu “menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas dan sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit”. Beliau sedar bahawa ada ikatan yang lebih besar dari had sedia ada yang dibatasi oleh unsur perkauman seseorang. Jadi, ideologi kebangsaan Melayu yang baru perlu lebih universal dan terbuka. Beliau juga sedar bahawa Islam yang beliau anuti lebih tinggi daripada mana-mana ideologi kebangsaan justeru menegaskan bahawa ia perlu ditanggapi secara “sederhana” dan ideologi ini perlu digunakan untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi” iaitu ketika zamannya untuk hidup bebas dan merdeka!

Justeru saya melihat ada masalah dalam pandangan pembentang tentang konsep kebangsaan Melayu Dr Burhanuddin ini. Apa yang pasti ialah beliau tidak petik petikan pertama dan kedua diatas. Pembentang seakan cuba menisbahkan kebangsaan melayu sebagai ‘milik’ orang-orang Melayu. Kebangsaan Melayu seperti dalam tafsiran beliau adalah untuk menghimpunkan dan menyatukan orang-orang melayu. Jika Dr Burhanuddin berpendapat seperti beliau, beliau tidak akan membawa PKMM keluar dari PEKEMBAR ketika kongres Melayu kedua yang Prof Ramlah Adam gambarkan sebagai “kali pertama dan terakhir orang-orang Melayu seluruhnya bersatu dalam sejarah mereka”. 6 Hal ini jelas Kerana apa yang diinginkan beliau “bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit’ dan jauh sekali “sejauh-jauhnya dari [kebangsaan] berbau perkauman dan perasaan kolot dan kuno." Beliau inginkan kesatuan dan himpunan bukan sahaja Melayu tetapi seluruh warga Tanah melayu tanpa mengira ras untuk bergabung dibawah satu ideologi kebangsaan yang baru.

Cita-cita identiti negara bangsa baru buat Tanah Melayu.

Jalan yang mahu dirintis oleh Dr Burhanuddin ini bukan mudah. Sebab itu beliau dizamannya diberikan gelaran seperti komunis, radikal, kiri dan sebagainya. Ideologi kebangsaan Melayu yang menerima semua bangsa dengan “sama berhak dan adil” pasti tidak akan disukai gologan elit dan feudal Melayu yang mendapat tempat kerana sokongan dan dokongan dari majoriti kaum Melayu.

Golongan-golongan ini justeru memerlukan ideologi berasaskan perkauman untuk terus mandiri. Jadi Dr Burhanuddin sememangnya radikal, kerana dia mencabar akar masalah masyarakat melayu:

pengaruh feudalisme yang menebal. Cita-cita identiti bangsa Dr burhanuddin ini saya lihat mirip kepada idea bangsa Indonesia yang berteraskan pancasila. Hal ini mungkin jika dilihatkan kepada pengaruh gerakan kemerdekaan Indonesia kepada masyarakat di Tanah Melayu zaman itu.

Tapi tidak dinafikan bahawa Dr Burhanuddin melihat ke-Melayuan (dalam ertikata yang besar) perlu menjadi teras dalam ideologi kebangsaan yang baru ini. Contohnya dalam isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi perseketuan misalnya. Boestamam menulis bahawa ini adalah antara isu yang hangat dan lama diperdebatkan dalam gabungan PUTERA-AMCJA dalam mengusulkan perlembagaan alternatif kepada British yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat 1947. 7 Dan Dr Burhanuddin tidak pernah lupa kepada bangsanya. Benar seperti kata pembentang, kita tidak boleh mengharapkan bangsa lain untuk memajukan bangsa kita. Sebab itu Dr Burhanuddin terlibat secara langsung dalam organisasi seperti LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat), PEPERMAS (Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya) dan MATA (Majlis Tinggi Agama). 8 Ini adalah antara usaha beliau untuk membantu kaumnya sendiri dalam aspek pendidikan, ekonomi dan agama.

Saya justeru setuju dengan kata pembentang “kita tidak boleh mengharapkan bangsa lain untuk memajukan bangsa kita”. Tapi intonasi pembentang saya lihat seakan mengarahkan kenyataan ini kepada kita tak boleh mengharapkan bangsa lain untuk bersama memajukan negara ini. Pertama sekali, kalau ini yang beliau maksudkan saya fikir beliau perlu kembali kezaman dahulu kerana samaada dia mahu atau tidak, 40% populasi di negara ini terdiri daripada bukan Melayu. Mereka- mereka ini lahir disini dan tidak pernah mengenal tanah air lain melainkan bumi ini. Mereka telah mempunyai hubungan dengan “tabiat semula jadi kedudukan bumi, keturunan pusaka, kebudayaan baka dan penduduk hak mutlak bumi pertiwi [Malaysia] ini”. Ini justeru merupakan negara kita bersama. Mereka adalah rakyat tanah air ini tidak lebih dan tidak kurang daripada kita merupakan rakyat tanah air ini. Kenapa pula mereka tidak boleh bersama memajukan negara ini? Kalau hanya kerana berbeza kaum, itu adalah satu kenyataan yang jijik dan rasis.

Dr Burhanuddin berfikir lebih jauh dari itu. Beliau pragmatik, berpijak pada realiti dan menerima hakikat kemajmukan masyarakat di zamannya. Beliau lihat kaum lain juga merupakan ‘stakeholder’ yang penting buat negara ini. Untuk mendiamkan dan melupakan peranan mereka (sekarang melebihi 40%) dalam negara ini adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Tetapi untuk bentuk sebuah negara bangsa yang baru dalam kemajmukan ini ia berkehendakkan kepada satu ideologi kebangsaan yang inklusif yang tidak mengenepikan kepentingan majoriti dan menafikan kepentingan minoriti. Beliau tidak pernah minta kaum lain untuk memajukan kaumnya - dia boleh lakukannya sebagaimana dia telah pun melakukannya. Tapi apa yang dia minta adalah supaya seluruh warga Tanah Melayu tanpa mengira ras, datang bersama dan sama-sama membantu untuk membina negara baru ini.

Peranan dalam Gabungan AMCJA-PUTERA

1946-47 adalah antara zaman kemuncak gerakan kiri di Tanah melayu. Pertama adalah dengan pembentukan Gabungan AMCJA-PUTERA yang menghimpunkan gerakan-gerakan kiri seluruh Tanah Melayu. PUTERA (Pusat Tenaga Raa’ayat) secara ringkas menghimpunkan badan-badan kiri yang dianggotai oleh orang Melayu dan AMCJA (All-Malaya Council for Joint Actions) pula dianggotai badan-badan kiri yang dianggotai orang bukan Melayu. PUTERA diterajui oleh Dr

Burhanuddin dan AMCJA oleh Tun Tan Cheng Lock. Gabungan AMCJA-PUTERA pada Ogos 1947 telah mengusulkan apa yang digelar sebagai Perlembagaan rakyat sebagai alternatif kepada Perlembagaan Persekutuan UMNO-BRITISH.

Ini adalah fakta sejarah. Bahawa Dr Burhanuddin sudah lama menerima kemajmukan negara ini. Dia tiada masalah bergabung dan bersama dengan kaum-kaum lain untuk menggubal masa hadapan negara ini. Walaupun perlembagaan ini terhasil dengan kompromi yang tidak menakjubkan kerana penglibatan pihak yang pelbagai didalamnya, tapi saya rasa sebahagian isi perlembagaan ini dapat menggambarkan ideologi kebangsaan Dr Burhanuddin.

The PUTERA was formed on the basis of ten principles, the first six being identical with those of the A.M.C.J.A., while the remaining four were: that Malay should be the official language of the country; that Foreign Affairs and Defence of the country should be the joint responsibility of the government of Malaya and His Majesty’s Government; that the term “Melayu” should be the title of any citizenship or national status in Malaya; and that the national flag of the country should incorporate the Malay national colours. 9

Lihat, salah satu dari cadangan PUTERA itu ialah “Melayu” dirujuk sebagai status kewarganegaraan dan rupabangsa kebangsaan di Tanah Melayu. Berlainan dengan apa yang dicadang UMNO-British:

The form of citizenship proposed under the new Constitution is not a nationality. It will not, for example, affect or impair, in any respect whatsoever, the status of British subjects in the Settlements or the status of subjects of the Rulers in the Malay States. 10

Maksudnya ialah ianya satu jenis kewarganegaraan dengan dikekalkan rupabangsa kebangsaan masing-masing (Melayu, Cina, india). Kerana dalam cadangan ini kewarganegaraan dan kebangsaan merujuk kepada dua perkara berbeza.

Inilah bagi saya lebih tepat menggambarkan apa yang dimaksudkan dengan Kebangsaan Melayu sepertimana yang diperkatakan Dr Burhanuddin. Pluralistik, inklusif dan terbuka. Melayu dalam ertikata kebangsaan Melayu adalah Melayu dalam pengstilahan yang lebih besar bukan hanya bermaksud orang Melayu. “Melayu” ialah mereka yang menerima Tanah melayu sebagai tanah airnya dan bersedia menumpahkan taat setianya atau seperti yang diperkata Dr Burhanuddin bersedia untuk “bersatu padu dalam ideologi kebangsaannya”.

Negara Melayu 1948, Malaysia 1964

Negara Melayu, inilah konsep yang pembentang kelihatan terkesima dan kelihatannya tidak terkata. Kalau beliau betul memahami semangat zaman ketika itu, ini hakikatnya bukanlah satu perkara yang luar biasa. Kita tidak perlu hairan apabila Dr Burhanuddin merujuk kepada pengsitilahan seperti Kebangsaan Melayu, status kewargenegaraan sebagai Melayu dan Negara Melayu. Hal ini kerana, ketika ini kita sudah patutnya faham apa yang dimaksudkan Dr Burhanuddin dengan “Melayu”. Ianya yang pasti “bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit”. Melayu disini lebih merujuk kepada satu prinsip, satu ideologi, satu semangat kebangsaan yang baru.

Perlu dijelaskan bahawa kebanyakan tulisan beliau dibuat sebelum merdeka. Walaupun Dr Burhanuddin berbeza tentang idea penubuhan Malaysia, tetapi hal yang beliau utarakan lebih kurang

seperti konsep bangsa Malaysia dari segi ruhnya. Pada tahun 1963, ia mungkin dikenali sebagai Kebangsaan Malaysia, warganegara Malaysia dan Negara Malaysia.

Melempar Tenaga ke Masa Kini

Perjuangan Dr Burhanuddin mungkin dikira sebagai sudah tamat setelah Tanah Melayu mengecap kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Jadi apakah yang tinggal dari perjuangannnya buat masa ini? Jelas sekali kita masih belum dapat keluar sebagai sebuah bangsa Malaysia yang utuh. Tanah kita sudah merdeka tapi pemikiran kita masih terbelenggu dalam perangkap politik perkauman yang sempit. Inilah masalah yang tidak selesai sejak zaman Dr Burhanuddin hingga zaman kini.

Dr Burhanuddin mahu kita walau berbeza kaum bermimpi menjadi satu bangsa. Orang mungkin menghalang kita mebentuk realiti tetapi tiada siapa yang mampu menghalang kita untuk terus bermimpi.

Maka wujud kebangsaan Melayu kita ini, tidaklah sumbang atau ganjil, malah tepat dan betul seperti juga pendirian Ghandi, penganjur besar India dengan kebangsaan Indianya pun ada berkata: ‘Saya seorang nasionalis tetapi nasionalisme saya ialah kemanusiaan’” 11

Rasanya pembentang dapat bersetuju dengan saya bahawa banyak perkra lagi yang perlu kita merdekakan. Ayuh kita sama-sama bertempik, merdeka!

dapat bersetuju dengan saya bahawa banyak perkra lagi yang perlu kita merdekakan. Ayuh kita sama-sama bertempik,

Catatan kaki:

1. Rujuk video YouTube, Burhanudin Al-Helmi, Politik Melayu & Islam. Pautan:

fA

2. Lihat Howard Zinn dan Anthony Arnove. Howard Zinn Speaks : Collected Speeches, 1963-2009. Chicago, Ill.: Haymarket Books, 2012, halaman 95.

3. Lihat Burhanuddin Al-Helmy. Falsafah Kebangsaan Melayu (1954), halaman 7-10.

4. Ibid, halaman 74.

5. Ibid, halaman 44.

6. Lihat video YouTube, Bukit Kepong: Siapa wira Sebenar? -- Prof Ramlah Adam (part 1), minit ke 7:24 7:30. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=7csz7iIoYTU

7. Lihat Ahmad Boestamam, Merintis Jalan ke Puncak (1972) didalam Memoir Ahmad Boestamam:

Merdeka dengan Darah dalam Api, Penerbit UKM, 2004.

8. Untuk penglibatan Dr Burhanuddin dalam organisasi-organisasi ini, lihat analisa sumbangan beliau dalam pembangunan ekonomi politik Islam di Malaysia melalui carian di repositori jurnal tempatan atau Google.

9. Lihat The People’s Constitutional Proposals for Malaya. Kuala Lumpur: Ta Chong Press Co., Nov. 1947, halaman 3-4.

10. Lihat Summary of Constitutional Proposals for Malaya. Malayan Union Government Press Kuala Lumpur: H. T. Ross Government Printer, 1946, halaman 6

11. Lihat Burhanuddin Al-Helmy. Falsafah Kebangsaan Melayu (1954), halaman 91.