Anda di halaman 1dari 7

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

FITRAH INSANI
(26 DISEMBER 2014/ 4 RABIUL AWAL 1436H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa
serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudahmudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar jumaat
hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: FITRAH INSANI.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sudah menjadi sunatullah bahawa setiap detik, saat, masa akan berlalu. Hari akan
berganti hari, tahun akan berganti tahun, tanpa kita sedar 2014 akan meninggalkan
kita. Begitulah fitrah alam yang menjadi tempat tinggal kita selama ini. Umur dunia
kini semakin meningkat tua dan begitu jugalah dengan umur kita. Bertambahnya usia,
selayaknya membuat kita menjadi insan yang lebih bernilai di sisi Allah SWT.
Nikmat usia yang telah dipinjamkan oleh Allah yang bersifat sementara ini adalah
satu anugerah yang sangat bernilai bagi seorang hamba yang mengerti erti hidup
sebagai satu ibadah. Firman Allah SWT di dalam surah adz-Dzaariyat ayat 50:

Bermaksud:(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah


kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku
diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
Justeru, tahun baru yang akan menjelma ini hendaklah dimulakan dengan lafaz
kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan disamping
menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar,
pekerja amnya dan sebagai individu muslim khasnya. Semoga kehadiran tahun baru
ini membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari
satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Dalam kesyukuran ini, usahlah
kita sesekali lupa pada sejarah kerana sejarah merupakan cerminan masa lalu untuk
kita jadikan panduan di masa hadapan. Ibarat memandu kenderaan, kita memerlukan
cermin sebagai panduan. Bolehkah kita memandu dengan selamat jika tidak adanya
cermin? Itulah pentingnya sejarah.
Sedarlah, negara kita baru Merdeka hanya 57 tahun. Namun, kita telah dijajah
hampir 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan menerima ancaman
pengganas komunis. Ini semua bermula selepas jatuhnya Empayar Kesultanan
Melayu Melaka dan khilafah Islam Uthmaniyyah di Turki. Bayangkanlah,betapa
peritnya, deritanya, azab dan seksanya kehidupan bila berada di bawah cengkaman
penjajah dan ditindas oleh musuh. Mungkin sebahagian besar daripada kita hari ini
tidak pernah mengalami pengalaman dan penderitaan berada di bawah cengkaman
penjajah dan negara ditadbir oleh musuh. Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa
yang sama berulang kembali?. Adakah kita mahu merasakan azab dan seksanya?.
Adakah kita rela menerima penjajahan moden yang sudah pasti tidak akan ada jalan
keluar untuk kita melepaskan diri?.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa secara fitrahnya kita sebagai
manusia tidak boleh dipisahkan dengan sifat kemanusiaan itu sendiri selari kejadian
2

kita sebagai manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam
surah at-Tin ayat 4:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang


sebaik-baiknya.
Berdasarkan ayat ini, kita memahami bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk
ciptaan Allah SWT kerana pada fitrahnya manusia adalah makhluk sosial yang
berfikiran waras, rasional, tepat, kreatif, benar, dapat membuat penilaian antara yang
baik dan buruk. Mengulas perkara ini, Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir
menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota
badan yang lengkap dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai
keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus
kehidupan. Semua kelebihan ini memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang
berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kepentingan
umat manusia menjaga fitrah diri ini sememangnya mendapat perhatian serius
daripada Rasulullah SAW dalam sabda Baginda iaitu:

Mafhumnya: Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi
ibubapa nyalah yang menentukan anak itu, Yahudi Nasrani atau Majusi
( Riwayat Ahmad)
Justeru, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan berdasarkan kepada fitrah insani
ini, maka menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk bermuhasabah tentang
hakikat diri sendiri, hubungan kita dengan manusia dan hubungan kita dengan Allah
SWT kerana di kiri dan kanan kita ada dua malaikat yang senantiasa menulis setiap
gerak geri dan perbuatan kita di dunia ini. Persoalan besar timbul di sini, apakah
sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah? Muhasabah adalah perilaku
menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang dengan
3

jujur dan ikhlas. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa
mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang
untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
Mengikut Ibnu Qudamah: Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan
modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang
penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara
yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah
maksiat. Ibnu Qayyim pula berkata: Muhasabah ialah membezakan antara apa
yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang
demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan
apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan
kembali. Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadith
Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu:

Bermaksud: Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta
beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang
mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan
(yang banyak).(Riwayat at-Tirmizi)
Mimbar ingin menyatakan bahawa sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka
mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara
yang batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan
masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap
kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya
diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh
didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. Memetik kata-kata
seorang ulama iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam
kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa; Daripada takut akan timbulnya muhasabah.
Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan
4

sentiasa sibuk bersama Allah SWT. Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: lalai dari
bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang
berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati
terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan
tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu
lazimlah diri dengan senantiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah
dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di akhir tahun ini marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama
setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya berada di landasan fitrah manusia
sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih berada di dalam lembah
kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa.
Tariklah nafas kesedaran dan hitunglah segala perbuatan kita sepanjang tahun ini.
Ingat-ingatlah kembali...bagaimanakah lisan dan tutur kata kita? Bagaimanakah
perbuatan dan tindakan kita? Apakah yang kita tulis dan yang kita sebarkan di alam
maya dan media sosial?Adakah segala yang kita lakukan itu mendatangkan kebaikan
kepada agama Islam dan umatnya ataupun mendatangkan kehancuran?
Berhati-hati dan berwaspadalah wahai jemaah! kerana kadang kala perbuatan
dan tindakan kita secara tidak disedari boleh meruntuhkan agama dan melemahkan
umat Islam apatah lagi perbuatan yang didorong oleh emosi dan nafsu semata-mata.
Maka, sebelum melakukan sesuatu tindakan, berfikirlah dahulu..apakah baik dan
buruknya tindakan kita itu kepada agama Islam dan masa depan umatnya. Janganlah
sesekali kita terperangkap dengan permainan musuh-musuh Islam. Ingat-ingatlah dan
bermuhasabahlah!.
Rebutlah peluang dan masa yang diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat
dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah serta amal soleh. Bukankah

Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah
al-Asr ayat 1-3 iaitu:

Bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali


orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketika ini sebahagian penduduk di negara kita diuji oleh Allah SWT dengan musibah
banjir besar. Ada dari kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat
penempatan banjir demi keselamatan dan ada di kalangan mereka yang kehilangan
nyawa, keluarga, harta benda dan sebagainya. Sebenarnya inilah yang dikatakan
musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155:

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit


ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.
Di kesempatan ini, mimbar mengajak semua jemaah dan umat Islam sekalian untuk
sama-sama berdoa agar semua mangsa yang terlibat berada dalam keadaan selamat
dan sejahtera serta dijauhi dari pelbagai penyakit sebagaimana firman Allah SWT dari
surah Hud ayat 44:

Maksudnya: Dan difirmankan: Wahai bumi telanlah airmu, dan langit berhentilah
dari hujanmu. Dan surutlah air, serta terlaksanalah perintah Allah. Dan bahtera itu
berhenti di atas Gunung Judi, serta dikatakan bahawa kebinasaanlah bagi orang
yang zalim.
6

Di samping itu, sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam yang prihatin terhadap
mangsa-mangsa banjir, marilah sama-sama kita tolong menolong, bantu membantu
dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga, harta benda dan wang ringgit
semaksima mungkin.

Anda mungkin juga menyukai