Anda di halaman 1dari 3

Redha ibubapa....

Maaf, kiranya saya membuat para pengunjung blog tertunggu-tunggu entri baru. Agak lama
juga saya tidak menulis dalam blog ini. Mengerjakan tiga buku serentak, memang menguji
ketabahan dan ketelitian. Itulah yang menjadi hambatan saya dalam beberapa minggu ini.
Saya cuba selesaikan tiga buku serentak sebuah yang agak berat dan ilmiah, satu lagi agak
santai dan kreatif, manakala yang ketiga pertengahan diantara keduanya.
Insya-Allah, Mukmin Profesional Celik Mata hati, Nota fikir untuk Zikir dan R & R
Rohani akan terbit juga nanti. Cuma ketentuannya di tangan Allah jua. Disamping itu ada
satu tugas asas dan teras yang sangat mencabar. Pembaikan dan penambahan nilai untuk
modul Penghayatan Amanah dalam Profesyen yang telah dilaksanakan untuk kakitangan
Bank Rakyat. Insya-Allah, banyak penambah-baikan akan dilakukan pada pelaksanaan
program latihan yang akan datang.Saya bersyukur kerana mendapat banyak doa dan
dorongan daripada pengunjung. Itu menguatkan jiwa dan semangat saya untuk terus
menulis. Saya sering mengingatkan diri, usaha kita mengingatkan orang lain adalah juga
usaha kita untuk memperbaiki diri sendiri. Dijauhkan Allah dari bersifat hipokrit. Walaupun
kekadang apa yang diingatkan untuk orang lain, terlupa kita padankan pada diri sendiri.
Saya, anda dan kita semua hanya INGIN jadi baik, belum benar-benar jadi baik. Kita insan
yang sedang bermujahadah.
Baiklah sahabat dan saudara-saudaraku, kali ini mari kita sama-sama telusuri tulisan yang
sangat sederhana ini. Semoga sadara/i ikhlas membacanya, sepertimana saya cuba ikhlas
ketika menulisnya. Bacalah dengan kualiti jiwa, bukan kuantiti harta
Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Semua orang pernah mendengar ungkapan ini.
Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya? Dan berpada kerat pula yang telah
menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah,
akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anakanak.
Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam
kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam
kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya
sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.
Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga
orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada
Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah
memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua
dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.
Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan
beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk mengatasi
dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan
kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah. Dengan syarat kita berbuat
demikian dengan hati yang ikhlas.
Berapa ramai penulis yang terbantut idea dan mindanya, lalu dia mengangkat tangan
berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada ibu-bapanya? Atau ahli

perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika
lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli
politik yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk
bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?
Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita
sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan, keberkatan
dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang
akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang
pernah didendangkan oleh lagu lama, ayah dan ibu wali-wali keramat.
Ibu-bapa memang wali keramat kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau sampai ke
tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja
kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa
akan menerima padahnya. Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah
dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.
Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya
sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama
kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan
disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu. Justeru,
dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang sedang bersembahyang sunat
wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal
solat itu hubungan dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan
sesama manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?
Tidak, bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak menjaga
hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada Allah dan
berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam
Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap ibubapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!
Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang
boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap ibunya,
apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita
terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa
malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun
menimpa kita.
Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini.
Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali kita
kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak menjadi. Malang dan bencana
datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa
mana tahu semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.
Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada ibu-bapa
akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan
bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan
tanggungjawab Jadi apabila ibu-bapanya bersuara sedikit, sudah berani dia membentak.
Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?

Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti
kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli. Banyak
perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal
yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh dibayar oleh
kualiti jiwa bukan kuantiti harta.
Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita
yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka. Layani
mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk
berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting
sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.
Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan mencecah
gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti mereka
bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan
belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan
mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.
Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar tetapi semuanya diulang lagi kerana
kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering menjadi umpama kelekatu
yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu
lain yang terkorban. Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang
mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita
sedari.
Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan ah kepada kedua ibu-bapa. Sudah
dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali
mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon
ataupun menziarahi mereka di kampung Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap
mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?
Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang, tetapi
hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak berpenghujung mungkin
sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak
serasi Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang
murkakan kita?
Jika anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!
6 Mac 2010

gentarasa

30 Komen

Anda mungkin juga menyukai