Anda di halaman 1dari 7

"KHAIBAR, Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad saya'ud!

"
Itu lagu Kakak. Kakak nyanyikan sambil berlari. Tocang Kakak seperti ekor kuda padi pun ikut sama berlari.
Ikut sama menyanyi.
"Khaibar, Khaibar, wahai Yahudi! Tentera Muhammad kan kembali!"
Kakak nyanyikan terjemahannya. Kaki melangkah-lompat, kanan dan kiri silih berganti persis kuda padi.
Kakak gemar nyanyi-ulangkan rangkap lagu itu. Baik ketika berlari-lari ke kedai runcit apabila Umi mengirimpesan barangan dapur untuk juadah buka puasa. Atau ketika berlari-lari ke padang permainan bersama rakan,
mencari gelungsur, buaian dan jongkang-jongket sementara menanti Abah pulang membawa kuih dari pasar
Ramadan.
Kakak gemar menyanyi-ulang rangkap yang satu itu. Sejak Abah bercerita mengenai sirah Rasulullah sambil
menanti waktu berbuka puasa.
Abah bercerita tentang Rasulullah membawa seribu empat ratus pejuang merentasi padang pasir seratus batu ke
utara Madinah.
"Seribu empat ratus? Ramainya!" Sampuk Kakak bermain-main dengan janggut Abah.
"Iya, seribu empat ratus! Boleh Kakak kira?" Soal Abah mengelus-elus rambut Kakak.
Kakak angkat tangan kanan dan mula membilang, "Satu," sambil membengkok ibu jari. "Dua," diikuti dengan
jari telunjuk. "Tiga," diekori jari tengah. "Empat," disusuli jari manis. "Lima," diakhiri dengan jari kelingking.
Anak jari tangan kanan Kakak sudah habis digunakan. Kakak sambung dengan tangan kiri. Jari kelingking
untuk enam, jari manis-tujuh, jari tengah-lapan, jari telunjuk-sembilan dan ibu jari-sepuluh.
"Boleh pinjam jari tangan Abah?" Kakak tidak mahu mengalah.
"Abah bagi pinjam pun, belum cukup juga," balas Abah sambil meraih dua penumbuk kecil Kakak.
"Ramainya!" Jerit Kakak, takjub melecet ke luar dari bibir mongelnya.
"Iya, ramai. Ada yang berkuda. Ramai yang berjalan kaki." Sambung Abah sambil mendepang tangan ke depan.

Jari tengah dan jari telunjuk Abah menguit-nguit seperti langkah kaki manusia. Abah mempercepatkan gerakan
jarinya seolah-olah manusia sedang berlari.
"Macam kuda padi!" Kakak mahu ikut serta dalam sirah Rasulullah itu.
"Pandai anak Abah."
"Ke mana Rasulullah dan seribu empat ratus pejuang pergi, Abah? Kakak tidak endahkan pujian Abah.
"Menghala ke utara Madinah. Berhampiran dengan negeri Syam. Ke Khaibar!" Jelas Abah sambil menunding
tangan dan mengecilkan matanya.
"Bila sampai ke pinggir Khaibar, Rasulullah pun menjerit Berhenti!" Sampuk Kakak sebelum sempat Abah
menyambung sirah itu. Abah pura-pura terkejut.
"Kan Abah, kan?" Desak Kakak, teruja melihat Abah terperanjat.
"Kemudian Rasulullah baca doa. Kan Abah, kan?" Asak Kakak.
"Betul. Anak Abah makin pandai." Puji Abah.
"Tapi Abah, apa doa Rasulullah! Lupalah!" Kakak pura-pura kecewa.
Seperti yang Kakak harapkan, Abah cium dahinya.
Mata Abah terkedip-kedip, buat-buat mengingat kembali doa, sambil mengerling Kakak di riba.
"Cepatlah Abah!" Desak Kakak pura-pura marah kerana Abah buat-buat lupa.
"Kami pohon kebaikan kampung ini dan kebaikan penduduknya dan kebaikan isi di dalamnya. Kami berlindung
dengan Kau daripada kejahatan penduduknya dan kejahatan isi di dalamnya. Maralah ke hadapan dengan
nama Allah!"
Usai doa Abah itu, Kakak melompat sambil menyanyi: "Khaibar, Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad
saya'ud!"
"Khaibar, Khaibar, wahai Yahudi! Tentera Muhammad kan kembali!" Kakak nyanyikan terjemahannya sambil
berpusing-pusing di sekitar ruang tamu. Kakinya melangkah-lompat, kanan dan kiri silih berganti persis kuda
padi. Tocang Kakak pun ikut menari.
Sedang Kakak menyanyi, Abah menekan-buka saluran televisyen al-Jazeera. Di kaca televisyen, umat Islam
Palestin terkurung di wilayah Gaza dan Tebing Barat. Kakak mendengar terjemahan wawancara wartawan
dengan kanak-kanak perempuan di kaca televisyen: "Ayah saya syahid. Umi saya sedang berjuang. Abang saya
dipenjara. Saya mahu ikut ayah sampai syahid. Saya mahu berjuang seperti Umi. Walaupun pengganas Yahudi
memenjara saya."
Abah pun bertasbih, "Subhanallah!"
Televisyen menayang pula berita keganasan regim pengganas Israel. Kakak mendengar ulasan wartawan
mengenai kelengkapan dan peralatan senjata mereka untuk melakukan keganasan terhadap umat Palestin. Kakak
tidak faham sepenuhnya ulasan wartawan itu, tetapi spontan Kakak berkata, "Jahat!"

Abah pun menyeru, Wa la hau la wala quwwata illah billahil 'aliyyil 'azim! Dan tiada daya serta upaya kecuali
dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung!"
Doa Abah terngiang-ngiang di telinga kakak, "Kami berlindung dengan Kau daripada kejahatan penduduknya
dan kejahatan isi di dalamnya."
Kakak mewiridkan lagu itu dengan perlahan-lahan, ""Khaibar, Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad saya'ud!"
Azan Maghrib berkumandang. Abah menekan-mati alat kawalan jauh televisyen. Kakak bangkit dan berlari ke
dapur. Kakinya melangkah-lompat, kanan dan kiri silih berganti persis kuda padi.
Umi menanti di meja makan. Abah mengekori dengan tersenyum. Kakak teringat gadis kecil di Palestin. Diamdiam, Kakak nyanyikan lagu itu. Sambil mengunyah tamar, Kakak nyanyikan terjemahan lagu itu.
Lagu itulah yang Kakak nyanyikan tiap kali ke taman permainan bersama-sama rakan-rakan. Mereka mencari
gelungsur, buaian dan jongkang-jongket.
Sambil memanjat tangga gelungsur, Kakak menyanyi, "Khaibar, Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad
saya'ud!"
Ketika menggelungsur di papan landai ke tanah itu, Kakak menyanyi terjemahannya, "Khaibar, Khaibar, wahai
Yahudi! Tentera Muhammad kan kembali!"
Di atas buaian, Kakak menyanyi sambil berayun ke hadapan, "Khaibar, Khaibar ya Yahud!," dan
menyambungnya apabila buaian bergerak ke belakang, "Jaisyu Muhammad saya'ud!"
Kakak mengulang rangkap lagu itu dengan terjemahannya, "Khaibar, Khaibar, wahai Yahudi," nyanyi Kakak
sambil berayun ke hadapan, lalu Kakak menambah apabila buaian bergerak ke belakang, "Tentera Muhammad
kan kembali."
Kakak duduk di atas jongkang-jongket, lalu papannya turun sambil Kakak nyanyi, "Khaibar, Khaibar ya Yahud!
Jaisyu Muhammad saya'ud!"

Apabila papan jongkang-jongket Kakak naik, Kakak nyanyi terjemahan lagunya, "Khaibar, Khaibar, wahai
Yahudi! Tentera Muhamad kan kembali!"
Kala Kakak asyik bermain-main dan menyanyi-nyanyi dengan rakan-rakan, ada juga yang nakal mengganggu
Kakak.
Selalunya budak nakal, dua tiga tahun lebih tua daripada Kakak.
Kakak menyanyi sambil berbuai, "Khaibar, Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad saya'ud!"
"Keber, Keber ya yayed. Jaisye jaisye ya yayed!" Ejek dua tiga budak nakal sambil gelak-gelak.
Kakak beralih ke jongkang-jongket bersama-sama rakannya. Kakak menyambung lagunya, "Khaibar, Khaibar
ya Yahud! Jaisyu Muhammad saya'ud!"
"Keber, Keber ya yayed. Jaisye jaisye ya yayed!" Ejek mereka lagi. Kali ini lebih berani, mereka menarik
toncang Kakak dan rakannya.
Kakak bangkit, lalu bercekak pinggang. "Kenapa awak suka kacau kita orang main?"
Budak nakal itu ketawa, seperti dibuat-dibuat, lalu seorang daripadanya mengejek, "Awak nyanyi lagu
pengganas. Ayah saya kata orang Arab pengganas."
Mata Kakak berkaca, retak dan pecah dengan air mata. Budak nakal itu semakin mua, lalu menolak Kakak.
Kakak terbanting ke tanah berpasir. Mereka ketawa berdekah-dekah sambil mengejek, "Keber, Keber ya yayed.
Jaisye jaisye ya yayed!"
Kakak pun berlari pulang ke rumah. Kali ini, tidak lagi seperti kuda padi. Tanpa lagu Kakak.
Abah baru pulang dari tempat kerja dan membibit juadah berbuka, sedikit kaget melihat Kakak berlari dalam
tangisan. Bajunya penuh dengan pasir dan wajah lejuh dengan air mata. Kakak rebah dalam riba Abah.
Abah biarkan Kakak menangis puas-puas sebelum memujuk Kakak. Kakak menceritakan kenakalan budakbudak itu. Abah jeda, mengelus-elus janggut.
"Kakak ingat sirah Rasulullah?" Soal Abah sambil menggosok-gosok kepala Kakak.
Kakak angguk, mengesat air mata, sebelum Abah berkata, "Rasulullahkan selalu dihina, disakiti. Tapi
Rasulullah sabar."
Kakak angguk lagi, mahu jadi macam Rasulullah. "Tapi Abah, orang Arab dalam televisyen tu pengganaskah?"
Tanya Kakak, matanya berkedip-kedip memandang Abah.
"Umat Islam di Palestin berjuang mempertahankan agama dan membebaskan negara mereka. Rasulullah pun
berjuang mempertahankan agama dan membebaskan kota Makkah daripada geng Abu Jahal, kan?" Soal Abah,
mengucup dahi Kakak sebaik saja angguk.
"Habis pengganas tu siapa, Abah?"
"Pengganas ialah orang yang buat kejahatan dan tindas orang yang lemah. Di sana ada pengganas, di sini pun
ada. Jadi Kakak kena hati-hati. Sebab itu, Abah dan Umi selalu pesan jangan cakap dengan orang yang Kakak
belum kenal dan jangan benarkan orang lain sentuh tubuh Kakak." Jelas Abah, mengelus-elus rambut Kakak.
Kakak teringat berita tentang rakan seusianya menjadi mangsa keganasan. Ada gambar mereka di kaca
televisyen, mahu pun di dada akhbar. Di Palestin, juga di negara ini.

"Habis itu, orang yang menentang pengganas ialah pejuang. Betulkan, Abah?" Tanya Kakak, mengesat-ngesat
pipinya.
Abah angguk. Di hujung bibir Abah, tergantung senyum.
Kakak bangun dari riba Abah, memeluknya ringkas dan kembali meloncat-loncat sambil menyanyi, "Khaibar,
Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad saya'ud!"
Azan Maghrib berkumandang. Kakak cepat-cepat mencari Umi di ruang tamu. Mahu bersegera menyentuh
tamar untuk berbuka.
Umi selalu mengirim-pesan barangan dapur. Kakak selalu riang memenuhi permintaan Umi. Sambil nyanyikan
lagu, Kakak berlari-lari ke kedai runcit.
Jarak antara rumah dan kedai tidak jauh. Selalunya tidak ada apa-apa kecuali kadangkala ada budak nakal yang
sedikit mengganggu. Kerana itu, Umi berani menyuruh Kakak ke kedai runcit. Lagipun, Kakak sudah
bersekolah rendah. Tahu sikit-sikit menjaga diri.
Kakak melangkah-lompat, kaki kanan dan kiri silih berganti persis kuda padi. Setiap kali kakak melompat,
seolah-olah berhenti di udara. Tocang Kakak pun ikut menari.
Seorang lelaki berpakaian seragam tapi selekeh menahan Kakak. Kakak jadi cuak; lekas teringat pesan Abah
dan Umi supaya tidak bercakap dengan orang tidak dikenali. Mula-mula, lelaki itu pujuk Kakak untuk
mengikutnya.
Katanya, kucingnya hilang. Pintanya, Kakak tolong carikan.
Lama-lama, lelaki itu berkeras apabila Kakak enggan.
Lelaki itu terkam Kakak, lalu menekup mulut. Kakak gelepar tetapi kudrat lelaki itu lebih besar. Lelaki itu kelek
Kakak dan bawa ke sebuah pondok.

Lelaki itu campak Kakak ke lantai. Picagari, sudu dan plastik berserakan. Kepala Kakak terbanting di bucu
simen.
Kepala Kakak terasa basah. Kakak merasa rambut, ada air pekat. Merah. Tulang-temulang Kakak terasa bisa.
Kakak hilang daya, lalu Kakak lafaz, "Wa la hau la wala quwwata illah billahil 'aliyyil 'azim!"
Lelaki itu terkam Kakak lagi. Dan menumbuk Kakak bertubi-tubi. Bagaikan syaitan. Bukan, bagaikan binatang.
Bukan, bagaikan pengganas.
Kakak minta tolong. Pada Umi. Pada Abah dan pada Tuhan.
Kakak dengar paluan gendang. Kakak dengar derap langkah. Kakak dengar kuda dipacu.
Lagu Kakak berkumandang daripada sayup kepada nyaring: "Khaibar, Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad
saya'ud!"
Entah daya dan upaya mana, kaki Kakak jadi macam kuda padi. Kakak tendang membuta-tuli. Terkena paha,
perut dan akhirnya kelangkang lelaki itu. Lelaki itu merengkuk kesakitan.
Kakak bangkit, perlahan-lahan dan terketar-ketar. Kakak merangkak ke luar dari pondok itu. Suara Kakak
menggigil di kerongkong.
Kakak teringat umat Islam Palestin. Kakak terbayang kanak-kanak seusia di sini. Kakak pinjam semangat
mereka dan kumpul daya upaya berbaki. Kakak bangkit dengan kaki gementar. Kakak atur satu demi satu.
Meski tidak seperti kuda padi, Kakak berjalan dalam payah. Kakak merasa-rasa rumput, kemudian tanah
berbatu kecil dan akhirnya tar.
Mata Kakak kabur. Oleh air mata yang bergenang dan darah yang mengalir. Kakak dengar ribut-ribut suara
orang.
"Kakak!" Dua tiga kali. Semakin jelas.
Itu suara Abah!
"Kakak!"
Itu suara Umi!
Suara Abah dan Umi makin rapat. Daya upaya Kakak makin ranap. Kakak pun rebah. Abah cepat merengkuh.
Abah meriba Kakak. Umi bertelut di samping.
Suara ribut-ribut menuju ke arah pondok lelaki pengganas itu.
"Abah!" Kakak merasa-rasa wajah Abah. Basah. Abah menangis!
"Kakak sakit. Sakit sangat." Adu Kakak, tanpa tangisan.
Tangisan Abah menggigil, perlahan. Abah peluk Kakak, lalu berbisik, "Sabar ya Kakak. Abah bawa Kakak ke
hospital." Air mata Abah menitik ke wajah Kakak. Juga air mata Umi.
"Abah, Umi, jangan menangis ya!" Kakak jadi tabah. Kakak mahu pulangkan semangat umat Islam Palestin dan
rakan seusianya. Kakak pun berjuang daripada kejahatan pengganas. Kakak sudah jadi pejuang.

Kakak dengar paluan gendang. Kakak dengar derap langkah. Kakak dengar kuda dipacu.
Sayup-sayup Kakak dengar lagu Kakak, "Khaibar, Khaibar ya Yahud! Jaisyu Muhammad saya'ud!"
Mata Kakak berat. Bibir Kakak kering. Meski belum menyentuh tamar, Kakak tahu, tentera Muhammad yang
satu ini akan pulang!

Anda mungkin juga menyukai