Anda di halaman 1dari 3

Pengguna Penentu Harga Barangan

Dewasa ini sering kedengaran keluhan dan rasa tidak puas hati yang diajukan oleh
sebilangan pengguna yang berkisar dalam pelbagai perkara daripada perbezaan harga
barang, kualiti perkhidmatan hinggalah kepada menjadi mangsa kelicikan peniaga.
Ketidakpuasan hati yang diluahkan sama ada menerusi media cetak mahupun media
elektronik sering pula mengundang polemik dan kegemparan masyarakat sehingga
memaksa pelbagai pihak yang berkenaan bertindak dan mengambil langkah-langkah
sewajarnya bagi menenangkan suasana. Adalah diyakini bahawa perkara sebegini
akan terus berlaku selagi golongan pengguna tidak menggunakan kelebihan dan
kekuatan yang mereka miliki iaitu kuasa beli.
Selama ini penawaran barangan lazimnya ditentukan oleh pihak peniaga atau
pengusaha. Bentuk barangan dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan pula sering
berkiblatkan keuntungan dan amat nadir yang bercirikan tanggungjawab sosial.
Fenomena sebegini akhirnya merugikan pengguna, sebaliknya hanya menguntungkan
pihak peniaga sahaja. Ketidakadilan ini dapat dibanteras sekiranya pengguna
memanfaatkan kuasa beli mereka. Memandangkan penawaran barangan dan
perkhidmatan bergantung kepada penglibatan pengguna dari sudut belian maka sikap
memilih barangan dan perkhidmatan yang benar-benar menguntungkan pengguna
amatlah memberi kesan.(Sebab pengguna tiada kuasa)
Pengguna wajar memulau dan memboikot sebarang barangan yang tidak sepadan
dengan nilai wang yang dibelanjakan. Ketegasan sebegini menjadi pengimbang
kepada penentuan takat harga agar ia tidak dimonopoli oleh pihak peniaga dan
pengusaha sahaja. Beberapa insiden yang menyaksikan harga barangan dan
perkhidmatan yang sebelum ini tinggi kemudian diturunkan membuktikan betapa
banyak keuntungan yang telah diraih oleh pihak pengusaha dan menunjukkan juga
betapa mudahnya takat harga tersebut dimanipulasi dan berubah. Demikianlah
akibatnya jika penguna mengabaikan kuasa beli mereka.(tindakan)
Sikap memilih dan berkira sebelum menerima atau membeli sebarang produk juga
dapat mencetuskan perang harga di kalangan pengusaha dan tentunya ia
menguntungkan pengguna. Ini kerana pengguna berjaya menjadikan kuasa beli
mereka kepada penentu harga barangan yang sesuai dan sepadan dengan nilainya.
Secara tidak langsung juga, ia memberi mesej jangka panjang kepada para pengusaha
agar mengambil kira kuasa beli pengguna jika ingin menawarkan sebarang barangan
dan perkhidmatan. Pengiktirafan sebeginilah yang seharusnya menjadi nadi dalam
sistem ekonomi supaya ia lebih mapan, berdaya saing dan berkembang maju.
(Langkah)
Kuasa beli juga menjadi penanda aras dalam memastikan bekalan keperluan harian
sentiasa cukup dan berterusan. Ini amat penting memandang kedapatan segelintir
pengusaha yang mengambil kesempatan atas kealpaan pengguna dalam berbelanja
dengan menyekat atau menyembunyikan bekalan sehingga menyebabkan berlaku
kekurangan bekalan di pasaran seterusnya menaikkan harga barangan berkaitan.
Gejala negatif ini akan berterusan sekiranya pengguna mengabaikan kuasa beli dan
terus membeli atas alasan sangat memerlukan sekalipun harganya melonjak sekali
ganda.(Sebab pengguna Takde kuasa)

Kuasa beli pengguna turut berupaya mengekalkan kualiti dan standard produk atau
perkhidmatan di pasaran. Adalah amat malang sekiranya golongan pengguna terus
berhadapan dengan barangan yang tidak berkualti dan perkhidmatan yang kurang
memuaskan. Tidak ada seorang insan yang normal inginkan keadaan sebegini
berterusan. Lantaran itu, pengguna perlu memanfaatkan sepenuhnya kuasa beli agar
barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pasaran menyebelahi kepentingan
mereka. Kuasa beli pengguna sewajarnya bertitik tolak kepada mengutamakan produk
atau perkhidmatan yang memiliki status standard yang diiktiraf oleh kerajaan iaitu
ISO 9000 yang memberi keutamaan kepada kualiti dalam bidang pengurusan dan ISO
14000 yang bersifat lebih mesra alam.
Di samping itu, pengguna juga perlu menitikberatkan produk yang tidak mempunyai
lesen oleh SIRIM kepada pengilang. Ini penting kerana jika produk tersebut disyaki
penyebab kepada sesuatu bencana maka pihak Sirim akan bertanggungjawab
menjalankan siasatan mengenalpasti punca kejadian tersebut. Keprihatinan yang
tinggi kepada standardisasi akan mendorong pembekal barangan dan perkhidmatan
mempastikan setiap produk mereka memenuhi tahap standard dan kualiti yang
ditetapkan. Keengganan dan sikap mengambil mudah perkara ini akan hanya
menyebabkan pembekal hilang pembeli dan kualiti produk mereka dipertikaikan.
Natijahnya, para pengguna akan mendapat barangan yang selamat, perkhidmatan
yang bermutu dan yang lebih penting kualitinya sepadan dengan wang yang
dibelanjakan. Demikianlah kuasa beli pengguna dalam mencorak pasaran.
Dalam persaingan dunia perniagaan, pelbagai pendekatan, kaedah dan strategi yang
digunakan bagi menarik seramai mungkin pembeli. Sesuatu yang perlu diakui bahawa
kedapatan sesetengah taktik yang digunakan mengandungi unsur penipuan,
penyelewengan, ugutan dan paksaan. Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan
pengguna yang terjebak dan terperangkap dengan taktik licik sebegini adalah pada
barangan atau perkhidmatan yang bukan dalam kategori amat diperlukan. Mereka
terpedaya dengan tawaran harga yang kononnya murah, tidak mengetahui kos
terselindung, dikejutkan dengan hadiah cabutan bertuah, jualan penghabisan stok,
peraduan gores dan menang, tawaran pakej pelancongan, produk jualan langsung dan
seumpamanya.
Semua taktik dan strategi ini hanya mampu memerangkap mereka yang cuai dan tiada
perancangan kewangan. Sebaliknya, taktik sedemikian tidak akan berkesan terhadap
mereka yang menyalurkan kuasa beli hanya kepada barangan keperluan dan
perkhidmatan yang diperlukan sahaja. Bagi memastikan tiada pengusaha yang
mengambil kesempatan dengan taktik sebegini maka jelaslah betapa perlu kuasa beli
dijadikan senjata bagi menghapuskan sebarang elemen negatif daripada mewarnai
pasaran dan sistem ekonomi. Menjadikan kuasa beli hanya pada barangan dan produk
yang diperlukan sahaja akan melemahkan sebarang strategi pemasaran yang berunsur
tipudaya, hasutan dan paksaan.
Akhir sekali, memanfaatkan kuasa beli dapat menjamin hak-hak pengguna sentiasa
dihormati. Seperti yang sedia diketahui bahawa terdapat lapan hak pengguna iaitu hak
untuk mendapatkan keperluan asas, hak untuk mendapatkan keselamatan, hak untuk
mendapatkan maklumat, hak untuk membuat pilihan, hak untuk bersuara, hak untuk
mendapatkan ganti rugi, hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna dan hak untuk

mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat. Kesemua hak pengguna ini adalah
berteraskan mewujudkan satu kehidupan yang sempurna dan seimbang.
Sesungguhnya masyarakat pengguna bukanlah masyarakat yang rendah nilai sehingga
menjadi tempat lambakan barangan dan produk yang tidak berkualiti dan berbahaya.
Mereka juga bukan bahan ujikaji pasaran sehingga kepentingan dan kebajikan mereka
tidak terbela. Hakikatnya, masyarakat pengguna adalah tonggak di sebalik
pembangunan ekonomi sesebuah negara. Pasaran yang dibentuk oleh manipulasi
golongan peniaga lambat laun akan menghancurkan sistem ekonomi kerana
menjadikannya tidak seimbang dan saksama. Manakala pasaran yang terbentuk
daripada kuasa beli para pengguna akan memberi faedah kepada semua pihak dan
yang lebih penting menyemarakkan lagi pembangunan ekonomi yang adil, maju dan
cemerlang.

Anda mungkin juga menyukai