Anda di halaman 1dari 3

Buli bertentangan dengan Islam

OLEH SITI AINIZA KAMSARI'


PADA suatu pagi, melalui satu siaran radio, seorang ibu berkongsi pengalaman anak
lelakinya terpaksa pindah sekolah akibat menjadi mangsa buli secara beramairamai.
Tetapi sebelum itu, beliau melahirkan kekesalan iaitu ketika kesemua ibu bapa
pelajar terlibat dipanggil hadir memberi keterangan di balai polis, seorang ibu
kepada yang membuli anaknya sempat menyerangnya dengan pelbagai kata yang
nista dan kurang manis di balai itu.
Si penyerang marah dengan tindakan beliau yang mahu kejadian buli ini dibawa ke
pihak berkuasa yang boleh menyebabkan masa depan anaknya terjejas.
"Saya sungguh terkejut dengan tindakan ibu kepada salah seorang pelajar yang
membuli anak saya itu. Saya tidak mengharap tetapi sepatutnya dia meminta maaf
atas tindakan ganas anaknya itu.
"Tetapi saya pula menjadi mangsa kemarahannya. Namun yang lebih dikesali
sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka yang membuli
anak saya itu, baik di peringkat sekolah, kementerian termasuk apabila laporan
polis dibuat. Kes jadi senyap begitu sahaja, sedangkan kesan trauma yang dialami
oleh anak dan kami sekeluarga sehingga kini masih lagi dirasai," katanya.
Kita hanya mampu mendengarkan luahan seperti ini walaupun mungkin si
pemanggil sedikit sebanyak berasa lega kerana dapat mengurangkan tekanan di
dada apabila dapat meluahkan segala yang terbuku di hati.
Tetapi hakikatnya di luar sana, kes-kes seperti ini kini tidak lagi seperti satu
penyakit. Sebaliknya seperti kian membarah apabila semakin kerap pelbagai
tragedi buli dilaporkan.
Malah hakikat yang lebih pedih walaupun mungkin tidak benar, tetapi penglibatan
para pelajar Melayu atau lebih tepat lagi beragama Islam dilihat begitu menjuarai
kes-kes buli ini.
Ini termasuk mencederakan pelajar lain menggunakan senjata tajam seperti lawi
ayam, adakah pelajar yang membawa senjata ini berada zon perang atau sedang
berlatih seni mempertahankan diri?
Pensyarah Pengajian Umum Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL), Norsazali
Abdullah berkata, buli ditakrifkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang
pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal
atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang.
"Seperti yang ditakrifkan oleh Hazler & Hoover (1993), tingkah laku ini berlaku
berkali-kali sehingga menjadi satu budaya yang zalim, yang menyebabkan
mangsanya mengalami gangguan mental dan fizikal yang berterusan.

"Apatah lagi jika ia berlaku di kalangan pelajar sekolah yang sepatutnya


memanfaatkan masa muda mereka dengan menuntut ilmu," katanya.
Namun soal beliau, mengapa gejala buli ini masih berlaku di kalangan pelajar kita?
Adakah kerana ibu bapa tidak menyemaikan rasa kasih sayang kepada anakanaknya supaya anak-anak itu sentiasa berkasih sayang terhadap orang lain?
"Atau pihak sekolah, guru-guru dan pendidik tidak menekankan soal hormat
menghormati, menghargai orang lain dan tanggungjawab terhadap dirinya dan
kawan," katanya.
Persoalan-persoalan ini seperti ini timbul kerana apabila kes buli, ia saling berkaitan
dan menyentuh kepada banyak pihak.
"Hanya melalui kerjasama banyak ini sahajalah, masalah ini buli boleh dikekang
malah sebenarnya dapat terus dibanteras," katanya.
Pun begitu, Noorsazali melihat hubungan antara pelajar yang senior dengan junior
perlu diserasikan oleh pihak sekolah. Ia agar hubungan awal ini terbentuk dan
terjalin dengan kasih sayang, kemesraan, saling menghormati dalam satu ikatan
ukhuwah yang terjalin erat.
"Bukan menyimpan perasaan bangga diri atau ego sebagai senior. Pelajar senior
sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar junior yang baru memasuki alam hidup
di asrama atau hidup berdikari," katanya.
Menurutnya, buli pada pandangan Islam adalah sesuatu yang amat bertentangan
dengan naluri dan fitrah kejadian manusia di sisi Allah SWT.
"Islam bererti sejahtera dan salah satu sifat orang Islam ialah dia tidak memberi
masalah kepada saudara seIslamnya yang lain seperti sabda Nabi SAW yang
bermaksud: Orang Islam ialah orang yang saudara seIslamnya merasa aman
daripada gangguan lidah dan tangannya," katanya.
Bahkan katanya, tiada satu agama pun di dunia ini yang mengizinkan kita
menyakiti, mencederakan dan membunuh seseorang tanpa sebab yang tertentu.
"Lantaran, penerapan sifat kasih sayang, tanggungjawab dan peranan diri dalam
hidup bermasyarakat perlu dipupuk dalam setiap diri pelajar sehingga merasakan
dirinya tidak boleh hidup tanpa bantuan serta pertolongan orang lain.
"Dalam masa yang sama, sifat-sifat iblis dan syaitan seperti angkuh, sombong,
besar diri itu perlu dibuangkan dalam diri agar kita menjadi seorang yang rendah
diri sesuai dengan gelaran yang kita pegang iaitu sebagai khalifah dan hamba
Allah," katanya.
Namun pokok pangkalnya tegas beliau, pendidikan agama dalam keluarga perlu
diperkukuhkan agar anak-anak kita sentiasa berpegang dengan tatasusila dan
akhlak Islam sama ada sesama rakan sebaya mahupun orang yang lebih dewasa.

"Namun apabila kes buli berlaku di sekolah agama, apakah pendidikan agama yang
mereka perolehi di sekolah itu masih tidak cukup untuk menjadikan pelajar itu
seorang yang baik dan tahu menghormati hak orang lain? Untuk menjawab
persoalan ini, satu kajian perlu dilaksanakan dengan teliti bagi mendapatkan
jawapan yang terbaik," katanya.
Jelas beliau, pendidikan yang disampaikan oleh para guru dan pendidik di sekolah
agama begitu hebat sekali, ditambah pula dengan kem motivasi hujung minggu
atau motivasi musim cuti persekolahan yang menekankan kemantapan rohani pada
diri pelajar ini.
"Namun perlu kita melihat bagaimana pula dengan faktor persekitarannya, kerenah
ibu bapa pelajar ini di rumah, ajakan dan godaan rakan sebaya yang sekali gus ia
telah mengenepikan segala pendidikan baik yang diperolehi oleh pelajar ini.
"Pendidikan adalah satu proses yang panjang dan tidak boleh disamakan dengan
kita membuat kuih yang masukkan tepung dalam acuan, maka ia akan mengikut
acuan itu sepenuhnya tanpa ada kecacatan dan kekurangan," tambah Norsazali.
Imam al-Ghazali pula mengatakan pendidikan itu ialah mengeluarkan perangai yang
buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik.
Menurut beliau lagi, seseorang pelajar yang nakal akan cukup hormat kepada guru
atau wardennya apabila kenakalannya itu dilayan dengan proses pendidikan yang
penuh hikmah.
"Kekerasan dan kegarangan guru tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah,
bahkan kita bimbang, pelajar ini hanya akan hormat di depan guru, sebaliknya
menyimpan perasaan dendam di belakang gurunya.
"Ketegasan dan hikmah dalam memberi teguran amat penting agar pelajar tidak
merasa dirinya demoralise atau dimalukan dikhalayak ramai. Pujian dan kata-kata
semangat yang diiringi dengan nada keinsafan dari seorang pendidik atau guru
amat penting bagi memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajarnya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz
2Auz4YxfY
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai