Anda di halaman 1dari 3

LAPORAN PENGAJARAN MAKRO

NAMA : NURHANIS BINTI ZAMSHAH

Pada 26 Ogos 2014, saya bersama ahli kumpulan saya iaitu Shaareny M Saravanan
telah melakukan pengajaran makro Pendidikan Jasmani di Sekolah Kebangsaan Jitra 2,
Jitra Kedah. Kelas yang telah diberikan kepada kami untuk melakukan pengajaran makro ini
adalah kelas Tahun 5 bermula pada pukul 8.15 pagi sehinggalah pada pukul 8.45 pagi.
Sebelum melaksanakan pengajaran makro ini, saya bersama Shaareny telah mengadakan
perbincangan dalam melakukan Rancangan Pengajaran Harian kami bagi murid kelas
Tahun 5 ini. Setelah menelaah buku teks KBSR Tahun 5, kami telah sepakat untuk memilih
tajuk Ketangkasan untuk diajar kepada murid Tahun 5 ini.
Pada hari tersebut, aktiviti pengajaran makro kami telah dimulakan oleh Shaareny.
Shaareny telah memulakan pengajaran makro kepada muri Tahun 5 ini dengan melakukan
permulaan selama tiga minit. Set induksi ini telah dimulakan yang mana memerlukan murid
untuk meneka binatang apakah yang paling tangkas menerusi kad bergambar yang telah
ditunjukkan oleh Shaareny. Setelah murid memberikan jawapan, Shaareny memberikan
penerangan mengenai perkaitan binatang yang paling tangkas ini dengan tajuk
pembelajaran yang bakal dilakukan. Murid-murid telah memberikan kerjasama yang baik
semasa aktiviti ini dilakukan.
Setelah itu, Shaareny meneruskan sesi pengajaran makro ini dengan melakukan
sesi regangan memanaskan badan bersama murid-murid. Murid-murid berbaris di hadapan
Shaareny dalam bentuk ladam kuda dan seterusnya melakukan pergerakan-pergerakan
regangan seperti yang dilakukan oleh Shaareny dalam kiraan lapan. Antara regangan yang
telah dilakukan semasa aktiviti ini adalah regangan kepala, tangan, pinggang dan kaki.
Murid-murid mengikut setiap pergerakan sambil mengira kiraan sehingga lapan dengan
kuat.
Seterusnya, menerusi perkembangan dalam pengajaran makro ini, aktiviti yang
pertama adalah berlari anak dan bertukar arah mengikut zig zag. Murid-murid dikehendaki
untuk berlari anak ke hadapan dengan bertukar arah mengikut kon yang telah disediakan
mengikut zigzag. Setelah sampai di kon hujung yang terakhir, murid dikehendaki untuk
melakukan pusingan patah balik juga berlari anak bertukar arah mengikut zigzag kon yang
telah disediakan.

Bagi aktiviti kedua dalam set perkembangan, Shaareny telah melakukan aktiviti See
and Run bersama murid-murid. Menerusi aktiviti pertama ini, murid-murid berada dalam
keadaan bersedia iaitu berbaris dalam dua barisan panjang. Murid-murid dikehendaki berlari
anak menggunakan bebola kaki dalam satu barisan ke hadapan. Dalam pada masa yang
sama, murid harus peka dengan arahan suara Shaareny untuk berlari dan bergerak
menukar ke arah yang telah diberikan oleh Shaareny dengan pantas. Aktiviti ini telah
dijalankan selama empat minit.
Aktiviti yang ketiga dalam pengajaran makro bagi murid Tahun 5 ini seterusnya
diambil oleh saya sendiri iaitu Nurhanis binti Zamshah selama empat minit. Menerusi aktiviti
ini, murid-murid ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan lelaki dan
perempuan. Pelajar pertama berada di kon yang pertama sebagai tanda bersedia. Pelajar
dikehendaki berlari anak ke arah kon tengah dan menyentuh kon tersebut. Seterusya,
pelajar berlari dari kon tengah ke kon kedua dan menyentuh kon tersebut dan berlari semula
ke arah kon tengah dan menyentuh kon tersebut. Langkah ketiga hingga langkah kelima ini
dulang oleh murid-murid sehingga sehingga semua kon selesai. Menerusi aktiviti ini, muridmurid dilihat dapat menguasai kemahiran ketangkasan.
Seterusnya, sesi pengajaran makro telah diteruskan lagi dengan aktiviti kemuncak
pula. Aktiviti ini diberikan nama Catch My Tail. Menerusi aktiviti ini pelajar telah dibahagikan
kepada dua kumpulan iaitu lelaki dan perempuan. Setiap pelajar telah diberikan dengan tiga
reben berwarna dan perlu diletakkan di bahagian belakang badan pelajar. Para pelajar
dikehendaki untuk mencabut reben yang ada di bahagian belakang rakan-rakan sebanyak
yang mungkin. Dan dalam pada masa yang sama, para pelajar dikehendaki untuk menjaga
reben di belakang badan masing-masing agar tidak dicabut oeleh rakan yang lain. Pelajar
yang berjaya mempertahankan reben masing-masing dan berjaya mengumpul reben dari
belakang badan rakan yang paling banyak dikira sebagai pemenang. Menerusi aktiviti ini,
jelas dapat dilihat menerusi wajah air muka para pelajar bahawa mereka sangat teruja dan
seronok melakukan aktiviti permainan kecil yang dilakukan selama 10 minit ini.
Bagi aktiviti penutup pengajaran makro ini, saya telah melakukan aktiviti
menyejukkan badan bersama murid-murid. Regangan yang dilakukan adalah regangan kaki,
pinggang, tangan dan kepala. Semasa melakukan aktiviti regangan ini, murid-murid
dikehendaki menyanyikan lagu Kalau Rasa Gembira sebagai kiraan bagi setiap regangan.
Murid-murid telah melakukannya serta bernyanyi dengan baik. Setelah itu, sesi soal jawab
telah diadakan bersama murid-murid. Soalan yang dikemukakan adalah Apakah nama otot
yang telah digunakan semasa aktiviti dilakukan dan sedikit penerangan mengenai aktiviti

ketangkasan. Kelas pengajaran makro ini telah tamat pada pukul 8.45 pagi mengikut jadual
yag telah ditetapkan.
Menerusi pengajaran makro yang telah dilakukan ini, saya dan Shaareny telah dapat
melihat beberapa kelebihan dan kekurangan yang data dijadikan sebagai pengajaran
kepada kami untuk melakukan penambahbaikan apabila menjadi guru kelak. Antara
kelabihan yang dapat dilihat semasa pengajaran makro dilakukan adalah murid berasa
seronok dan teruja dengan aktiviti yang disediakan. Contohnya seperti menerusi aktiviti
Catch My Tail, murid-murid bermain dengan

bersungguh-sungguh. Jelaslah di sini

menunjukkan bahawa dalam sesuatu sesi pengajaran itu, guru sememangnya harus
menyediakan murid-murid dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan serta sesuai dengan
taraf umur para pelajar agar dapat menarik minat dan semangat para pelajar untuk belajar
Pendidikan Jasmani.
Seterusnya, kelebihan yang dapat saya lihat adalah menerusi arahan yang diberikan
untuk melakukan aktiviti. Murid-murid dapat melakukan aktiviti dengan baik sekiranya guru
dapat memberikan arahan dengan jelas. Contohnya seperti menerusi aktiviti yang pertama,
murid-murid dapat melakukan aktiviti berlari anak menukar arah mengikut zig zag dengan
baik kerana murid-murid jelas dengan arahan yang telah diberikan oleh Shaareny. Arahan
yang jelas dan baik sangat mempengaruhi kelancaran sesi pengajaran dan pembelajaran.
Antara kekurangan yang dapat dilihat semasa sesi pengajaran makro dijalankan
adalah mengenai kelantangan suara. Hal ini adalah kerana sesi pengajaran yang dijalankan
ini adalah di padang sekolah. Oleh itu, kelantangan suara guru seharusnya kuat dan jelas
agar semua murid dapat mendengar arahan dan penerangan dengan jelas. Di samping itu
juga, kekurangan yang dapat dilihat semasa sesi pengajaran makro ini adalah dari segi
penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran. Sebagai seorang guru Pendidikan Jasmani,
penerapan nilai-nilai murni ini adalah sangat penting dalam pengajaran. Nilai-nilai murni ini
perlu dinyatakan dan diberitahu kepada murid-murid semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran.
Cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan adalah dari segi kelantangan
suara. Suara seorang guru seharusnya jelas, kuat dan lantang dalam penyampaian
maklumat serta arahan yang diberikan. Sebagai seorang bakal guru, saya seharusnya
mempraktikkan untuk menggunakan suara dengan lebih kuat agar murid-murid lebih fokus
dalam menerima arahan yang disampaikan. Selain itu, aktiviti yang dilakukan semasa sesi
pengajaran juga seharusnya bersesuaian dengan tajuk pembelajaran yang dipilih.