Anda di halaman 1dari 4

Peranan keluarga

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan


universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor
pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan
setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan
amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk
mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan
berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan
melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu
bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya ,
apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah
anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti tugas dan peranan
yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar
ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah
terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan


pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang
sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa
melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan
bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil
lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada
terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu
anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan
dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan
ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang
ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial.
Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan
agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh
, jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak
mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong
dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang
secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.

Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri
teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah
yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung
memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih

dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang
lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat
dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke
mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli
keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang
terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga
yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa
kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara
menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas
jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah
keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi
suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan
mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang
dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak
anak-anak. Anak anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang
baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng
arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan
peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling
bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang
bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh
kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh
agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu
bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan
Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah
bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga
tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak
supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima
bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam
melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar
dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan
terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga
sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama
dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga
yang bersatu-padu dan saling menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup
sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual
tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak
perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok

pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar
supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di
rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang
sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu
menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak
dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam
berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana
akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong
dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan
sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal
ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh.
Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan
sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana
dan bertanggungjawab .

Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri
anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal
ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak
mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan
anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap
masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka
mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar
memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian
kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi
akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng
arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti
perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa
boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena ,
berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa
anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar
rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah
pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa
perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat
melahirkan anak yang berperibadi mulia .
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa
ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah
anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa
perlulah menyedari akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak
menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri
mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana
pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu

sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anakanak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana
mereka merupakan role model bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga
merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan
bersahsiah mulia. Rumahku, Syurgaku