Anda di halaman 1dari 1

Gotong-royong

Mengikut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud tolong-menolong atau kerja


bersama-sama. Aktiviti gotong-royong masih banyak dilakukan di kampung-kampung
dan kurang dilakukan di bandar pada masa ini. Pada pendapat saya, aktiviti gotongroyong ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat di negara kita. Terdapat
beberapa kebaikan amalan gotong-royong jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja yang kita
lakukan. Dengan membuat kerja secara gotong-royong, kerja yang kita lakukan akan
lebih senang. Di kampung, majlis yang diadakan biasanya dibuat secara gotong-royong
seperti majlis perkahwinan. Dalam sesuatu majlis yang diadakan itu,, penduduk
kampung akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak dan mendirikan
khemah. Selain itu, amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara
gotong-royong. Contohnya, gotong-royong dalam membersihkan kawasan balai raya
atau sekolah. Apabila kerja yang kita lakukan cepat siap, secara tidak langsung kita
dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Dalam
sesetengah keadaan, kita boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga lima puluh peratus.
Sebagai contoh, jika sesebuah majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong, kita
tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan. Selain itu, kita juga
boleh menjimatkan perbelanjaan membina tempat menunggu bas, jika dibuat secara
gotong-royong.
Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam
kehidupan kita. Amalan nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan sebuah
masyarakat yang bertanggungjawab. Antara nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam
aktiviti gotong-royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan kerajinan. Selain itu,
amalan bergotong-royong juga dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam
masyarakat.
Aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum.
Perpaduan kaum amat penting di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotong-royong bagi
menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan
terjalin secara langsung atau secara tidak langsung. Sesungguhnya, dengan wujudnya
perpaduan kaum di kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju.
Sebagai kesimpulan, aktiviti gotong-royong mempunyai beberapa faedah kepada
masyarakat dan negara. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu Maufakat
Membawa Berkat. Pada pendapat saya, pihak kerajaan boleh juga memupuk amalan
gotong-royong melalui kempen yang diadakan di televisyen dan surat khabar secara
berterusan. Aktiviti gotong-royong ini wajar diamalkan semula. Oleh itu, semua pihak
mestilah memainkan peranan dengan mengamalkan budaya hidup bergotong-royong ini
dalam kehidupan seharian.