Anda di halaman 1dari 8

Global Village Bukanlah Globalisasi

Noel Kashf
PPBKKM, Universiti Kebangsaan Malaysia
Emel: noelkashf_ukm@yahoo.com

Pengenalan
Sejak sekian lama ramai orang mempunyai tanggapan yang silap kerana beranggapan
globalisasi adalah sama dengan “Perkampungan Sejagat” (Global Village). Kesilapan
tanggapan ini bukan sahaja di kalangan pelajar atau orang biasa tetapi juga di kalangan
golongan cerdik pandai di universiti termasuk profesor yang terkenal. Ini telah
menimbulkan kekeliruan.1
Tulisan ini berusaha memperbetulkan kekeliruan tersebut. Perbezaan pengertian
ini akan dijelaskan secara persis.
Ungkapan “Perkampungan Sejagat” (Global Village) dicetuskan oleh Marshall
McLuhan pada tahun 1960.2 ‘Perkampungan Sejagat’ berkait dengan kemajuan rangkaian
media massa dan kesan-kesannya ke atas manusia sejagat. Media massa itu meliputi
penyiaran (tv, radio, telekomunikasi) dan percetakan (akhbar dan majalah). Konsep ini
tidak termasuk ICT (Teknologi Maklumat Komputer) seperti yang berlaku selepas
pertengahan dekad 1980-an.
Sebagai satu konsep, “Perkampungan Sejagat” bermaksud keadaan manusia
sejagat telah terjaring oleh rangkaian media massa sehingga dirasakan dunia ini hanya
sebuah tempat tinggal atau sebuah kampung. Misalnya, peristiwa yang berlaku beribu-
ribu kilometer dapat diketahui dengan serta merta, seolah-olah ia berlaku dalam sebuah
kampung yang sama. Jaringan media massa dan kesedaran seperti inilah yang dinamakan
‘Perkampungan Sejagat.’

1
Mohamed Anwar Omar Din (ed.) Dinamika Bangsa Melayu Menonggah Arus
Globalisasi. Bangi: Penerbit UKM.
2
Sila lihat Marshall McLuhan. 1964. The Printed Word: Architect of Nationalism. Dalam
Understanding Media. Mentor/Penguin.
Walau bagaimanapun, konsep ‘Perkampungan Sejagat’ itu berbeza daripada
konsep globalisasi. Konsep globalisasi akan jelaskan kemudian. Di sini akan dijelaskan
konsep “Perkampungan Sejagat” terlebih dahulu.
Pada asasnya, “Perkampungan Sejagat” adalah salah satu proses Internasionalisasi
yang berkembang daripada Modenisasi. Harus diingatkan bahawa dekad 1960-an adalah
Zaman Keemasan Modenisasi. Ada empat ciri kenapa konsep ‘Perkampungan Sejagat’
tidak dapat disamakan dengan globalisasi:
1. Ia berkembang dalam kerangka modenisasi iaitu berasaskan satu struktur
yang mempunyai dua paksi. ‘Pusat’nya terletak di negara-negara Barat.
Misalnya, bidang penyiaran antarabangsa dikuasai oleh CNN, SNBC dan
BBC. Bidang majalah dan akhbar dikuasai antarabangsa dikuasai oleh
Times, Far Economic Eastern Review, Asia Magazine, Asia Week dan
sebagainya.
2. Perhubungannya tidak bersifat interaktif, sebaliknya bersifat ‘satu hala.’
Walaupun ia mempunyai jaringan ke global dan berita dan maklumat
disebarkan ke seluruh dunia namun berita dan namun ia hanya datang dari
pihak setesen penyiaran atau syarikat penerbitan.
3. Perisiannya (berita dan maklumat) dikawal terutamanya pihak-pihak yang
berada di bilik editor. Editorlah yang menentukan berita dan maklumat apa
yang akan disiar atau diterbitkan.
4. Khalayak tempatan tidak memain peranan selain menjadi ‘khalayak yang
pasif’ yakni hanya menerima berita dan maklumat dari syarikat berkenaan.

Jelas bahawa apa yang dikatakan ‘Perkampungan Sejagat’ itu lebih cocok
disebut “Perkampungan Ciptaan Editor di paksi pusat.” Ini kerana jelas sekali walaupun
konsep “Perkampungan Sejagat” menjelaskan berlakunya penyebaran serta merata di
tempat beribu-ribu kilometer―seolah-olah ia berlaku dalam sebuah kampung yang
sama―namun penyebaran maklumat tersebut dikawal oleh editor dalam bilik berita
Barat. Masyarakat lain, terutamanya di Negara-Negara Sedang Membangun hanyalah
menjadi khalayak yang pasif, iaitu hanya menjadi bahan berita dan penerima apa yang
disiarkan oleh pihak Barat; hampir tidak memain peranan sama sekali.
Keadaan ini berbeza dalam globalisasi. Perbezaan yang paling nampak ialah:
1) Dalam globalisasi sesiapa saja boleh menyebarkan berita ke seluruh dunia. Ini
sekali gus menunjukkan dalam globalisasi sesiapa saja boleh menjadi editor,
dan tidak berpusat di Barat mahupun di Timur. Seorang yang berada di
sebuah kampung terpencil beliau menjadi editor asalkan mempunyai
rangkaian internet.
Contoh lain dapat dilihat pada Ensikopedia Wikipedia. Ensikopedia ini
membenarkan sesiapa saja dan dalam bahasa apa sekali pun untuk
memasukkan tulisan. Di samping itu, salam mana-mana laman Esikopedia
tersebut terdapat ruang untuk sesiapa saja mengedit apa yang telah dibuat oleh
penulis lain. Ini juga menunjukkan dalam globalisasi berlaku perhubungan
secara interaktif, bukannya bersifat ‘satu hala’ seperti dalam Perkampungan
Sejagat. Jaringan globalisasi ke seluruh dunia tidak dikawal oleh mana-mana
editor atau mana-mana bilik berita.
2) Satu lagi perbezaan “Perkampungan Sejagat” daripada globalisasi ialah
konsep “erkampungan Sejagat” hanya berkait dengan media massa.
Sebaliknya, globalisasi berkait dengan pelbagai aspek kehidupan meliputi
ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Konsep Globalisasi

Di mana-mana pun pengucapan globalisasi adalah satu fenomena baharu tetapi agak
cepat merebak.3 Perkataan ini muncul sebagai satu istilah dengan konsep tersendiri hanya
pada tahun 1985, dan agak menarik ialah walaupun pada hari ini istilah tersebut lebih
banyak digunakan dalam bidang komuniti dan arena ekonomi dan politik namun
konsepnya adalah digagaskan oleh seorang ahli sosiologi-agama bernama Roland
Robertson (Waters 1995: 2-3). Berasaskan semakan perpustakaan yang telah
3
Di dunia Barat perkataan ‘global’ telah lama dipakai, dapat dikesan sejak tahun 1676 (lihat dalam Merriam
Webster's Collegiate Dictionary, 1996: 496). Dalam kamus lama bahasa Inggeris ia bermaksud spherical (Ibid.);
dirujuk sebagai satu kata sifat, dan sekiranya dialih bahasa ke bahasa Melayu ia bermaksud ‘bersifat spera.’ Pada
awal 1960-an timbul ungkapan ‘global village’ (perkampungan sejagat) yang digagaskan oleh Marshall MacLuham
(1960 dan 1964). Walau bagaimanapun, ungkapan ini tidaklah menjelaskan konsep globalisasi dalam pengertian yang
sebenar kerana intinya adalah modenisasi (Waters 1995: 2).
dilakukannya, Waters (1995: 3) mengisytiharkan: “The key figure in the formation and
specification of the concept of globalization is Robertson.” Penggagasan konsep ini
terjadi apabila Robertson menerbitkan sebuah makalah berjudul ‘‘The Relativization of
Societies: Modern Religion and Globalization” (1985 dalam T. Robbins, W. Shepherd
and J. McBride (eds.), Cult, Culture and the Law, Chicago: Scholars).
Menurut Robertson (1985: 8) “Sebagai satu konsep globalisasi merujuk dua
perkara iaitu ‘pemampatan dunia’ dan ‘intensifikasi’ kesedaran manusia tentang dunia
sebagai satu keseluruhan” — Globalization as a concept refers both to the compression
of the world and the intensification of consciousness of the world as a whole.
Sejak terbitnya tulisan Roberton itu, pemakaian istilah globalisasi berkembang
dengan begitu cepat dalam pelbagai bidang, meliputi arena ekonomi, politik, teknologi
maklumat perkomputeran internet (ICT), sosial, kebudayaan, perhubungan antarabangsa,
ketenteraan, jenayah, wabak penyakit, alam sekitar dan lain-lainya. Berasaskan lebih
daripada 100 bahan tulisan yang telah disemak, antara definisi-definisi globalisasi dalam
arena sosiobudaya, ekonomi dan politik adalah seperti berikut.
Dalam arena sosiobudaya, menurut Waters (1995: 3) “Globalisasi adalah satu
proses sosial yang mana kekangan geografi ke atas hal-ehwal kemasyarakatan dan
budaya menyurut dan manusia semakin sedar bahawa kekangan tersebut semakin surut”
— Globalization is a social process in which the constraints of geography on social and
cultural arrangement recede and in which people become increasingly aware that they
are receding.
Dalam arena ekonomi, menurut Tonelson (1997: 353) “Globalisasi adalah
keadaan semakin meningkatnya integrasi pasaran antarabangsa yang dibawa oleh
kepesatan pengaliran barangan, perkhidmatan, modal, maklumat dan ada kalanya
manusia di serata dunia” — Globalization is the increasing integration of international
markets being brought about by rapidly expanding worldwide flows of goods, services,
capital, information, and sometimes people. Menurut Keller dan Pauly (1997: 371)
“Globalisasi adalah keadaan di mana modal dan teknologi yang berada di bawah kawalan
syarikat-syarikat multinasional mengalir dengan bebas melintasi sempadan-sempadan
negara” — Globalization is that both capital and technology harnessed by multinationals
are flowing more freely across national borders.
Dalam arena politik, menurut McGrew (1992: 23) “Globalisasi merujuk
kepelbagaian rangkaian dan saling-berhubungan antara negara-negara dan masyarakat-
masyarakat yang membina sistem dunia moden” — Globalization refers to the
multiplicity of linkages and interconnections between the states and societies which make
up the modern world system. Menurut Mittelman (1994: 7) “Globalisasi adalah satu
transformasi sejarah yang mengembang dan memperderaskan interaksi merentasi masa
dan ruang dengan implikasi mendalam daripada segi perhubungan pertukaran kuasa, di
samping menambah daya keupayaan komuniti untuk menentukan nasib sendiri” —
Globalization means a historical transformation, extending and accelerating interactions
across time and space, with profound implications in terms of changing power relations,
as well as for the capacity of a community to determine its own fate.
Demikianlah antara definisi-definisi globalisasi dalam arena-arena yang dilihat dari
pelbagai perspektif. Pemaparan di atas memberi gambaran bahawa globalisasi tidak
hanya berkait dengan ekonomi semata-mata, tetapi juga melibatkan juga arena sosial,
kebudayaan dan politik. Selain itu, konsep globalisasi melampaui pandangan umum yang
hanya mengaitkannya dengan “teknologi maklumat perkomputeran internet (ICT)” atau
konsep “perkampungan sejagat” dan “dunia tanpa sempadan.”



Saya menghujah sembilan pengaruh yang menjadi penggerak (driving) globalisasi iaitu:
(1) meningkatnya kekayaan sejagat selepas berlakunya an enlargement of modernity,
from society to the world, (2) kurangnya halangan dasar perdagangan antarabangsa, (3)
keruntuhan komunisme, (4) meningkatnya kegiatan dan berlakunya revolusi dalam
bidang komunikasi iaitu kemajuan pesat pengangkutan dan perhubungan ICT yang
bersifat interaktif, (5) penstrukturan semula syarikat-syarikat perdagangan Transnational
Corporations (TNC) pada pertengahan 1980-an selepas Pentadbiran Ronald Reagan,
Pentadbiran Margaret Thatcher dan negara-negara lain termasuk Jepun, Korea Seltan,
Malaysia, menjalankan Dasar Neo-Liberalisasi (melalui Liberalisasi, Deregularisasi dan
Penswastaan), (7) pengglobalan pasaran kewangan, (8) kesatuan budaya (cultural
convergence) berasaskan kumpulan etnik, agama dan perabadan, dan (9) meningkatnya
penghargaan terhadap sesuatu yang berjenama di serata dunia.
Globalisasi adalah akumulasi pelbagai perubahan (accumulative changes) yang
telah berlaku sejak berlakunya Modenisasi, Internasionalisasi dan Kolonialisasi sebelum
ke-19 lagi. Walau bagaimanapun, globalisasi muncul sebagai satu fenomena yang
mempunyai ciri-ciri tersendiri adalah pada pertengahan 1980-an. Menurut Mitchell
(1992) dan Tonelson (1997) faktor serta merta yang mendorong kemunculan globalisasi
adalah bermula oleh tindakan Kongres Amerika Syarikat di bawah Pentadbiran Presiden
Reagen menjalankan Dasar Neo-Liberalisasi. Tujuan Kongres tersebut adalah untuk
mengelakkan berlaku kemelesetan ekonomi di dalam negara Amerika Syarikat kerana
berlaku berlebihan pelaburan dan penawaran di dalam negara tersebut. Sekiranya tidak
dijalankan apa-apa tindakan mungkin negara tersebut akan mengulangi Kemelesetan
Besar yang pernah berlaku pada tahun-tahun 1930-an. Dasar Neo-Liberalisasi itu
dijalankan melalui Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan. Tindakan ini telah
membolehkan syarikat-syarikat besar Amerika Syarikat, seperti Motorola, IBM,
Microsoft, KFC, MacDonald’s, Coca Cola, City Bank, Visa Card, MasterCard,
Disneylands, melabur lebih banyak ke luar negaranya. Pada masa tersebut berlaku
perlumbaan secara besar-besaran di kalangan syarikat korporat multinasional (MNC) dan
transnasional (TNC) milik Amerika Syarikat dalam kegiatan Internasionalisasi di seluruh
dunia.
Langkah yang dijalankan oleh Pentadbiran Presiden Reagen itu diikuti oleh
negara-negara lain termasuk Pentadbiran Margaret Thatcher di United Kingdom,
Argentina, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia. Pada masa tersebutlah pemerintah
Malaysia menjalankan Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan.
Jelasnya, pada masa Pentadbiran Presiden Reagen, Pentadbiran Margaret
Thatcher dan negara-negara lain melakukan globalisasi, kerajaan Malaysia turut
melakukannya iaitu yakni mengadakan Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan
dengan menuruti model Pentadbiran Reagan di Amerika Syarikat dan Margaret Thatcher
di United Kingdom itu.
Catatan yang sama dibuat oleh Anuwar Ali (1995: 29-30) dan Ishak Shari (1998:
48). Mereka menyatakan pengenalan globalisasi ke dalam ekonomi di Malaysia adalah
tindakan yang diasaskan kepada Pemikiran Neo-Liberal yang dilakukan melalui
penggubalan Akta Penggalakan Pelaburan 1986 yang membawa unsur-unsur
Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan. Misalnya, Ishak Shari (1998: 48)
mencatatkan:

Pemikiran Neo-liberal inilah yang telah diterima oleh pemerintah di Malaysia


sejak pertengahan 1980-an, yang membawa kepada perubahan radikal kepada
teras dasar pembangunan negara dengan pengenalan dan pengukuhan dasar
Liberalisasi, Deregulasi dan Penswastaan dan seterusnya menjadikan sektor
swasta sebagai sebahagian enjin utama pertumbuhan ekonomi negara selepas.

Anuwar Ali (1995: 22) pula mencatatkan: “Kemampuan negara mengambil


bahagian dalam perdagangan antarabangsa makin mencabar selama dua dekad yang
lepas, lebih-lebih lagi semenjak pertengahan 1980-an, apabila ekonomi terbuka ini
dihubungkan dengan globalisasi ekonomi dunia.”

Kesimpulan
Demikianlah secara ringkas penjelasan tentang perbezaan antara konsep Perkampungan
Sejagat daripada globalisasi. Perkampungan Sejagat hanya terbatas hanya dalam hal-
ehwal komukasi. Di samping itu, dalam hal-ehwal komukasi sekali pun ia adalah
terbatas. Sebaliknya, globalisasi membawa pengertian yang lebih luas daripada itu.

Rujukan
Mohamed Anwar Omar Din (ed.) Dinamika Bangsa Melayu Menonggah Arus Globalisasi.
Bangi: Penerbit UKM.

McLuhan, Marshall. 1964. The Printed Word: Architect of Nationalism. Dalam


Understanding Media. Mentor/Penguin.

Robertson. R. 1985. “The Relativization of Societies: Modern Religion and


Globalization.” Dalam T. Robbins, W. Shepherd and J. McBride (eds.), Cult,
Culture and the Law, Chicago: Scholars.
Anuwar Ali. 1995. Globalisasi pembangunan industri dan peranan pemerintah
di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ishak Shaari. 1999. Bumi semua manusia: menangani ketidaksetaraan ekonomi
dalam arus globalisasi. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Keller, W. W. and L.W. Pauly. 1997, Globalization at bay. Current History,
November. McGrew, A. 1992. Global Politics. Cambridge: Polity
Press.
Merriam Webster's Collegiate Dictionary, 1996
Mitchell, J. 1992. The Nature and Government of Global Economy. Dalam A.
McGrew, P.G. Lewis et.al (eds.). Global Politics. Cambridge: Polity
Press.
Mittelman, J. H. 1994. The globalization challenge: surviving at the margin.
Third World Quarterly, 15 (3).
Robertson, R. 1992. Globalization Social Theory and Global Culture. London:
Sage.
Rosenau, J. 1990. Turbulence in World Politics: A Theory of Change and
Continuity. Princeton: New Jersey: Princeton University Press.
Strange, S. 1997. The erosion of the state. Current History. November.
Tonelson, A. 1997. Globalization: the great American non-debate. Current
History, November. Waters, M. 1996. Globalization: Key Ideas.
London and New York: Routledge.

Anda mungkin juga menyukai