Anda di halaman 1dari 2

Negara maju hendaklah membantu negara yang miskin dalam dunia moden hari ini.

Bincangkan kenyataan ini.


Dalam era globalisasi ini, semakin banyak negara yang sedang melalui pembangunan
yang pesat. Namun demikian, masih wujud negara yang miskin akibat daripada
kekurangan sumber bahan mentah dan juga pemimpin yang berkaliber. Negara miskin
ini harus dibantu oleh negara yang maju kerana negara maju lebih berkemampuan
untuk memajukan negara yang serba kekurangan ini. Usaha-usaha yang drastik harus
diambil untuk menukar nasib mereka dan membantu mereka untuk membangun dan
seterusnya mencapai kemajuan yang pesat.
Pertama sekali, negara maju harus membantu negara miskin untuk mewujudkan
kestabilan serantau dengan mengamalkan konsep memakmurkan jiran. Hal ini
berlaku demikian kerana kemiskinan merupakan ibu kepada semua masalah. Kemelut
yang berlaku di negara jiran mampu mencetuskan pertikaian antara negara kerana
wujudnya pemimpin yang bersikap menangguk ikan di air yang keruh atau
memasang lukah di pergentingan. Sebagai contohnya, pertikaian di selatan Thailand
akibat masalah kemiskinan yang sudah berakar umbi turut menjejaskan ekonomi
Malaysia. Hal ini jika dibiarkan akan memudaratkan negara kita pada masa akan
datang.
Negara maju juga perlu membantu negara miskin yang sering mengalami masalah
kebuluran. Apabila mereka mengalami masalah ini, mereka menghadapi masalah
untuk mendapatkan makanan yang berzat. Oleh hal yang demikian, mereka akan
menghadapi masalah kesihatan. Sebagai contohnya, negara Somalia di Afrika sudah
bertahun-tahun dibelenggu kemiskinan. Jadi, negara maju seperti Amerika Syarikat
dan Britain wajar membantu negara seperti ini supaya mereka dapat menikmati
kehidupan yang ceria dan seterusnya membangunkan negara mereka semula.
Selain itu, negara maju mesti membantu negara miskin untuk mengawal kebanjiran
pendatang asing tanpa izin. Manusia perlu melakukan kerja untuk mengisi perut. Oleh
itu, risiko rakyat negara miskin memasuki negara lain secara tidak sah amat tinggi.
Sebagai contohnya, penduduk Haiti, Mexico telah mencerobohi Amerika Syarikat
kerana dibelenggu kemiskinan di negara asal. Hal ini sudah tentu akan menyusahkan
negara jiran atau negara yang menjadi destinasi mereka. Kebanyakan negara yang
dibanjiri pendatang asing sering mengalami peningkatan masalah sosial seperti gejala
jenayah dan juga mengancam keselamatan negara.
Di samping itu, bantuan harus diberikan kepada negara miskin untuk mewujudkan
keadilan dalam dunia. Setiap manusia mempunyai hak untuk hidup sempurna di
negara sendiri. Tanpa bantuan, negara miskin atau kerdil ini tidak akan dapat
membangun dan membantu rakyatnya. Mereka perlu dibantu kerana berat mata
memandang berat lagi bahu memikulnya. Usaha ini perlu dilakukan supaya wujud

keseimbangan agar dapat mengekang pelbagai bencana atau ditindas oleh negara lain.
Sebagai contohnya, negara kaya mestilah membantu untuk mendirikan negara
Palestin yang haknya telah dirampas oleh Israil dan rakyatnya ditindas dan tanahnya
dirampas oleh kerajaan Israil. Melalui cara ini, keadilan dapat ditegakkan.
Bukan itu sahaja, negara miskin juga berpotensi untuk maju jika dibantu oleh negara
maju. Kelebihan negara miskin adalah dari segi bilangan penduduknya yang banyak.
Selain itu, negara miskin mempunyai kawasan yang luas untuk menjalankan aktiviti
ekonomi. Oleh hal yang demikian, jika kelebihan tersebut dieksploitasi dengan cekap
dan betul, pelbagai aktiviti ekonomi dapat dijalankan. Sebagai contohnya, negara
maju hendaklah melabur atau mendirikan kilang di negara miskin untuk mewujudkan
peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Melalui cara ini, negara maju dapat mengatasi
masalah pengangguran di negara yang berkenaan.
Seterusnya, ekonomi global dapat diperkukuh dengan menghulurkan bantuan kepada
negara miskin. Negara miskin dapat diberikan bantuan teknologi supaya menjadi
tumpuan pelabur asing. Di samping itu, setiap negara harus bekerjasama untuk
meningkatkan produktiviti masing-masing. Namun demikian, kemiskinan menjadi
batu penghalang kepada kerjasama disebabkan pelbagai halangan dari segi budaya
dan pemikiran. Sebagai contohnya, negara maju mestilah bekerjasama untuk
menghulurkan bantuan dari masa ke masa terutamanya dalam bentuk bantuan modal
dan teknologi supaya negara yang berkenaan dapat menjalankan pembangunan di
negara mereka. Melalui usaha ini, negara yang berkenaan akan mampu berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah dengan negara yang lain.
Kesimpulannya, negara miskin memerlukan bantuan daripada semua aspek dan
bantuan ini haruslah dihulurkan kepada mereka oleh negara yang maju. Negara maju
tidak harus bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masingmasing dan perlu menunjukkan keprihatinan mereka terhadap pembangunan negara
miskin. Kita sebagai manusia haruslah saling membantu ibarat aur dengan tebing.
Kita tidak patut membiarkan kekurangan yang terdapat di sesebuah negara mereka
begitu sahaja kerana hari ini hari mereka, hari kita akan tiba juga tetapi harus
berusaha untuk membantunya. Tegasnya, dunia tidak akan menghadapi sebarang
masalah jika semua negara maju di dunia mempunyai pemikiran yang bercirikan
global.

Anda mungkin juga menyukai