Anda di halaman 1dari 2

Harga petrol yang meningkat di seluruh dunia telah menyebabkan

kenaikan harga bahan bakar tersebut tidak dapat dielakkan dan turut
meningkat di negara kita. Kenaikan tersebut telah menyebabkan kenaikan
semua harga barang di pasaran. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan
telah memainkan peranan dengan mengambil langkah yang perlu dan
meningkatkan usaha untuk mengawal kenaikan harga barang itu agar
berpatutan dan tidak terlalu tinggi. Hasilnya kenaikan harga barangan lain
masih boleh dikawal dan kenaikan tersebut masih boleh diterima oleh
anggota masyarakat. Untuk menghadapi masalah ini juga, semua pihak
perlulah berganding bahu dalam mengekang kenaikan harga barang yang
melampau dan bekerjasama dengan kerajaan untuk mengawal kadar
inflasi yang semakin meningkat, seperti kata pepatah "Yang berat sama
dipikul, yang ringan sama dijinjing".
Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua orang,
antaranya ialah masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan yang
berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini demikian kerana, kuasa
beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi
semakin berkurangan. Sebagai contohnya, barang-barang keperluan
dapur semakin meningkat dan dianggarkan meningkat dalam lingkungan
20 hingga 50 peratus daripada harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah
tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan
mereka sebelum ini cuma cukup makan sahaja. Oleh hal yang demikian,
anggota masyarakat perlulah berbelanja dengan bijak dan mengurangkan
perbelanjaan yang tidak perlu keranaberingat sebelum kena dan berjimat
sebelum habis.
Kesan lain yang akan menjejaskan pengguna akibat kenaikan harga
barang ialah kadar inflasi akan meningkat di negara kita. Apabila kadar
inflasi meningkat. sudah tentu ekonomi kita akan menghadapi masalah
untuk berkembang dan seterusnya pertumbuhan ekonomi akan lembab.
Sebagai contohnya sebelum bulan Jun 2008 kadar inflasi di negara kita
masih berada di bawah paras 3 peratus, tetapi apabila harga petroleum
meningkat pada bulan Jun, kadar inflasi juga meningkat hingga melebihi 7
peratus. Oleh itu, kesan inflasi ini sudah tentu akan menimbulkan masalah
kepada semua golongan masyarakat. Jadi, semua pihak perlulah
menjimatkan perbelanjaan seharian bagi mengelakkan masalah inflasi
daripada terus mencengkam masyarakat.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan
anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Langkah
tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat
dalam kalangan pengguna. Hal ini demikian kerana, melalui kempen,
mesej kerajaan untuk menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat
akan mendatangkan hasil. Kempen tersebut boleh dijalankan melalui
media massa arus perdana seperti televisyen, radio dan juga media cetak.
Kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan

kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga
barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan
pengguna.
Langkah seterusnya ialah para pengguna perlu merancang perbelanjaan
seharian dengan lebih berhemat. Hal ini akan menjadikan para pengguna
di negara kita lebih bijak semasa berbelanja iaitu membeli barang-barang
yang diperlukan sahaja. Barang-barang yang kurang diperlukan tidak perlu
dibeli atau mungkin ada barangan alternatif yang lain dan lebih murah
harganya di pasaran. Para pengguna boleh membeli barang makanan
yang dimakan setiap hari sahaja berbanding dengan makanan sampingan
yang kurang penting. Oleh itu, wang yang digunakan untuk membeli
barang-barang yang kurang diperlukan itu dapat dijimatkan dan
digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting. Perkara ini serterusnya
dapat mengurangkan masalah yang timbul akibat kenaikan harga barang
yang dihadapi oleh semua pengguna.
Anggota masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk
menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Dengan
cara ini, para pengguna tidak perlu lagi membeli sayur-sayuran di pasar
setiap hari. Sebagai contohnya, anggota masyarakat boleh menanam
sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam
pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya.
Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan
kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan
menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh
merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan
masyarakat yang harmoni.
Oleh hal yang demikian, para pengguna hendaklah menjadikan amalan
berjimat cermat sebagai budaya dalam kehidupan seharian. Oleh itu,
semua pengguna perlulah sedar akan kesan buruk akibat kenaikan harga
barang sekiranya tidak diambil endah oleh anggota masyarakat. Sekiranya
para pengguna tidak membudayakan amalan berjimat cermat, sudah
tentulah kenaikan harga barang akan menimbulkan masalah yang serius
kepada mereka sendiri. Jadi, langkah awal dan proaktif perlulah
diambil, janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah atau apabila nasi
sudah menjadi bubur baru hendak bertindak. Sekiranya langkah proaktif
tersebut diamalkan sudah tentu masalah kenaikan harga barang yang
hangat diperkatakan pada masa ini akan dapat ditangani dengan
berkesan.