Anda di halaman 1dari 12

Pengenalan

Protes merupakan satu manifestasi terhadap perasaan tidak berpuas hati atau rasa tidak setuju
dengan sesuatu usul, dasar, undang-undang, peraturan atau orientasi yang telah dilembagakan. 1
Protes dari segi tafsiran bahasa pula membawa maksud pernyataan tidak setuju dengan satu-satu
dasar (usul dll.), sanggahan atau tentangan.2 Pada umumnya protes bolehlah didefinisikan
sebagai satu bentuk bantahan yang dizahirkan daripada perasaan tidak setuju atau tidak berpuas
hati terhadap sesuatu peraturan atau ketetapan yang dicadang mahupun yang telah dilaksanakan
biasanya oleh pihak yang mempunyai kuasa dalam sesebuah komuniti. Gerakan Protes pula
adalah gerakan yang bertujuan mengubah atau menentang sejumlah kondisi sosial yang sedia ada
dalam sesebuah masyarakat. Gerakan ini adalah jenis yang paling umum daripada antara
gerakan- gerakan sosial yang pernah diwujudkan oleh individu mahupun kumpulan dalam
sesebuah masyarakat dengan berpaksikan kepada cita-cita untuk mengekalkan atau mengubah
sesuatu perkara agar ianya selaras dengan kemahuan atau kehendak pihak yang mencetuskan
gerakan tersebut.
Protes dizahirkan dengan berbagai-bagai cara dengan bentuk dan ragam yang hampir
serupa walaupun tanggapan dan tafsiran terhadapnya berbeza. Antara kaedah yang amat popular
dalam mempamerkan perasaan protes adalah dengan cara membuat aduan, tidak mengiktiraf,
menentang, memperlihatkan ketidaksediaan menerima dan mengambil tindakan balas. 3 Dalam
keadaan yang lebih ekstrim, gerakan protes boleh menjadi lebih serius dan membawa kepada
bantahan secara besar-besaran yang boleh mengakibatkan tercetusnya rusuhan serta
pemberontakan.
1

Mohd Isa Othman, Gerakan Protes Dalam Perspektif Sejarah Malaysia Pada Abad Ke-19 dan
Awal Abad Ke-20, 2000, hlm. 1.
2
Kamus Dewan Edisi Baru,1989, hlm. 985
3
Op.cit. hlm.1

Dalam sejarah sosial masyarakat Malaysia, gerakan protes dapat dikesan sejak zaman
Kesultanan Melayu Lama lagi. Keadaan ini berlaku akibat daripada corak hidup yang diamalkan
dalam struktur masyarakat Melayu tradisi pada ketika itu. Secara umumnya,struktur masyarakat
Melayu hanya terdiri daripada dua golongan atau kelas. Golongan pertama ialah kelas
pemerintah yang dikenali juga sebagai golongan aristokrat dan golongan yang kedua adalah
golongan yang diperintah iaitu rakyat biasa.4 Jurang pemisah antara kedua-dua golongan ini amat
jelas ketara, sehingga rakyat atau golongan yang diperintah dilihat hampir tiada hak mahupun
keistimewaan dalam masyarakat. Mereka dituntut dan dikerah agar mentaati golongan
pemerintah terutamanya kepada Sultan melalui konsep daulat dan derhaka yang begitu digeruni
oleh rakyat pada ketika itu. 5 Dalam keadaan ini, rakyat diperintahkan untuk mendahulukan
khidmat terhadap golongan atasan berbanding dengan kepentingan peribadi. Kesan daripada
keadaan ini, rakyat seringkali merasa tertindas apabila keadilan sosial tidak terlaksana.
Suasana sekitar pada ketika itu memang tidak menggalakkan golongan bawahan mencari
sumber pendapatan yang lebih, hanya sekadar cukup untuk menampung keperluan asas keluarga
untuk hidup. Fenomena sebegini boleh digambarkan dengan pepatah lama Kerja raja
dijunjung, kerja sendiri dikelek.6 Akibat daripada keadaan ini, perasaan protes mula berputik
dan bercambah dalam hati golongan rakyat yang sudah mula merasa kurang senang dengan
suasana yang berlaku. Tambahan lagi jika penindasan yang dilakukan oleh pihak atasan terkena
terus terhadap individu atau keluarga mereka. Walaupun konsep mendaulatkan raja serta pantang
menderhaka terhadap raja amat menebal di kalangan masyarakat Melayu tradisi, namun pada
hakikatnya masih terdapat individu dari kalangan rakyat yang berani menunjukkan tentangan
atau protes terhadap tindak-tanduk yang dilakukan oleh raja atau golongan pemerintah. Hal ini
4
5
6

Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, 2001, hlm. 55


Ibid. hlm. 57
Ibid. hlm. 58

dapat kita kesan dalam hasil karya penulisan bercorak sastera sejarah yang lebih dikenali sebagai
Hikayat-hikayat Melayu Lama.
Hikayat Melayu lama biasanya bertemakan tentang kisah pembukaan sesebuah negeri,
corak organisasi pentadbirannya serta diceritakan juga gambaran sosial budaya dan corak
politiknya.7 Penulisan hikayat sebegini kebiasaannya adalah bermatlamat untuk memberikan
sanjungan serta memperbesar-besarkan kemuliaan pemerintah dengan memasukkan unsur-unsur
mitos dan lagenda. Jelasnya penulisan sebegini dilakukan adalah dengan menjunjung perintah
Sultan bagi memartabatkan kedudukannya di mata rakyat jelata. Namun begitu karya penulisan
hikayat juga tidak lari daripada kritikan sosial yang biasanya ditujukan kepada golongan
pemerintah. Kritikan dilakukan oleh pengarang terhadap pemerintah dengan cara tidak langsung
dengan menggunakan unsur simbolis, mitos dan lagenda. Hal ini selaras dengan pemikiran
masyarakat feudal yang menyekat kritikan terbuka dan berterus-terang. 8 Kritikan secara terbuka
terhadap golongan pemerintah akan dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan. Mereka yang
menderhaka akan menerima hukuman yang setimpal tanpa belas kasihan. Penderhakaan terhadap
raja adalah kesalahan yang sangat berat dan biasanya hukuman bunuh adalah bentuk hukuman
yang bakal diterima oleh mereka yang menderhaka. Namun begitu harus juga kita lihat akan
sebab berlakunya penderhakaan tersebut. Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, tekanantekanan yang dirasai akibat daripada ketidakadilan serta kezaliman yang dilakukan oleh
golongan pemerintah adalah faktor utama berlakunya gerakan protes dalam masyarakat feudal
sebagaimana yang banyak dipaparkan dalam hikayat-hikayat lama.
Isu Protes Dalam Hikayat-Hikayat Melayu Lama

7
8

Mustafa Mohd Isa, Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih, 1999, hlm. 1
Mohd Isa Othman, Op. cit. hlm. 9

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, telah diceritakan tentang kezaliman Raja Ong
Maha Perita Deria terhadap rakyat jelata di bawah pemerintahannya. Kezaliman Raja Ong ini
berpunca daripada tabiatnya yang terlalu gemar memakan darah manusia sehingga baginda
digelar sebagai Raja Bersiung. Kekejaman Raja Bersiung pada mulanya tidak diketahui oleh para
menteri dan rakyat jelata, namun begitu setelah terlalu banyak jiwa yang menjadi korban
terhadap kekejaman Raja Bersiung, maka bermulalah episod penentangan atau gerakan protes
terhadap baginda. Tindakan protes terhadap Raja Bersiung bermula apabila Kampar yang
dianggap sebagai seorang yang jahat dan mempunyai ketinggian ilmu kebatinan telah datang
untuk menguji Raja Bersiung. Kampar yang mengetahui kezaliman Raja Brsiung sengaja
melakukan kesalahan agar ditangkap dan dibawa mengadap raja. Kebiadaban dan keceluparan
mulut Kampar terhadap Raja Bersiung jelas menunjukkan sikap protesnya terhadap raja tersebut.
Sebagaimana kata Kampar kepada Raja Bersiung;
Hai Raja Bersiung, gilakah hendak membunuh orang tiada dengan periksa,
sungguhpun memakan hati darah orang, lepaskanlah ikatan aku ini, serta aku
tiada dengan senjata ini adakah boleh aku melawan. Bunuhlah sekarang,
nescaya puaslah raja memakan hati darahku.9

Dalam norma masyarakat feudal kebiadaban yang ditunjukkan oleh Kampar terhadap
Raja Bersiong pasti sahaja dianggap sebagai satu penderhakaan yang tidak mungkin dapat
dimaafkan. Mungkin juga kerana itu penulis sejak awal pengenalan telah melabelkan Kampar
sebagai orang yang amat jahat, seperti yang diceritakan oleh penulis;
Bermula, adalah seorang orang Seri Gunung Ledang bernama Kampar

Siti Hawa Haji Salleh, Hikayat Merong Mahawangsa, 1998, hlm. 53

yang amat jahatnya.10

Tindakan Kampar yang cuba menunjukkan penentangan terhadap sikap serta kezaliman Raja
Bersiung secara terbuka tidak dapat diterima masyarakat pada ketika itu. Biarpun jelas
keburukan yang dilakukan raja, namun sebagai rakyat biasa tambahan lagi sebagai orang luar11
seperti Kampar, amatlah tidak layak untuk menentang atau menghalang segala tindak-tanduk
serta tingkah laku raja. Namun begitu, walaupun tindakan yang dilakukan oleh Kampar menemui
kegagalan, tetapi peristiwa penentangan Kampar terhadap Raja Bersiung ini telah membuka mata
para menteri akan perangai buruk serta kekejaman Raja Bersiung terhadap rakyat jelata selama
ini. Lanjutan daripada itu para menteri beserta permaisuri dean rakyat jelata mula bangun
melakukan gerakan protes terhadap Raja Bersiung.
Maka sembah menteri keempat, jika demikian juga hendak diperbuat
melainkan jadi lawanlah patik keempat ini kepada tuanku, kerana
daripada zaman datuk nenek moyang tuanku pun tiada pernah membunuh makan hati darah orang12

Penentangan secara terbuka terhadap Raja Bersiung sebagaimana yang telah diceritakan
dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa telah berlakunya
protes lisan sebelum berlakunya gerakan protes yang lebih agresif terhadap seorang pemerintah
yang dianggap zalim. Kegagalan para menteri memujuk Raja Bersiung untuk menghentikan
tabiat buruknya telah membawa kepada penentangan yang lebih hebat apabila menteri keempat
dengan sokongan padu rakyat jelata telah menyerang istana dan cuba untuk membunuh Raja

10

Ibid. hlm. 53
Kampar bukanlah rakyat di bawah pemerintahan Raja Bersiung. Ia datang dari sebuah
tempat bernama Seri Gunung Ledang.
12
Ibid. hlm. 56
11

Bersiung. Peristiwa ini juga menggambarkan bahawa rakyat sememangnya telah lama menderita
dan bersedia pada bila-bila masa untuk bangun menentang. Bagi mereka (rakyat jelata), inilah
masanya untuk menzahirkan rasa hati yang selama ini terpendam akibat dikongkong oleh norma
serta budaya masyarakat feudal pada waktu itu. Hal ini juga menggambarkan bahawa rakyat
tidak punya kuasa dan kerana tidak mahu dianggap derhaka, maka menyokong gerakan protes
yang dilakukan oleh menteri keempat adalah jalan terbaik merealisasikan impian mereka yang
mahu melihat kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah dihentikan dengan serta merta.
Dalam Hikayat Hang Tuah pula, kezaliman dan ketidakadilan Sultan juga dapat kita lihat
telah menjadi sebab kepada penentangan yang dilakukan oleh Hang Jebat. Penentangan Jebat di
dalam Hikayat Hang Tuah adalah jelas menunjukkan perasaan protes beliau terhadap Sultan yang
menjatuhkan hukuman kepada Hang Tuah tanpa usul periksa. Hang Jebat yang diangkat oleh
Sultan sebagai pengganti Hang Tuah dan diberi gelaran sebagai Paduka Raja telah mengambil
peluang untuk menentang Sultan dengan cara mengambilalih dan menguasi istana. Ia tidak
membenarkan sesiapapun masuk ke dalam istana, terutama mereka yang telah disyaki memfitnah
Hang Tuah. Dari sehari ke sehari Hang Jebat menunjukkan sikap memberontaknya, dia
bermukah dengan gundik Sultan dan akhirnya ia tinggal di istana dan tidak pulang-pulang ke
rumahnya. Melihatkan keadaan yang telah berubah itu Sultan menjadi takut lalu di atas nasihat
Tun Teja, baginda terpaksa berpindah ke rumah Bendahara.
Peristiwa penentangan Jebat terhadap Sultan ini adalah merupakan sebagai satu bentuk
penderhakaan. Tindakan berani Hang Jebat yang memprotes dan cuba menentang Sultan secara
bersendirian tidak disanjung oleh masyarakat pada ketika itu, sekalipun telah terbukti bahawa
tindakan yang dilakukan oleh Sultan terhadap Hang Tuah adalah satu kesilapan yang dilakukan
oleh baginda sendiri. Malah Hang Jebat dianggap sebagai penderhaka dan disebalik itu Hang
6

Tuah yang dibebaskan kemudiannya diangkat dan disanjung tinggi oleh masyarakat kerana
ketaatan dan kesetiaannya terhadap Sultan melebihi segala-galanya.
Selain Hang Tuah, watak Tun Berahim Bapa dalam Hikayat Raja-Raja Pasai juga
diangkat dan disanjung tinggi oleh masyarakat sebagai wira yang menumpahkan taat setia
kepada raja. Namun begitu jika ditinjau secara terpeinci, tindakan dan perbuatan Tun Berahim
Bapa terhadap ayahandanya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal dapat kita kesan akan tindakan
protes yang dilakukannya. Tindakan protes Tun Berahim Bapa terhadap ayahandanya bermula
apabila Sultan Ahmad Perumal Perumudal menaruh perasaan berahi terhadap anak daranya
sendiri , Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara. Apabila diketahui oleh Tun Berahim Bapa akan
perkara ini maka beliau telah membawa kedua-dua orang adiknya itu lari ke Tukas. Tindakannya
ini jelas bertentangan dengan kehendak Sultan dan oleh kerana itu Sultan Ahmad Perumal
Perumudal amat marah terhadap Tun Berahim Bapa. Jelas bahawa tindakan Tun Berahim Bapa
ini adalah satu bentuk protes terhadap hasrat hati ayahandanya yang ingin memperisterikan
anaknya sendiri.
Berbeza dengan watak Kampar dan Hang Jebat, walaupun tindakan Tun Berahim Bapa
dalam Hikayat Raja-Raja Pasai ini jelas telah membangkitkan kemurkaan Sultan, namun tidak
pula ia dianggap sebagai penderhaka kepada Sultan. Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh
kedudukan Tun Berahim Bapa itu sendiri sebagai putera raja dan juga pendekar yang amat gagah
dan telah banyak menabur bakti dan jasa terhadap negeri. Faktor kedua mungkin juga kerana
tindakan Tun Berahim Bapa itu sendiri yang cuba mencegah kemungkaran yang hendak
dilakukan oleh ayahandanya sendiri. Maka dapat kita katakan bahawa pengaruh serta kedudukan
dan juga bentuk tindakan seseorang watak itu akan menentukan sejauh mana penilaian dan
tanggapan masyarakat terhadap mereka. Walaupun terdapat unsur protes dalam peristiwa ini
7

namun unsur ini kurang menonjol berbanding ketaatan dan kesetiaan yang diberikan oleh Tun
Berahim Bapa kepada ayahandanya, Sultan Ahmad Perumal Perumudal.
Protes Dalam Bentuk Penulisan
Kisah Pelayaran Abdullah merupakan hasil pengembaraan Abdullah Munsyi ke negerinegeri pantai timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan pada pertengahan abad ke-19.13
Dalam Kisah Pelayaran Abdullah ini terdapat banyak kritikan yang merupakan satu bentuk
protes dalam penulisan. Abdullah dalam pengembaraan tersebut telah melihat dengan mata
beliau sendiri corak hidup serta adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di negerinegeri tersebut. Menurut pandangan beliau, terdapat banyak kelemahan serta kekurangan dalam
sistem sosial masyarakat feudal Melayu pada ketika itu. Lantaran itu dalam tulisan-tulisannya,
Abdullah banyak mengkritik terutama terhadap pemerintah yang terdiri daripada raja serta
pembesar-pembesar daerah dan tidak terkecuali rakyat jelata sendiri yang pada pandangannya
terlalu naf serta menurut sahaja setiap peraturan-peraturan yang kurang menguntungkan mereka.
Sifat sebegini nyata telah menyebabkan berlakunya kemunduran dalam masyarakat. Bagi
Abdullah akar kelemahan ini ialah masyarakat yang mundur dalam pendidikan, khususnya di
kalangan anak raja.14 Sebagaimana yang ditulis oleh beliau;
Syahdan, maka adalah dalam antara sekalian perkara itu hanya satu
perkara yang menyesakkan dalam fikiran sahaya, iaitu jalan yang teramat
jahat sebab kekurangan pelajaran anak raja-raja itu tatkala ia kecil lagi.
Bahawa inilah akar segala kelemahan Kerajaan Melayu dan sengsara atas
segala rakyatnya.15

13
14
15

Mohd Isa Othman, Op. cit. hlm. 11


Ibid. hlm. 11
Kassim Ahmad, Kisah Pelayaran Abdullah, 1981, hlm.31

Abdullah juga berpendapat bahawa kemunduran masyarakat Melayu pada ketika itu
adalah kerana tidak mahu melakukan perubahan serta tidak mahu mengambil contoh-contoh
daripada kemajuan negara-negara luar terutama budaya yang datangnya dari barat. Beliau
mengibaratkan masyarakat Melayu pada ketika itu seperti katak di bawah tempurung yang
terkongkong dengan adat dan budaya sendiri tanpa membuat perbandingan dengan kemajuan
yang dibawa oleh tamadun luar.
Maka dalam fikiran sahaya yang bodoh lagi yang tiada mempunyai ilmu ini,
jikalau kekal adat dan pekerjaan dan kelakuan yang telah tersebut itu, maka
dapat tiada lama-kelamaan kelak sunyi dan rosak juga negeri Pahang, sebab
mereka itu sekalian mengaku dirinya saja pandai. Adapun sebab fikiran itu
kerana tiada mereka itu mahu menurut adat orang,lagipun tiada ia mempunyai
ilmu, menjadi semakin hari makin bodohnya bertambah, seperti katak di bawah
tempurung, adanya; maka adalah sangka katak itu tempurung itulah langit.16

Satu perkara lagi yang sering menjadi bahan kritikan Abdullah dalam tulisan beliau
adalah sikap pemerintah yang sering dianggapnya menindas dan menzalimi rakyat dengan
berbagai tindakan yang memperlihatkan ketidakadilan mereka terhadap rakyat. Rakyat
dikongkong dengan pemikiran bahawa tiada guna berusaha berlebih-lebih kerana hasil usaha
mereka hanya akan menjadi habuan para pemerintah. Rakyat biasa hanya perlu berpuas hati
dengan apa yang ada, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bukan juga menjadi
salah mereka berkeadaan dan mempunyai pemikiran sedemikian kerana sebagaimana yang
ditulis Abdullah;
Syahdan, adalah sebab segala perkara ini jadi, sebab aniaya rajanya dan tiada
betul perintahnya. Maka pecahlah hati segala rakyat. Maka adalah pada fikir
16

Ibid. hlm. 15

mereka itu, baiklah aku miskin demikian, tiada susah; dapat pagi makan pagi; dapat
petang makan petang. Dan kalau ada berharta atau berumah baik atau berladang
dan kebun besar, nescaya dicari raja sesuatu jalan, diambilnya dan dipinjamnya
atau dipintanya. Maka jikalau tiada diberi, dirampasnya dan kalau dilawan habis
sekalian anak buah dibunuhnya dan didendanya.17

Jelaslah di sini bahawa corak pemikiran masyarakat pada ketika itu amat terkongkong dengan
segala bentuk tindakan dan perlakuan para pemerintah. Tambahan pula dengan wujudnya segala bentuk
peraturan dan adat yang tidak menyebelahi rakyat, maka bertambahlah lagi pemikiran yang naf dan
kehidupan yang daif di kalangan rakyat biasa. Perkara-perkara sebeginilah menjadi isu bagi Abdulah
sepanjang pemerhatian beliau dalam pengembaraan yang beliau lalui. Beliau dalam karyanya banyak
mengungkapkan dan melemparkan kritik pedas terhadap pemerintah Melayu pada ketika itu. Kebebasan
beliau dalam berkarya tanpa sebarang sekatan adalah kerana beliau tidak terikat sebagai pujangga istana
serta bebas daripada menjadi alat feudalism Melayu. 18 Ini ditambah pula dengan hubungan langsung
beliau dengan pihak pemerintah Inggeris yang boleh dianggapnya sebagai pelindung yang
membuatkannya kebal terhadap sebarang tindakan mahupun hukuman daripada para pemerintah Melayu
pada ketika itu.

Kesimpulan
Peristiwa-peristiwa yang terdapat dalam cerita-cerita Hikayat Melayu Lama yang berkaitan
dengan isu protes ini, membuktikan bahawa dalam masyarakat yang menekankan soal taat setia dan
menghalang segala bentuk penderhakaan pun tidak berupaya untuk menghalang munculnya

17
18

Ibid. hlm. 28
Mohd Isa Othman, Op. cit. hlm. 11

10

penentangan.19 Melalui kisah yang dipapar dalam hikayat lama ini dapat kita katakan bahawa
penentangan sering berlaku andainya pemerintah tidak berlaku adil serta menzalimi rakyat dalam
tindakan serta tindak-tanduknya. individu dari kalangan rakyat pula seringkali mengambil jalan yang
mudah dengan cara merusuh, memberontak lalu mengamuk. Banyak kisah dalam hikayat yang
memaparkan peristiwa amuk, antara yang popular adalah amukan Hang Jebat dalam Hikayat Hang Tuah;
peristiwa yang sama namun watak Hang kasturi yang disebut dalam Sejarah Melayu. Jelasnya di sini
bahawa amuk adalah merupakan satu cara seseorang individu mengzahirkan perasaan protes mereka
terhadap sesuatu perkara mahupun terhadap individu lain.
Protes yang dipaparkan dalam Hikayat yang ditulis oleh pujangga ataupun penulis istana biasanya
agak terikat dengan sekatan-sekatan yang telah menjadi nilai budaya dalam masyarakat feudal. Mereka
tidak berupaya memecahkan tradisi untuk mengkritik secara terbuka terhadap golongan berkuasa yang
ternyata gagal dalam melaksanakan keadilan terhadap rakyat. Kritikan hanya akan disampaikan secara
simbolis yang penuh dengan kiasan dan perumpamaan. Kesalahan pula biasanya akan diletakkan di atas
bahu individu yang menentang golongan yang berkuasa. Namun begitu dalam kes Raja Bersiung, baginda
seolah telah dibalas dengan hukuman masyarakat yang langsung membuangnya akibat daripada
kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat. Protes yang ditunjukkan oleh penulis bebas pula lebih keras
dan pedas sebagaimana yang dilakukan oleh Munsyi Abdullah. Penulis seperti Abdullah tidak merasa
terikat dan terkongkong dalam penulisan mereka kerana tidak bernaung di bawah kuasa istana. Tambahan
pula hubungan dengan pemerintah Inggeris telah menjadikan Abdullah tidak gentar dan berasa gusar
untuk menulis secara jujur menurut rasa hati serta penilaian beliau sendiri.

19

Ibid. hlm. 18

11

12