Anda di halaman 1dari 4

Teori Pemerolehan Bahasa

Pengenalan
Pembelajaran bahasa sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris di sekolah melibatkan
pengajaran beberapa kemahiran asas, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan
menulis. Setiap pelajar perlu menguasai kemahiran ini untuk memastikan mereka boleh
mengikuti pembelajaran yang seterusnya.
Namun demikian senario pendidikan dari dulu sehingga sekarang masih lagi menunjukkan
bahawa kemahiran-kemahiran itu masih lagi gagal dikuasai oleh sebahagian pelajar walaupun
sudah menjejakkan kaki di sekolah menengah.
Penulisan ini akan membincangkan bagaimana dan apa usaha yang guru lakukan untuk
membantu murid-murid yang belum menguasai sepenuhnya kemahiran membaca meskipun
sudah lima tahun setengah melalui pembelajaran di sekolah rendah. Beberapa aspek yang
akan disentuh dalam perbincangan ini adalah teor-teori pemerolehan bahasa, kaedah dan
pendekatan pengajaran serta beberapa perkara tentang pemilihan, penyesuaian dan
penggunaan alat/bahan bantu mengajar.
TEORI PEMEROLEHAN BAHASA
Berikut merupakan 3 daripada beberapa teori-teori yang mengkhusus kepada pemerolehan
bahasa yang pernah dikemukakan, iaitu Teori Behaviouris, Teori Mentalis dan Teori
Konstruktivis.
1. Teori Mentalis (pelopor Bloomfield, Edward Sapir, Fries, Boas dan Brooks)
Ahli psikologi yang turut berpegang pada teori ini termasuklah B.F Skinner, Pavlov, Hull dan
Thorndike. Golongan mentalis berpendapat bahawa bahasa dikuasai melalui proses
pengulangan. Oleh yang demikian proses pengajaran bahasa haruslah menekankan latihan
dan pengulangan yang banyak.
Bagi meningkatkan kemahiran bahasa, satu bentuk latihan mekanisme bersistem perlu
dilakukan. Teori ini juga mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses
pengajaran dan pembelajaran. Hal ini termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri
serta suasana dalam bilik darjah.
1.1 Kebaikan

Kebaikan-kebaikan teori ini ialah:


a. Proses pemerolehan/penguasaan sesuatu bahasa adalah melalui latihan secara berulangulang. Oleh yang demikian proses pengajaran bahasa dapat dilakukan secara lebih bersistem.
b. Mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Hal ini termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik
darjah.
c. Menekankan aspek peneguhan. Ini bermakna murid akan dapat mempelajari sesuatu
bahasa dengan adanya ganjaran dan peneguhan.
1.2 Kelemahan
Walaupun demikian terdapat beberapa kelemahan teori ini iaitu:
a. Pembelajaran hanya berlaku apabila murid menerima rangsangan dari luar, contohnya
dalam bentuk penggunaan bahan bantu mengajar. Ini bermakna dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, guru perlu menghasilkan bahan-bahan bantu bagi membolehkan pengajaran
dan pembelajaran dilaksanakan.
b. Pembelajaran bahasa diperolehi melalui ganjaran dan hukuman. Ini bermakna guru mesti
bersama murid sepanjang pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu pembelajaran bahasa sukar
dijalankan dengan menggunakan kaedah pembelajaran secara kendiri.
c. Pembelajaran ini kurang menekankan aspek pembelajaran secara kendiri kerana ia lebih
menekankan kepada aspek pengukuhan, iaitu guru membimbing murid dalam proses
pembelajaran mereka. Ini bermakna murid mengharapkan bantuan daripada guru untuk
belajar.
1.3 Pengaplikasian teori dalam kelas bacaan
Dalam kelas bacaan, guru boleh mengaplikasikan teori ini melalui latihan secara berulangulang. Ini bermakna apabila mengajar kemahiran menyebut suku kata contohnya KV + KVK
(LUSUH dan lain-lain), guru akan meminta pelajar mengulangi sebutan bagi suku kata
tersebut beberapa kali mengikut sebutan yang betul seperti yang diajar. Berkemungkinan
kekerapan pengulangan itu bergantung kepada penguasaan pelajar tersebut. Sekiranya budak
itu cepat belajar, pengulangan adalah sedikit tetapi jika sebaliknya, pengulangan adalah agak
lama sesuai dengan kemahiran pelajar. Setelah menguasai kemahiran menyebut suku kata,
guru akan diperkenalkan dengan perkataan-perkataan yang terbina daripada suku kata tadi.
Seterusnya pelajar diminta memberikan contoh perkataan yang terbina daripada suku kata
tersebut. Proses ini adalah berulang kali sehingga penguasaan terhadap kemahiran berlaku.
2. Teori Pembelajaran Mentalis (Pelopor Noam Chomsky)
Teori ini menekankan fungsi mental seseorang manusia itu. Menurut Chomsky, kanak-kanak
akan mengalami beberapa peringkat perkembangan dalam pemikiran iaitu bermula dari
peringkat terendah deria motor, kemudian kepada pra-operasi, operasi konkrit dan operasi
formal. Sebagai contoh, dalam pembelajaran bahasa, kanak-kanak akan menguasai kemahiran
memahami terlebih dahulu sebelum mereka belajar bertutur.
2.1 Kebaikan

a. Menekankan kepada proses perkembangan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu pembelajaran


bahasa akan diajar secara berperingkat-peringkat mengikut kematangan murid berkenaan.
Dengan itu proses pembelajaran berlaku secara sistematik dan guru dapat mengawal kadar
kemajuan pembelajaran murid secara berperingkat-peringkat.
b. Menekankan kepada pembelajaran mengikut kadar kendiri, di mana murid berpeluang
belajar sesuatu pengetahuan atau kemahiran berdasarkan minat, kebolehan dan tahap kognitif
mereka sendiri.
c. Menekankan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar. Pengajaran berpusatkan pelajar
bermaksud pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan penggunaan bahanbahan pembelajaran berbanding guru. Oleh itu ia amat sesuai digunakan untuk mengajar
kemahiran berbahasa.
2.2 Kelemahan
a. Teori ini mementingkan kemahiran tulisan, yang kemudiannya diikuti dengan kemahiran
bacaan. Manakala kemahiran lisan pula kurang diberikan perhatian. Ini akan menyebabkan
sesetengah murid hanya mahir menggunakan bahasa dalam tulisan dan bacaan, tetapi lemah
dalam lisan (mendengar dan bertutur).
2.3 Aplikasi dalam kelas bacaan
Guru yang mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran akan melakukan
perancangan dengan membuat pemeringkatan kemahiran. Ini bermakna, murid akan
memperoleh sesuatu kemahiran itu secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemahiran
dan penguasaan mereka. Kemahiran membaca akan dimulakan dengan kemahiran paling asas
iaitu mengenal suku kata, dan seterusnya kemahiran itu dipertingkatkan kesukarannya
sehinggalah murid berkenaan dapat membaca sebuah ayat yang lengkap. Sebagai contoh,
dalam pelaksanaan pengajaran ini, guru menetapkan 10 kriteria yang perlu dikuasai oleh
murid sebagai bukti mereka telah menguasai kemahiran membaca yang telah ditetapkan.
Pada pembelajaran pertama, guru mungkin menetapkan dua kriteria yang perlu dicapai,
kemudian dua lagi pada pembelajaran akan datang dan begitulah seterusnya sehingga semua
murid berjaya mencapai kriteria tersebut.
3. Teori Konstruktivis
Berbeza dengan kedua-dua teori terdahulu, Konstruktivis merupakan satu teori yang
berpusatkan pelajar. Ini bermakna pelajar adalah bergerak secara aktif untuk memastikan
mereka dapat memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru. Teori ini mengetengahkan
pendapat bahawa pelajar mempelajari sesuatu itu berdasarkan pengalaman sedia ada mereka.
Oleh yang demikian, menurut teori ini, guru perlu menyediakan aktiviti yang sesuai dengan
pengalaman sedia ada pelajar serta dapat mengaitkan pengalaman itu dengan pembelajaran
yang bakal diajar. Pelajar pula hendaklah mampu mempergunakan pengetahuan baru itu
untuk kegunaan masa hadapan. Peranan guru dalam kelas hanyalah sebagai pemudah cara,
pemantau dan penggubal disiplin. Pendekatan ini biasanya akan membuahkan hasil yang baik
kerana pelajar akan lebih memahami sesuatu perkara itu sekiranya dia terlibat secara aktif.
3.1 Kebaikan

a. Konstruktivis menekankan cara belajar secara reflektif, iaitu mengaitkan pengalaman baru
dengan pengetahuan sedia ada murid supaya mereka dapat menggambarkan perkara yang
diajar dan memudahkan mereka untuk faham.
b. Teori pemerolehan bahasa ini menekankan pembelajaran secara kendiri. Murid akan
berusaha untuk memperkembangkan kemahiran/pengetahuan mereka berdasarkan
penerokaan dan penemuan hasil daripada aktiviti penyelesaian masalah.
c. Pembelajaran bahasa melalui Konstruktivis dapat memupuk semangat berdikari di
kalangan murid. Oleh itu mereka dapat menjalankan aktiviti pembelajaran meskipun tanpa
kehadiran guru, ataupun di luar waktu kelas.
3.2 Kelemahan
a. Guru tidak mengajar tetapi hanya menyediakan bahan bantu yang boleh merangsang minda
pelajar supaya dapat mengaitkan aktiviti dan bahan bantu itu dengan pengalaman sedia ada
mereka. Ini menyebabkan guru terpaksa menyediakan pebagai bahan bantu sebelum dapat
melaksanakan pengajarannya.
b. Penekanan kepada andaian bahawa murid mempunyai pengetahuan asas atau sedia ada
tentang apa yang akan dipelajari dalam pelajaran seterusnya adalah perkara utama dalam
pendekatan ini. Tetapi sekiranya andaian guru tidak tepat, berkemungkinan dia murid tidak
akan dapat mengikuti pembelajaran tersebut.
3.3 Aplikasi dalam kelas bacaan
Teori Konstruktivis menekankan cara untuk mengaitkan pengajaran dengan pengetahuan
sedia ada murid supaya mereka dapat menggambarkan perkara yang diajar. Jadi, dalam
pengajaran kemahiran membaca bagi murid-murid yang dimaksudkan, aktiviti pencetusan
idea murid akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum guru menerangkan sesuatu konsep
atau mengajar kemahiran. Aktiviti pencetusan idea ini boleh dilakukan melalui soal-jawab
secara lisan antara guru dengan murid. Sebagai contoh, guru meminta murid menyatakan apa
yang telah mereka pelajari sebelum ini atau meminta mereka membaca mengikut tahap
kemahiran yang telah diajar dalam pelajaran lepas. Melalui aktiviti ini, guru akan dapat
mengesan pencapaian murid dan seterusnya menyesuaikan pengetahuan tersebut dengan
pembelajaran yang baru

Anda mungkin juga menyukai