Anda di halaman 1dari 4

PIDATO A : DISIPLIN ASAS KECEMERLANGAN DIRI

Bismillkalam.. Fainnkanuminallhaq...Fainnalhaq...Fabismilliahirrahmanirrahim...
Sekalung kasih Tuan Pengerusi Majlis. Jemaah juri yang profesional lagi
bijaksana. Dif-dif jemputan yang berkaliber dan segak bergaya. Seterusnya sidang
hadirin yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum W.b.t. Salam hormat, Salam 1
Malaysia.
Ulat beluncas dimakan kenari,
Dimakan bersama buah kuini
Disiplin asas kecemerlangan diri,
Tajuk pidato saya hari ini.
Hadirin yang budiman,
Pinjamkan saya mata yang memandang, telinga yang mendengar dan minda
yang berfikir. Sebelum bicara mengorak kata, sebelum suara membingit telinga,
izinkan saya menterjemahkan tajuk pidato saya hari ini. Disiplin asas kecemerlangan
diri.
Konkluksinya, disiplin asas kecemerlangan diri ialah rangkuman konsep yang
menyatakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang betul pasti menatijahkan
kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita. Oleh itu, disiplin menjadi jurupandu
untuk seseorang memperoleh kejayaan dalam mencapai sesuatu sama ada belajar,
bekerja dan melunaskan rutin harian kita. Pesan orang tua-tua yang berbunyi,
Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal jelas
menunjukkan bahawa segala-galanya perlu melalui suatu proses dan sistem yang
betul untuk meraih kejayaan kerana yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak
datang melayang.
Sidang hadirat yang berfikiran maju ke depan,
Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan
kejayaan tokoh-tokoh yang terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka
adalah dengan berkat disiplin yang tinggi. Sama ada dalam bidang keilmuan atau
kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah betapa sengsaranya Thomas Alva
Edison dalam usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam sejagat.
Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh
dalam bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam
Shafie dan sebagainya. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang
menyemarakkan budaya ilmu melalui disiplin yang tinggi. Jadi, jelaslah bahawa
disiplin yang tinggi akan memberikan peluang kepada setiap individu untuk
mencapai kejayaan yang diingini tanpa rasa mustahil.
Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik lain yang lebih
mujarab yang boleh membantu kita mencapai matlamat. Tanpa disiplin hasrat kita

akan terbantut, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan
kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Kita perlu bermuhasabah diri untuk
memilih segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal.
Uruslah diri kita dengan merancang masa dengan bijak dan mengurus personel
yang baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita yang jelas, dan sanggup
menterjemahkan matlamat hidup dalam perancangan yang teliti. Dengan sumber ini,
kita pasti berjaya.
Sidang dewan yang dimuliakan,
Alah bisa tegal biasa. Sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin
yang tinggi dalam diri seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar.
Namun, sekiranya individu tersebut telah dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar
terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk menafikan bahawa
pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik.
Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita
dapat lihat anak muda pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka
melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin. Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal
insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini
memberi gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa
tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti
yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kecemerlangan Diri".
Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur
serta menyusun masa. Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar
para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa tersebut. Pujangga Arab melalui katakatanya masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong
kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar
tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa
setiap diri kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material,
fizikal dan sosial pada era revolusi digital akan datang.. Oleh itu, jelaslah di sini
bahawa masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa
itu erti disiplin yang sebenarnya.
Sidang hadirin, Celik-celikkan mata, tajam-tajamkan minda..
Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh
dalam diri kita. Disiplin mengajar kita supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral itu
sendiri. Sebagai contoh, di kem tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri
bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta berani dan tegas dalam
perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki tahap
disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula,
disiplin akan menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun ,
berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut cabaran yang secara tidak langsung akan
lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani mereka. Kualiti

seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih
kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang
penuh dengan disiplin, pelajar itu sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup
yang teratur serta memberi banyak faedah kepada pelajar. Melalui jati diri yang
diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pastinya kita akan
bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai
pelajar. Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang rumah yang menjadi
tunjang utama kekukuhan jati diri dalam diri para pelajar.
Hadirin,
Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara kita supaya tidak terjebak dalam
gejala-gejala sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa kita sedari.
Tanpa disiplin, kita tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu
tanggungjawab kita yang sebenar. Tanpa matlamat yang jelas ini, kita cenderung
untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan yang berpendirian sama
seperti mereka yang tidak meletakkan matlamat sebagai sesuatu yang amat bernilai
dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita
mahu melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak
akan tercapai sekiranya tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus
menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari ini, terlalu ramai anak muda
yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang akhirnya pasti
akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal
diri mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang
langsung tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang
rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini menjadi bukti yang cukup ampuh
untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru , jelaslah
bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.
Hadirin, kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata tentang
nilai sesaat masa, disiplin juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri
yang cukup ampuh untuk mentadbir negara suatu hari nanti, malah disiplin dapat
membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas. Tokoh falsafah
Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang
nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal
ini memberi gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin, tidak perlulah kita
berangan-angan bagaikan mat jenin bermimpi untuk meraih kejayaan.
Sidang hadirin,
Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan
kegemilangan tanpa memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin.
Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita ketahui untuk mencapai kejayaan,
tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk melaksanakan cara itu
dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Sebelum saya mengundur diri,
mengorak langkah, ingin saya tegaskan bahawa Disiplin Asas Kecemerlangan

Diri. Bukan omongan kosong semata, tetapi realiti yang wajar kita aplikasi
bersama, Sekian. Terima Kasih.