Anda di halaman 1dari 4

Bimbingan Rohani: Cinta Allah Fitrah Insan

Hati yang hidup ialah hati yang mencintai Allah. Sesiapa yang
mencintai Allah, dia mencintai Islam kerana kehidupan Islam ialah kehidupan
yang ditunjuki oleh Allah. Barangsiapa mencintai kehidupan Islam maka dia
mencintai kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat radiaLlahu anhum.
Kehidupan mereka merupakan tafsiran ajaran Islam secara praktikal. Mereka
merupakan lelaki-lelaki atau perempuan-perempuan sejati yang pernah
dilahirkan di dunia ini. Mereka juga adalah generasi yang membangunkan dunia
dengan kecintaan kepada Allah SWT dan membawa kebahagaian kepada
kehidupan manusia dan alam.

Apabila kita menyebut tentang cinta Allah, ianya mestilah bertempat di hati
sebab hati dicipta untuk merasai dzauqi atau kelazatan menghayatinya. Hati
juga tempat makrifat, tempat iman, tempat rindu. Hati ini dikategorikan oleh
Ulama Sufi kepada 4 peringkat, iaitu :

1. Hati yang lalai kepada Allah.

2. Hati yang ingat kepada Allah.

3. Hati yang asyik dengan Allah.

4. Hati yang makrifat kepada Allah.

Pada hari ini, kebanyakan ulama, para pendakwah atau orang awam memiliki
hati yang berada pada tahap pertama, iaitu hati yang lalai dengan Allah SWT.
Ini dapat dilihat dalam kehidupan mereka yang tidak menunjukkan mereka
cinta kepada Allah, bersungguh dalam ibadah dan mujahadah serta sentiasa
memelihara diri daripada perkara-perkara yang haram, syubhah dan makruh.
Mereka juga tidak berhati-hati dalam perkataan, penglihatan serta
pendengaran yang akibatnya hati mereka bertambah keras dan rosak.
Berapa ramai ulama yang bercakap tentang takut kepada Allah tetapi sanggup
menyembunyikan kebenaran kerana takutkan manusia. Mereka juga dunukilkan
oleh Allah sebagai orang yang menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan
duniawi. Ada juga di kalangan para pendakwah yang bercakap tentang ayat-
ayat Allah tetapi kadang-kala mereka “menjual” ayat-ayat Allah demi
mendapatkan keuntungan, kemasyhuran, pengikut yang ramai serta pujian dari
manusia lain. Mereka sebenarnya orang-orang yang mati hatinya daripada
perasaan cintakan Allah. Manakala orang awam, kehidupan mereka dibelenggu
oleh kesibukan mencari harta, pangkat dan mencintai kaum keluarga diatas
hawa nafsu sehingga melalaikan mereka daripada Allah SWT.

Manusia wajib mencintai Allah. Ia adalah perkara fitrah kerana asal roh
manusia datang dari Allah. Ketika di alam arwah, manusia telah mengaku
bahawa Allah adalah tuhan mereka dan tiada yang lain dalam cintanya,
zikirnya, ingatannya, pujaannya, semuanya adalah untuk Allah SWT semata-
mata. Mereka sudah berilmu dan mengenal Allah dengan pengenalan yang
hakiki. Apabila manusia itu lari dari fitrah dan tidak menghalakan roh dan
hati mereka untuk mencintai Allah, mereka sebenarnya meronta-ronta untuk
kembali kepada Allah, untuk mengenal Allah, mencintai Allah atau Rabbnya
kerana itulah fitrahnya.

Namun kehidupan dunia yang hanya membawa halangan dan rintangan kepada
diri seseorang untuk terbang ke hadrat Ilahi telah menyebabkannya
menderita kerana mencintai dunia yang bukan fitrahnya. Ketahuilah, sesiapa
yang cuba menentang fitrah dengan tidak mencintai Allah, sebaliknya
mencintai dunia atau yang lain, ia akan menderita.

Ramai manusia yang mempunyai atau memiliki kekayaan tetapi sedikit yang
memiliki kebahagiaan. Kebahagiaan itu hanyalah apabila roh atau hati kembali
kepada Allah. Ibarat seekor ikan yang dilepaskan kembali ke lautan atau
nseekor burung yang tinggal di dalam sangkar emas kemudian dibukakan
sangkar hingga ia kembali mendapat kebebasan. Walaupun tinggal di dalam
sangkar emas, hakikatnya burung itu tidak mendapat kebebasan. Begitu juga
dengan roh. Jangan biarkan roh kamu terkurung di dalam sangkar emas (dunia
dan hawa nafsu), walaupun ia kelihatan cantik tetapi ia bukan kebahagiaan
hakiki.

Ramai manusia menyangka apabila mereka kembali kepada Allah, mereka akan
terpenjara dan hidup terkongkong kerana dikawal oleh peraturan-peraturan
Allah. Sedangkan ianya merupakan satu kunci untuk roh bebas terbang
kepada Allah SWT. Apabila mereka menjauhkan diri atau melanggar
peraturan-peraturan Allah dan menurut akal mereka, sebenarnya mereka
menguncikan diri mereka di dalam sangkar. Inilah hakikat kehidupan manusia.
Sehinggalah mereka dapat melihat ketika menghadapi sakaratul maut, baru
mereka akan sedar. Ketika itu, ia sudah tidak berguna lagi.

Apabila seseorang itu mencintai harta, maka dia akan menjadi hamba kepada
harta. Kalau dia mencintai pangkat, dia akan menjadi hamba kepada pangkat
itu. Begitu juga, mencintai kaum keluarga, sanak saudara atau lain-lainnya,
maka jadilah dirinya hamba kepada apa yang dicintainya. Sebaliknya, sesiapa
yang mencintai Allah, dia akan bermujahadah dengan hawa nafsunya dan
membebaskan diri dari belenggu yang mengikat rohaninya untuk mencintai
Allah. Hanya kekasih Allah-lah memiliki hati yang mencintai-Nya, sentiasa
mengingati-Nya, mencintai akhirat dan menangis kerana takut kepada-Nya.
Pecah tumit kakinya kerana berdiri di malam hari menghadap Allah dengan
rasa kehambaan. Perasaan kecintaan dan kehambaan yang tinggi kepada Allah
menyebabkannya mengambil kehidupan dunia dengan amat sederhana.

Islam telah berjaya menguasai dunia dan menjadi model kepada kehidupan
manusia. Islam telah menjadi kuasa yang amat ditakuti dan disegani kerana
bukan sahaja menjadi contoh dalam aspek kerohanian tetapi juga dari segi
akhlak peribadi dan pendidikan anak-anak. Rumahtangga orang Mukmin
tertumpu kepada tujuan mencari cinta Allah. Suami menjadi pemimpin isteri,
manakala isteri menjadi penasihat kepada suami dan mendidik anak-anak.
Malah Islam telah berjaya melahirkan generasi contoh dalam pengurusan
kehidupan manusia seperti dalam urusan ekonomi, politik, pentadbiran negara,
intelektual, sosial dan sebagainya. Generasi ini menterjemahkan Islam yang
syumul secara praktikal dan membincarakan permasalahan kehidupan manusia
seperti kesucian diri dari hadas kecil hingga kepada kesucian pentadbiran
negara dan dunia.

Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk melahirkan kembali generasi contoh
yang hebat ini melainkan mengikuti kembali jalan-jalan mereka, peribadi,
akhlak, ibadah, mujahadah dan pengorbanan jihad mereka. Mereka telah
dididik oleh Rasulullah SAW dengan keimanan makrifatullah, keimanan yang
hakiki. Diwajibkan ke atas mereka melakukan Qiamullail untuk melahirkan
kecintaan kepada Allah, hati yang hidup dengan Allah. Mereka ditarbiyah
dengan sentiasa membaca Al-Quran dan menghadiri majlis-majlis tazkirah
untuk melahirkan dan menguatkan perasaan cinta kepada Allah. Kecintaan
mereka ialah kecintaan kepada hati yang dzauq dan tubuh badan yang sihat.
Segalanya berpunca dari hati sebab itu hati mestilah diutamakan dalam
pendidikan manusia.