Anda di halaman 1dari 1

Flow konsep seni digital

KECANGGIHAN teknologi komputer telah meletakkan bidang seni tampak bukan lagi sesuatu yang kaku. Dengan
pendekatan baru ini, ia menjadi lebih pelbagai dan nilai-nilai estetiknya semakin ketara.
Gabungan 12 artis tempatan dan Australia dalam pameran Flow di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) Kuala Lumpur
sehingga 24 April ini, melambangkan teknologi sebagai salah satu subjek seni.
Antara artis yang mengambil bahagian ialah Hasnol Jamal Saidon, Tg. Sabri Tg. Ibrahim, Ivan Lam, Liew Kung
Yu (Malaysia), Robyn Backen, Stephen Birch, Destiny Deacon, Michael Riley (Australia).
Seperti media lain, penggunaan media digital initurut menyuarakan tema tertentu kepada artis. Antaranya,
pertentangan nilai-nilai tradisi dan moden dalam masyarakat Melayu, keharmonian, identiti dan sebagainya.
Tidak ketinggalan mereka juga secara tidak langsung telah mengadakan interaksi seni dua negara dengan melihat
unsur-unsur digital ini sebagai landkap seni.
Malah, ia menyentuh mengenai budaya bangsa dan sistem kepercayaan agama dalam konteks masyarakat dua
negara yang berbeza dalam semua aspek.
Flow dalam hal ini memaparkan nilai arus digital dan teknologi perhubungan yang mentafsirkan budaya
kotemporari boleh ditemui dalam pelbagai bentuk menerusi karya artis-artis terlibat.
Kesemua artis dari kedua-dua negara menggunakan media elektronik seperti komputer, video digital dan
peralatan semasa untuk dijadikan rujukan skrin budaya menggunakan bahasa visual.
Unsur lain yang juga banyak digunakan ialah teknologi rendah seperti laser, salinan pendua dan mesin faksimile
yang menghubungkan arus maklumat secara menyeluruh.
Pada pameran yang dirasmikan oleh Menteri Telekomunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie tersebut,
nilai seni digital yang dipamerkan merupakan nuansa seni tampak mutakhir.
Melihat karya-karya yang dipamerkan, aspek-aspek penggabungan instalasi, seni fotografi, catan dan digital cuba
digabung sebagai hasil seni baru.
Karya Hasnul Jamal, hABUan 2000 yang menggunakan unsur video projektor, daun durian kering, kertas akhbar,
video monitor dan lain-lain mengutara aspek kehidupan secara metafora.
Ia memperlihatkan imej rokok yang sedang terbakar, yang dipancarkan pada layar lut sinar yang meninggalkan
abu virtual pada surat khabar lama yang separuh terbakar.
Surat khabar tersebut mengandungi teks Melayu dan jawi yang mewakili 'Dasar Rasmi' masyarakat. Di satu sudut
kelihatan sebuah beg usang yang diisi monitor komputer di dalam daun durian yang membara panas yang
merupakan interpretasi kepada 'durian runtuh'.
Apa yang jelas, Hasnul mengutarakan tema situasi ironik dan paradok yang menyelubungi perhubungan antara
dua media iaitu tv dan surat khabar dan komputer dalam pembentukan pengalaman politik, ekonomi, sosial dan
budaya di Malaysia.
Tengku Sabri dan Ivan Lam menerusi karya mereka Evanescent Labyrinth 2000 pula mengingatkan audiens
tentang komuniti budaya elektronik yang disuluh oleh komuniti budaya tradisi.
Robyn Backen menerusi karyanya Littoral yang menggunakan gelung gentian optik panjang dan bercahaya
melambangkan kecanggihan teknologi dan pengaruhnya terhadap satu hierarki sosial.
Patricia Piccinini dalam karyanya Protein Lattice yang menggunakan media campuran melibatkan video VHS,
monitor, penatar cahaya dan bunyi mengungkapkan tentang nilai-nilai teknologi yang diselewengkan.
Kurator pameran seni digital ini, Zanita Anuar (BSLN) dan Wayne Tunniclife (Australia) melihat bahawa apa
yang dipaparkan oleh artis-artis ini merupakan bukti bahawa, seni tampak bukanlah satu bidang yang statik.
Ia tidak seharusnya hanya terikat pada seni catan, arca dan pelbagai media 'lama' tetapi juga mampu disuarakan
menerusi elemen-elemen teknologi sebagai karya kotemporari.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2000&dt=0415&pub=utusan_malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_06.htm#ixzz3USXKFoef
Utusan Melayu (M) Bhd