Anda di halaman 1dari 12

2.

0 Penulisan Akademik:

Jelaskan jenis stail

komunikasi

yang boleh

digunakan oleh guru dan bagaimana ia memberi kesan ke atas tingkah laku
murid, kaedah pengajaran dan hasil pembelajaran. Bincangkan.
Kini, lantaran transformasi pendidikan dan implementasi Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) sejak tahun 2011, integrasi elemen didik hibur (learning is fun)
telah semakin penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dalam
konteks ini, keterampilan komunikasi seseorang guru telah memainkan peranan penting
sebagai kunci dan pemangkin untuk membuka pintu halangan komunikasi antara guru
dengan murid dan merangsang interaksi sosial yang aktif, erat dan menyeronokkan di
dalam bilik darjah selaras dengan hasrat KSSR dan elemen didik hibur. Menurut James
A.F. Stoner & Charles Wankel (1989), komunikasi boleh dimanifestasikan sebagai
proses penyaluran, pemindahan dan perkongsian sesuatu idea, nilai dan sikap oleh
seseorang individu dengan orang lain berdasarkan sesuatu yang simbolik, seperti
isyarat, huruf, nombor dan perkataan. Guru sememangnya tidak dapat melarikan diri
daripada terlibat dalam komunikasi kerana proses pengajaran dan penyampaian ilmu
yang berlaku di dalam kelas pasti melalui komunikasi. Memandangkan pelbagai dapatan
kajian telah membuktikan

hubung kait yang rapat antara komunikasi guru dengan

keberkesanan proses P&P, maka pengetahuan dan penguasaan tentang kemahiran


komunikasi amatlah penting kepada seseorang guru pelatih dan warga pendidik agar
mereka dapat mengamalkan stail komunikasi dan kaedah pengajaran yang sesuai
dengan alam pendidikan zaman ini.
Komunikasi merangkumi dua kategori yang perlu dikuasai oleh guru, iaitu
komunikasi lisan (verbal) dan komunikasi bukan lisan (non-verbal). Komunikasi secara
lisan melibatkan proses pemindahan maklumat daripada seorang individu kepada
seseorang atau sekumpulan pendengar melalui percakapan. Menurut Khairul Anuar
(2013), komunikasi lisan merangkumi penggunaan bahasa, pertuturan dan suara.
Manakala komunikasi bukan lisan pula merujuk kepada penyampaian mesej menerusi
penggunaan bahasa badan, ekspresi wajah dan kontak mata. Dalam bidang pendidikan
kedua-dua jenis komunikasi ini memainkan peranan yang penting dalam memastikan
kelancaran proses P&P dan perlu diberi penekanan oleh setiap guru dalam pengajaran
kerana proses penyampaian ilmu berlaku bukan sahaja melalui percakapan guru,
malahan juga melalui pergerakan fizikal, air muka dan lain-lain.

PENGGUNAAN BAHASA YANG SESUAI DAN PENERANGAN YANG JELAS UNTUK


MENINGKATKAN KEFAHAMAN MURID
Model Komunikasi Schramm II telah menyatakan bahawa proses komunikasi
antara guru dengan murid sepanjang P&P hanya boleh berlaku secara berkesan dan
berjaya apabila sumber yang dienkod oleh guru dan didekod oleh murid bertindih dalam
bidang pengalaman yang sama (Mok Soon Sang, 2011). Dengan kata lain, pelajaran
yang disampaikan oleh guru dan kebolehan murid mentafsirkannya secara tepat telah
menjadi faktor utama yang menentukan keberkesanan aktiviti P&P. Dalam konteks ini,
penggunaan bahasa merupakan kunci utama untuk mewujudkan situasi komunikasi
yang berkesan seperti yang ditegaskan dalam Model Schramm. Penggunaan bahasa
yang tidak jelas, kompleks dan bombastik tidak dapat membantu murid-murid untuk
membina kefahaman dan idea-idea tentang perkara-perkara yang berada di
persekitaran mereka (Haliza Hamzah & Joy N. Samuel, 2011), khasnya bagi perkara
yang melibatkan konsep abstrak. Untuk proses penimbaan ilmu yang lancar dan
berkesan, bahasa yang digunakan oleh guru seharusnya jelas, pendek, ringkas, mudah
difahami dan selaras dengan kebolehan murid. Misalnya, laras bahasa yang digunakan
oleh guru ketika mengajar murid darjah 1 haruslah berbeza dengan murid darjah 4
kerana pengalaman dan penguasaan berbahasa bagi murid darjah 1 masih rendah.
Menurut Teori Konstruktivisme Vygotsky, bimbingan verbal akan menjadi lebih efektif
dan hasil pembelajaran murid akan dipertingkatkan sekiranya penerangan guru
diselitkan dengan pelbagai contoh yang berkaitan rapat dengan persekitaran dan
pengalaman hidup mereka serta disokong oleh alat bantu mengajar yang sesuai.
Tatabahasa dan sebutan yang betul juga penting untuk memastikan murid tidak akan
keliru atau salah faham tentang apa yang disampaikan dan membantu meningkatkan
kemahiran linguistik mereka. Dalam konteks ini, pemahaman dan pengetahuan tentang
perkembangan bahasa kanak-kanak pada setiap peringkat umur amatlah penting bagi
memastikan penggunaan bahasa yang sesuai dan proses komunikasi yang berkesan
oleh seseorang guru ketika proses penyampaian ilmu kepada murid.
PENGGUNAAN SUARA YANG LANTANG DAN INTONASI NADA YANG PELBAGAI
UNTUK MENARIK DAN MENGEKALKAN MINAT PEMBELAJARAN MURID
Suara merupakan alat utama untuk menyampaikan mesej bercorak ilmu
pengetahuan (Nor Shafrin et.al, 2009). Suara yang lembut dan perlahan akan

mengganggu proses komunikasi P&P kerana murid tidak dapat mendengar dan
menerima mesej yang disampaikan oleh guru dengan jelas. Lantaran itu, murid-murid
yang duduk di belakang kelas akan mula berbisik-bisik dan gangguan bunyi tersebut
akan menyebabkan murid-murid lain tidak dapat fokus kepada pengajaran guru.
Sementara itu, penggunaan nada yang mendatar juga menimbulkan suasana P&P yang
membosankan dan mengantuk serta menyebabkan murid hilang minat terhadap
pengajaran guru. Padahal, guru seharusnya mempelajari dan mempraktikkan teknik
penggunaan suara yang bertul seperti bertutur dengan suara yang kuat dan lantang dan
menggunakan kepelbagaian nada mengikut kesesuaian situasi bagi menarik minat
pembelajaran murid dan mengekalkan perhatian murid. Sebagai contoh, nada yang
digunakan ketika mencetuskan soalan adalah tinggi manakala nada yang digunakan
untuk mengisahkan cerita yang sedih seharusnya rendah dan berlahan-lahan. Variasi
nada atau intonasi suara yang sesuai juga penting untuk membantu murid membezakan
antara isi penting denga isi sampingan semasa penerangan. Menurut Mok Soon Sang,
guru juga boleh menggunakan teknik penghentian sejenak yang berpatutan untuk
mengalihkan perhatian murid kepada guru, khasnya ketika mendapati segelintir murid
sedang berbisik. Pengulangan sisipan bukan perkataan yang berkali-kali seperti ahh,
er, ok dan anda tahu juga seharusnya diminimumkan oleh guru kerana ia akan
menimbulkan kebosanan dalam kalangan murid. Menurut Khairul Anuar (2012), bahasa
guru akan menjadi jauh lebih menarik sekiranya tabiat pertuturan tersebut dapat
dielakkan.
APLIKASI BAHASA BADAN YANG SESUAI UNTUK MENGEKALKAN TUMPUAN,
MEMUDAHKAN KEFAHAMAN DAN MERANGSANG MOTIVASI MURID
Bahasa badan (body language) seseorang guru juga merupakan petunjuk
komunikasi yang paling banyak membantu dalam penyampaian mesej yang berkesan
kerana postur badan, gerak isyarat dan kontak mata yang betul dan sesuai akan
membantu menjelaskan mesej yang ingin disampaikan, menjadikan situasi komunikasi
antara guru dengan murid lebih menarik dan menandakan komitmen serta kesungguhan
guru dalam usaha menitiskan ilmu pengetahuan kepada murid. Postur badan yang
tertutup, seperti berdiri statik dan bersandar serta tiada kontak mata dengan murid
sewaktu menerangkan isi pengajaran bukan sahaja tidak dapat mengekalkan
momentum minat, kesungguhan, dan keseronokan para murid untuk terus mengikuti
pengajarannya, tetapi juga menandakan kemalasan, kekurangan keyakinan dan

kekurangan minat seseorang guru untuk mengajar. Padahal, guru yang memiliki
kemahiran komunikasi non-verbal yang berkesan akan menunjukkan gerak geri badan
yang pelbagai dan sesuai dengan kadangkala berdiri tegak berhampiran dengan murid,
berjalan di serantau tempat duduk murid atau memberikan gerak isyarat tangan yang
sesuai. Gerak geri guru yang penuh dengan aura semangat dan kesungguhan ini secara
tidak langsung akan mengalir kepada murid-murid untuk menghayati pelajaran (Haliza
Hamzah & Joy N. Samuel, 2009).
Kadangkala, pernyataan lisan yang disokong oleh pergerakan fizikal yang sesuai
juga dapat membantu meningkatkan kefahaman murid tentang isi-isi yang disampaikan
oleh guru. Sebagai contoh, semasa mengajar kata-kata yang hampir sama makna,
seperti memikul, menjinjing dan menjunjung, guru boleh mendemonstrasikannya
melalui gerak geri badan supaya murid-murid lebih mudah memahami dan membezakan
makna kata-kata kerja tersebut berbanding dengan cara penjelasan verbal yang panjang
lebar. Tambahan pula, tanda penghargaan dan pemberian galakan tidak semestinya
terkongkong kepada ganjaran yang maujud sahaja, tetapi juga boleh dijelmakan dalam
bentuk senyuman, gerak isyarat dan sentuhan. Misalnya, guru boleh mengangkat ibu
jari dan menepuk tangan kepada murid yang menunjukkan prestasi yang baik atau
menepuk bahu murid agar murid dapat lebih bermotivasi untuk belajar. Walau
bagaimanapun, sentuhan ini perlulah mengikut lunas-lunas agama dan budaya. Tidak
ketinggalan juga, kontak mata juga merupakan penyumbang kepada suasana P&P yang
berkesan. Misalnya, ketika murid sedang mengemukakan soalan atau jawapan, guru
seharusnya tepat memandang ke arah murid tersebut agar murid akan berasa dipunyai,
dihargai dan dihormati. Menurut Khairul Anuar (2012), penggunaan imbasan mata
selama 5 saat kepada setiap murid adalah penting ketika guru sedang menerangkan
sesuatu kepada sekumpulan murid yang ramai untuk menimbulkan perasaan seolaholah diperhatikan oleh guru agar mereka dapat senantiasa memberikan tumpuan.
VARIASI

EKSPRESI

WAJAH

MENGIKUT

KESESUAIAN

SITUASI

UNTUK

MEWUJUDKAN KESAN PENEGUHAN TERHADAP TINGKAH LAKU MURID


Kepelbagaian kerenah murid telah menjadi suatu cabaran kepada guru dalam
pengurusan suasana sosioemosi dan tingkah laku di dalam kelas. Apabila berhadapan
dengan situasi ini, seseorang guru ada kalanya perlu pandai berlakon dan menunjukkan
ekspresi wajah yang berbeza mengikut kesesuaian situasi kelas dan perangai murid

(Khairul Anuar, 2013). Contohnya, ketika mendapati murid mula berbisik-bisik sewaktu
P&P dijalankan, guru boleh menunjukkan ekspresi yang tegas untuk mendisiplinkan
mereka, manakala bagi murid-murid yang nakal semata-mata, guru perlu berlagak
garang dan keras, seperti menjuling mata dan mengerut kening untuk mewujudkan
kesan peneguhan negatif terhadap murid tersebut agar mereka tidak akan mengulangi
kesilapan yang sama. Pada ketika yang lain, guru juga perlu menunjukkan ekspresi
wajah penyayang semasa memuji, menasihati dan menggalakkan pembelajaran anakanak murid. Namun, variasi ekspresi tersebut tidak sama seperti jenis guru tidak asertif
yang digariskan dalam Model Disiplin Asertif Canter. Menurut Noriati A. Rashid et.al
(2009), guru tidak asertif kadangkala membenarkan suatu tingkah laku ditunjukkan di
dalam bilik darjah tetapi pada masa yang lain pula memarahi murid yang melakukan
tingkah laku tersebut. Reaksi yang tidak konsisten tersebut akan mengelirukan jangkaan
murid-murid terhadap tindakan guru dan menyebabkan mereka tidak lagi menghormati
guru itu. Namun, kemelut tersebut tidak akan berlaku pada guru yang fleksibel dalam
variasi stail komunikasi non-verbal tersebut. Mereka akan mempunyai kayu ukur yang
jelas tentang tingkah laku yang diingini dan tidak diingini daripada murid. Kesan
peneguhan positif dan negatif yang wujud ekoran daripada ekspresi wajah guru bukan
sahaja dapat membantu murid untuk mengesan dan mengenalpasti kemahuan guru,
tetapi juga dapat melazimkan mereka dengan tingkah laku yang diingini oleh guru dan
melatih kedisiplinan murid secara langsung dan tidak langsung.
KEMAHIRAN

MENDENGAR

DENGAN

AKTIF

DAN

BEREMPATI

BAGI

MEWUJUDKAN RASA KESEPUNYAAN DAN MENANGANI MASALAH TINGKAH


LAKU MURID
Kejayaan menjalin hubungan komunikasi yang baik juga bergantung kepada
kecekapan guru menggunakan prinsip-prinsip individu, khasnya kemahiran mendengar
dan kemahiran mewujudkan perasaan empati. Komunikasi tidak akan bermakna tanpa
perhatian dan pendengaran yang teliti oleh guru. Sebagaimana yang ditegaskan oleh
Egan (1975), Mendengar dengan baik-baik akan memberikan orang sesuatu struktur
empati yang tepat.(Mok Soon Sang, 2012). Kekerapan guru memotong percakapan
murid dan terburu-buru memberikan nasihat atau komen telah menimbulkan
perselisihan faham antara guru dengan murid dan mematikan semangat murid untuk
meneruskan komunikasi mereka. Lama-kelamaan, murid-murid tidak akan lagi
berkongsi masalah dengan guru dan cenderung menyembunyikan isi hati mereka

kerana mereka berasa guru itu tidak pernah memahami mereka dan tidak berminat
untuk membantu mereka. Padahal, guru bukan sahaja seharusnya menjadi pendengar
yang aktif, memberikan peluang kepada murid untuk menghabiskan percakapan mereka
dan cuba mengenalpasti emosi serta maksud sebenar di sebalik komunikasi murid,
tetapi juga perlu berempati terhadap murid dengan mengalami dunia murid seolah-olah
situasi tersebut dialami sendiri oleh guru. Menurut Rogers (1951), tanpa perhatian,
mendengar sahaja tidak akan membawa kefahaman, maka komunikasi tidak akan
wujud. Jadi, sebelum menjadi seorang pendengar aktif dan berempati, guru perlulah
memberi perhatian yang teliti dan sepenuhnya terhadap mesej lisan dan perlakuan nonverbal mereka, seperti gerak isyarat, air muka dan nada suara dan kontak mata agar ia
dapat memberikan gambaran kepada murid bahawa guru berminat dan bersungguhsungguh untuk menolong mereka. Rasa kesepunyaan terhadap bilik darjah merupakan
matlamat utama dalam pembentukan tingkah laku murid (Haliza Hamzah & Joy N.
Samuel, 2009). Jadi, melalui kedua-dua kemahiran komunikasi interpersonal tersebut,
iaitu kemahiran mendengar secara aktif dan kemahiran berempati, maka rasa dipunyai,
selamat, dihormati dan diterima yang wujud akan menyebabkan murid-murid lebih
mempercayai, mesra, berminat, bersedia dan terbuka untuk berhubung dengan guru,
meluahkan masalah dan perasaan mereka, sanggup menerima bimbingan guru dan
sudi menyelesaikan masalah bersama dengan guru.
AMALAN

KOMUNIKASI ASERTIF

DAN

KESANNYA TERHADAP KAWALAN

DISIPLIN MURID
Komunikasi yang berkesan bertindak sebagai agen pengawalan tingkah laku
murid (Mohd Safiee et.al, 2008). Namun, kebanyakan guru di negara kita lebih
cenderung menggunakan teknik penunjukan kuasa seperti teguran dan hukuman fizikal
semasa menghadapi masalah disiplin dan tingkah laku murid tanpa menyiasat dan
mengenalpasti punca sebenarnya. Menurut Martin Hoffman daripada Berk (2003), teknik
penunjukan kuasa bukan sahaja membangkitkan ketegangan emosi kanak-kanak dan
menimbulkan rasa permusuhan dengan guru dan pihak sekolah, tetapi juga seolah-olah
menjadi

model

kepada

kanak-kanak

untuk

menggunakan

kekerasan

bagi

menyelesaikan masalah apabila dewasa nanti. Dalam usaha menguruskan masalah


disiplin dan tingkah laku disruptif murid secara positif, Model Disiplin Asertif Canter
mencadangkan guru mencari jalan dan berusaha untuk berkomunikasi dengan muridmurid melalui pendekatan asertif. Guru yang mengamalkan kemahiran komunikasi

asertif tidak membawa imej yang garang, kasar dan penyindir, sebaliknya akan
menunjukkan ciri-ciri seperti pendengar aktif, pandai mengawal emosi sendiri dan
pembimbing demokratik. Semasa menghadapi murid yang salah laku, mereka akan
menggunakan teknik dorongan dengan memberikan autonomi dan peluang kepada
murid untuk menerangkan sebab salah laku mereka dalam suasana yang tidak
terancam, bukannya terus mengenakan hukuman terhadap mereka. Sebagai contoh,
jika mendapati seseorang murid selalu lewat datang ke sekolah, guru seharusnya
bertanya kepada dia untuk mengenalpasti punca sebenar yang berlaku, seperti bekerja
sambilan, masalah pengangkutan ataupun lain-lain agar tindakan susulan yang sesuai
dapat diambil. Sementara itu, guru yang mengamalkan kemahiran asertif juga akan
berbincang dengan murid tentang akibat munasabah yang akan dihadapi daripada
perbuatan mereka dengan menggunakan kata-kata yang berhemah tetapi tegas.
Penggunaan bahasa yang kesat akan menghalang proses perbincangan tersebut dan
menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dalam kalangan murid. Model Akibat
Logikal Dreikurs berkata disiplin kendiri boleh dicapai dengan berkesan di dalam iklim
sekolah yang demokratik (Noriati A. Rashid et.al, 2009). Melalui komunikasi asertif yang
terbuka ini, kesedaran dan kewaspadaan murid terhadap kawalan tingkah laku dan
disiplin sendiri dapat dipertingkatkan. Sehubungan dengan itu, kesan check and
balance juga akan dicapai kerana setiap murid dapat saling mengingati antara satu
sama lain tentang peraturan yang ditetapkan. Hasilnya, masalah disiplin dan tingkah
laku murid dapat diminimumkan ke tahap zero-defect.
AMALAN JENAKA DALAM KOMUNIKASI
Cara Mengintegrasikan Unsur Kecindaan Semasa Proses P&P
Menurut Mohd. Salleh (2002), majoriti murid lebih menyukai guru yang boleh
berjenaka atau membuatkan mereka geli hati berbanding dengan guru yang serius dan
autokratik. Kajian Frymier et.al (2008) pula juga telah menegaskan peri pentingnya
unsur jenaka dalam bilik darjah untuk membantu mewujudkan situasi komunikasi dan
interaksi yang lebih lancar antara guru dengan murid dan meningkatkan keberkesanan
P&P. Walaupun unsur kecindaan atau humor merupakan sifat semula jadi atau
pembawaan seseorang individu, namun unsur tersebut masih dapat dipraktik dan
diterapkan dalam komunikasi dengan murid sekiranya ia dapat dirancang dengan teliti.
Sebagai contoh, semasa aktiviti P&P subjek bahasa, guru boleh menayangkan suatu

video hikayat dan meminta murid-murid meneka apa yang akan berlaku pada bahagian
penutup cerita secara berkumpulan. Seterusnya, mereka diminta melakonkannya
dengan memakai topeng muka karakter kartun yang disediakan oleh guru.
Kepelbagaian isi penutup cerita yang kreatif dan lakonan murid-murid yang lucu pasti
dapat menimbulkan suasana P&P yang riang, aktif dan menyeronokkan. Dalam usaha
mewujudkan situasi komunikasi yang mesra dalam bilik darjah, guru juga boleh
menggunakan teka-teki yang mengandungi unsur jenaka untuk mengalihkan sebentar
pandangan murid-murid terhadap pembelajaran (Haliza Hamzah & Joy N. Samuel,
2009) dan merehatkan minda mereka supaya mereka dapat lebih bersedia dari segi
mental dan emosi untuk berfokus kepada aktiviti P&P yang selanjutnya.

Walau

bagaimanapun, penggunaan jenaka dalam P&P masih mempunyai batasan tertentu


yang perlu diperhatikan dan dijaga oleh guru. Unsur-unsur kecindan yang digunakan
sesuai dengan peringkat umur murid dan tidak bertujuan untuk menghina, mengejek,
menyinggung perasaan dan merendah-rendahkan murid-murid lain.

Usahlah guru

mengambil masa yang lama untuk sesi bergurau dan berkongsi lawak kerana ia
sebaliknya akan menyimpangkan objektif pengajaran.
Kesan Amalan Jenaka Terhadap Masalah Disiplin Dan Hasil Pembelajaran Murid
Sekolah merupakan suatu institusi yang terikat dengan pelbagai peraturan,
tatacara dan disiplin sehinggalah ia telah menjadi suatu tempat yang menakutkan dan
menimbulkan perasaan tegang dan kurang selamat dalam kalangan murid. Lamakelamaan, kebimbingan emosi dan ketidakseimbangan perkembangan psikologikal yang
wujud mungkin akan mendorong kepada timbulnya pelbagai masalah disiplin murid,
seperti ponteng kelas dan ponteng sekolah. Namun, sekiranya keadaan ini dapat
diseimbangkan dengan unsur-unsur kecindan, kekangan tersebut nescaya dapat diatasi
secara postif dan berkesan kerana pengurangan formaliti dan perapatan jurang
komunikasi akan meningkatkan kemesraan guru dan menggalakkan murid mengambil
inisiatif untuk mendekati dengan guru dan berbincang masalah yang dihadapi. Di
samping itu, pelbagai teori pembelajaran yang berasaskan motivasi seperti Teori
Pembelajaran Sosial dan Teori Pembelajaran Humanism juga telah membuktikan fungsi
amalan jenaka dalam mencetuskan situasi pembelajaran yang berkesan (Shaffe et.al,
2011). Penyampaian isi pelajaran yang terkongkong dalam buku teks pasti menimbulkan
suasana P&P yang membosankan dan merunsingkan serta menyebabkan murid-murid
mudah hilang tumpuan. Namun, interaksi yang disusuli dengan ketawa akan membantu

guru menarik perhatian murid, merancakkan tajuk perbualan yang selanjutnya dan
mengaktifkan komunikasi antara guru dengan murid. Berbanding dengan suasana yang
bosan dan tertekan, murid-murid lebih mudah mengingati dan memahami isi pelajaran
yang disampaikan oleh guru dalam situasi yang relaks dan ceria. Perubahan tanggapan
negatif kepada yang positif terhadap pembelajaran juga akan menyebabkan murid-murid
tidak sabar-sabar untuk menerima pengajaran guru. Lama-kelamaan, motivasi
pembelajaran yang dipupuk secara intrinsik ini akan membawa kesan pembelajaran
yang lebih berkekalan dan hasil pembelajaran yang optimum kerana murid-murid belajar
atas inisiatif sendiri bukannnya demi memenuhi kehendak guru. Memandangkan amalan
jenaka sering memerlukan murid think out of the box, ia juga dapat menggalakkan
pemikiran divergen dan kreatif dalam kalangan murid.
GAYA KEPIMPINAN DEMOKRATIK DAN TEKNIK MENYOAL
Guru yang mengamalkan kemahiran komunikasi agresif selalu menghadapi
masalah membina hubungan yang erat dengan anak-anak murid kerana mereka sering
menunjukkan kuasa mutlak dan tidak bertolak ansur dengan murid. Walaupun gaya
kepimpinan autokratik ini dapat meminimumkan kebisingan kelas yang akan
mengganggu proses penyampaian isi pelajaran oleh seseorang guru, malangnya ia
telah menjadi halangan komunikasi yang berkesan antara guru dengan murid kerana
murid tidak diberi peluang untuk menyumbang idea dan output mereka dan hanya
berfungsi sebagai pendengar dan pengikut sahaja. Suasana P&P yang penuh dengan
paksaan dan bersifat pasif ini adalah bertentangan dengan Model Schramm III yang
menegaskan kepentingan interaksi aktif antara kedua-dua pihak penyampai mesej
dengan penerimanya untuk membina situasi komunikasi yang efektif. Bagi guru yang
mempunyai keterampilan komunikasi yang tinggi, mereka akan berorientasikan gaya
kepimpinan autoritatif atau demokratik semasa melakukan aktiviti P&P.
Menurut Mok Soon Sang (2012), demokratik boleh didefinisikan sebagai
perkongsian kuasa antara setiap ahli dalam sesuatu komuniti. Dalam konteks
pendidikan, ia merujuk kepada penyediaan peluang kepada murid untuk menyoal,
mengemukakan pendapat dan membina ilmu pengetahuan secara aktif dengan
bimbingan guru. Guru yang mempraktikkan gaya kepimpinan demokraktik akan selalu
menggalakkan maklum balas murid dan mencungkil pendapat mereka melalui teknik
menyoal berdasarkan Taksonomi Bloom yang bermula daripada peringkat pengetahuan,

pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis sehingga ke peringkat menilai. Sepanjang aktiviti


penyoalan dan perbincangan, guru perlu mempertimbangkan penglibatan yang
seimbang di dalam kelas. Usahlah guru berat sebelah dan asyik memberi peluang
kepada murid tertentu untuk mengemukakan soalan dan pendapat! Sebaliknya,
perhatian dan dorongan juga perlu diberikan kepada murid-murid yang bersifat pemalu
dan pasif dengan penuh kesabaran agar mereka lebih berani dan berkeyakinan untuk
meluahkan pendapat dan isi hati mereka yang tersimpan. Guru yang bertindak secara
autoritatif ini juga akan menjadi pendengar yang sabar, menghormati maklum balas
murid dengan tidak memotong percakapan murid, memberikan respon yang sesuai dan
menerima pandangan yang berbeza dengan hati yang terbuka. Interaksi dua hala yang
sihat ini bukan sahaja membolehkan guru mengenalpasti dan mengesan tahap
penguasaan dan keupayaan pemahaman murid-murid, tetapi juga mewujudkan iklim
bilik darjah yang terbuka dan kondusif. Menurut Mok Soon Sang (2012), keadaan ini
akan memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan dan bahagia kepada muridmurid, seterusnya meningkatkan keberkesanan aktiviti P&P.
KAEDAH P&P SECARA KOPERATIF DAN KOLABORATIF
Strategi pemusatan guru dan sistem pendidikan spoon-feed yang bersifat
autokratik

dan

interaksi

sehala

bukan

sahaja

dianggap

ketinggalan

zaman,

membosankan dan mewujudkan suasana sosio-emosi yang tegang, tetapi juga akan
menjejaskan keupayaan pemikiran dan penaakulan dalam kalangan murid akibat
kekurangan peluang untuk menyumbang pendapat dan teknik pengajaran secara
menghafal. Teori Konstruktivisme Vygotsky telah menegaskan interaksi sosial yang aktif
memainkan peranan yang penting dalam proses P&P di bilik darjah. Justeru, guru yang
memiliki stail komunikasi yang berkesan juga akan menyingkirkan pendekatan
tradisional

tersebut,

malahan

memperbanyakkan

aktiviti

yang

menggalakkan

penglibatan aktif dalam kalangan murid melalui strategi pembelajaran koperatif dan
kolaboratif. Secara umum, kaedah pengajaran tersebut merupakan pembelajaran
berpusatkan murid yang berupaya mengubah suatu situasi komunikasi yang pasif
kepada suatu yang dinamis dan aktif melalui aktiviti-aktiviti yang memerlukan kerjasama
dan interaksi kumpulan, seperti pair discussion, pairs check dan sebagainya (Noriati
et.al, 2012). Dalam konteks ini, murid berperanan sebagai pembina ilmu yang aktif
manakala guru pula berfungsi sebagai fasilitator atau pembimbing. Kaedah pengajaran
koperatif dan kolaboratif ini bukan sahaja menyediakan peluang komunikasi pelbagai

hala di dalam bilik darjah, tetapi juga dapat memanfaatkan kumpulan murid
berpencapaian rendah dan tinggi apabila mereka menyelesaikan tugasan pembelajaran
bersama. Misalnya, murid yang lemah dapat memperoleh pemahaman yang lebih jelas
melalui bimbingan rakan sebaya yang lebih mahir manakala murid yang berperanan
sebagai tutor akan diberi peluang untuk berfikir dan mengaplikasikan pengetahuan
secara mendalam. Sepanjang proses penjanaan dan pertukaran idea dalam kumpulan,
murid-murid juga dapat menyerap sifat-sifat sosial yang positif seperti bekerjasama dan
memperhaluskan kemahiran sosialisasi mereka. Namun, guru seharusnya memastikan
kumpulan yang terbentuk tidak melebihi daripada 5 orang agar semua murid berpeluang
untuk melibatkan diri secara menyeluruh dalam aktiviti P&P, malahan penyampaian isi
pelajaran juga dapat dimaksimumkan.
SIMULASI DAN MAIN PERANAN
Situasi pembelajaran yang seronok akan wujud sekiranya guru melaksanakan
jenakan dalam bilik darjah semasa pengajaran dan pembelajaran. Seiring dengan
implementasi KSSR dalam sistem pendidikan sekolah rendah sejak tahun 2011, KPM
juga telah memperkenalkan konsep pembelajaran yang menyeronokkan (learning is fun)
untuk menjadi panduan kepada para guru bagi mewujudkan suasana P&P yang riang
dan mengoptimumkan keberkesanan proses P&P di dalam bilik darjah. Dalam usaha
mengikis tanggapan negatif terhadap P&P dan merealisasikan konsep didik hibur dalam
alam pendidikan, guru yang mengamalkan sifat jenaka dalam komunikasi lebih
cenderung mengaplikasikan simulasi dan main peranan (lakonan) semasa sesi P&P
kerana kaedah pengajaran tersebut bukan sahaja mudah disesuaikan dengan elemenelemen kecindan, seperti karakter kartun dan cerita humor, tetapi juga merupakan
sejenis aktiviti bermain yang dapat merangsang imaginasi dan pemikiran murid secara
kreatif dan divergen. Hasil pemikiran tersebut juga selalunya menjadi sumber amalan
jenaka yang penting untuk menghiburkan dan meriangkan suasana pembelajaran yang
tertekan dan tegang. Secara umumnya, main peranan bermaksud kaedah kumpulan
berorientasikan proses yang memerlukan murid melakonkan sesuatu watak atau situasi
kehidupan sebenar manakala simulasi pula merupakan aktiviti persembahan dan
pemindahan konsep yang dikuasai ke dalam situasi sebenar (Noriati et.al, 2012).
Kewujudan interaksi sosial yang aktif dan suasana sosioemosi yang relaks dan gembira
sepanjang perjalanan aktiviti tersebut secara langsung akan memupuk motivasi
pembelajaran murid dan membantu mengoptimumkan keberkesanan P&P di dalam bilik

darjah. Pernyataan ini dapat disokong oleh hukum kesan Thorndike yang menegaskan
bahawa akan keinginan untuk belajar bertambah kukuh jika murid memperoleh kesan
pengalaman yang menyeronokkan. Selain memenuhi konsep learning is fun, kaedah
pengajaran main peranan dan simulasi juga amat membantu murid-murid dalam
memahami dan menguasai konsep yang abstrak. Misalnya, melalui aktiviti simulasi topik
keadaan bahan (state of matter), murid-murid dapat memahami perbezaan susunan dan
pergerakan atom antara pepejal, cecair dan gas dengan lebih jelas. Peningkatan
motivasi pembelajaran dan pemahaman murid terhadap konteks pembelajaran yang
diajar sepanjang pelaksanaan aktiviti-akitiviti aktif ini secara langsung akan membantu
meningkatkan pencapaian akademik murid-murid .
KESIMPULAN:
Pencapaian akademik dan tingkah laku murid banyak dipengaruhi oleh kualiti
hubungan guru-murid (Jones, 1995 daripada Haliza Hamzah & Joy N. Samuel, 2009).
Manakala, faktor yang menentukan kejayaan pembinaan hubungan yang mesra antara
guru dengan murid amat bergantung kepada stail komunikasi yang diamalkan oleh
seseorang guru. Tidak ketinggalan juga, kepentingan kemahiran komunikasi tidak hanya
dilihat dari aspek penyampaian pengetahuan semata-mata, malahan ia merupakan satu
bonus kepada guru untuk menarik dan mengekalkan minat pembelajaran murid,
membina kepercayaan dengan murid dan mengurangkan batasan darjat dengan murid
agar guru dapat lebih memahami keperluan dan kehendak murid. Oleh itu, guru
seharusnya memartabatkan keterampilan komunikasi sendiri dari segi verbal dan nonverbal sendiri, mengamalkan kemahiran mendengar secara aktif dan berempati,
mempraktikkan stail komunikasi asertif, mengingtegrasikan unsur jenaka serta
mengaplikasikan kaedah-kaedah pengajaran yang berpusatkan murid dan berteraskan
konsep learning is fun, seperti gaya kepimpinan demokraktik, teknik menyoal, kaedah
pembelajaran secara koperatif, simulasi dan main peranan sepanjang proses P&P
situasi yang penyayang dan demokratik serta mencorakkan suasana pengajaran yang
menarik dan menyeronokkan supaya pencapaian akademik murid dapat diperkasakan
dan masalah disiplin murid dapat ditangani secara efektif tanpa meninggalkan impak
yang destruktif terhadap perkembangan sosioemosi murid. Ingat, guru yang memiliki
stail komunikasi yang berkesan akan menzahirkan generasi muda yang berketerampilan
dalam kemahiran sosialisasi dan pengurusan konflik sosioemosi!

Anda mungkin juga menyukai