Anda di halaman 1dari 4

Kisah pengalaman suami semasa isteri bersalin - lelaki patut baca

13
DEC

Kisah pengalaman suami semasa isteri bersalin lelaki patut baca-Kisah Benar. Luahan Pengalaman
Seorang Suami
(LELAKI WAJIB BACA)
Apabila menatap gambar-gambar ibu bersalin, menerawang fikiran aku teringatkan kembali detikdetik isteri aku ingin melahirkan zuriat pertamaku ke dunia. Ketika diberitahu isteriku dimasukkan
ke dalam hospital pada jam 1 pagi aku masih dibuai mimpi di rumah sewa berhampiran universiti.
Keletihan akibat kuliah penuh sepanjang hari sebelumnya. Sebelum tidur, aku sempat berbalasbalas SMS dengan isteriku bertanyakan keadaannya ketika itu. Katanya, dia tidak makan sejak
petang lagi. Aku menyuruh dia mengambil air susu sebelum tidur.

Isteriku dimasukkan ke wad kerana air ketuban telah pecah. Katanya bukaan hanya 2cm ketika itu.
Dia memberitahuku supaya jangan risau kerana masih belum rasa sakit bersalin. Pada keesokan
harinya barulah aku bertolak ke hospital untuk bertemu dengan isteri yang kucintai. Menatap
wajahnya yang tidak bermaya, baru aku teringat yang isteriku masih tidak menyentuh makanan
sejak dari petang semalam. Aku menyuruhnya makan sedikit, tetapi dia menolak kerana doktor
telah menyuruh isteriku berpuasa bermula jam 6 pagi. Sayu melihat dirinya yang lemah, aku
menghulurkan air minuman untuk membasahkan tekaknya. Tabahnyaa dirimu..
Apabila jam menunjukkan pukul 10.00 pagi dengan bukaan seluas 4cm, dia ditolak masuk ke
dalam labour room. Entah kenapa dengan bukaan seluas itu, dia sudah ditolak masuk ke bilik
bersalin. Aku pun confuse. Setahu aku, bukaan yang sesuai untuk melahirkan anak ialah 10cm.
Dan aku dimaklumkan oleh guard wanita India yang bertugas, isteri aku ditempatkan di bilik D. Dia
memaklumkan bahawa kebiasaannya bilik itu akan dihuni oleh mereka yang mengalami masalah
untuk bersalin. Aku mula gelisah. Tak tentu arah. Mungkin itu adalah mitos yang direka oleh achi
India itu berdasarkan pengalamannya sebagai senior guard di sana. Pujuk aku sendirian.
Berbekalkan Quran burukku yang aku bawa bersama barang-barang isteri dan baby yang bakal
dilahirkan, aku selak helaian 440. Ya.. Aku mencari surah Yaasin. Pesan nenekku, bacalah Yaasin.

Semoga dengan berkat dan rahmat yang ada pada surah itu dapat membantu isteriku bersalin
secara normal. Kumulakan dari al-fatihah dan disusuli surah karamah itu. Satu persatu perkataan
dan ayatnya ku alunkan perlahan sambil di dalam hati tak henti-henti berdoa agar diselamatkan
isteri dan anakku.
Usai membaca Yaasin dan menunaikan solat Zohor, aku tunggu lagi. Achi India yang sedari tadi
memerhatikan gerak langkahku menegurku Adik.. Mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu belakang.
Adik boleh jumpa isteri adik,pelawanya ramah. Mungkin dia sedar aku dah semakin gelisah dan
asyik mengintai ke dalam labour room. Alhamdulillah. Kalau boleh jumpa tenang sikit hati aku
sebab dari tadi hanya membalas sms je. Keadaan sebenar isteri aku tidak aku ketahui.
Dari jam 10 sampailah jam 4 petang isteriku ditahan. Bukaannya sekarang hanyalah 6cm. Setelah
diinduce kali ke dua, bukaan rahimnya masih belum membenarkan bayi untuk keluar. Akibat terlalu
lama menunggu, akhirnya doktor memutuskan isteriku perlu dibedah.. Ini kerana bayi di dalam
kandungan isteriku semakin lemah. Aku yang cuba mengawal diri agar tidak panik, akhirnya tewas
kepada diri sendiri. Air mata yang cuba ku sekat agar tidak mengalir seolah-olah tidak dapat
dibendung. Seolah-olah mataku tidak ada penakung. Setiap kali aku bertutur, menenangkan
isteriku.. Setiap kali itulah air mataku kan bercucuran jatuh ke tangannya. Mana taknya.. dengan
keadaan dirinya yang sudah tidak bermaya, ditambah pula dengan tangan dan kakinya sejuk
bagaikan direndam ais, tubuhnya menggigil. Dengan segala macam wayar berselirat di perut dan
tangannya.. Hatiku meruntun sayu. Para doktor meninggalkan aku dan isteri untuk meluangkan
masa bersama. Mungkin ini adalah untuk kali terakhirnya aku boleh bercakap bersama isteriku. Ini
kerana doktor telah membuat keputusan, isteri aku mesti dibedah bagi menyelamatkan bayi yang
hampir lemas.
Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik bersalin itu..Mata kami bertentangan. Isteriku
perasan mataku kembali berkaca. Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan
semangatku.
Abang.. Hensemnya Abang harini. Abang suka tak dengan baju yang sayang belikan untuk Abang
tu?
Pada ketika itu juga, aku tidak dapat menjawab dengan perkataan tapi aku rangkul dirinya sambil
menangis teresak-esak seperti tiada lagi esok untuk kami bersama. Aku tidak mampu bersuara
walaupun mengeluarkan sepatah kata. Tapi, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa.
Walaupun dia berpuasa , dia masih gagah. Masih kuat untuk memulihkan semangatku yang
semakin luntur..
Abang.. Seandainya doktor memberi pilihan, siapakah yang Abang ingin selamatkan, sayang atau
anak kita.. Abang tolong jawab Selamatkan anak saya.. . Berilah anak kita peluang untuk
merasai kebahagiaan hidup di dunia ini biarpun tanpa umminya di sisi..
Sekali lagi aku menangis semahunya. Aku tidak mahu keadaan itu berlaku. Aku mahukan isteri
aku. Aku mahukan kedua-duanya berada di sisiku. Membesarkan anakku bersama insan pilihanku.
Tamatnya waktu bersama. Isteriku ditolak untuk dibawa ke bilik pembedahan. Aku menghantar
Isteriku dengan lirik mata berair sebelum berlalu ke musolla hospital. Aku berwudhuk. Solat 2
rakaat. Aku sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteriku juga untuk diriku lebih-lebih
lagi. Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama ini. Aku menangis semahu-mahunya..
Sedari jam 4.30 petang aku menanti penuh sabar di luar bilik pembedahan. Aku dail, aku telefon
nombor keluarga terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan yanga aku kenal. Aku pohon dan
merayu dari mereka agar doa dikirim buat isteriku yang sedang bertarung nyawa melahirkan
seorang khalifah penambah ummat Nabi tercinta. Mulutku tidak henti-henti menbacakan Hizbul
Bahri. Zikir berharga yang tiada nilainya yang aku terima ijazahnya dari Al-Allamah Syeikh
Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.

1 jam berlalu. Mundar-mandirku tidak mengeluhku untuk aku duduk. Walaupun kakiku lenguh
berdiri dari tadi, tapi perasaan ingin tahu akan keadaan isteriku melenyapkan semua keletihan itu.
Akhirnya penantian aku berakhir.. Seorang nurse menolak troli tertutup.. incubator barangkali
namanya.. dengan seorang bayi mata bulat muka mirip anak Cina. Oh! Rupa-rupanya, bukan isteri
aku seorang kat dalam. Ibu cina pun ada.
Suami kepada Zulaikha Suami kepada Zulaikha jerit nurse mencari Yusuf Zulaikha.
Orang ramai yang turut sama mengintai bayi cina itu berpandangan antara satu sama lain
termasuklah aku. Tiba-tiba aku teringat. Akulah suami Zulaikha. Macam manalah boleh lupa pulak
time-time macam tu. Aisehhh.. Biasalah beb. Cuak kot masa tu. Sampai nama bini pun lupa daaa..
Ya.. Saya kak. Saya suami dia
Encik.. Ini anak encik. Encik bolehlah pegang dan azankan dia. Tapi sebelum tu, Encik kena kata
apa?
Nak kata apa pulak nurse ni. Alhamdulillah ke? Ke terima kasih nurse? Mana aku tahu. Dah la rasa
tak percaya pun ada yang anak cina yang aku sangka tadi tu rupanya anak aku.. Boleh pulak dia
suruh kata apa. Aduilaa.. Nurse pun.
Mungkin nurse tu perasan aku tengah blur, dia pun selak kain bedung anak aku bagi menyatakan
jantinanya. Oh.. Nurse nak suruh aku buat pengakuan yang anak aku ni perempuan. Baru aku
faham.
Perempuan nurse kataku tersenyum malu.
Aku dakap anak aku. Aku cium dahi dan kedu-dua pipinya lalu aku azan dan iqamatkan di keduadua belah telinganya. Allahurabbi. Comelnya anak aku. Mata hitam dia bulat besar. Taknak tutup
pulak tu. Alhamdulillah.
Nurse, macamana dengan isteri saya? Bagaimana keadaan dia? tanyaku setelah sedar dari
pukauan mata anak aku ini.
Isteri encik selamat. Dia sedang dijahit. Kejap lagi dia keluar..
Tidak lama selepas itu, Isteri aku ditolak keluar. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu ya Allah. Biarpun
Kau mentaqdirkan dia bersalin secara Caesar, namun aku bersyukur sangat-sangat kerana Engkau
masih lagi memberikan kesempatan untuk aku berkasih-sayang dengannya. Hanya pada Mu segala
puji-pujian layak kami berikan.
Keluarnya isteri aku dari bilik pembedahan bukannya dengan tangisan. Malah, tiada setitis air pun
yang aku perasan membasahi matanya. Walaupun kesakitan, seukir senyuman dia hadiahkan
kepadaku. Terharu. Sungguh terharu. Aku kucup dahinya dan mengucapkan
Terima kasih Sayang kerana sanggup berkorban nyawa demi melahirkan zuriat Abang.
P/S : Wahai suami sekalian.. Hargailah isteri kita sebaiknya. Apabila ada tercalit perasaan tidak
puas hati dan ingin marah kepadanya.. Ingatlah akan pengorbanan yang telah dia berikan kepada
kita. Zuriat keturunan kita yang lahir dari rahimnya. Diamkanlah diri tenangkanlah hati. Bila
keadaan kembali reda, bersuaralah. Nasihatilah mereka dengan hikmah hasanah. Bukan dengan
kekerasan yang bakal mengundang padah. Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang yang
bengkok. Andai ditegakkan dengan kekerasan nescaya kan patahlah ia. Akan tetapi andai dilentur
dengan lemah lembut dan profesional, dia kan menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi
di syurga yang kekal selamanya.

Gambar Hiasan
admiral_ris@yahoo.com