Anda di halaman 1dari 7

Sinopsis Hikayat Raja Pasai

Hikayat Raja Pasai bermula dengan kisah dua orang raja yang bersaudara, iaitu Raja Ahmad
dan Raja Muhammad. Pada awalnya, mereka ingin membuka negeri di Samarlangga. Ketika
menebas hutan untuk membuka negeri, Raja Muhammad telah menemui seorang kanak-kanak
perempuan dari sebuah pokok buluh. Lalu dia mengambil kanak-kanak itu, dan menjadikannya
sebagai anaknya sendiri. Kanak-kanak itu dinamakan Puteri Betung. Raja Ahmad pula
mendapat seorang anak lelaki yang dijaga oleh seekor gajah. Anak lelaki itu dinamakan Merah
Gajah. Setelah dewasa, Puteri Betung dan Merah Gajah dinikahkan. Mereka mendapat dua
orang anak lelaki yang diberi nama Merah Silau dan Merah Hasum.
Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai rambut Puteri Betung yang berwarna emas. Dia
meminta untuk mencabut rambut itu dari Puteri Betung tetapi Puteri Betung tidak
mengizinkannya. Namun demikian, Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri
Betung sedang tidur. Akibat daripada perbuatan itu, keluarlah darah putih dari kepala Puteri
Betung kemudian beliau meninggal dunia. Apabila diketahui oleh Raja Muhammad, baginda
sangat marah lalu membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mengetahui bahawa anaknya
dibunuh, baginda terus melancarkan perang terhadap Raja Muhammad. Akhirnya, kedua-dua
raja tersebut menemui ajal dalam peperangan tersebut.
Setelah perang selesai, Merah Silau dan Merah Hasum bersepakat untuk meninggalkan negeri
Samarlangga dan berniat untuk membuka negeri lain. Merah Silau membuka negeri Samudera.
Setelah diislamkan, Merah Silau menukar namanya menjadi Malikul Saleh. Baginda
kemudiannya mengahwini puteri Sultan Perlak, iaitu Puteri Ganggang. Daripada perkahwinan
itu, lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Malikul Tahir. Tampuk pemerintahan diambil
alih pula oleh Malikul Tahil. Setelah baginda mangkat, kedua putera Malikul Tahir iaitu Malikul
Mahmud dan Malikul Mansur yang mengambil alih tugas bapanya. Malikul Mahmud
memerintah Samudera manakala Malikul Mansur memerintah negeri Pasai. Setelah Malikul
Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal
Perumal. Pemerintah negeri Pasai diakhiri oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal kerana
berlakunya zaman kejatuhan Pasai.
Pada suatu hari, Merah Silau pergi berburu dengan membawa anjingnya, Si Pasai. Apabila
baginda melepaskan Si Pasai, anjing itu terus menyalak di atas sebuah bukit yang tinggi. Lalu
Merah Silau melihat di sana terdapat seekor semut yang sangat besar, sebesar seekor kucing.
Kemudian, Merah Silau menangkap semut tersebut lalu dimakannya. Merah Silau kemudiannya
menyuruh para pengikutnya menebas hutan untuk menjadikan kawasan itu sebuah negeri.
Setelah siap, Merah Silau tinggal di kawasan itu dengan membuat istana miliknya bersamasama dengan segala hulu balang dan rakyat jelata. Lalu, baginda menamakan negeri itu sebagai
Samudera, sempena semut besar yang ditemuinya.
Nama negeri Pasai pula diambil daripada nama anjing Sultan Malikul Saleh. Pada suatu hari,
Sultan Malikul Saleh pergi berburu dengan para pengikutnya di tepi laut. Turut bersama
baginda ialah anjang peliharannya, Si Pasai. Setelah tiba di tepi laut, Si Pasai dilepaskan lalu
masuk ke dalam hutan. Kemudian, Si Pasai bertemu dengan seekor pelanduk yang sedang
duduk berehat di atas suatu kawasan tanah tinggi. Si Pasai kemudiannya menyalak kepada
pelanduk tersebut dan ingin menangkapnya. Sesuatu yang ganjil telah berlaku apabila pelanduk
itu membalas salakan Si Pasai. Apabila Si Pasai mendengar salakan pelanduk tadi, ia pun
kembali ke belakang iaitu di tempat asalnya. Setelah Sultan Malikul Saleh melihat kejadian yang
berlaku itu, baginda pun cuba untuk menangkap pelanduk itu tadi. Namun, pelanduk itu dapat
melarikan diri dari ditangkap oleh Sultan Malikul Saleh. Baginda kemudiannya menanyakan

kepada semua hulu baling sama ada pernah melihat seekor pelanduk yang gagah sekali.
Setelah itu, terlintas di fikiran Sultan Malikul Saleh untuk membuka negeri baru khas untuk
anakandanya, Sultan Malikul Tahir. Setelah kembali ke negeri Samudera, baginda
memerintahkan agar kawasan tersebut dibersihkan, lalu baginda mendirikan sebuah istana di
kawasan itu. Tidak berapa lama kemudian, maka selesailah semua pembinaan di kawasan tanah
tinggi tersebut kemudian anjing baginda, Si Pasai pun mati. Baginda kemudian memerintahkan
agar Si Pasai ditanam di negeri yang baru dibuka itu. Sempena kematian Si Pasai, maka Sultan
Malikul Saleh menamakan negeri baru itu sebagai negeri Pasai.
Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan kepada seorang sahabat bahawa suatu hari nanti akan
muncul negeri di bawah angin yang bernama Samudera. Apabila berlakunya hal ini, maka
hendaklah dihantar orang untuk mengislamkan orang-orang di negeri ini kerana di sinilah akan
melahirkan ramai wali-wali Allah. Rasulullah juga berwasiat supaya rombongan yang bakal
pergi ke sana singgah terlebih dahulu di negeri Mengiri untuk mengambil seorang fakir untuk
dibawa ke Samudera. Wasiat tersebut kemudiannya sampai kepada Sharif Mekah iaitu Raja
yang memerintah Mekah dan sekitarnya, Madinah dan wilayah Hijaz. Seorang ulamak yang
bernama Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal bagi menjayakan wasiat
Rasulullah itu. Beliau dan orang-orangnya pun kemudiannya berlayar ke negeri Mengiri seperti
yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad, iaitu sebuah negeri yang terletak di benua Hindi.
Negeri Meringi ini diperintah oleh seorang raja yang bernama Raja Muhammad. Menurut
cerita, Raja Muhammad adalah daripada keturunan sahabat baginda S.A.W iaitu Saidina Abu
Bakar. Sebaik sahaja beliau mendapat tahu ada kapal hendak berlabuh di negerinya bagi
memenuhi permintaan Sharif Mekah, baginda terus turun takhta lalu menabalkan seorang
anaknya sebagai Raja Meringi yang baru. Selain itu, baginda juga melucutkan pakaian
bangsawan yang ada di tubuhnya lalu menukar kepada pakaian orang fakir. Raja Muhammad
yang telah menjadi fakir ini membawa pula seorang anaknya yang muda untuk meninggalkan
istana dan bersama-sama menjadi fakir. Mereka pergi berjumpa Sheikh Ismail lalu meminta
supaya dibawa belayar ke Samudera untuk bersama-sama menunaikan wasiat Nabi S.A.W.
Rombongan itu pun belayar mencari negeri Samudera. Tetapi,mereka tidak pasti kedudukan
negeri tersebut sehinggalah mereka tersasar ke negeri Barus, Lamuri dan Perlak. Walau
bagaimanapun, rombongan ini turut singgah di negeri-negeri untuk mengislamkan raja dan
penduduknya tetapi apabila disuruh membaca al-Quran yang dibawa dari Mekah, tidak ada
seorang pun yang pandai membacanya.
Pada suatu malam, Merah Silau sedang tidur. Dalam tidur baginda bermimpi melihat seorang
tua berjubah datang dan memegang dagunya. Kemudian, orang itu menutup mata baginda
dengan tangannya. Orang dalam mimpi tersebut menyuruh Merah Silau mengucap dua kalimah
syahadah. Merah Silau bertanya kepada lelaki tersebut cara untuk mengucap, lalu lelaki itu
menyuruh Merah Silau membuka mulutnya lantas meludah ke dalam mulutnya. Orang itu
kemudiannya mengisytiharkan bahawa Merah Silau sebagai raja, dan nama barunya ialah
Sultan Malikul Saleh.
Orang itu juga berpesan kepada Merah Silau agar hanya memakan makanan yang halal dan
menjauhi makanan yang haram, iaitu memakan binatang yang disembelih sahaja. Selain itu,
orang tua itu juga memberitahu Merah Silau bahawa baginda sekarang berada dalam syariat
agama Isam, iaitu agama Allah. Orang tua itu juga sempat mengingatkan Merah Silau bahawa
dalam masa empat hari sahaja lagi akan sampai sebuah kapal dari Mekah, dan Merah Silau
hendaklah mengikut apa sahaja yang dibawa oleh rombongan tersebut tanpa banyak bantahan.

Merah Silau kemudian dapat tahu bahawa orang lelaki itu ialah Nabi Muhammad S.A.W.
setelah terjaga, Merah Silau merasakan bahawa dirinya sudah dikhatankan. Kesan itu boleh
dilihat nyata pada tubuhnya. Baginda juga sentiasa mengucapkan dua kalimah syahadah tanpa
henti. Kemudian, baginda membaca al-Quran tiga puluh juzuk dengan lancar sehingga tamat.
Semua menteri dan hulu balang merasa hairan mendengar perkataan demi perkataan yang
disebut oleh raja mereka, kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendengarnya.
Tidak lama kemudian, rombongan Sheikh Ismail sampai ke Teluk Terli lalu berlabuh di situ.
Fakir Muhammad terjumpa dengan seorang lelaki yang sedang menjala ikan lalu bertanya nama
negeri tersebut dan nama ketuanya. Lelaki itu menjawab bahawa negeri itu ialah Samudera dan
rajanya ialah Merah Silau atau nama islamnya, Malikul Saleh.
Pada keesokan harinya, Syeikh Ismail pun turun ke darat lalu pergi menemui Sultan Malikul
Saleh. Syeikh Ismail meminta Sultan Malikul Saleh mengucap dua kalimah syahadah. Lalu
mengucaplah Sultan Malikul Saleh tanpa sebarang kesalahan. Pada keesokan harinya pula,
Syeikh Ismail bersama fakir Muhammad datang kembali menemui Sultan Malikul Saleh dengan
membawa al-Quran tiga puluh juzuk. Sultan Malikul Saleh membaca al-Quran itu dengan betul
tanpa perlu diajar. Syeikh Ismail dan fakir Muhammad akhirnya bersyukur kerana telah
menemui orang yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Syeikh Ismail kemudiannya meminta Sultan Malikul Saleh untuk menghimpunkan segala
hulubalang dan seluruh rakyat yang terdiri daripada semua peringkat umur dan jantina. Setelah
dihimpunkan, mereka diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh Syeikh Ismail. Mereka
mengucapkannya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Oleh sebab itu, negeri Samudera
disebut juga sebagai Negeri Darulsalam. Hal ini kerana, setelah memeluk Islam, negeri itu
berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera.
Setelah Sultan Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan
Ahmad Perumudal Perumal. Sultan Ahmad dirajakan oleh Sultan Malikul Saleh itu sendiri di
Pasai. Sultan Ahmad ini ialah seorang pemerintah yang zalim. Dia sanggup membunuh anaknya
sendiri. Kezalimannya juga diketahui oleh kerajaan Majapahit.
Sultan Ahmad Perumudal Perumal ini sangat menyukai perempuan dan akan mengahwini
mana-mana sahaja perempuan yang baginda inginkan. Oleh sebab itu, baginda mempunyai
anak seramai 30 orang. Lima orang anaknya ialah seibu dan sebapa, iaitu Tun Beraim Bapa,
Tun Abdul Jalil, Tun Abul Fadil, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Anaknya Tun Beraim
Bapa itu merupakan seorang pahlawan yang sangat kuat dan tidak ada bandingnya pada zaman
tersebut. Manakala, Tun Abdul Jalil merupakan seorang lelaki yang sangat kacak rupa parasnya.
Tun Abul Fadil pula seorang anak yang kuat agama dan bijaksana dalam soal keagamaan. Dua
orang anak perempuannya Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara sangat cantik dan tidak ada
tandingannya pada zaman itu.
Kezaliman Sultan Ahmad dapat dilihat apabila baginda berahikan kedua-dua anak kandungnya
sendiri dan memberitahu para pembesarnya bahawa dia ingin mengahwini dua puteri
kandungnya tersebut. Setelah Tun Beraim Bapa mendengar berita tersebut, segera baginda
melarikan kedua-dua adiknya ke Tukas. Apabila Sultan Ahmad mengetahui akan hal tersebut,
baginda sangat marah. Sultan Ahmad bertambah marah apabila mengetahui puteranya
bergurau senda dengan seorang dayang yang cantik bernama Fatimah Lampau. Oleh sebab itu,
baginda kemudiannya merancang untuk membunuh anaknya Tun Beraim Bapa. Pelbagai cara
yang dibuatnya untuk membunuh Tun Beraim Bapa, namun semuanya gagal kerana
keperkasaan Tun Beraim Bapa.

Raja Ahmad kemudiannya menghantarkan makanan beracun kepada Tun Beraim Bapa. Tun
Beraim bapa memberikan makanan tersebut kepada anjing lalu anjing itu pun mati. Baginda
memberikan pula kepada ayam, ayam tersebut juga mati. Oleh sebab Tun Beraim Bapa tidak
mahu menderhaka, maka dia juga turut memakan makanan itu. Lalu gatal-gatal seluruh
tubuhnya. Adik-adik perempuannya juga meninggal dunia kerana memakan makanan itu.
Akhirnya, Tun Beraim Bapa mati dan dikuburkan di Bukit Fudul Allah.
Kezaliman Sultan Ahmad Perumudal Perumal tidak berhenti setakat itu sahaja. Baginda
kemudiannya membunuh puteranya Tun Abdul Jalil. Baginda membunuh anak-anaknya hanya
kerana puteri Majapahit jatuh cinta dengan anaknya. Puteri itu bernama Tuan Puteri
Gemerencang. Puteri Gemerencang jatuh hati setelah melihat gambar Tun Abdul Jalil yang
sangat kacak. Oleh sebab itu, Tuan Puteri Gemerencang pun pergi belayar ke negeri Pasai.
Apabila Sultan Ahmad mengetahui Tuan Puteri Gemercangan ingin datang ke Pasai kerana
mahu berkahwin dengan Tun Abdul Jalil, maka Sultan Ahmad sangat cemburu lalu membunuh
puteranya itu. Apabila Tuan Puteri Gemercangan mendengar berita kematian Tun Abdul Jalil,
dia pun berdoa agar dimatikan oleh Allah. Lalu, kapalnya tenggelam dalam laut Jambu Air,
tempat mayat Tun Abdul Jalil dibuang. Angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan
pulang kembali ke benua Jawa. Apabila mendengar berita kematian Tuan Puteri Gemercangan,
Sultan Ahmad berasa sangat menyesal.
Setelah angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan sampai ke benua Jawa, mereka
memberitahu akan hal yang berlaku. Oleh sebab itu, maka Sang Nata sebagai raja Majapahit
mengambil keputusan untuk menyerang Pasai. Oleh sebab panglima perang Pasai yang handal,
iaitu Tun Beraim Bapa sudah tiada, maka Pasai pun kalah. Akhirnya, Sultan Ahmad melarikan
diri ke Menduga dengan penuh sesalan. Akhirnya, negeri Pasai berjaya ditawan oleh Majapahit.

Karya zaman Islam kaya nilai estetika

Dalam konteks ini, teks agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Hang
Tuah dan lain-lain termasuk Hikayat Inderaputera, Syair Bidasari menonjolkan nilai-nilai ini
dengan begitu ketara.
Konsep estetika yang terlihat pada teks-teks ini banyak berteraskan kepada unsur-unsur Hindu
- Jawa dan Parsi. Ia agak berbeza dengan karya-karya sastera tradisional yang dilahirkan pada
era selepas teks ini yang menonjolkan nilai-nilai keislaman yang lebih luas.
Menurut Prof. Dr. Vladimir I. Braginsky dari Pusat Bahasa dan Budaya Asia Tenggara,
Universiti London, asas keislaman inilah menjadikan teks-teks abad ke-18 kaya dengan nilainilai estetik.
Dalam erti kata lain, teks-teks selepas era Sejarah Melayu menggambarkan cakupan Islam yang
lebih luas sama ada kelompok feudal mahupun rakyat jelata. Kedudukan inilah yang
membezakan teks agung tersebut dengan naskhah-naskhah yang lebih terkini yang
memperlihatkan pengaruh Islam yang lebih jelas.
Pada Seminar Teori Sastera Islam anjuran DBP baru-baru ini, Braginski menegaskan karyakarya terbaharu seperti Hikayat Maharaja Ali lebih menonjolkan nuansa Islamnya.
"Meskipun hikayat ini tidak menunjukkan fungsi penulisannya yang jelas tetapi berbanding
dengan teks-teks tradisional yang lain, ia begitu dari aspek estetik dan nilai-nilai keislamannya.
"Antara lain mengungkapkan tentang kisah kematian Nabi Isa dan pelbagai kejadian selepas
kematian yang dikaitkan dengan kebesaran-Nya,'' ujar Braginski.
Selain itu, teks ini juga menurut Braginski lebih menonjolkan aspek-aspek keislaman dalam
keluarga istana dan birokrasi yang jelas.
Dalam beberapa aspek, Hikayat Maharaja Ali juga berbeza dengan hikayat-hikayat Melayu di
Nusantara iaitu menentang kisah-kisah kecurangan wanita yang tersebar luas dalam sasterasastera Islam umumnya dan sastera Melayu khususnya.
Jelasnya penerapan nilai-nilai Islam seperti percakapan Nabi Isa dengan tengkorak Maharaja
Ali seperti yang termuat di dalam hikayat ini menjadikannya begitu menonjol dengan nilai-nilai
estetika Islam.
"Dengan memaparkan aspek-aspek ini, Hikayat Maharaja Ali merupakan sebuah karangan yang
menandai Islamisasi secara definitif atas genre 'hikayat pertualangan ajaib' dan yang
menggunakan estetika serta puitika genre untuk mengungkapkan nilai-nilai asasi etika Islam,
baik kenegaraan mahupun perseorangan.
"Nilai-nilai ini dinyatakan oleh pengarang dengan kemahiran sastera yang menakjubkan. Cara
pengisahan padat, lakonik dan penuh dengan pembangunan kisah yang seimbang dan simetris,''
ujar Braginski.

Braginski juga menegaskan Hikayat Maharaja Ali menjadi sebahagian daripada 'perubahan'
nilai-nilai estetik sastera Islam hasil pemahaman Islam masyarakat yang lebih merata di
Nusantara terutama pada abad tersebut.
Dasar keislaman yang kukuh ini meletakkan sastera Islam di Nusantara umumnya dan Malaysia
khasnya sebagai ideologi pengarang untuk mewadahi masyarakatnya yang Islam.
Di sisi lain, naskhah ini secara langsung mampu diletakkan sebaris dengan teks-teks agung lain
seperti Hikayat Bakhtiar, Hikayat Raja Jumjumah dan Kisas al-Anbiya.
Hasil daripada 'kesungguhan' ini muncul pendekatan seperti Puitika Melayu oleh Prof.
Muhammad Salleh, Pengkaedahan Melayu oleh Prof. Datuk Dr. Hashim Awang, Takmilah oleh
Dr. Shafie Abu Bakar, Pendidikan Estetika Dalam Kerangka Tauhid oleh Dr. Affandi Hassan,
Teksdealisme oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rahman napiah (Mana Sikana) dan Rasa
Fenomenologi oleh Dr. Suhaimi Abd. Aziz.
Menurut Dr. Jaelani Harun dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, dalam konteks
kesusasteraan moden di tanah air hari ini, teori sastera berasaskan Islam wajar diberi peluang
sebagai 'pengganti teori-teori Barat'.
Jelasnya, di samping teori-teori tempatan yang sedia ada, para sarjana harus lebih giat menggali
kepada beberapa aspek terutamanya khazanah kesusasteraan Islam dalam usaha penciptaan
teori.
"Teori kesusasteraan Islam yang berasaskan genre adab ketatanegaraan misalnya boleh
diaplikasikan ke atas karya moden: novel dan cerpen.
"Saya berkeyakinan bahawa sebarang teori yang lahir pada asas falsafah, prinsip dan ciri-ciri
genre adab ketatanegaraan boleh memberi manfaat kepada kesusasteraan Melayu klasik atau
moden,'' katanya.
Ketika membentangkan kertas kerjanya pada Seminar Teori Sastera Islam di Putrajaya barubaru ini, beliau yakin dalam konteks kesusasteraan Melayu dan Islam, teori berasaskan Islam
akan mendapat tempat.
"Gabungan antara idealisme dengan ciri-ciri tradisi kesusasteraan Islam yang pelbagai yang
merangkumi genre prosa dan puisi akan melahirkan suatu teori kesusasteraan Islam yang lebih
mantap dan berwibawa,'' tegas Jaelani.
Bagi pensyarah Institut Pujangga UUM, Dr. Syed Othman Syed Omar, teori sastera yang
berasaskan Islam akan dapat menganalisis secara lebih tuntas aspek falsafah dan nilai-nilai
estetik dalam karya-karya Melayu dari pelbagai genre.
Ini kerana menurutnya sastera Islam khasnya dan sastera Melayu umumnya sejak sebelum

merdeka begitu jelas membawa citra estetika Islam. Oleh itu, satu pendekatan yang berasaskan
Islam perlu untuk mengkritik dan menganalisisnya.
"Keindahan alam semesta, kejadian manusia dan lain-lain adalah sumber kepada pertumbuhan
pelbagai ilmu pengetahuan dalam diri manusia. Dan sumber inilah yang menjadi bahan
penulisan para intelektual dan sasterawan,'' katanya.
Dr. Abdul Rahman Napiah dari Jabatan Persuratan Melayu UKM, menegaskan perlunya sarjana
tempatan melakukan ijtihad, melahirkan sebuah pendekatan kritikan Islam untuk menganalisis
sastera Melayu.
"Sebenarnya dalam sejarah Islam telah lahir tradisi kritikan Islamnya sendiri. Jadi di sini, ada
kemungkinan yang terbuka untuk kita mengambil semula konsep daripada prinsip kritikan
Islam yang sudah sedia ada itu.
"Kita kemudian boleh menyesuaikannya dari sudut metodologinya dengan situasi dan kondisi
kesusasteraan zaman ini di Malaysia,'' jelasnya.
Meskipun begitu menurutnya, penggalian teori sastera Islam harus didasarkan kepada beberapa
kriteria. Antara lain ia harus membawa kebaikan kepada khalayak dan kejayaan untuk
memperkukuhkan iman dan pembentukan akhlak Islamiah.
"Dalam amalannya, sesebuah teori kritikan Islam harus sebenar-benarnya menjalankan
fungsinya menurut kehendak Islam dan segenap ajarannya,'' tambah Abdul Rahman.
Di sisi lain, Abdul Rahman melihat teori kritikan Islam dalam konteks ini harus diberi tempat
yang sewajarnya dalam kemeriahan perkembangan kritikan dan penghasilan karya di negara
ini. Meskipun begitu ia bukanlah bertujuan untuk sama sekali menafikan teori-teori Barat.
Sementara itu, Prof. Madya Lutfi Abas dari Universiti Brunei Darussalam menekankan perlunya
teori kritikan sastera berasaskan Islam diguna pakai secara lebih meluas dalam menganalisis
kesusasteraan tempatan (Malaysia) dan Nusantara.
"Kita boleh berbangga dengan teori kita sendiri yang dibina di atas dasar pemikiran dan
kepercayaan kita. Nilai-nilai estetika yang terkandung di dalam sastera tempatan hanya lebih
tepat jika dilihat dengan kaca mata Islam.
"Keindahan yang terkandung di dalam sastera Islam misalnya hanya boleh dinilai dengan
pendekatan Islam. Oleh itu, teori sastera Islam ini perlu diketengahkan dengan sebaik
mungkin,'' tegas Lutfi.

Anda mungkin juga menyukai