Anda di halaman 1dari 2

Gejala bunuh diri yang berlaku dalam masyarakat global ini semakin berleluasa pada masa

kini. Dalam pandangan umum, ia telah menjadi suatu fenomena yang sudah biasa berlaku, di mana
masyarakat telah pun lali dengan kes-kes bunuh diri yang luas terpapar dalam pelbagai media massa
seperti surat khabar and rancangan berita televisyen. Umpamanya, di negara China yang mempunyai
populasi penduduk yang terbanyak dalam dunia, rakyatnya paling ramai membunuh diri.
Dianggarkan lebih daripada 300,000 penduduk China bunuh diri setiap tahun, dan jumlah itu
merupakan lebih 10 kali ganda dari jumlah bunuh diri tahunan di Amerika Syarikat. Bukan begitu
sahaja, negara Jepun dan Venezuela turut mencatat jumlah bunuh diri tahunan yang tinggi. Antara
dua faktor penting yang mendorong gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat adalah kelemahan
dalam mengamalkan ajaran agama dan sikap mementingkan diri. Dua faktor ini bolehlah dikaitkan
dengan teori kemoralan sosial yang lazimnya dipengaruhi oleh pegangan agama masyarakat.
Teori kemoralan sosial merupakan satu teori etika yang berkaitan dengan apa-apa peraturan
dalam sesuatu masyarakat, bangsa atau kaum. Peraturan ini biasanya merujuk kepada agama, adab
sopan, adat tradisi, susila, undang-undang dan apa jua perbuatan yang dianggap baik oleh kumpulan
masyarakat tersebut. Walau bagaimanapun, dalam pandangan masyarakat umum dan ajaran agama,
bunuh diri ialah sesuatu perbuatan yang salah dan buruk dan tidak boleh diterima. Umpamanya,
menurut pandangan agama Buddha, dalam Pancasila Buddhis diterangkan bahawa perbuatan bunuh
diri telah melanggar sila pertama, iaitu membunuh. Sasaran pembunuhan makhluk hidup itu bukan
sahaja makhluk hidup lain, malahan juga termasuk diri sendiri. Mengikut konsep pahala dan dosa,
individu yang membunuh diri dengan didasari kemarahqn dan atas niat seperti kebencian dan tidak
tahan dengan penderitaan hidup, akan terlahir kembali di alam neraka dan alam rendah yang lain.
Oleh itu, penganut agama tidak akan terlahirnya fikiran atau niat untuk membunuh diri dalam apa jua
keadaan pun.
Semua lapisan seharusnya mengamalkan ajaran agama dengan kukuh, terutamanya golongan
remaja yang seringnya menjadi mangsa bunuh diri atas sebab-sebab seperti putus cinta, mendapat
keputusan yang buruk dalam peperiksaan, tidak tahan dengan tekanan hidup akibat daripada
pengaruh rakan sebaya dan permintaan melampau ibu bapa, dan lain-lain lagi. Mereka sering
berpendapat bahawa segala penderitaan hidup dapat diakhiri dengan perbuatan bunuh diri, tetapi ia
sebenarnya merupakan tindakan yang bodoh, tidak rasional dan tidak bertanggungjawab. Tindakan
ini bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi, malahan juga
meninggalkan masalah tersebut untuk diselesaikan oleh rakan dan ahli keluarga terdekat. Peribahasa
Cina: chuan dao qiao tou zi ran zhi mengatakan walau apapun masalah yang timbul, pastinya
masalah tersebut dapat diatasi dengan efektif, biar dengan masa yang singkat ataupun lama. Oleh itu,

semua individu haruslah bersikap tekad dan tidak senang putus asa dalam menghadapi apa jua
cabaran, dan sebelum hendaknya bunuh diri, fikirkanlah mangsa-mangsa malapetaka alam seperti
gempa bumi dan tsunami yang hidup merana dan membandingkan diri dengan mangsa-mangsa
tersebut, adakah keadaan mereka lebih baik daripada keadaan diri sendiri sekarang?
Selain itu, teori kemoralan sosial amat mementingkan kebaikan dan keselamatan kumpulan
masyarakat, bukannya kepentingan diri. Jika dibandingkan dengan teori egoisme yang
mengutamakan sifat pentingkan diri sendiri, kasihankan diri dan menjaga diri, teori kemoralan sosial
bertentangan sepenuhnya dengan teori egoisme, di mana matlamat utama teori kemoralan sosial ialah
untuk menjaga kepentingan masyarakat, bukannya individu. Individu yang merupakan mangsa
bunuh diri bolehlah dikatakan sebagai individu yang mementingkan diri sendiri, kerana dia tidak
pernah terfikir akan kesan-kesan yang bakal dihadapi oleh rakan-rakan dan ahli keluarganya selepas
membunuh diri. Informasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa lebih
kurang 7 kes bunuh diri berlaku setiap hari di Malaysia dan bagi setiap satu kes bunuh diri, 10
hingga 20 individu lain akan mendapat kesannya.
Bagi golongan remaja, pastinya ibu bapa mereka yang akan menerima impak terbesar
sekiranya mendengari anak mereka telah membunuh diri. Perasaan ibu bapa pada masa tersebut
bolehlah diterangkan dengan peribahasa Cina: xin ru dao ge yang bermaksud perasaan sedih yang
melampau. Ibu bapa dengan penat lelahnya telah membesarkan anak mereka dan memberikan segala
yang terbaiknya kepada mereka, biarnya dari segi pendidikan, kewangan ataupun kasih saying.
Sebagai anak yang taat kepada ibu bapa, mereka seharusnya membalas jasa ibu bapa dengan sepenuh
hati dan menjaga mereka dengan baik, bukannya menamatkan hidup mereka sendiri dan
meninggalkan ibu bapa mereka tinggal bersendirian. Sama juga dengan individu yang mempunyai
keluarga sendiri, sampai hatikah mereka meninggalkan beban untuk dikendong oleh suami/isteri dan
anak-anak? Ini telah membuktikan bahawa mangsa-mangsa bunuh diri mengamalkan sikap
mementingkan diri, dan apakah kebaikan bunuh diri kepada masyarakat selain kepada diri sendiri?
Tiada!
Kesimpulannya, teori kemoralan sosial tidaklah menggalakkan gelaja bunuh diri dalam
kalangan masyarakat kerana ia merupakan sesuatu tindakan yang salah dan buruk dari perspektif
ajaran agama dan pandangan masyarakat umum. Perbuatan bunuh diri semestinya bukan jalan
penyelesaian yang terbaik untuk masalah yang dihadapi, kita haruslah mengatasi cabaran yang ada
dengan berani dan timbangkanlah kesan-kesan yang ditinggalkan kepada orang lain sekiranya kita
membunuh diri. Fikirlah sebelum bertindak!

Anda mungkin juga menyukai