Anda di halaman 1dari 1

Soalan: Saya dimaklumkan bahawa seseorang yang meninggal dunia, maka para warisnya

hendaklah terlebih dahulu menunaikan hutang-piutangnya, sama ada hutang kepada sesama
manusia mahupun hutang kepada Allah SWT, iaitu zakat sebelum harta itu difaraidkan. Soalan
saya, apakah seseorang yang meninggal dunia pada pertengahan tahun itu (yakni hartanya belum
genap setahun), maka masih wajib dikeluarkan zakatnya oleh para warisnya?
Jawapan: Salah satu syarat wajib zakat ialah, harta yang dimiliki oleh seseorang muslim itu mestilah
mencapai tempoh genap setahun dengan sempurna milik. Dalam hal ini, seandainya seseorang itu
meninggal dunia pada pertengahan tahun (katakanlah hartanya hanya mencapai genap setahun atau
cukup haul pada penghujung tahun), maka tidak cukuplah syarat cukup haul ke atas hartanya itu dan
tidak wajiblah bagi warisnya mengeluarkan zakat ke atas harta berkenaan.
Kendatipun harta-harta itu kelak beralih tangan kepada ahli warisnya, maka ia tidak dianggap
berkesinambungan dalam aspek pemilikan. Menurut pendapat di sisi Syafie (qaul jadid), si waris yang
menerima harta-harta itu hendaklah mengira tahun pemilikan harta itu pada saat mereka mula menerima
harta berkenaan. Apabila cukup segala syaratnya kelak, maka zakat itu dikeluarkan sebagai harta di
bawah milikan mereka dan bukan lagi kepada si mati (rujuk al-Majmu, 5: 363 dalam Pedoman Zakat, T.M
Hasbi as-Shiddieqy, hal. 37)
Walau bagaimanapun, sebagai jalan selamat para waris sebaik-baiknya perlu menyemak apakah hartaharta peninggalan si mati yang telah pun mencapai tempoh haul namun masih tidak dikeluarkan zakatnya
oleh si mati. Ini demi mengelakkan si mati terus terhutang kepada Allah SWT dengan zakatnya yang
belum dikeluarkan, mungkin kerana kesibukannya, kerana terlupa atau atas apa-apa sebab sekali pun
yang dimaklumi sendiri oleh si mati.
Para waris boleh mengetahui haul sebenar si mati dengan menyemak tarikh pembayaran zakat si mati,
misalnya pada resit bayaran zakat yang dikeluarkan oleh pihak pusat zakat pada tahun sebelumnya.
Waris si mati juga boleh mengetahui haul si mati dengan menelefon pejabat zakat dan menanyakan,
apakah si mati sudah pun menunaikan zakatnya ataupun tidak.
Inilah jalan yang terbaik yang dapat dilakukan oleh para waris sebagai bukti kasih-sayang mereka
kepadanya. Dengan cara ini, para waris dapat memastikan hanya harta si mati yang cukup haul sahaja
dikeluarkan zakat dan sekali gus mengelakkan si mati menanggung dosa kerana tidak menunaikan zakat
ke atas hartanya yang sudah cukup tempoh semasa hayatnya dahulu. Wallahualam.
Untuk penjelasan sebarang kemusykilan zakat, sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau
untuk maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my/

Anda mungkin juga menyukai