Anda di halaman 1dari 7

Pengetahuan Asas Dalam Seni Visual

Pada masa ini Pendidikan Seni Visual telah dimartabatkan sepenuhnya sebagai
subjek yang berperanan besar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana subjek ini
merentasi kurikulum dalam subjek-subjek lain. Dalam pengajaran guru, Pendidikan Seni
Visual menjadi asas alat bantu mengajar yang baik melalui penampilan grafik yang
efisyen, pemilihan warna harmoni,dan reka bentuk maujud yang cantik. Di kalangan
pelajar, Pendidikan Seni Visual menjadi subjek penting untuk berkreativiti bagi melahirkan
insan yang celik seni dan berbudaya.
Pendidikan Seni Visual terdiri daripada empat bidang iaitu melukis dan membuat
gambar, membuat rekaan corak, membentuk dan membuat binaan serta kraf tradisional.
Bidang melukis dan membuat gambar menegaskan perkembangan persepsi terhadap
aspek melukis serta kegiatan menggunakan pelbagai media dan teknik dengan
menekankan aspek ruang struktur, imbangan dan komposisi. terdapat pelbagai teknik
gambar yang dapat dilaksanakan dalam sekolah seperti lukisan, catan, kolaj, montaj,
cetakan, resis, gosokan, stensilan, percikan, gurisan, capan dan mozek.
Bidang membuat rekaan dan corak memberi peluang kepada murid memahami
pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan
lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana-mana hasil daripada
kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya. Corak terjadi daripada pelbagai teknik
dan cara. Corak ialah struktur susunan ulangan berdasarkan motif dibuat secara terkawal
atau bebas. Seringkali corak boleh didapati daripada alam semulajadi, bahan buatan
manusia, geometri dan rupa barangan kraf tradisional.
Bidang membentuk dan membuat binaan pula menegaskan perkembangan
persepsi pelajar terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan
kestabilan. Berpandukan aspek tersebut pelajar dapat memahami dengan lebih jelas bila
mereka membentuk dan membuat binaan sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk
dan membuat binaan juga mendedahkan pelajar dengan penggunaan pelbagai bahan,
alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara
kreatif dengan alat dan bahan semasa menjalankan proses penghasilan seni.
Bidang kraf tradisional pula terdiri didefinisikan seagai perusahaan atau kerja-kerja
berunsurkan seni yang melibatkan kemahiran kerja tangan serta memerlukan daya cipta

dan kreatif masyarakat yang diwarisi turun temurun mengikut kaum masing-masing. Jenisjenis kraf pula mempunyai alat domestik, alat permainan, alat mempertahankan diri, batik,
seni tekat, tembikar, anyaman, kelarai dan ukiran.
Hasilan karya dapat menampilkan watak, identiti dan keunikan pelukis yang
dicernakan melalui mesej dan falsafahnya. Sehubungan itu reka cipta dan kreativiti pelukis
akan menjangkau kepada bidang-bidang dan simbol-simbol yang telah dibuat oleh
pengkarya yang terdahulu dengannya. Mereka akan membuat kembara seni melalui
pelbagai ujikaji dan penemuan: bentuk, rupa, warna, persepsi dan perasaan yang akhirnya
menyelesaikan suatu permasalahan. Justeru setiap hasilan pastinya ada cetusan idea
dalam ruang lingkup yang ingin dinukilkan. Burgurt (1961) berpendapat semua orang
yang terlibat dengan pembuatan karya seni semestinya membuahkan suatu keunikan
secara personal untuk disampaikan dalam karyanya. Apabila pelukis memikirkan kreativiti
dalam berkarya, sekaligus sebenarnya pelukis juga memikirkan nilai estetika yang
inginkan ditampilkan.
Salah satu estetika dalam pendidikan seni visual adalah peniruan sebagai
representasi gambar dan imej. Di dalam berkarya, peniruan menjadi satu cara dan gayaan
untuk mewujudkan nilai estetika. Peniruan bermakna menterjemah secara langsung objek
atau imej . Estetika yang ditampilkan dari gayaan ini mengikut sejauh mana pelukis dapat
menterjemah semula estetika semulajadi tiruannya. Walaupun Plato menyangkal keras
kegiatan peniruan ini, namun untuk tujuan pembelajaran dibolehkan.
Pelukis-pelukis agong seperti Pablo Picasso, Monet, Degas, Van Gough dan Goya
sering mengekspresikan lukisannya mengikut perasaan dan emosi sebagai estetika.
Tema-tema yang berkaitan dengan kesedihan, kegembiraan, keporak perandaan dan
kecelakaan yang melanda seseorang, tempat, kerajaan dan negara ditampilkan di kanvas
dan arca- arca mereka. Kebolehan mengekspresikan perasaan dan emosi ini dapat
menimbulkan nilai estetika kerana keselarasan mesej yang ingin disampaikan.
Estetika menggunakan kaedah formalistik menggunakan hukum dalam prinsipprinsip rekaan dan unsur-unsur seni. Ia menunjukkan penguasaan unsur-unsur seni
seperti garisan, warna, ruang, jalinan, bentuk, dan rupa. Dari kefahaman ini, karya
digubah dan diolah melalui prinsip-prinsip rekaan seperti harmoni, pergerakan, kontra,
kepelbagaian, pengasan, imbangan dan kesatuan. Setelah memahami pengetahuan
mengenai prinsip di atas, menstrukturkan rekaan menjadi satu aspek yang penting.

Olahan ruang, pilihan warna harmoni, malah hal subjek diambil kira untuk menstrukurkan
imej gambar sehingga tertampil sebuah karya yang kelihatan gah, berprestij dan agong.
Dalam estetika keaslian menjadi ciri yang penting dan perlu difahami oleh pelukis. dalam
berkarya, menciplak atau menjadi plagiat adalah suatu yang ditegah dan dituduh sebagai
pelukis murahan. Justeru dengan pendirian sedemikian, nilai estetikanya terserlah dari
keunggulan idea atau gagasan.
Unsur seni terdiri daripada garisan, warna, jalinan, rupa, bentuk dan ruang. garisan
merupakan cantuman satu siri titik dan boleh jadi dalam bentuk tebal, tipis, berbulu, putusputus, bergerigi,

beralun, zig-zag dan lain-lain lagi. Garisan merupakan unsur yang

terpenting dalam kerja melukis dan menggambar. Garisan boleh dihasilkan melalui
pelbagai teknik seperti teknik koyakan, teknik tampalan, teknik kolaj, teknik gosokan,
teknik cetakan dan teknik capan.
Warna pula terdiri daripada warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna
asas terdiri daripada biru, merah dan kuning. Warna ini tidak boleh dihasilkan melalui
campuran warna lain tetapi boleh menghasilkan warna sekunder apabila ia dicampurkan
antara satu sama lain. Apabila warna kuning dicampur biru, ia membentuk warna
sekunder hijau. Merah dicampur dengan biru membentuk warna sekunder ungu dan
apabila kuning dicampur dengan warna merah ia membentuk sekunder oren atau jingga.
Warna asas dan warna sekunder apabila dicampurkan akan membentuk warna tertier.
Secara mudahnya warna asas adalah ibu segala warna. Kefahaman mengenai warna ini
memudahkan pelajar untuk kerja-kerja mewarna kepada subjek yang dihasilkan.
Jalinan ialah kesan yang terdapat pada sesuatu permukaan objek sama ada kasar,
halus, kesat dan sebagainya. Jalinan wujud secara semulajadi atau dari buatan manusia.
Jalinan yang wujud secara semulajadi mempunyai fungsi yang tersendiri dari ciptaan Yang
Maha Kuasa. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu jalinan tampak dan jalinan sentuh.
Jalinan tampak hanya dapat dilihat pada satah gambar yang bersifat dua dimensi.
Ia terdiri daripada gambar, slaid, billboard, paparan jalan, simbol dan logo. Oleh sebab ia
wujud dalam bentuk gambar, kita tidak dapat merasa jalianan secara sentuhan. Manakala
jalinan sentuh dapat dirasa kerana ia bersifat maujud. Sifatnya tiga dimensi. Ia terdiri
daripada kulit kayu, cermin, kulit kerang, simen, buah durian dan lain-lain lagi.

Rupa adalah cantuman antara dua hujung garisan iaitu permulaan garisan dan
penghujung garisan. Ia hanya sekadar garis luar sesuatu objek dan sifat leper atau
mendatar. Rupa terbahagi dua: rupa organik dan rupa geometri. Rupa organik mempunyai
garisan luaran yang berbagai, tidak menentu dan bersifat dominan. Sebahagian besar
objek di dunia ini mempunyai rupa jenis ini. Berbeza dengan rupa geometri yang terikat
dengan bentuk yang khusus sepeti bulat, empat segi, kun, kubus, selinder, empat segi
bujur, piramid dan beberapa contoh yang lain.Secara lumrahnya, rupa geometri dihasilkan
berbantukan alat geometri. Ia mempunyai pelbagai jenis sebagai contohnya rupa positif
dan negatif, rupa dan corak, rupa dan lambang serta rupa dan muka taip.
Bentuk secara mudahnya mempunyai isipadu. Ia lebih lengkap jika dibandingkan
dengan rupa. Rupa lebih terperinci sifatnya jika dilukis atau digambarkan kerana ton,
jalinan ruang diaplikasi sekaligus. Bentuk terdiri daripada dua jenis iaitu bentuk ilusi dan
bentuk konkrit.
Bentuk ilusi wujud dalam bentuk gambar, catan, cetakan, foto, illustrasi, lukisan dan
gurisan. Bentuk ilusi hanya dapat dilihat di satah gambar dan apabila disentuh ia hanya
permukaan datar kerana dalam bentuk dua dimensi. Bentuk konkrit bersifat tiga dimensi,
maujud, berisipadu atau berjisim dan mempunyai ton, warna, jalinan dan ruang. Contoh:
Bakul, bola, durian, bangunan, manusia dan lain-lain lagi.
Ruang merupakan kawasan di antara atau kawasan di sekeliling objek. Ia
menggambarkan aspek kekosongan antara objek atau garisan. Ruang berada di luar, di
tepi di atas atau sebagainya. Dalam kerja menggambar, ruang boleh dihasilkan dengan
menggunakan garisan, jalinan dan warna. Pada kebiasaanya, ruang dikaitkan kepada
garisan, perspektif, warna dan bentuk.
Prinsip rekaan terdiri daripada harmoni, penegasan, imbangan, kontra, pergerakan,
kesatuan dan kepelbagaian. Harmoni menggambarkan situasi yang selesa, teraputik,
nyaman, aman dan tenang. Situasi ini berkaitan dengan konsep keseragaman, kesamaan,
imbangan dan penyerapan. Konsep ini menimbal balas kepada garisan,bentuk, rupa,
jalinan, ruang dan warna yang saling lengkap melengkapi dan tiada unsur percanggahan
di dalamnya.
Penegasan dalam konteks Pendidikan Seni Visual bermaksud kemampuan sesuatu
unsur untuk menarik perhatian si pemerhati. Cara ini boleh dilakukan dengan mewujudkan

kelainan atau keganjilan dalam hal subjek yang diutarakan. Unsur-unsur seni seperti
garisan, ruang, bentuk, jalinan, rupa dan warna merupakan unsur biasa yang boleh
dikaitkan dengan penegasan.
Imbangan menunjukkan agihan ruang dari segi kedudukannya. Jika ruangan kiri
dan kanannya seimbang, ia bermaksud kedudukan objek berada keadaan yang stabil,
sama berat dan sifatnya harmoni. Imbangan seringkali dikaitkan dengan saiz, jarak,
bentuk, jalinan, rupa dan warna. Imbangan boleh jadi dalam bentuk simetri atau bukan
simetri. Imbangan simetri bermaksud pembahagian ruang yang seimbang kiri dan atau
atas bawah. Jika sebaliknya, ia membentuk imbangan tidak simetri.
Kontra menunjukkan percanggahan atau perlawanan dengan ciri-ciri yang ingin
diutarakan dalam hal subjek karya. Ciri-ciri yang berlawanan ini disengajakan untuk
mendapatkan reaksi sipermerhati. Kontra boleh berlaku pada rupa, bentuk, garisan, warna
dan corak.
Selain perhatian yang dikontrakan, pergerakan sesuatu objek dalam gambar juga
boleh menjadikan sebagai kekuatan imej gambar itu. Pergerakan sesuatu kenderaan
bermotor misalnya, nampak lebih hebat dan menarik apabila ada unsur pergerakan
tambahan yang menjadikan ia kelihatan seperti bergerak. Pergerakan boleh dihasilkan
melalui rupa, jalinan, ruang dan warna.
Kesatuan dalam Pendidikan Seni Visual bermaksud gabungan rupa, corak, bentuk,
warna dan jalinan yang boleh menimbulkan suatu tema atau keseragaman pendapat.
Kesatuan boleh dihasilkan melalui kesatuan bentuk, rupa, corak dan warna. Apabila
penyerapan unsur-unsur seni ini berlaku dengan seimbang, harmoni dan saksama ia akan
menwujudkan kesatuan.
Kepelbagaian bererti kombinasi dari pelbagai gagasan, nilai dan pesembahan yang
membentuk satu gubahan. Kombinasai unsur-unsur seperti jalinan, rupa, bentuk, warna,
ruang dan sebagainya akan membentuk kesatuan dalam kepelbagaian. Perkara penting
yang perlu diambil kira untuk mewujudkan kepelbagaian yang harmoni ialah dengan
menyusun atur secara seimbang dan bersesuaian.
Sebelum berkarya, pertimbangan awal yang menjadi perhatian ialah bagaimana
penstrukturan hal benda dilakukan. Ia dilakukan untuk mendapatkan suatu hasilan yang
baik dan memenuhi spesifikasi karya yang terancang. Untuk mendapatkan struktur yang

baik, lakaran asas yang mungkin rupa geometri atau rupa organik di gunakan. Struktur
asas yang digunakan boleh dibahagikan kepada dua iaitu garisan grid dan garisan
struktur.
Garisan grid adalah garisan-garisan silang di atas kertas dimana petak-petak
terbentuk dan motif corak dilukis pada setiap petak tadi. Garisan struktur pula ialah
garisan yang terbentuk mengikur sifat objek yang dilukis. Contohnya, bagi sebuah payung,
garisan strukturnya terbentuk sebagai garisan berpancar daripada tengah payung itu. Bagi
ubat nyamuk pula, garisan berpusar menjadi struktur garisannya dan berpandukan
garisan- garisan struktur inilah kerja-kerja menggambar diteruskan.
Peter Mortimore (1995) mengatakan bahawa sekolah merupakan pendorong utama
pembelajaran di kalangan pelajar. Drs. Abd. Rahman Saleh (1976) menyarankan agar
sebuah sekolah yang berkesan dapat dicapai dengan menggunakan asas-asas dikdaktik
dalam usaha membangkit minat, memperagakan mata pelajaran, pelajar aktif, penyajian
ilmu secara sisetematis dan pemilihan bahan yang tidak pasif. Soalnya bagaimanakah
Seni visual ini dapat mencapai sasarannya? Menurut Drs. Abd. Rahman Saleh ia boleh
dilaksanakan dengan beberapa cara.
Tujuan pengajaran Seni Visual dijalankan dengan operational yang khusus.
Maknanya, setiap warga sekolah meletakkan tanggungjawab menyerap unsur seni secara
menyeluruh. Ia boleh dilakukan di setiap penjuru kawasan sekolah yang mungkin berupa
lanskap, mural, arca , taman permainan, simbol-simbol dan grafik yang menarik. Warga
sekolah seharusnya merasa sayang dan cintakan seni tersebut.
Memilih method atau kaedah yang tepat. Ini berkaitan dengan kaedah pengajaran
dan pembelajaran. Guru Besar sekolah seharusnya mendokong watak hero untuk
memperkasakan peranan Seni Visual yang dapat menceriakan sekolahnya. Guru- guru
yang layak dan relevan sahaja yang dibenar untuk mengajar Seni Visual. Peralatan seni
dan kemudahan belajar dalam konteks mentarbiyah pelajar dengan seni lengkap, canggih
dan sentiasa mendapat perhatian pihak sekolah.
Menggunakan peralatan dan bahan Seni Visual dengan sebaik-baiknya. Guru seni
yang ingin melihat kewujudan keceriaan sekolahnya akan mengawal, mengawas dan
menyelia peralatan seninya dengan baik dan sistematik. Adakan evaluasi atau penilaian
mengenai agenda memartabatkan seni di sekolah. Maksudnya, adalah hadiah atau

ganjaran kepada orang atau kelas yang dapat membuat penampilan seni yang baik dan
cemerlang. Ini boleh dilakukan secara pertandingan, sport check , kempen atau agenda
tahunan sekolah.
Pendidikan Seni Visual merupakan satu subjek yang penting dipelajari oleh pelajar
semasa berada di alam persekolahan. Ia merupakan satu mata pelajaran yang dapat
memberi peluang kepada murid untuk mengembangkan bakat dan minat dan seterusnya
mendalami Seni Visual secara betul dan bersistem. Pelajar yang sedemikian pada jangka
panjangnya akan memiliki ciri insan yang berbudaya, mempunyai citarasa seni yang tinggi
dan kreatif. Dalam topik ini pengetahuan asas Seni Visual menjadi bahan penting dan
perlaksanaannya bukan terhad pada waktu yang ditetapkan tetapi boleh diserap dan
diterap dalam mata pelajaran lain pada bila-bila masa sahaja.