Anda di halaman 1dari 2

Refleksi Minggu 1

Azmeer Bin Musa I 910606-1-5667 I PISMP 1111 Pengajian Sosial Semester 8


Pada minggu pertama ini saya telah mempelajari tentang guru sebagai satu
profesion, bagaimana mengajar itu dianggap sebagai profesion dan apakah ciri-ciri
guru yang profesional. Melalui kuliah yang diberikan, ia telah banyak membuka
minda saya untuk berfikir dengan lebih teliti tentang tugas seorang guru sebagai
satu profesion yang penting. Meskipun dipertikaikan mengajar itu sebagai profesion,
namun kini dapat saya jelaskan bahawa bidang perguruan itu sememangnya satu
profesion. Ini dibuktikan dengan melihat bagaimana sesuatu bidang itu dianggap
sebagai profesion melalui ciri-ciri profesion seperti mempunyai kod etika,
memberikan khidmat keperluan kepada masyarakat, mempunyai latihan ikhtisas
yang mencukupi dan sebagainya.
Bahkan bidang perguruan ini adalah merupakan profesion yang sangat mulia
dan profesion yang tertua di dunia menurut Noriati A. Rashid dan rakan-rakannya di
dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru,(2010). Selain
itu, menerokai ciri-ciri guru yang berkesan telah memberi impak kepada diri saya
dari segi pemikiran reflektif kendiri. Penerokaan tentang ciri-ciri guru yang
profesional dan berkesan telah membuatkan saya terfikir apakah sepanjang
menjalani tempoh praktikum saya mengamalkan apa yang sepatutnya dilakukan
oleh seorang guru yang profesional dan ada atau tidak ciri-ciri tersebut dalam diri
saya. Saya cuba menghubungkait perkara ini dengan diri saya sendiri. Saya yang
kini berada di semester 8 sememangnya mengambil berat tentang perkara-perkara
seperti ini bagi memastikan diri saya mampu menjadi seorang guru yang boleh
membantu mencerahkan masa depan anak bangsa.
Sesungguhnya saya akui bahawa dalam banyak ciri-ciri guru yang berkesan
tersebut, masih ada yang perlu saya perbaiki untuk menambah kualiti dan mutu
mengajar saya. Selain itu, pembelajaran tentang topik guru berkesan ini juga
mengingatkan saya semula tentang beberapa perkara yang mungkin saya lupa.
Contohnya, seorang guru yang berkesan harus berupaya memberi dorongan dan
motivasi kepada anak muridnya. Yang mungkin sebelum ini saya lupa dan
mengambil remeh hal ini dengan hanya menjalankan tugas sebagai guru yang
mengajar namun tidak sebagai guru yang mendidik. Walhal, perkara itu sangat
penting dari aspek pembinaan jati diri murid. Apa yang saya sedari dari perkara ini
ialah, ciri-ciri guru berkesan ini harus saya rujuk atau baca paling kurang sebulan
sekali. Ini adalah penting untuk memperbaharui niat dan tujuan sebenar mengajar di
samping menjadi garis panduan dalam memastikan diri saya menjadi seorang guru
yang berkesan, InsyaAllah.

Kesimpulannya, mengetahui guru sebagai profesion adalah penting bagi


memperjuangkan kemuliaan dan kepentingan bidang ini di dalam masyarakat.
Seorang guru seharusnya berbangga memegang jawatan sebagai seorang guru
kerana tiada bidang lain yang lebih penting daripada bidang ini kerana bidang
perguruan membentuk generasi yang bakal mengurus negara pada masa yang akan
datang. Jika guru tiada, tidak mustahil akan berlaku kepincangan dalam
pemerintahan sesebuah negara itu. Oleh itu, para guru juga tidak cukup sekadar
bangga dengan profesion tersebut namun tidak berusaha membuktikan kebenaran
tentang betapa penting dan mulianya profesion ini. Maka, para guru haruslah
mengamalkan ciri-ciri guru yang berkesan bagi memastikan kualiti dan mutu
pengajaran yang diberikan adalah yang terbaik supaya generasi yang akan datang
menjadi lebih baik dan mampu mengurus negara dengan adil dan sejahtera.
Harapan saya terhadap diri pula, saya berharap untuk tempoh Internship yang bakal
datang ini, saya ingin mengapplikasikan ciri-ciri guru yang berkesan dan
menjadikannya sebagai tingkah laku rutin yang sebati dengan diri.

Anda mungkin juga menyukai