Anda di halaman 1dari 10

KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN SEJARAH.

ABSTRAK
Pemikiran Sejarah merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam pendidikan Sejarah.
Melalui kemahiran pemikiran Sejarah, pelajar-pelajar dirangsang untuk lebih berfikir secara
kritis dan analitis. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian intelek para
pelajar dan menjadikan Sejarah sebagai satu mata pelajaran yang hidup dan tidak lagi
membosankan. Oleh itu kertas kerja ini akan meninjau dari aspek permasalahan penerapan
pemikiran Sejarah dalam pengajaran dan pembelajaran guru-guru Sejarah. Turut dibincangkan
dalam kertas kerja ini ialah tentang jenis-jenis kemahiran yang terdapat dalam pemikiran
Sejarah yang perlu didedahkan kepada para pelajar. Kertas kerja ini turut memfokuskan
peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru Sejarah dalam menerapkan kemahiran pemikiran
Sejarah ini dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kata Kunci : Pemikiran Sejarah, Pendidikan Sejarah, Kemahiran Pemikiran Sejarah
PENGENALAN
Pendidikan Sejarah adalah satu mata pelajaran yang dapat merangsang pemikiran dan proses
pemikiran secara kritis dan analitis semasa mempelajari mata pelajaran Sejarah. Oleh itu guruguru Sejarah memain peranan yang penting untuk menerapkan pemikiran Sejarah melalui
aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar berfikir. Hanya proses
pengajaran dan pembelajaran yang bermakna sahaja yang boleh merangsang pemikiran
pelajar (Maharom, 1998).
Oleh sebab itu pendidikan Sejarah hendaklah dilakukan sebagai satu kuasa yang hidup yang
boleh mengaitkan peristiwa masa lalu dengan hakikat semasa (Abd Rahim, 2000). Para pelajar
perlu diterapkan dengan dengan konsep pemikiran Sejarah agar dapat memberi satu persepsi
baru kepada minda pelajar bahawa Sejarah bukanlah satu subjek yang kaku dan
membosankan. Malah ia dapat mendedahkan kepada para pelajar bagaimana seseorang ahli
Sejarah itu bekerja melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dibimbing oleh guru mereka
(Isabel et all. 1997).
KEPENTINGAN PENDIDIKAN SEJARAH DALAM KURIKULUM KEBANGSAAN
Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kepentingan pelajaran sejarah
ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Melalui sejarah seperti yang dinyatakan oleh Davies (1994)
dapat memupuk integrasi nasional kerana ia mengajar tentang nilai-nilai politik dan kenegaraan.

Pendidikan sejarah mampu mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar agar
melibatkan diri dengan masyarakat yang lebih kompleks. Situasi ini secara tidak langsung dapat
menanamkan semangat patriotik dalam kalanga geerasi muda.
Kepentingan pendidikan sejarah dalam mewujudkan perpaduan kaum dan keharmonian di
samping memperkasakan semangat patriotism dalam kalanga rakyat pelbagai kaum diberi
penekanan dalam Sukatan Pelajaran Sejarah (KPM: 2003). Mata pelajaran ini digubal agar
dapat memupuk dan memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai
warganegara Malaysia dan warga dunia. Ia juga berhasrat untuk mewujudkan semangat
perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai
kaum (KPM:2003).
MASALAH

PENERAPAN

PEMIKIRAN

SEJARAH

DALAM

PENGAJARAN

DAN

PEMBELAJARAN
Penerapan pemikiran sejarah dalam kalangan pelajar akan berhadapan dengan masalah
sekiranya guru kurang berpengetahuan dan pengajaran hanya bergantung kepada buku teks
semata-mata. Wilson (1989) misalnya, mencadangkan pengetahuan yang mendalam tentang
Sejarah bukan hanya melibatkan pengetahuan yang lebih banyak, iaitu keupayaan
menyebutkan lebih banyak tahun, mengenal lebih banyak nama, dan mengingat semula lebih
banyak peristiwa. Sebaliknya, ia melibatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang
fenomena sejarah, termasuk pensejarahan atau bagaimana sejarah dihasilkan.
Bagi pihak pelajar pula, penerapan kemahiran pemikiran sejarah ini akan mengalami kesukaran
terutamanya di dalam kelas yang mempunyai pelbagai tahap pelajar. Misalnya adalah sukar
untuk menerapkan kemahiran pemikiran sejarah ini terhadap pelajar yang mempunyai masalah
pembelajaran, kerana sukar bagi pelajar kumpulan ini untuk memahami dan berfikir isu-isu yang
kompleks seperti bukti sejarah, bias dan sumber-sumber sejarah
(http://teachinghistory.org/issues-and-research/research-brief/22961)
Kemahiran pemikiran sejarah memerlukan pelajar-pelajar serba boleh. Mereka perlu meneroka,
menyelidiki, menganalisis dan menginterpretasi sumber. Juga memerlukan mereka untuk
membuat perkaitan tentang sebab dan akibat berdasarkan peristiwa sejarah. Ini bermakna
pelajar-pelajar itu perlu memiliki pemikiran yang kritis dan kreatif, serta memenuhi kriteriakriteria pemikiran sejarah. Bersesuaian dengan mata pelajaran ini yang merupakan satu mata
pelajaran yang kompleks, abstrak dan empirikal.

Namun tidak semua pelajar dapat mencapai tahap seperti yang diperlukan dalam pemikiran
sejarah. Justeru itu akan berlaku masalah sekiranya pelajar yang masih belum mencapai
kriteria pemikiran sejarah terpaksa untuk membuat interpretasi sumber-sumber sejarah.
Mungkin apa yang ditafsirkan tidak mencapai tahap yang dikehendaki dan keputusan atau
tafsiran itu tersasar jauh daripada apa yang diharapkan.
Kemahiran pemikiran sejarah ini sukar dilaksanakan sekiranya kita masih berada dalam sistem
pendidikan yang sama seperti hari ini, iaitu sistem pendidikan di negara kita yang terlalu
menumpukan kepada peperiksaan semata-mata tanpa menghiraukan aspek-aspek yang lain.
Abdul Rahim (1989) menyatakan isi kandungan yang terlalu banyak dan padat, ditambah pula
dengan kesuntukan masa kerana perlu menghabiskan sukatan pelajaran sebelum waktu
peperiksaan. Keadaan ini menjadikan Sejarah kurang menarik dan tidak dapat mencapai
objektif untuk menguasai kemahiran pemikiran sejarah.
Malah menurut Khoo Kay Kim (2000) pembelajaran sejarah yang hanya menekankan aspek
hafalan fakta, tarikh serta pergolakan dunia yang berlaku beribu-ribu tahun yang lampau
menyebabkan pelajar mempunyai pandangan yang sempit tentang proses dan perkembangan
negara dan menanggap pelajaran sejarah sebagai menjemukan dan tidak merangsang untuk
berfikir.
Pandangan Khoo Kay Kim turut disokong oleh Subadrah Nair (2005) ,penumpuan kepada
hafalan ini menyebabkan pelajar-pelajar tidak didedahkan kepada pemikiran kritis dan kreatif.
Pengajaran Sejarah juga terlalu bersifat tradisional yang hanya berpusatkan kepada guru dan
bersifat satu hala mewujudkan keadaan pelajar-pelajar tidak memainkan peranan aktif di dalam
kelas. Situasi yang sering berlaku ialah pelajar-pelajar hanya dikehendaki mendengar atau
menyalin nota yang dicatatkan oleh guru. Guru pula amat gemar menggunakan kaedah kaedah
khutbah atau syarahan dalam pengajarannya .
Corak pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru ini dapat dikaitkan dengan pengajaran
guru yang terlalu terikat dengan buku teks. Nota-nota , pengajaran yang diberi diambil dari buku
teks semata-mata. Tiada usaha lebih yang dilakukan oleh guru Sejarah semata-mata
bergantung kepada buku teks. Pengajaran guru Sejarah juga mendedahkan kelemahankelemahan dari segi menentukan pencapaian objektif-objektif yang sesuai. Objektif yang
bersifat umum tidak dapat menentukan objektif pengajaran dengan berkesan dan menyebabkan
pengajaran guru gagal menyampaikan pengetahuan dan mengembangkan kemahirankemahiran yang dimaksudkan.

Pengajaran Sejarah juga kurang berlandaskan kemahiran iaitu aktiviti-aktiviti pengajaran tidak
mencabar kebolehan kognitif dan afektif pelajar. Kebanyakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran menggalakkan pelajar mengahafal hujah-hujah tanpa memahami signifikan,
kaitan dan implikasi dengan apa yang dipelajari. Keadaan sedemikian tidak menimbulkan minat
pelajar-pelajar.
Menurut Abd Rahim (1998) kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu mata
pelajaran perlu menarik minat dan mencabar kebolehan pelajar. Kriteria ini amat penting
menjadikan

pengajaran

dan

pembelajaran

lebih

bersifat

inovatif

dan

kreatif

untuk

mengembangkan minda kritis dan kreatif pelajar. Manakala kaedah dan metodologi pengajaran
yang bersifat spoon feed, induktif dan khutbah yang hanya mementingkan pelajar menerima
apa sahaja yang disogok oleh guru tidak lagi sesuai dengan pembaharuan kurikulum dan
perubahan budaya belajar dan budaya mengajar era perkembangan informasi maklumat yang
berlaku dalam masyarakat moden.
KONSEP PEMIKIRAN SEJARAH
Marzano et all. (1998) menjelaskan pemikiran sejarah melibatkan satu set operasi mental yang
dikenali sebagai proses. Proses ini merangkumi pembentukan konsep, pembentukan prinsip,
kefahaman, penyelesaian masalah, membuat keputusan, penyiasatan dan penggabungan yang
melibatkan beberapa kemahiran berfikir. Proses pemikiran di peringkat awal adalah lebih
kepada pemerolehan pengetahuan, sementara di peringkat akhir ia lebih kepada penghasilan
dan aplikasi ilmu.
Peranan pemikiran sangat penting kepada kepada seseorang pengkaji dan penyelidik sejarah
dan bukannya pemikiran itu sendiri sebagai gejala dalam sejarah. Oleh itu beliau menyamakan
sejarah itu dengan pemikiran apabila beliau menyatakan bahawa semua sejarah itu adalah
sejarah pemikiran. Beliau menyatakan bahawa sejarah tidak dapat ditulis secara saintifik
kecuali sejarah itu dapat menggambarkan kembali di dalam akalnya akan pengalaman orangorang yang tindakannya sedang dikaji oleh sejarawa berkenaan (Yusof Ibrahim, 1985).
Furet (1983), menyatakan bahawa Sejarah merupakan satu bidang ilmu yang boleh dibuat
pelbagai interpretasi dari semasa ke semasa. Guru tidak perlu lagi menyediakan pelajar dengan
segala fakta dan penjelasan sejarah, malah dalam kerangka pemikiran sejarah era new history
ia lebih kepada penumpuan untuk mengasah intelek pelajar secara kritikal dan analitikal
(Jenkins, 1992). Jadi, konsep pemikiran sejarah perlulah difahami oleh pelajar agar mereka
dapat dilatih menjadi sejarawan.

Pemikiran Sejarah pula berdasarkan Huraikan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu


Sekolah Menengah (2002), merupakan satu bentuk proses kognitif yang murid-murid meneroka
idea yang kompleks dan abstrak dengan bimbingan guru. Kenyataan ini selari dengan takrifan
pemikiran Sejarah yang dibuat oleh Wineburg (2001) ialah satu cara berfikir yang unik. Beliau
juga berpendapat pemikiran Sejarah merupakan bentuk yang paling mendalam, merupakan
proses yang asli disebabkan perkembangan psikologi. Beliau turut menyatakan pemikiran
Sejarah ialah goes against the grain of how we ordinally think..
Pemikiran

sejarah

juga

menunjukkan

pengajaran

yang

bertumpu

kepada

usaha

mempertajamkan pemikiran menjadi perkara yang sangat penting dalam perubahan pendidikan
kini. Ini disebabkan pemikiran berkait rapat dengan unsur intelek yang diberi penekanan dalam
KBSM (Kamarudin Haji Husin, 1994).
KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH
Antara kemahiran pemikiran Sejarah yang digariskan dalam Huraian Sukatan Pelajaran
Sekolah Menengah (2002) yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum untuk
diterapkan oleh guru-guru Sejrah kepada para pelajar ialah:i. Memahami kronologi.
Memahami kronologi bermaksud melihat masa lalu, kini dan masa akan datang mengikut urutan
sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku. Sebagai contoh pelajar tingkatan satu yang telah
belajar tentang zaman pra sejarah, dapat melakar carta masa yang menunjukkan kehidupan
zaman pra sejarah seperti Paleolitik, Neolitik dan Logam. Melalui pemahaman kronologi ini para
pelajar dapat membuat perkaitan antara masa lalu dengan masa kini.
ii. Meneroka bukti
Kemahiran ini mengenalpasti sumber pertama dan kedua serta membuat perbandingan antara
kedua-dua sumber tersebut, di samping mendapat maklumat daripadanya. Antara aktiviti yang
boleh dijalankan oleh guru bagi menerapkan kemahiran meneroka bukti ialah dengan
mengarahkan pelajar berfikir dan meneroka bukti tentang mengapa kerajaan-kerajaan maritim
wujud di tepi pantai.
iii. Membuat interpretasi
Bermaksud membuat tafsiran terhadap sesuatu peristiwa dengan memberi ulasan dan
kupasan. Dengan itu pelajar akan lebih memahami perkaitan antara fakta Sejarah dan tafsiran
Sejarah dengan baik. Kemahiran membuat interpretasi ini juga bermakna masa lalu yang boleh

difahami melalui pemerhatian dan interpretasi yang sistematik dapat membantu kita hidup
dengan lebih baik pada masa hadapan (Paul & Elder, 2006). Sebagai contoh pelajar
dikehendaki membuat tafsiran tentang konsep tamadun mengikut pandangan Barat dan Islam.
Dengan membandingkan kedua-dua pandangan ini pelajar telah membuat tafsiran dan ulasan
serta perbandingan tentang perbezaan kedua-dua pandangan Barat dan Islam.
iv. Membuat imaginasi
Merupakan kemahiran pemikiran Sejarah. Ia merupakan satu usaha melibatkan pelajar dengan
sesuatu situasi dalam peristiwa Sejarah yang dikaji. Kemahiran imaginasi ialah secara visual
dan empati. Empati misalnya merujuk kepada seseorang yang menilai sejarah menurut
kacamata sumber atau subjek sejarah yang terlibat, contohnya untuk menilai tindakan kenapa
Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari Malaysia, maka kita perlu meletakkan diri
kita pada tempat Tunku pada ketika keputusan penting tersebut hendak diambil. Cara ini boleh
menjelaskan kepada kita mengapa tindakan itu diambil.
v. Membuat rasionalisasi
Melibatkan penggunaan akal dalam membuat pertimbangan yang wajar dalam menyelesaikan
sesuatu permasalahan. Para pelajar perlu mempunyai kemahiran mengumpul data, membuat
hipotesis, menentukan signifikan bukti dan membuat inferens daripada data yang dikumpul.
Kemahiran ini membolehkan kita mendapat pengetahuan yang penting daripada kajian masa
lalu yang seterusnya membimbing kita untuk membuat keputusan yang lebih baik pada masa
hadapan (Paul & Elder, 2006). Contoh yang boleh diambil untuk membuat rasionalisasi ialah
mengarahkan pelajar untuk membincangkan tentang Perang Dunia Kedua yang membawa
banyak kemusnahan atau mengapa Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan.
Kelima-lima kemahiran tersebut adalah kemahiran-kemahiran yang sangat melibatkan prosesproses Sejarah atau kemahiran prosedural guru dan pelajar. Para guru akan membimbing
pelajar untuk membuat perkaitan antara masa lalu dan masa kini, menganalisis, menyelidik dan
memproses bukti-bukti,membuat hipotesis, memahami dan memberi penerangan serta
membuat pertimbangan. Seterusnya, ia pula akan terlaksana apabila para guru Sejarah
melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pembelajaran Sejarah. Dengan itu, secara tidak
langsung para pelajar akan memperoleh kelima-lima kemahiran yang dinyatakan (Zahara & Nik
Azleena, 2007).

Menurut Peter Seixas (1996), beliau telah mengenalpasti enam elemen spesifik dalam disiplin
Sejarah bagi membentuk satu rangka kerja tentang pemikiran Sejarah yang perlu diterapkan
kepada para pelajar.

i. Kepentingan (Significance)
Dalam unsur kepentingan sejarah ini, pelajar-pelajar perlu mempunyai kemahiran membezakan
antara peristiwa yang remeh dan penting. Dalam hal ini pemilihan kepentingan sejarah
bergantung kepada minat dan nilai yang terdapat dalam masyarakat tersebut. Oleh itu pelajarpelajar disarankan untuk mengkaji sejarah tentang masyarakat, kehidupan dan perkara-perkara
yang mempunyai kepentingan kepada mereka. Misalnya dalam kajian yang dilakukan oleh
Barton dan Levstik (2004) dan oleh Yeager, Foster dan Greer (2002) mendapati pelajar amat
dipengaruhi oleh identiti nasional mereka dalam membuat pemilihan tentang peristiwa yang
penting.
ii. Epistemologi dan bukti (Epistemology and evidence)
Ia melibatkan pemahaman bagaimana kita mengetahui masa lampau. Apakah bukti yang kita
ada ? Sejauhmana bukti tersebut boleh dipercayai? Bagaimana kita boleh menjelaskan tentang
kewujudan tafsiran sejarah yang berbeza dan bertentangan. Sebagai contoh kanak-kanak tidak
sepatutnya dibiarkan dengan pandangan bahawa hanya ada satu kisah benar sahaja pada
masa lampau. Sedangkan pada hakikatnya sejarawan membuat pelbagai inferens berdasarkan
bukti, justeru itu wujud pelbagai tafsiran tentang sesuatu peristiwa masa lalu.
iii. Kesinambungan dan perubahan (Continuity and Change)
Unsur ini menekan pemahaman tentang perubahan masa lalu yang merupakan pusat pemikiran
Sejarah. Umur merupakan faktor untuk memahami keadaan ini; iaitu seseorang yang berumur
dikatakan lebih memahami perubahan yang berlaku pada masa lalu misalnya perubahan dari
segi teknologi dan nilai berbanding dengan mereka yang lebih muda. Namun begitu terdapat
juga pengkaji yang menolak pendapat ini. Menurut mereka umur bukanlah satu faktor utama
dalam memahami perubahan masa lalu. Menurut pengkaji-pengkaji ini pengalaman hidup turut
menjadi faktor iaitu golongan muda yang mengalami pengalaman perang, pelarian, imigran dan
mereka yang kehilangan ibu bapa atau yang berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan
lain mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang perubahan Sejarah berbanding dengan
mereka yang hidup dalam suasana yang aman.

iv. Perkembangan dan kemerosotan (Progress and decline)


Berdasarkan unsur ini pelajar perlu memahami bahawa dalam kehidupan akan mengalami
peringkat perkembangan dan kemerosotan. Dalam peringkat perkembangan hidup seseorang
mengalami kejayaan, manakala kemerosotan mereka mengalami satu keadaan yang sukar.
Oleh itu dalam konsep pemikiran Sejarah mereka seharusnya dapat mengenalpasti atau
membezakan kewujudan dua keadaan ini. Ini adalah penting agar mereka dapat memahami
proses yang berlaku dalam peristiwa Sejarah.
v. Empati dan penilaian moral (empathy and moral judgement)
Pemikiran sejarah memerlukan seseorang mempunyai daya imaginasi dan empati. Tujuannya
agar pelajar-pelajar tidak merasa asing dan pelik tentang peristiwa masa lalu. Malah mereka
seharusnya perlu mempunyai rasa hormat dan perasaan ingin tahu tentang peristiwa-peristiwa
masa lepas. Penyelidik British Christopher Portal(1987), menegaskan bahawa empati
merupakan satu cara pemikiran imaginative yang memerlukan kemahiran kognitif untuk melihat
nilai-nilai kemanusiaan dalam peristiwa Sejarah.
vi. Historical Agency
Elemen terakhir pemikiran sejarah ini merujuk kepada bagaimana dan mengapa sesuatu
perkara itu terjadi. Dalam elemen ini pelajar ditekankan supaya menghargai Sejarah dan
memahami bahawa tindakan rakyat pada masa lampau memberi kesan kepada rakyat pada
masa kini. Seterusnya menyedari bahawa tindakan-tindakan yang dilakukan oleh mereka pada
masa kini akan memberi kesan kepada generasi yang akan datang. Mempunyai pemikiran
Sejarah bukan sahaja memikirkan tentang masa lampau , malah ia melibatkan melihat diri
sendiri sebagai waris daripada masa lampau dan sebagai pelaku pada masa kini.
PENERAPAN

KEMAHIRAN

PEMIKIRAN

SEJARAH

DALAM

PENGAJARAN

DAN

PEMBELAJARAN SEJARAH.
Ramai yang berpendapat mengajar sejarah hanyalah tentang bercerita atau just tell stories.
Sejarah mengandungi kisah tentang kehidupan individu atau tokoh. Sesuatu cerita jika
diceritakan dengan baik boleh menarik minat pelajar untuk belajar sejarah. Para sejarawan
sependapat bahawa fakta tidak boleh bercakap, jadi menjadi tugas sejarawan untuk
membentuk persoalan, membentuk inferens, membuat penilaian sekiranya perlu dan membuat
kesimpulan tentang fakta sejarah tersebut (Crabtree et all., 1993).

Oleh itu pelajar-pelajar perlu didedahkan dan diterapkan dengan kemahiran pemikiran Sejarah.
Keadaan ini selaras dengan Orientasi pendidikan sejarah peringkat Sekolah Menengah Atas
yang bertujuan untuk memberi pemahaman ilmu dan memupuk pemikiran sejarah Namun
begitu, untuk memupuk kemahiran pemikiran sejarah dalam kalangan pelajar-pelajar bukanlah
satu perkara yang mudah. Apatah lagi Sejarah merupakan satu subjek yang paling sukar untuk
diajar di sekolah menengah (Sizer, 1984). Ini dapat dibuktikan dengan kaedah pengajaran guru
sejarah yang tidak sesuai dan kurang menarik. Malah ramai yang tidak mengetahui
bagaimanakah kaedah pengajaran Sejarah yang paling baik atau sesuai (Howard &
Mendenhall, 1982).
Walaubagaimana pun, kajian yang dilakukan oleh Wineburg dan Wilson (1992), mendapati
antara cara untuk memberi kemahiran pemikiran Sejarah dalam kalangan pelajar ialah, guru
Sejarah perlu melibatkan pelajar dalam pengajarannya serta menggunakan pelbagai teknik dan
kaedah seperti debat, main peranan, demonstrasi, analogi dan lain-lain. Kaedah pengajaran
yang aktif ini berkesan kerana ia menyebabkan pelajar-pelajar berkomunikasi dengan mata
pelajaran tersebut dan secara tidak langsung dapat menimbulkan minat pelajar.
Bagi menerapkan konsep pemikiran Sejarah di dalam bilik darjah, proses pengajaran dan
pembelajaran Sejarah perlulah merangsang pemikiran pelajar. Ini boleh dilaksanakan melalui
aktiviti pembelajaran aktif yang melibatkan proses mencari bukti, membuat pertimbangan dan
rasionalisasi, interpretasi dan imaginasi dengan bimbingan guru. Oleh itu para guru Sejarah
perlulah memiliki pemahaman dan pengetahuan mengenai kemahiran pemikiran Sejarah untuk
dilaksanakan dalam pengajaran mereka.
Bersesuaian dengan pendapat Antonio (2008) yang menyatakan, pengajaran Sejarah dalam
bilik darjah perlu menggunakan kaedah pengajaran aktif. Menurutnya lagi Sejarah adalah satu
proses menyiasat tentang sumber primer dan sumber sekunder . Sejarawan kebiasaannya
akan menyoal dengan pertanyaan seperti mengapa dan bagaimana ketika menjalani proses
Sejarah. Malah guru juga turut menggunakan kaedah menyoal ketika mengajar tetapi tujuan
menyoal seorang guru Sejarah berbeza dengan seorang sejarawan. Tujuan seorang sejarawan
menyoal adalah untuk memberi makna kepada fakta-fakta yang diperolehi. Manakala guru
Sejarah pula menyoal untuk menggalakkan pelajar agar berfikir mengikut pendekatan Sejarah.
Selain daripada itu salah satu cara untuk membentuk kemahiran pemikiran sejarah ialah
dengan menggunakan kaedah inkuiri terhadap sesuatu bahan atau sumber (bukti) sejarah.
Kaedah inkuiri ini yang mewujudkan sifat ingin tahu dalam diri pelajar untuk melakukan proses

pencarian dan penemuan. Keadaan ini secara tidak langsung dapat melatih pelajar untuk
berhjah secara logik, bernas dan disokong oleh fakta-fakta sejarah (Antonio, 2008)
Bagi membentuk pelajar yang mempunyai kemahiran pemikiran Sejarah, ia memerlukan bukan
sahaja kemahiran menguasai fakta, malah pelajar tersebut juga perlu mempunyai kemahiran
menganalisis perkaitan antara satu fakta dengan fakta yang lain. Justeru itu, pelajar-pelajar
perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas bagi menyokong hipotesis serta sebab dan
akibat.
Pemikiran sejarah sebenarnya, memerlukan persoalan, yang mana jawapan kepada persoalanpersoalan yang timbul tidak memerlukan satu jawapan yang benar atau salah. Apa yang
penting dalam mendapatkan jawapan pelajar perlulah mencari hipotesis-hipotesis yang sesuai.
Pelajar perlu menyusun bukti-bukti untuk menyokong hipotesis mereka. Malah berfikir secara
sejarah juga memerlukan pelajar menganalisis sebab dan akibat (Holt, 1990). Keadaan ini juga
memerlukan pelajar dapat membezakan anatara sebab segara dan sebab panjang sesuatu
peristiwa itu berlaku. Berdasarkan penerangan dapatlah kita rumuskan bahawa pemikiran
sejarah dapat melatih pelajar berfikir secara kritis.
Penutup
Berdasarkan apa yang diterangkan tentang pemikiran sejarah, jelas menunjukkan kemahiran ini
perlu dipraktikkan oleh para guru dan pelajar, terutama semasa sessi pengajaran dan
pembelajaran sejarah. Dengan penerapan kemahiran pemikiran sejarah ini proses pengajaran
dan pembelajaran sejarah menjadi lebih menyeronokkan dan bermakna. Sesuai dengan
pandangan yang diberikan oleh John Dewey (1966) yang menyatakan pembelajaran
merupakan satu proses yang bermakna (meaningful learning) dan ini bermaksud pembelajaran
bermakna ialah learning by doing yang dapat membantu pelajar berfikir dan membentuk
kefahaman tentang sesuatu permasalahan. Kenyataan John Dewey ini bertepatan dengan
konsep pemikiran sejarah yang memerlukan pelajar untuk meneroka, membuat inferens,
interpretasi, dan sebagainya.
Namun begitu bagi memenuhi objektif pemikiran sejarah, guru sebenarnya memainkan peranan
yang penting untuk menjayakan hasrat ini. Guru seharusnya terlebih dahulu mempunyai
pengetahuan yang tinggi dan mendalam sama ada tentang isi kandungan pelajaran sejarah
atau kemahiran pemikiran sejarah agar guru dapat menerapkan pemikiran ini dalam kalangan
pelajar pula. Menurut Zahara &