Anda di halaman 1dari 4

KHUTBAH JUMAAT 19 RABIULAWAL 1431H/05 MAC 2010M

SOLAT DAN KECEMERLANGAN UMMAH


Oleh: Ustaz Musally Moksin

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,


Bertaqwalah kita kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benarnya. Taqwa dengan makna
dan maksud menjunjung dan melaksanakan segala perintah Allah SWT serta meninggalkan
segala yang dilarang-Nya. Taqwa dengan makna kita takut dan cinta kepada Allah SWT serta
mengharapkan redha juga rahmat-Nya.
Sesungguhnya hamba Allah yang bertaqwa itu adalah semulia-mulia hamba di sisi Allah SWT.
Allah SWT memberikan jaminan kejayaan, keuntungan, rahmat, barakah dan bahagia hidup orang
yang bertaqwa di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: ...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan
meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya
(untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara
yang dikehendaki-Nya . Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap
sesuatu. (Surah At-Talaq, ayat: 2-3)
1

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,


Ibadah Solat menjadi rukun membina dan membentuk Islam dan Syariatnya. Solat adalah tiang seri
dan tunjang Islam, syiar dan Syariat Islam. Meninggalkan dan mengabaikan ibadah Solat bermakna
kita dengan sendirinya telah meruntuhkan dan merosakkan tiang seri agama Islam.
Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa beza antara orang Islam dengan orang bukan Islam
ialah Solat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Siapa meninggalkan Solat dengan sengaja
maka sesungguhnya dia kafir terang-terangan. (HR Imam Ahmad)
Peringatan berupa amaran tegas Rasulullah SAW ini hendaklah menjadi pengajaran kepada umat
Islam agar kita tidak memandang ringan terhadap ibadah Solat fardu lima waktu.
Oleh itu, sebagai ibubapa hendaklah mengambil berat ibadah Solat dalam rumahtangga dan ahli
keluarga serta anak-anak kita. Guru, pensyarah dan ustaz-ustazah di sekolah/kolej/universiti
hendaklah mengingatkan kepada anak murid, pelajar dan mahasiswa-mahasiswinya agar menjaga
ibadah Solat. Di pejabat hendaklah ketua pejabat memberikan peringatan pekerja bawahannya
tentang kewajipan menunaikan ibadah Solat. Begitu juga di premis perniagaan, kilang, pasar dan
sebagainya hendaklah managernya atau pengurusnya bertindak tegas supaya pekerjanya memelihara
Solat fardu lima waktu.
Perlu diingatkan, bahawa umat yang memelihara ibadah Solat, pekerja yang menjaga ibadah Solat,
ahli keluarga yang mementingkan ibadah Solat dan pelajar yang diasuh menjaga ibadah Solat fardu
lima waktu itu. Dijamin mereka akan lebih berdisiplin, amanah, jujur, bersemangat melaksanakan kerja
dan tidak suka menipu, khianat atau membuat perkara-perkara keji dan mungkar.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: ...dan dirikanlah Solat (dengan tekun), sesungguhnya Solat itu mencegah dari perbuatan
yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan
kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan . (Surah Al-Ankabut, ayat:
45)
SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: Dan perintahkanlah kepada ahli keluargamu mendirikan Solat dan bersabarlah kamu
dalam mengerjakannya. Kami (Allah) tidak meminta rezeki kepadamu, Kami-lah yang memberi rezeki
kepadamu. Dan ganjaran (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa. (Surah Thaha, ayat: 132)
2

Peliharalah ibadah Solat. Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: Peliharalah segala Solat kamu, khasnya Solat Wusta (Solat Asar) dan berdirilah kamu
kerana Allah (dalam Solat kamu) dengan taat dan khusyuk. (Surah Al-Baqarah, ayat: 238)
Ayat ini, menegaskan tentang perintah Allah SWT berkenaan ibadah Solat. Solat adalah tanda
pengabdian kita kepada Allah SWT. Pasti ganjaran pahala, kebaikan dan kebajikan akan diberikan
oleh Allah SWT kepada setiap hamba-Nya lebih-lebih lagi hamba-Nya yang taat dan patuh
melaksanakan ibadah Solat.
JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
Sesungguhnya kedudukan ibadah Solat dalam Syariat Islam dan di sisi Allah SWT amat besar dan
kesan pengaruhnya juga sangat hebat dalam kehidupan umat Islam. Seluruh Rasul dan para Nabi
diperintahkan Solat dan diperintah mengajak umat masing-masing mendirikan Solat hinggalah
kepada Nabi Muhammad SAW.
Nabi Ibrahim AS telah berdoa memohon kepada Allah SWT agar diri, ahli keluarga dan anak
cucunya dijadikan orang yang taat mendirikan dan menunaikan ibadah Solat, sebagaimana
dinyatakan di dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan Solat dan demikianlah juga
zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonan kami. (Surah Ibrahim,
ayat: 40)
JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
Kesan terbesar ibadah Solat dalam pembangunan ummah dan peranannya dalam membina
kecemerlangan ummah amat-amat hebat dan telah dibuktikan generasi terbaik umat Islam di zaman
Rasulullah SAW.
Para sahabat Rasulullah SAW adalah generasi terbaik lantaran mendapat sentuhan dan bimbingan
secara langsung oleh Rasulullah SAW dalam memelihara ibadah Solat.
Sehingga ada para sahabat Rasulullah SAW, iaitu seperti Abdur Rahman bin Auf RA yang sanggup
menjual seluruh harta dan perniagaannya kerana takut terlalai dari menunaikan Solat berjemaah
bersama-sama Rasulullah SAW. Tetapi Rasulullah SAW menjelaskan sekalipun harta dan perniagaan
Abdur Rahman bin Auf itu dijualnya habis, tidak juga menyamai kelebihan solat berjemaah bersamasama Rasulullah SAW.
Pengajaran daripada kisah Abdur Rahman bin Auf RA, bahawa ibadah Solat itu kelebihan dan
keutamaannya tidak boleh dibandingkan dengan perniagaan atau harta kekayaan. Ertinya
3

perniagaan adalah urusan kehidupan yang perlu dilaksanakan, namun jangan sampai ia menjadi
penghalang daripada melaksanakan ibadah Solat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Aku jadikan Solat permata hidupku. (HR Imam Ahmad)
JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
Solat dan kejayaan hidup umat Islam dan orang beriman tidak boleh dipisahkan. Allah SWT telah
memberikan jaminan kejayaan dan kecemerlangan hidup umat Islam yang memelihara Solatnya.
Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: Sesungguhnya beruntung (berjayalah) orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk
dalam Solatnya. (Surah Al-Mukminuun, ayat: 1-2)
Demikianlah, keutamaan ibadah Solat dalam kehidupan umat Islam. Solat memberi kesan terbaik
kepada peribadi dan sahsiah umat Islam, solat sangat berperanan membentuk ummah yang
cemerlang dan barakah,memperolehi rahmat, redha dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Disediakan oleh :
BAHAGIAN PENYELIDIKAN & INFORMASI
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SABAH