Anda di halaman 1dari 7

CABARAN DALAM PENGAJARAN BENTUK DAN RUANG

PENDAHULUAN
Matematik adalah satu mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah dan menengah dan
mencakupi banyak aspek. Mata pelajaran ini bertujuan untuk melahirkan individu yang
berketrampilan serta mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam kehidupan harian
secara berkesan dan bertanggungjawab semasa menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan. Matematik merupakan jentera atau penggerak kepada pembangunan dan
perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu Matematik
perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai
dengan perkembangan dan keperluan untuk membentuk negara maju.
Perkataan geometri berasal daripada perkataan Greek iaitu geo dan metria di manageo
bermaksud bumi dan metria bermaksud ukur. Ini adalah kerana pada asasnya, geometri
adalah berkaitan dengan pengukuran bumi. Geometri merangkumi pengajian tentang bentuk,
saiz, kedudukan dan ruang dan ia sangat berkait rapat dengan kehidupan manusia.
Kefahaman yang jelas tentang topik geometri atau bentuk dan ruang dapat mengekalkan
pengalaman yang dapat membantu murid membina kefahaman terhadap bentuk, ruang,
garisan serta fungsi setiap bentuk, ruang dan garisan tersebut. Ia membolehkan pelajar
menyelesaikan masalah dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.
Bentuk dan ruang atau geometri diaplikasikan secara meluas dalam bidang kejuruteraan, seni
bina, sains dan teknologi. Aplikasi geometri yang paling ketara boleh dilihat pada bentuk
binaan dan susunan bangunan. Atas keperluan yang jelas itu, topik bentuk dan ruang
diterapkan dalam kurikulum sekolah di negara kita bermula seawal di tahun 1 lagi hinggalah ke
tahun 6 dan peringkat pengajian yang lebih tinggi menjurus kepada bidang-bidang tertentu
seperti rekaan dan senibina.
Justeru itu, guru bertanggungjawab untuk merealisasikan kepentingan geometri dalam
kehidupan. Murid haruslah difahamkan dengan konsep geometri dari yang paling asas iaitu
pengetahuan tentang bentuk-bentuk 2D dan 3D sehinggalah kepada konsep geometri yang
lain sehinggalah mereka faham mengapa setiap bangunan yang dibina dengan bentuk-bentuk
yang berlainan tetapi masih mempunyai fungsi yang sama. Nasional Consul of Supervisor of
Mathematics, NCTM (1989) mengesahkan bahawa kemahiran dalam bidang geometri adalah
salah satu kemahiran asas daripada sepuluh kemahiran asas Matematik. Seharusnyalah
kemahiran ini dapat disampaikan kepada murid dengan cara yang betul.
Namun begitu, dalam situasi sebenar di sekolah, seringkali terjadi kegagalan dalam kurikulum
Matematik terutama dalam topik geometri bagi pelajar rendah dan sekolah menengah. Ini
kerana berlaku salah faham konsep atau miskonsepsi dalam konsep geometri semasa proses
pengajaran dan pembelajaran. Bertitik tolak daripada kesukaran dan miskonsepsi inilah
timbulnya cabaran bagi guru-guru untuk menangani permasalahan tersebut. Guru-guru perlu
mencari kaedah dan strategi pembelajaran yang sesuai dengan aras kematangan murid
supaya mereka boleh menguasai konsep geometri, lebih berminat dan seronok semasa
belajar dan tidak lagi beranggapan subjek Matematik adalah susah.
CABARAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BENTUK & RUANG
Konsep matematik perlu diperkenalkan kepada murid dengan pelbagai bentuk, kaedah dan
pendekatan. Murid juga perlu diperkenalkan dengan beberapa contoh yang konkrit sebelum
bergerak ke konsep yang abstrak. Menurut Robert Gagne iaitu seorang professor dan ahli
psikologi mengatakan bahawa, pembelajaran konsep matematik yang berkesan memerlukan
beberapa teknik penyampaian iaitu :
i.
Memberi berbagai-bagai contoh konkrit untuk membuat generalisasi.
ii.
Memberi contoh yang berbeza tetapi berkaitan supaya dapat membuat perbezaan.

iii.
Memberi contoh-contoh yang tidak ada kaitan dengan konsep yang diajarkan untuk
membuat perbezaan dan generalisasi.
iv.
Memberi pelbagai jenis contoh matematik untuk memperolehi konsep matematik
yang tepat.
Begitulah antara pendekatan yang perlu digunakan bagi mengatasi masalah miskonsepsi,
sama ada ia disebabkan oleh kecuaian mahupun kesukaran murid memahami sesuatu
konsep. Guru-guru perlu memikirkan pendekatan yang sesuai untuk murid yang mempunyai
pelbagai aras pembelajaran. Guru yang prihatin adalah mereka yang berusaha membimbing
murid mengikut perbezaan aras kecerdasan.
Menurut NCTM ( 2000 ) mempelajari geometri bukanlah hanya sekadar belajar tentang
maksud ataupun andaian tentang konsep geometri, tetapi mempelajari kebolehan untuk
menganalisa ciri-ciri bentuk 2 dimensi dan 3 dimensi di dalam bentuk-bentuk geometri. Di
samping itu adalah diharapkan pelajar ataupun murid dapat menghujahkan tentang
perhubungan geometri bagi mengenalpasti kedudukan dan ruang di dalam perhubungan
geometri seterusnya mengaplikasikan transformasi dan menggunakan simetri, visualisasi,
pemikiran di dalam ruang dan model geometri untuk menyelesaikan masalah.
Pada tahun 1957, Pierre van Hiele dan Dina van Hiele-Geldof, pasangan suami isteri dari
Belanda telah merumuskan lima aras yang perlu diikuti dalam pemikiran geometri. Bagi
mempelajari tajuk geometri dengan mudah, ke semua aras kematangan dalam model perlu
diikuti. Ia adalah berturutan dan berhierarki, dengan perkembangan yang dicapai dari satu
aras ke aras seterusnya yang lebih bergantung kepada pengalaman seseorang sejak kecil.
Pendapat ini juga turut dikongsi oleh Jean Piaget dalam Teori Perkembangan Kognitif yang
diutarakan. Secara umum, pendidikan dan pembelajaran murid berlaku pada tahap praoperasi, operasi konkrit dan operasi formal. Oleh itu, jika murid tidak melalui mana-mana aras
pembelajaran yang sepatutnya mengikut umur, akan timbul kesukaran atau miskonsepsi
seterusnya menjadi satu cabaran kepada guru untuk mengatasinya.
Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh guru-guru antaranya ialah :
1.
Miskonsepsi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dalam konsep geometri ianya memerlukan pelajar mempunyai daya kefahaman yang tinggi
terhadap sesuatu keadaan bentuk. Kefahaman ini hanya boleh dibina oleh pelajar melalui
aktiviti manipulatif yang memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka pemahaman
mereka tentang konsep geometri. Ramai di kalangan pelajar tidak dapat membuat pentafsiran
yang betul terhadap konsep pemahaman tentang geometri kerana mereka kurang didedahkan
dengan latihan manipulatif.
Di sekolah rendah, terdapat 4 subtajuk dalam geometri yang perlu dikuasai oleh murid iaitu
elemen titik, garis dan plane, ciri-ciri bentuk 2 dimensi, ciri-ciri bentuk 3 dimensi dan
pengukuran. Manakala kesukaran atau miskonsepsi yang berkemungkinan dialami oleh murid
adalah pelbagai. Antaranya ialah kesukaran mengenalpasti dan keliru nama-nama bentuk 2D
dan 3D, kesukaran melibatkan kedudukan rajah, kesukaran memahami ciri-ciri bentuk rajah,
kesukaran membayangkan bentangan dan banyak lagi. Miskonsepsi-miskonsepsi yang
berlaku ini merupakan cabaran besar yang perlu ditangani secara bijak oleh guru-guru.
Sebagai contoh, murid tidak dapat membayangkan objek yang tersembunyi (garis,
permukaan, kubus) di dalam rajah atau dengan kata lain ialah kurang keupayaan visualisasi.
Contoh:
Pepejal ini terdiri daripada 2-cm kubus, cari jumlah isipadu pepejal.

Jawapan murid ialah : Isipadu = 2 x 2 x 2 x 9


= 72cm3
Sepatutnya : Isipadu = 2 x 2 x 2 x 11
= 88cm3
Bagi mengatasi cabaran miskonsepsi di atas, guru boleh meminta murid menggunakan unit
kubus untuk membina lapisan-lapisan pepejal, supaya murid sedar terdapat lapisan yang
tersembunyi. Dalam situasi soalan di atas, murid harus disedarkan bahawa ada 2 kubus yang
tersembunyi, jadi jumlah semua kubus ialah 11 bukannya 9.
Kebanyakkan pelajar mempelajari geometri di dalam bilik darjah adalah secara hafalan
(Mayberry, 1981; Fuys et al, 1988). Teknik yang sedemikian tidak memberi peluang kepada
pelajar untuk terlibat dalam proses kemahiran berfikir bagi topik geometri. Pelajar yang belajar
secara menghafal cenderung untuk melupai maklumat-maklumat yang telah dihafal, keliru,
ataupun tidak mampu untuk mengaplikasikan maklumat tersebut kepada situasi yang berbeza.
Contohnya murid sukar untuk mengingat dan keliru dengan nama-nama bentuk 2D dan 3D
sekiranya guru hanya menunjukkan rajah atau gambar sahaja kepada murid sewaktu sesi
pengajaran dan pembelajaran.
Bagi mengatasi cabaran di atas, guru mestilah menggunakan bahan bantu belajar(BBM)
konkrit/maujud yang ada di sekeliling murid dan selalu digunakan dalam kehidupan seharian
mereka untuk menyampaikan konsep geometri. Contohnya benda, lukisan dan bongkah atau
pepejal sebenar . Guru juga boleh mempraktikkan kaedah belajar sambil berhibur (elemen
didik hibur) sebagai pengayaan bagi mengukuhkan lagi ingatan murid.
Contoh:
Gunakan elemen didik hibur-(Boria Lagu Bongkah) sebagai pengayaan.
http://www.youtube.com/watch?v=GzadMAR16SM
Menurut Schuman (1991) apabila pelajar belajar memanipulasi bentuk-bentuk yang dihasilkan
dengan pengalaman sendiri maka pelajar dikatakan dapat belajar dengan lebih berkesan di
mana pembelajaran terhadap pemahaman terhadap sesuatu konsep dapat diperkukuhkan
melalui celik akal. Pelajar diberi peluang untuk menjalankan eksperimen matematik melalui
aktiviti penerokaan dan penyiasatan terhadap bentuk-bentuk geometri dengan sendiri. Melalui
pengalaman empirikal yang telah dilalui oleh pelajar, membantu untuk menajamkan
pemahaman terhadap konsep dan sifat sesuatu objek geometri. Pembelajaran geometri
memberikan pengalaman dalam membantu pelajar memperkembangkan pemahaman
terhadap sesuatu ciri, rupa dan bentuk. Ia juga membolehkan pelajar menyelesaikan masalah
dan mengaplikasikannya dalam situasi dunia sebenar.
2. Subjek yang digeruni kerana melibatkan penggunaan rumus.
Kurikulum Matematik di sekolah rendah dalam topik bentuk dan ruang melibatkan
penggunaan rumus dan formula yang digunakan bagi mencari luas, perimeter dan isipadu
menimbulkan kesukaran dan kekeliruan murid terutama melibatkan murid yang sederhana dan
lemah. Guru haruslah menggunakan pendekatan atau kaedah yang bersesuaian untuk
menolak persepsi murid yang menganggap matematik adalah subjek yang susah kerana
penggunaan rumus dan formula ini.
Bagi mengatasi cabaran di atas, guru hendaklah mengaplikasikan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang mengaitkan konsep luas, perimeter dan isipadu dengan persekitaran
murid. Murid meneroka dan membilang jumlah lantai mozek dan kaitkan dengan rumus luas.
Guru hendaklah menggunakan kaedah pengajaran berpusatkan murid seperti inkuiri

penemuan dan pembelajaran kontekstual supaya murid boleh meneroka sendiri aktiviti
mencari luas, perimeter dan isipadu dalam aktiviti berkumpulan.
Contohnya mengira luas lantai mozek yang berukuran 1 kaki darab 1 kaki.

luas

Membilang
= 9 jubin
= (3 x 3 = 9)
Murid dibimbing mengaitkan jumlah jubin dengan konsep
seterusnya mengira dengan algoritma.

Luas = Panjang X Lebar


= 3 x 3

= 9 jubin
Apabila murid sudah menguasai konsep luas secara membilang dan mengira dengan
algoritma melalui aktiviti yang dijalankan sendiri secara tak langsung membantu guru
menyangkal persepsi murid yang matematik adalah subjek yang susah dan digeruni kerana
melibatkan penggunaan rumus. Pembelajaran konsep matematik dengan betul adalah tidak
susah sekiranya diaplikasikan dengan cara dan kaedah yang sesuai seperti yang disarankan
dalam Model Van Hiele terutamanya mengikut aras pembelajaran yang ditetapkan.
Selain itu, guru boleh mengaplikasikan konsep merentas kurikulum iaitu dengan
menggabungjalinkan pembelajaran matematik dengan mata pelajaran lain. Contohnya subjek
sejarah boleh dikaitkan dengan bentuk 3D iaitu piramid yang terdapat di Mesir. Guru boleh
menayangkan slaid powerpoint tentang bentuk-bentuk piramid.
Contohnya :
3. Penggunaan Bahasa dan Istilah Matematik
Bahasa matematik juga menimbulkan kesukaran kepada pelajar kerana ia berbeza dengan
bahasa biasa. Bahasa matematik mempunyai makna yang tersendiri dan di gunakan dalam
konteks matematik yang tertentu. Bahasa dan ayat Matematik yang khusus melibatkan
penjelasan pola-pola, hubungan, hukum-hukum dan rumus-rumus yang perlu diingati. Di
samping itu, banyak istilah matematik yang digunakan dalam kurikulum matematik tidak dapat
di fahami oleh pelajar. Kekeliruan tentang istilah juga merupakan satu masalah yang di hadapi
oleh pelajar yang menyebabkan mereka tidak dapat memahami maksud istilah tersebut.
Menurut Radatz (1979), perwakilan menggunakan simbol-simbol, tatatanda dan istilah-istilah
Matematik merupakan bahasa asing kepada pelajar kerana mereka perlu menghafal dan
memahami simbol yang jarang digunakan dalam kehidupan mereka seharian. Matematik
adalah mata pelajaran yang abstrak, maka pembentukan sesuatu konsep matematik tidak
akan berjaya dengan kaedah penghafalan sahaja. Masalah sebegini mungkin tidak akan
dihadapi oleh pelajar yang berada pada aras kebolehan yang tinggi. Namun bagi para pelajar
yang berada pada aras kebolehan yang rendah, mereka merasakan Matematik ini adalah
sukar untuk dikuasai dan membosankan (Mohd Salahuddin Salleh, 2006).
Dalam konteks mempelajari tajuk geometri, bahasa geometri melibatkan terminologiterminologi yang khusus dan memerlukan perhatian dan kefahaman yang betul sebelum
digunakan dengan berkesan. Kesilapan penggunaan terminologi geometri yang betul akan
membawa kepada miskonsepsi. Oleh yang demikian, bahasa memainkan peranan yang
penting dalam memindahkan maklumat yang diperolehi oleh guru kepada pelajar (MacGregor

& Moore 1991). Contoh-contoh terminologi yang menjadi kekeliruan murid sekolah rendah
ialah:
Terminologi
Bahasa Mudah
Geometri
poligon
bentuk yang mempunyai garis lurus
sahaja
kubus
kiub
pentagon

bentuk sisi lima

hexagon

bentuk sisi enam

vertex
Pepejal(bentuk 3D)

bucu
bongkah

Oleh itu, adalah menjadi cabaran bagi guru-guru untuk memilih dan menggunakan istilah dan
bahasa matematik yang sesuai dengan kematangan umur murid semasa mempelajari konsep
geometri dengan berkesan. Bagi mengatasinya, guru-guru digalakkan memperkenalkan istilah
dan bahasa matematik daripada mudah kepada kompleks dan mengikut peringkat
perkembangan kognitif kanak-kanak. Jadi, guru-guru mestilah menggunakan bahasa yang
mudah difahami murid dan mengikut aras pemikiran mereka serta boleh diaplikasikan dalam
kehidupan harian.
4. Kaedah pendidikan Tradisional
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia , Datuk Abdul Rafie Mahat, mengatakan bahawa
pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah memerlukan kaedah yang sesuai supaya
tidak menimbulkan rasa takut di dalam diri pelajar.(Hairulazim,2002). Oleh itu, guru perlu bijak
menggunakan kreativitinya serta inovatif dalam menyampaikan isi pengajaran terutamanya
tentang penyelesaian masalah agar dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang efektif
dan kondusif. Kemahiran kognitif pelajar perlu dijana dengan baik agar mereka dapat
menggunakan kemahiran yang sedia ada untuk menyelesaikan masalah Matematik.
Menjadi cabaran bagi guru-guru untuk lari dari menggunakan kaedah pendidikan tradisional
yang hanya menggunakan buku teks dan papan putih. Selain menjadikan pembelajaran
geometri bersifat hambar, murid juga tidak dapat mengasah kemahiran visualisasi dan
komunikasi dalam pembelajaran geometri. Kaedah ini perlu diubah dengan memberi peluang
kepada murid itu sendiri untuk menyiasat dan meneroka geometri bagi membolehkan mereka
memahami geometri dan menjadikannya berkait dengan bidang matematik yang lain. Guru
perlulah kreatif mencipta aktiviti yang menarik dan sesuai dengan isi pelajaran supaya
bermakna kepada murid.
Bagi mengatasi cabaran di atas, salah satu cara untuk menjadikan pengajaran dan
pembelajaran geometri yang menarik dan bermakna ialah melalui kaedah pembelajaran
secara kaedah inkuiri penemuan dan kontekstual. Kaedah Inkuiri Penemuan merangkumi
semua aktiviti merancang, menyiasat, menganalisa dan menemui jawapan melalui
pengalaman murid meneroka sendiri dengan guru sebagai pemudahcara atau fasilitator.
Pembelajaran melalui kaedah ini memerlukan kemahiran-kemahiran seperti membuat
perbandingan dan mencari ciri-ciri sama untuk membuat generalisasi. Dalam pembelajaran
matematik, murid-murid boleh memahami sesuatu konsep matematik melalui aktiviti
menyiasat, mengumpul maklumat dan menganalisa maklumat ( Mok Soon Sang, 1996 ).
Murid lebih mudah memahami sesuatu konsep matematik jika mereka sendiri yang
menjalankan penyiasatan untuk mencari jawapan kepada masalah yang mereka hadapi.
Kaedah inkuiri penemuan akan membantu murid lebih mudah memahami sesuatu konsep
dan dapat menyimpan pengetahuan itu dalam ingatan mereka bagi tempoh masa yang lama

jika mereka sendiri yang bertindak untuk mendapatkan jawapan atau jalan penyelesaian.
Keberkesanan kaedah inkuiri penemuan yang digunakan akan membantu pelajar memahami
konsep matematik dengan lebih jelas. Contohnya:
Aktiviti kumpulan dilaksanakan bagi meneroka ciri-ciri bentuk 3D. Penggunaan bongkah dalam
aktiviti berkumpulan akan membantu murid memegang, mengenalpasti nama bongkah,
mengira ciri-ciri seterusnya mencari isipadu menggunakan rumus yang sesuai.
Guru juga boleh merancang pembelajaran secara kontekstual. Pembelajaran kontekstual
merupakan pembelajaran yang membantu guru mengaitkan konsep dengan kehidupan nyata,
dan mendorong murid membuat hubungan antara pengetahuannya dan kehidupannya seharihari. Contohnya:
Aktiviti mencari perimeter. Guru boleh memulakan pengajaran dengan menyuruh murid
berjalan atau berlari mengira keliling kebun atau padang. Murid akan mendapati terdapat
empat sisi yang perlu dijumlahkan. Kontekstual pembelajaran di sini ialah dengan cara
mengukur sisi luar yang ada.
Mengikut Jean Piaget, pelajar pada peringkat umur 7 hingga 10 tahun peringkat kognitif
mereka masih lagi berada di tahap operasi konkrit. Jadi, guru-guru hendaklah menggunaan
objek konkrit contohnya kertas petak (square paper) untuk membantu murid supaya lebih
jelas konsep perimeter. Keadaan kertas tersebut yang mempunyai garisan lurus serta petakpetak kecil yang sama besar akan memudahkan murid melukis bentuk dengan mudah
walaupun tanpa menggunakan pembaris.
KESIMPULAN
Masalah kelemahan pelajar dalam penguasaan konsep dan kemahiran matematik pada
peringkat sekolah rendah ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh oleh pihakpihak terlibat dalam sektor pendidikan terutama sekali guru-guru. Kelemahan dalam
penguasaan konsep dan kemahiran matematik di peringkat sekolah rendah tentunya memberi
kesan pula apabila mereka berada di sekolah menengah sekiranya tidak ditangani dari awal.
Pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan oleh guru-guru bagi mengatasi kesukaran dan
miskonsepsi di kalangan murid-murid dalam tajuk bentuk dan ruang atau geometri. Sama
ada faktor kecuaian atau kesukaran murid memahami konsep ataupun faktor guru sendiri yang
tidak menguasai Pedagogy Content Knowledge (PCK). Sesetengah murid tidak berminat
untuk belajar dan lantas tidak memberi tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran
berlaku.
Pembelajaran tentang konsep geometri dan penguasaan kemahiran menyelesaikan masalah
adalah perkara penting di dalam pendidikan matematik. Kebolehan mengenalpasti sesuatu
bentuk geometri, tidak bermakna bahawa pelajar tersebut menguasai tentang ciri-ciri asas
sesuatu bentuk. Kebiasaanya pengajaran geometri di sekolah rendah murid hanya memberi
penekanan terhadap mengenalpasti bentuk dan ciri sesuatu bentuk geometri melalui
gambarajah tanpa melibatkan konsep yang lebih kompleks di mana, memerlukan pemahaman
pelajar terhadap hubungan atau perkaitan antara bentuk dan ciri sesuatu geometri.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab guru-guru untuk berusaha mencari kaedah, teknik,
dan strategi yang sesuai dan menarik agar murid faham dan tidak menghadapi kesukaran atau
miskonsepsi dalam pengajaran dan pembelajaran geometri. Cabaran-cabaran ini harus
ditangani sebaik mungkin demi memantapkan penguasaan modal insan negara dengan
pengetahuan lengkap dalam bidang sains dan matematik yang menjadi pemangkin kepada
kemajuan sesebuah negara.

RUJUKAN
1. http://www.slideshare.net/hudabokhari75/kepentingan-mempelajari-tajuk-ruang
2. http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/pdffail/ptkghdfwP/AZURAAP000042D2004TTP.pdf
3. http://mathideasinprimaryschool-sarmiza.blogspot.com/2011/04/laporan-projekgeometri.html
4. http://elwafasran.blogspot.com/2012/05/masalah-pembelajaran-matematik.html
5. Modul Asas Bentuk dan Ruang, Mohd Uzi bin Dollah:PhD, Noor Shah bin Saad:PhD,
UPSI, Tanjung Malim, Perak.
6. http://mathideasinprimaryschool-sarmiza.blogspot.com/
7. http://www.slideshare.net/EjaHodejahMt/nl-geometri
8. http://kasturinusi.blogspot.com/2012/12/krm3023-asas-ukuran-miskonsepsi-dan_889.html
9. http://teachersguideonline.blogspot.com/2010/10/pembelajaran-kontekstualpembelajaran.html