Anda di halaman 1dari 3

Laporan Keseluruhan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-3 Rumah Sukan Puma

Pada 3-5 Mac 2015 yang lepas telah berlangsung Kejohanan Olahraga Tahunan
Kali Ke-3 di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Secara keseluruhannya,
Pasukan Puma iaitu pasukan rumah biru telah menggondol tempat ketiga daripada
empat buah rumah pasukan yang bertanding.

Pada Kejohanan Olahraga Tahunan kali ini, terdapat beberapa kekuatan


Pasukan Puma tidak kira sama ada sebelum, semasa mahupun selepas selesai
kejohanan tersebut. Antara kekuatan atau kelebihan pasukan kami ialah sikap
kerjasama seperti aur dengan tebing yang ditonjolkan dan semangat yang jitu untuk
menang dalam setiap acara yang dipertandingkan. Natijahnya, usaha kami telah
membuahkan hasil. Lebih-lebih lagi dalam acara kawad kaki yang telah merangkul
tempat pertama di mana kemenangan ini merupakan yang julung kalinya setelah
beberapa tahun dimenangi oleh Pasukan Cheetah. Kami berasa bangga dan bersyukur
atas kejayaan ini. Walaupun tidak mendapat tempat dalam beberapa acara, kami tetap
bersemangat untuk menyokong Pasukan Puma. Di samping itu, kelebihan yang
diperoleh sepanjang Kejohanan Olahraga Tahunan ini berlangsung juga ialah disiplin
diri yang ditunjukkan oleh setiap ahli Pasukan Puma. Misalnya, sifat menepati masa
pada tiap-tiap kali latihan dijalankan dan menghadiri setiap perjumpaan yang diadakan.
Sesungguhnya, kehadiran setiap ahli pasukan adalah sangat memuaskan. Secara tidak
langsung, hubungan antara satu sama lain dapat dieratkan lebih-lebih lagi apabila
melibatkan pendidik siswa dari pelbagai semester. Di samping itu, kelebihan yang
diperoleh juga adalah dapat memanifestasikan tubuh badan yang sihat dan cergas
kerana penglibatan yang aktif dalam acara sukan yang dipertandingkan.

Namun begitu, terdapat juga beberapa kelemahan daripada pasukan kami bagi
melicinkan Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-3 ini. Antaranya adalah seperti
kekangan masa dan kekurangan peserta bagi menyertai acara yang dipertandingkan
dan menjalani latihan. Sebagai contoh, bagi acara senaman tarian iaitu fitness dance
dan kawad kaki yang dijalankan latihan pada masa yang sama telah menyebabkan
percanggahan kerana peserta yang menyertai fitness dance turut menyertai acara
kawad kaki. Hal ini telah menyebabkan kekurangan peserta yang menjalani latihan
justeru menyukarkan proses latihan. Namun begitu, kekangan ini dapat diatasi dengan
mengawalkan latihan fitness dance kemudian dituruti latihan kawad kaki pada masa
yang berlainan. Seterusnya, terdapat beberapa acara yang melibatkan pertukaran
peserta di mana menyebabkan pengurusan dan pendaftaran peserta tidak begitu
teratur. Nombor-nombor bip peserta yang tidak mencukupi juga menyebabkan proses
pendaftaran peserta tidak begitu licin. Walaupun begitu, permasalahan dan kekurangan
ini telah dapat diatasi dengan tenang dan jayanya.
Sepanjang Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-3 ini juga pasukan kami iaitu
Pasukan Puma telah memperoleh peluang yang baharu yang tidak dapat kami
lupakan. Antaranya adalah kami dapat mempelajari cara untuk menguruskan pasukan
dan membentuk semangat kekitaan untuk berganding bahu antara satu sama lain demi
mencapai matlamat yang sama. Sebagai tamsilan, komandan dalam pertandingan
kawad kaki mendapat peluang dan pengalaman yang baharu di mana dapat melahirkan
dan mengasah sifat kepimpinan dalam diri bagi menguruskan ahli pasukan. Selain itu,
setiap ahli Pasukan Puma juga berpeluang untuk memikirkan dan melontarkan idea
masing-masing dalam melaksanakan strategi untuk mencapai kemenangan dalam
acara yang dipertandingkan. Contohnya, apabila ahli pasukan memberikan idea untuk
formasi tarian fitness dance dan pakaian untuk maskot acara kawad kaki. Hal ini
secara tidak langsung membolehkan pendidik siswa untuk mengembangkan pemikiran
mereka lantas kemahiran berfikir aras tinggi juga dapat dilahirkan. Ahli Pasukan Puma
juga berpeluang untuk mengasah bakat

masing-masing dalam acara sukan yang

dipertandingkan seperti acara balapan dan acara padang. Secara tidak langsung,
kemahiran dan kelebihan yang terpendam dapat ditonjolkan dan digunakan dengan
sebaik-baiknya.

Seterusnya, terdapat juga cabaran yang dihadapi oleh Pasukan Puma


sepanjang berlangsungnya Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-3 ini. Antara cabaran
yang dihadapi adalah seperti kepenatan ahli-ahli rumah sukan untuk melaksanakan
latihan kerana lewat habis kuliah. Selain itu, cuaca yang tidak menentu seperti hujan
lebat dan panas terik menyebabkan latihan tidak dapat dijalankan contohnya latihan
kawad kaki dan acara balapan. Akan tetapi, cabaran yang paling besar adalah
persaingan yang hebat dan sengit antara rumah sukan yang lain dengan Pasukan
Puma. Jarak jumlah mata yang agak jauh antara Pasukan Puma dan pasukan lain telah
mengurangkan motivasi ahli-ahli Pasukan Puma. Namun begitu, sokongan yang padu
dan jitu serta ingin memperoleh kemenangan ahli- ahli Pasukan Puma telah
membangkitkan lagi semangat atlet-atlet Pasukan Puma. Akhirnya, beberapa pingat
emas telah berjaya diperoleh manakala gelaran olahragawan juga telah digondol oleh
atleti pasukan Puma iaitu Desmond Kelly Malish Anak Assan.
Konklusinya, banyak pengetahuan dan pengalaman yang baharu telah diperoleh
oleh setiap ahli Pasukan Puma sepanjang menjayakan Kejohanan Olahraga Tahunan
Kali Ke-3 ini. Sesungguhnya, pengalaman ini merupakan pengalaman yang manis dan
tidak dapat dilupakan. Walaupun tidak menjulang kedudukan pertama keseluruhan
pada tahun ini, namun Pasukan Puma akan bangkit dan melaksanakan anjakan
paradigma pada tahun yang akan datang. Be The Best, Beat The Rest!

Anda mungkin juga menyukai