Anda di halaman 1dari 1

KEBUN KELAPA SAWIT DAN NANAS TERBAKAR

MUAR - Enam lot kebun kelapa sawit di Kampung Parit Jono berhampiran Ladang
Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13, Air Hitam di sini terbakar
sejak semalam.
Ini merupakan kebakaran kedua melibatkan tanah pertanian dalam tempoh tidak
sampai sebulan di kawasan itu.
Pada pertengahan bulan lepas, kawasan tanaman kelapa sawit dan nanas peserta
ladang PPNJ, kira-kira dua kilometer dari situ, musnah dalam kebakaran yang
mengakibatkan kerugian berpuluh ribu ringgit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar Ariff Jini berkata sebanyak tiga
jentera bomba bersama 30 anggota bertungkus lumus memadam kebakaran sejak
9 pagi hingga 7 petang semalam, dan operasi itu masih diteruskan hari ini.
"Sehingga kini, kita berjaya memadamkan kawasan kebakaran seluas 8.9 hektar
dan kita menjangka dapat memadamkan sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi,"
katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran.
Beliau berkata pasukan bomba terpaksa membina empangan bagi menakung air di
kawasan parit bersebelahan untuk memastikan bekalan mencukupi bagi kerjakerja memadam kebakaran di tanah gambut itu.
Ariff berkata anggota bomba berdepan cabaran berikutan cuaca panas terik dan
terpaksa bertugas ketika berpuasa.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang masalah besar kecuali seorang anggota
bomba cedera ringan selepas terjatuh ketika memadamkan api semalam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, terutama petani di kawasan tanah
gambut, agar berhati-hati dan tidak melakukan pembakaran pada musim kemarau
ini kerana api cepat merebak serta sukar dipadam. - Bernama

Anda mungkin juga menyukai